KERETA yang dipandu Firhan berhenti betul-betul di hadapan rumah sewa Qatrunnada. Firhan sendiri tidak percaya yang dia langsung tidak bersuara sepanjang perjalanan pulang dari taman tasik tadi. Kalau dulu, kesempatan yang ada untuk dia berbual dengan Qatrunnada pasti dia akan guna sebaik-baiknya tetapi hari ini lain pula kisahnya. Dia masih lagi tidak percaya dengan apa yang baru dia tahu mengenai gadis itu. Akalnya mengiakan apa yang doktor di klinik tadi sampaikan tetapi hatinya menidakkan sekeras-kerasnya kerana dia sangat mempercayai dan menghormati Qatrunnada dan dia yakin yang Qatrunnada tidak akan melakukan perkara yang dilarang agama.
“Nanti pergi tanya Kak Risya pasal beg Nada. Mungkin Kak Risya tolong simpankan, sekali dengan kunci rumah.” Firhan berkata dengan suara yang mendatar. Qatrunnada hanya menganggukkan kepalanya.
“Terima kasih tolong hantar saya ke klinik dan hantar saya balik dengan selamat. Nanti saya bayar semula bayaran kat klinik tu. Assalaamu`alaikum.” Qatrunnada terus keluar dari kereta setelah salam dilafazkan tanpa menunggu Firhan menjawab salamnya. Dia terus menuju ke rumah Batrisyia untuk bertanya perihal begnya.
Firhan terus memandu ke rumah sewanya. Setelah berpuas hati dengan kereta yang diparkir, enjin kereta dia matikan dan dia membawa diri untuk keluar dari kereta. Kereta terus dia kunci dan langkah kaki laju diatur menuju ke dalam rumah. Ketika itu Wijdan sudah berdiri di pintu rumah. Dia pelik dengan wajah mencuka Firhan padahal rakannya itu baru sahaja lepas keluar dengan Qatrunnada, gadis yang menjadi rebutan mereka berdua.
“Woi, keluar dengan Nada tak beritahu aku pun! Mana adil macam ni. Korang pergi mana?” belumpun sempat Firhan menjejakkan kaki ke dalam rumah dia sudah dilemparkan dengan soalan dari Wijdan. Firhan berhenti betul-betul di hadapan Wijdan.
“Kalau kau tak nak kena tumbuk dengan aku baik kau jangan tanya apa-apa.” Selepas memberi amaran kepada Wijdan, Firhan terus masuk ke dalam biliknya. Wijdan pelik dengan kelakuan luar alam Firhan. Selalunya mereka berdua pasti akan berlagak sesama sendiri jika dapat sebarang peluang untuk berbual dengan Qatrunnada, inikan pula julung-julung kalinya dapat keluar dengan Qatrunnada. Dia sendiri belum pernah keluar dengan Qatrunnada. Pelik! Kenapa dia tak show-off kat aku? Kena reject dengan Nada ke? Yeehaaa! Dah kurang persaingan. Rupa-rupanya peluang aku masih cerah. Hahaha!
“Kena reject dengan Nada ke bro? Chill lah! Orang tua-tua kata bunga bukan sekuntum, ye dak? Nanti muncullah tu bunga lain yang tercipta untuk kau. Haha.” Wijdan sengaja mencetuskan provokasi dengan bersuara lantang di luar bilik Firhan. Najwan yang ketika itu sedang bermain Clash of Clans di ruang tamu hanya mampu menggelengkan kepala. Tak habis-habis dengan Nada Murni Irama dan Lagu Melodi Harmoni rumah sebelah tu! Haish! Cuba tengok aku ni takde minat kat siapa-siapa pun happy je hidup!
Share this novel