“Nonsense. Aina saja yang fikir macam tu. Everybody loves you. Aina yang suka menyisihkan diri sendiri. Aina tak dapat, sebab dulu Aina dah dapat lebih lagi. Bab birthday, kalau Aina ada di asrama, macamana nak celebrate? Mama nak hantar kek, Aina tak bagi. Takut kawan ejek kata anak manja. Then, what was there left for us to do? Aina kena bersikap lebih terbuka. Terima Alia sepertimana orang lain boleh terima Alia. Dia bukannya musuh. Aina mendera diri sendiri. Ubah perangai kepada lebih berhemah. You’re a lucky girl. Aina top student di sekolah, berbakat, disayangi kawan-kawan dan guru-guru. And not to mention, the most good looking girl in town. Apa je lagi yang tak cukup? Walid doakan kejayaan Aina dalam SPM nanti.”
Betul juga, bisik hatiku. Tapi janganlah semata-mata kerana aku pernah menghalang Mama menghantar kek ke asrama semasa harijadi aku, lantas aku dinafikan hak untuk mendapat kek dan ucapan pada harijadi yang seterusnya. Adilkah begini? Takkan aku perlu merengek supaya dibelikan kek hazelnut yang aku suka? Aku mahu menjadi matang. Merengek sama sekali tidak mempamerkan kematangan. Jadi, apabila matang setapak lagi, aku tidak perlu diberi perhatian? Sesekali, aku masih mahu bermanja. Masih lagi mahu duduk antara Mama dan Walid, di atas sofa tiga dudukan, setiap kali menonton tv bersama-sama. Aku masih lagi mahu Mama mendandan rambutku yang panjang. Namun itu tidak berlaku. Tidak lagi.
“Walid bangga ada anak macam Aina. Debater sekolah, walaupun duduk di kerusi simpanan saja. Aktif bola jaring, pelari pecut dan pemegang watak utama drama.Walid rasa, tahun depan, buat pertama kali, sekolah Aina tak menang tempat pertama festival drama sebab Aina dah tak berlakon.”
Aku tersenyum. Ada betulnya.
Sejak Tingkatan Satu, aku memegang teraju utama drama. Bermula dengan Puteri Saadong aku bercakap dialek Kelantan pekat menjadi Cik Siti Wan Kembang, Tun Fatimah, Puteri Hang Li Po dan yang paling akhir, Anne Boleyn. Watak yang semakin meningkat tahap kepayahannya. Lebih-lebih lagi sebagai Anne Boleyn. Aku terpaksa menyanyi pic tinggi. Aku terpaksa bercakap Bahasa Inggeris dengan loghat Peranchis, sepertimana Anne Boleyn. Mengenangkan itu, kesedihan aku mula hilang. Empangan pecah tadi sudah dibaiki.
Walid menarik aku rapat kepadanya.
“Janjilah pada Walid yang Aina akan ubah sikap. Cantik wajah dan paras rupa tak ada sebarang makna kalaulah diri tak dihiasi dengan akhlak murni. Kecantikan bukan kekal selamanya tapi budi pekerti, sampai bila-bila dikenang orang. Walaupun sampai jasad dah terkubur. Aina mesti jadi lebih lemah lembut. Jadi lebih penyayang. Kalau kita nak orang sayang pada kita, mula-mula, kita yang kena sayang pada orang terlebih dulu. Hubungan sesama manusia, sifatnya dua hala. Buka pintu hati Aina.
Buat baik pada Alia. Sayangkan dia sejujurnya. Barulah Aina tak rasa sakit. Kadang-kadang, saat yang indah dalam hidup kita, datangnya sekejap sangat. Nikmati saja, sebelum hilang, supaya Aina tak rasa menyesal kemudian hari.”
Aku tersentak. Apa maksud Walid? Saat indah yang datangnya sekejap sahaja? Ada maksud tersirat atau sekadar nasihat dan ingatan ikhlas? Walid orang yang pandai berfalsafah, cekap berhujjah dan mahir dalam komunikasi sesama manusia. Dia pensyarah Anthropology di university di utara semenanjung.
Share this novel