Selamat Tinggal Dunia Remaja!

Romance Completed 117449

BAB 22

LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KUALA LUMPUR, (KLIA).

            AKU mengucapkan terima kasih kepada pemandu Ray dengan tergesa-gesa. Kini aku berdiri di depan pintu masuk lapangan terbang yang gah itu. Aku tidak tahu ke mana aku harus tujui. Kiri atau kanan? Akhirnya aku hanya mengikut langkah kakiku, mulanya aku berjalan dengan laju, kemudian aku berlari anak sambil melihat sekeliling.

            “Ramainya orang... macam mana saya nak cari awak!!” Aku menekup mulut menahan tangisan sambil berlari mencari sesuatu yang tidak pasti. Kakiku berhenti di apabila melihat jadual penerbangan terpampang di depan mata.

            “Apa ni, kenapa aku tak faham? Ke Jepun? Yang mana satu jadualnya?” Aku tidak betah hanya berdiri di situ. Aku kembali berlari mencarinya. Tolonglah... hanya sekali. Cukuplah hanya sekali saya nak jumpa awak!

            “Macam mana ni... macam ni...” aku terduduk di lantai. Tidak aku pedulikan mata-mata yang memandang hairan ke arahku. “Kenapa awak pergi... tak beritahu saya. Sampainya hati awak...” lama aku duduk di situ. Menangis. Hatiku sudah tidak mampu menanggung betapa aku terlalu kecewa.

            “Aya?”

            Aku tersentak apabila mendengar namaku dipanggil. Aku melihat kiri dan kanan.

            “Siapa?!!” aku separuh menjerit. Bingkas aku bangun dan menoleh kiri dan kanan.

            “Saya ada kat belakang...”     

            Aku memalingkan tubuhku. Melihat seorang budak lelaki berumur lingkungan lima 5 tahun berdiri tegak di depanku kini. Aku mengerut dahi. Diakah yang memanggil nama aku?

            “Kakak... ada orang suruh saya bagi ni.” budak itu menghulurkan sehelai kertas yang dilipat kecil kepadaku. Aku terus mengambilnya. Tetapi aku tidak membukanya lagi.

            “Siapa? Siapa yang bagi. Cepat beritahu akak.” aku mendesak budak itu sambil memegang ke dua belah bahunya.

            “Seorang abang yang kacak. Dia berdiri di tiang tu tadi.” Budak itu menunjukkan ke arah yang dimaksudkannya.

            “Mana? Mana dia? Tak ada pun.”

            “Mungkin dia dah pergi. Dari tadi dia memerhati kakak di situ.”

            “Apa?!” Aku ingin terus melangkah. Tetapi sempat aku menoleh melihat budak lelaki itu. “Terima kasih dik!” Aku sempat tersenyum hambar. Pantas aku berlari ke tempat yang ditunjukkan budak lelaki kecil itu. Tetapi memang benar. Dia sudah tiada!

            “Harry...” aku menahan dari tangisanku meletus lebih kuat. Perlahan-lahan aku membuka lipatan kertas di tangnku. Dengan sebak aku membaca bait-bait tulisan tangan yang cukup kemas.

            ‘Hey... buruknya kau menangis. Bila kau dah baca nota ni, aku dah ada dalam flight. Hey, Aya... aku akan rindu untuk bergaduh dengan kau lagi. Kau masih lupa nak pulangkan baju aku kan?! Bila kau teringatkan aku, kau tengok la baju tu. Tapi jangan lap hingus kau dengan baju yang aku beli kat Paris tu! Tadi, sebelum ke lapangan terbang... aku singgah ke kedai mak cik tu. Rupanya dia masih kenal aku. Well... bukannya selalu pelanggan elit macam aku nak beli tonggeng ayam. Tapi... tak sangka tonggeng tu sedap jugak. Hey... tapi itulah pertama dan terakhir aku makan benda alah tu tau! Kau pun jangan makan lagi lepas ni! Patut la otak kau tu lembap sangat! Faham tak?!’

p/s: Selamat tinggal Aya. Hey, aku tak akan jumpa kau sebelum pergi. Aku tak nak baju aku kotor dengan air mata dan hingus kau si lembap!’

            “Bedebah... betul-betul bedebah...” aku meletakkan surat itu di dada sambil menangis lagi. Kenapa aku terlalu sedih? Siapa Harry pada aku, dia bukannya sesiapa. Kenapa mesti rasa sedih. Kenapa Aya?!!

**********

            DUA minggu aku tidak ke sekolah selepas kejadian itu. Seminggu aku di kurung oleh Abang Is. Seminggu lagi aku jatuh sakit. Perit. Perit sungguh hidup aku kala ini. Ayah pula sudah pulang ke rumah. Dia hairan melihat aku masih berada di rumah dan kenapa aku tidak tinggal bersama Sir Adam. Lelaki yang sudahku anggap seperti datukku sendiri itu masih menyuruhku untuk tinggal bersamanya di Villa Taylor selepas pemergian Harry. Tetapi aku rasa sungguh tidak betah tinggal di istana itu setelah apa yang berlaku.

            Memang kasihan melihat Sir Adam seorang diri walaupun dikelilingi pekerjanya yang begitu ramai. Tetapi pasti akan tetap rasa sunyi apabila berjauhan dengan anak dan cucu kandung. Siapalah aku untuk mengisi tempat yang kosong itu. Akulah pemusnah masa depan Harry. Aku dapat merasakan Harry cedera serius. Kalau tidak mengapa dia sanggup meninggalkan sekolah dan pergi kepada ibunya. Adakah dia tidak boleh berenang lagi? Persoalan itu masih bermain difikiranku walau sudah berminggu. Aku tidak berani menyoal sesiapa pun. Aku cuma berharap Harry berada dalam keadaan baik-baik sahaja di sana.

            Hari ini aku gagahkan diri untuk ke sekolah walaupun kesihatanku masih tidak stabil. Aku sangat lemah. Di sekolah aku banyak mendiamkan diri dan termenung sehingga Rita dan Bella tidak berani menegur aku. Mereka tahu jika aku kurang sihat, aku tidak gemar berbual. Sebenarnya fikiranku masih mengingatkan nota ringkas Harry yang bermakna bagiku. Entah mengapa, aku seperti kehilangan... sedangkan Harry tidaklah lebih dari saudara angkat dan kekasih palsuku.

            Pulang dari sekolah aku tidak terus mengambil bas untuk pulang ke rumah. Aku berjalan ke sekolah sebelah. Sekolah Tinggi Adam Taylor. Aku berdiri di depan pintu pagar sekolah yang kelihatan gah. Sekolah elit itu meninggalkan seribu satu kisah yang meninggalkan bekas di hatiku. Aku melangkah perlahan-lahan menuju ke pintu pagar itu. Seperti biasa, pengawal keselamatan di situ sudah amat mengenali aku. Dia juga mengenali ayahku. Sudah semestinya, ayah aku bekas pembantu Sir Adam. Maka, hampir seluruh kakitangan di sekolah elit ini mengenali ayahku termasuklah pengetua.

            Aku memasuki sekolah itu tanpa halangan. Jika tidak, pasti akan ada pemeriksaan yang ketat kepada individu yang memasuki sekolah berprestij ini. Aku berkecuali, tidak kusangka pengaruh ayahku dulu agak besar. Alangkah baiknya jika ayah masih sihat. Hidup kami tidak perlu bersusah-payah lagi. Sudahlah Aya... reda itu konsep yang paling baik dalam kehidupan orang mukmin. Walaupun pasrah itu lebih mudah.

            Aku tahu pandangan pelajar sekolah ini sangat tajam apabila melihat aku memasuki sekolah tersebut. Sejak hari pertama aku memasuki sekolah ini sehinggalah sekarang. Aku sudah lali dengan pandangan mata yang kurang enak itu kerana aku sedar siapa diriku. Cuma anak seorang pelayan. Bukanlah anak golongan bangsawan mahupun kerabat diraja. Kerdil sungguh diri ini...

            Suasana di asrama lelaki yang tersergam megah itu kelihatan sepi. Aku mendongak ke atas. Mataku mengecil apabila cahaya matahari mengganggu sorotan mataku. Tiada siapa di atas bumbung asrama. Aku kembali memandang ke depan, mengatur langkah satu persatu melewati kawasan asrama. Hatiku di gayut rasa sebu. Sungguh banyak kenangan di sini... aku melihat satu lorong yang menghubung bilikku di hujung koridor di tingkat paling bawah. Pantas aku melangkah ke sana.

            Aku berdiri betul-betul di depan pintu bilik Harry. Atau lebih tepat lagi bekas biliknya. Tertera tulisan di daun pintu-Bilik Presiden Asrama. Aku tersenyum, ketika mengenalinya itulah jawatan disandang Harry. Begitu marah wajahnya ketika melihat aku dikepung oleh pelajar-pelajar lelaki di asrama ini yang nakal. Tetapi ternyata mereka tuan-tuan muda yang baik-baik. Mereka dididik dengan penuh tatasusila cuma kadang-kadang mereka juga terlepas laku.

            Hanya sebentar aku berdiri di situ, kemudian aku melangkah menuju ke tangga. Tidak mahu menggunakan lif kerana aku tidak mahu sesiapa menyedari kehadiranku di sini. Sudah pasti akan gamat kerana ada perempuan menceroboh kawasan asrama lelaki! Tetapi, aku yakin mereka semua mengenali aku. Yelah... kehidupn aku dulu di sini dilindungi oleh jejaka-jejaka kacak dari ahli persatuan pelajar. Memoriku teringatkan Sam, lelaki itu sangat mengambil berat tentangku. Will... juga sangat ramah dan mesra. Sudah semestinya... Senior Ray. Apabila nama itu timbul di ingatan pantas aku mengeluh kecil. Entah kenapa, aku rasa bersalah kepadanya.

            Akhirnya aku tiba di atas bumbung, ternyata telahan aku benar. Tiada siapa di atas ini. Aku menghampiri tembok dan menjenguk ke bawah. Beberapa pelajar lelaki kelihatan riang bermain badminton di tengah gelanggang. Di satu sudut lagi ada juga yang bersantai dengan bermain alat muzik. Mereka benar-benar kelihatan seperti orang kelas atasan. Kelihatan juga beberapa wajah yang aku kenali. Will dan Sam, mereka berbual di sebuah bangku sambil memegang buku. Benar-benar kelihatan santai. Nampaknya ketiadaan Harry tidak banyak mengubah perlakuan rakan-rakannya.

            Sebut sahaja nama itu di dalam benak, terus hatiku menjadi sepi. Aku memalingkan badan dan menyandar di tembok. Kini, aku melihat suasana di atas bumbung itu dengan satu perasaan aneh. Di sini... banyak menyimpan memori. Aku seolah-olah dapat merasakan kehadirannya...

            “Aya...”

            Suara itu masih memanggil namaku. Aku tidak mahu membuka mata kerana aku masih enak berada dalam anganku yang indah. 

            “Awak...” akhirnya air mataku tumpah. Perlahan-lahan aku membuka mata. Terkejut aku di buatnya apabila melihat dua lelaki sedang berdiri di depanku.

            Aku menegakkan badan dan menyeka air mata dengan hujung jari.

            “Kami dah agak mesti Aya kat atas ni. Kami nampak dari bawah tadi.” Tegur Sam dengan senyuman.

            “Aya apa khabar?” soal Will pula.

            Aku yang masih terkejut tersenyum kelat. Cuba bertenang dan memanggil semula semangatku yang terbang.

            “Maaf sebab masuk asrama tanpa kebenaran...” itulah yang sepatutnya aku katakan dahulu.

            “Apa Aya cakap ni. Asrama ni sentiasa mengalukan kedatangan Aya bila-bila masa pun.” balas Will dengan tenang.

            “Aya nampak kurang sihat.” Sam mendekatiku.

            “Saya baru baik demam... dah okey sikit. Terima kasih sebab terima saya dengan baik ke sini.”

            “Aya...” panggil Sam penuh simpati di matanya. Sehingga aku terpaksa menunduk.

            “Jangan risau pasal Harry. Dia pasti akan balik dan cari Aya nanti...” pujukan Will itu sedikit sebanyak membuatku tersenyum kecil. Tetapi masih pahit.

            “Harry lelaki luar biasa, Aya. Percayalah dia...” Ujar Sam pula.

            “Harry... Harry akan pulang?” soalku. Entah kenapa aku bertanya soalan yang aku sendiri tahu jawapannya.

            “Dia pasti akan pulang...” Sam berkata dengan yakin.

            Aku tersenyum, kali ini lebih tenang. Will dan Sam turut membalas senyumanku. Mereka kelihatan gembira walaupun aku yakin mereka juga turut rasa kehilangan seorang kawan yang beku seperti Harry.

            Setelah mengambil angin di kawasan asrama dengan ditemani dua jejaka kacak Will dan Sam, aku meminta izin untuk pulang. Sudah pasti ayahku mula risau, mujurlah Abang Is sudah mula kuliahnya di sebuah universiti. Kalau tidak aku pasti teruk di marahinya kerana merayau selepas sekolah. Aku tahu abangku sangat marah atas kejadian yang berlaku tempoh hari.

            Sambil melangkah aku mengucapkan selamat tinggal kepada Asrama Putera Emas. Mungkin aku tidak akan kembali lagi ke sini, cukuplah secubit kenangan itu kusisip rapi dalam ingatanku. Aku pasti akan merindui asrama dan sekolah ini...

“Presiden dah pergi dari sini. Ini semua pasti kerana kau, budak pelayan!”

            Jangtungku seperti berhenti berdegup dek kerana terkejut dengan tujahan tanpa salam itu. Aku mengurut dada sambil menoleh perlahan-lahan. Aku lihat tiga orang pelajar perempuan berskirt pendek dengan gaya elegan walaupun berseragam sekolah berdiri dengan angkuh tiga kaki jarak dari tempatku berdiri. Aku berdiri di antara bangunan Asrama Puteri Kristal dan Asrama Putera Emas.

            “Kau buat apa lagi kat sini hah?!” soal cik muda yang berambut kerinting dengan mata yang membulat ke arahku.

            “Saya ada urusan di asrama...”

            “Oh... bila presiden tak ada kau nak cari Senior Ray pulak!” bentak cik muda yang berambut perang yang tinggi lampai itu pula.

            “Maaf... urusan saya tak ada kaitan dengan awak bertiga.”

            “Apa kau panggil kat kita orang? Awak?” cik muda yang berkulit hitam manis itu pula naik berang dengan tiba-tiba.

            “Maafkan saya cik muda sekalian... saya pergi dulu.” aku sebenarnya malas untuk bertekak. Sudahlah aku masih kurang sihat. Aku tiada tenaga untuk berperang mulut. Biarlah... biarlah aku mengalah kali ini.

            “Kau tak boleh pergi selagi tak jawab soalan kami.”

            Langkahku terbejat. Aku kembali memandang mereka dengan senyuman tawar.

            “Soalan apa?” kini aku berada dalam lapangan permainan mereka.

            Serentak mereka ketawa sinis. Memandang aku dengan lagak bengis. Di mana adab tatasusila mereka sebagai cik muda yang seharusnya bersopan santun dan penuh protokol?

            “Tuan Muda Harry... mama dia paksa dia pulang ke luar negara di sebabkan kau kan! Perempuan anak pelayan mana layak damping lelaki macam Harry!!”

            “Kau tahu tak betapa pentingnya presiden di sekolah ni. Sekarang semua dah jadi kelam-kabut disebabkan kau!”

            “Mula-mula Cik Sallyna letak jawatan sebab kau rampas Tuan Muda Harry, sekarang jawatan presiden sekali lagi kosong disebabkan kau jugak! Tahun ini aje dah berapa presiden naik turun jawatan. Setelah apa yang berlaku kau masih boleh tunjuk muka tembok kau tu kat sini!”

            Aku menarik nafas mencari ketenangan dalam ombak yang membadai. Aku tidak mahu meninggalkan memori tidak baik di hari terakhirku menjejak kaki di sekolah elit ini.

            “Saya minta maaf. Saya tak akan datang lagi ke sini.”

            “Bagus la macam tu... kalau kau datang lagi. Kami akan buat laporan! Lagipun kehadiran orang luar tidak di alu-alukan di sekolah ni!”

            Aku memusingkan badan dan terus mengatur langkah dengan sederhana. Aku terdengar suara gelak tawa dan cemuhan mereka di belakang. Aku tidak akan menangis untuk perkara remeh seperti itu. Tidak! Aku ingin melangkah jauh... jauh dari segala memori yang tidak manis. Aku ingin membuka kisah baru dalam hidupku. Biarlah kisahku di sini, Sekolah Tinggi Adam Taylor terkubur di sini juga. Kisahku sebagai Kekasih palsu yang penuh dengan rahsia juga akanku tanam di sini. Harry, Senior Ray, Sam, Will... dan siapapun yang mengenaliku di sini... biarlah semua itu menjadi kenangan laluku. Aku akan melangkah keluar dari pintu pagar sekolah elit ini dengan memori yang kosong! Aku akan tinggalkan segalanya di belakang...

            “Aya... bersemangatlah untuk masa depan!!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience