Bab 38
“Jangan… Cederakan saja muka dia supaya lepas ni tak ada perempuan yang nak!” kata lelaki itu sambil menghulur sebilah pisau yang berkilat ke arah temannya yang bertanya.
Irfan menjerit. Dia semakin takut. Lelaki itu menghadiahkan sebiji penumbuk di mukanya.
Irfan masih dapat merasakan kesakitan itu sehingga kini. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Sejak sedar dari pengsan, banyak perkara yang diingatinya. Dia terasa ini semua adalah balasan dosanya. Balasan dosa terhadap perkara buruk yang dilakukannya suatu masa dulu. Irfan sedar, dia bersalah kepada Zakuan. Kenapa dia harus mematuhi perintah ibunya yang tamak itu.
Air mata Irfan mengalir perlahan. Puan Suriati lihat airmata anaknya mengalir lalu membasihi kain putih yang membalut wajahnya.
“Sakit ya?” Dia bertanya sambil memegang tangannya yang berbalut.
Irfan tidak dapat mengangguk. Menggerakkan lehernya pun dia tidak boleh. Dia hanya diam, memejamkan mata dan berharap ini semua hanya mimpi semata-mata.
Dua hari kemudian doktor yang merawat Irfan memberitahu Puan Suriati sesuatu yang amat mengejutkan wanita itu.
“Kondisi anak puan semakin parah. Jantungnya ada masalah. Tekanan darahnya tidak terkawal… Terus naik. Saya harap puan bersedia untuk sebarang kemungkinan. Saya tak akan memberikan harapan yang banyak. Sebaiknya puan berdoa saja pada Tuhan, semoga keadaan anak puan berubah.”
Puan Suriati tidak terkata apa. Dia terdiam lama. Tuhan? Bisiknya sendiri. Sudah berapa lama dia tidak menyebut nama Tuhan. Bagaimanakah dia harus memanjatkan doa.
Akhirnya Peguam Wong muncul setelah berhari-hari Puan Suariati mencarinya. Namun peguam itu tidak akan membacakan wasiat Datuk Omar dalam mesyuarat. Hal itu menimbulkan kemarahan Puan Suriati. Dia sangka mesyuarat itu diadakan bagi membaca wasiat lelaki itu. Sebaliknya Peguam Wong memberitahu, Datuk Omar memberikan proxy kepada Affendi jika sesuatu yang tidak diingini berlaku. Wasiat hanya akan dibaca apabila waris Datuk Omar iaitu Zakuan pulang.
Puan Suriati menepuk meja.
“Zakuan dah mati!” bentak Puan Suriati.
“Apa guna ditunggu orang yang takkan balik lagi? Mengapa tidak jawatan tu diserahkan saja kepada yang berhak, yang masih hidup?”
“Kalau dia dah mati, mana mayatnya? Mana kuburnya?” balas Affendi.
Wajah Puan Suriati merah padam.
“Dia mati tak berkubur… Semua orang tahu! Dia hilang sepuluh tahun lalu. Mustahil dia akan balik!”
“Dalam dunia ni tak ada perkara yang mustahil,” jawab Affendi.
“Bertenanglah puan!” kata Peguam Wong. “Saya tak boleh nak buat apa-apa. Hanya itu yang dapat saya beritahu pada semua orang hari ni.
Setakat ini tak ada apa-apa perubahan, walaupun Datuk dah tiada. Puan masih boleh teruskan kerja puan seperti biasa…”
“Huh!” Puan Suriati merengus. Jawatan yang dia idam-idamkan tidak tercapai. Irfan pula masih terkedang sakit di hospital. Impiannya hendak menjadikan Irfan orang penting syarikat tidak terlaksana.
Mesyuarat bersurai. Namun semasa Airiel hendak keluar, Affendi menahan lelaki itu.
“Airiel… Dengan kuasa yang ada pada aku sekarang, perkhidmatan kau diberhentikan berkuat kuasa mulai sekarang. Syarikat akan bayar kau ganti rugi.”
“Apa?” Airiel terperanjat mendengar kata-kata Affendi.
“Sejak kebelakangan ni prestasi kerja kau sangat menurun. Kau tak mematuhi peraturan pejabat, datang dan balik sesuka hati kau saja.”
“Kau penghasut!” kata Airiel dengan marah, memandang tajam ke arah Leo.
Leo membatu diri, berdiri umpama patung di sisi Affendi.
“Pengkhianat!!!!” jerit Airiel lagi sambil melempaskan penumbuk di atas meja.
“Aku rasa elok kau keluar dengan baik dari syarikat ni… Kalau kau cuba buat huru-hara aku akan panggil pengawal untuk halau kau keluar.” tegas Affendi lagi.
Airiel memandang mereka berdua silih berganti. Wajahnya terus merah padam, tegang dan marah. Dia terus bergerak ke pintu, menghempasnya sekuat hati. Di dalam bilik Affendi dan Leo saling berpandangan kemudian tertawa.
“Salah seorang musuh dah ditumbangkan,” kata Affendi di hujung tawanya.
“Harap puan datang ke sini segera! Keadaan Irfan semakin teruk,” beritahu doktor yang ditugaskan untuk merawat Irfan.
Tersentak mendengar kata-kata doktor itu, Puan Suriati terus bergerak keluar. Di medan letak kereta dia berjumpa dengan Hamzah yang berada di sisi keretanya.
“Laju sangat tu, kau nak ke mana?” tanya Hamzah.
“Ke hospital. Irfan makin teruk. Doktor suruh aku ke sana. Kau nak ikut?”
“Boleh… Boleh juga,” jawab Hamzah lalu terus masuk ke kereta Puan Suriati.
Wanita itu terus memandu menghala ke hospital.
Saat Puan Suriati dan Hamzah tiba di hospital, Irfan sudah menghembus nafas akhir beberapa minit yang lalu. Puan Suriati terduduk di atas lantai, lututnya terasa longgar. Hamzah memapahnya menghala ke kerusi. Airmatanya mengalir perlahan. Dia benar-benar tidak percaya, Irfan sudah tiada lagi di dunia ini.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Airiel akan membalas dendam kepada Affendi dan Leo/Zakuan kerana memecatnya?
Share this novel