Chapter 9

Mystery Completed 14816

Bab 9

Memang aneh! Surah yang baru dibacanya sebentar tadi meluncur tanpa sedar dari bibirnya. Dia pun tidak pernah membacanya pada sesiapa sebelum ini. Namun mengapa dia tiba-tiba mengucapkan sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya. Segala yang berlaku padanya secara spontan tanpa dipaksa-paksa.

“Setiap orang muslim wajib mengerjakan solat,” beritahu Amalina, seolah-olah mengingatkan dirinya sendiri.

Semalam dia tidak mengerjakan solat. Alasannya penat. Dia teringat dia turut membawa telekung, tetapi apakah dia akan mendirikan solat di situ? Sudah tentu… bisik hatinya menanam keyakinan. Mengapa dia harus mengabaikan suruhan Allah? Di tempat terpencil begini dia seharusnya lebih mengingati dan takut kepada Allah daripada perkara-perkara lain.

“Adalah juga aku bersolat di masjid Kampung Gelugor,” beritahu Leo, tanpa sebarang rasa bersalah, jauh sekali rasa berdosa.

“Seorang muslim dan muslimah wajib mengerjakan soolat lima kali sehari. Subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak. Kau tak tahu ke?”

Leo terdiam lama. Mukanya memandang lidah api yang sedang menjilat kayu.

Semakin lama semakin marak. Abu juga semakin banyak terkumpul di atas pasir. Amalina mengambil kesempatan memandang wajah pemuda itu. Kau memang manusia aneh Leo… bisik Amalina. Aku yakin ada satu misteri yang tidak pernah terhurai. Hanya engkau yang tahu rahsia itu. Dan aku tidak akan dapat menebaknya.

Leo akhirnya menggelengkan kepala hingga rambutnya menutupi muka. Dia tidak mahu bercakap apa-apa lagi tentang agama. Jalan fikirannya tiba-tiba menjadi kelam, segelap lorong yang tidak ditembusi cahaya. Mengapa dia tidak ingat sedikit pun tentang masa lalunya, terutama di saat zaman kanak-kanak. Mengapa? Memori itu telah hilang. Dan dia tidak tahu mengapa dia tidak memiliki kenangan apa-apa…

Leo memandang langit. Terlihat fajar muncul di dada langit yang gelap dan hitam. Perlahan-lahan langit kian bertambah cerah. Amalina bangun lantas meminta diri untuk turun ke sungai. Dia harus merealisasikan apa yang telah dia katakan pada Leo sebentar tadi… Setiap muslim wajib mengerjakan solat walau di mana berada.

AMALINA bersiap-siap. Seluar jean biru gelap dipadankan dengan sehelai t.shirt berwarna kuning terang. Di atas t.shirt itu disarungkan sehelai vest. Dia mengenakan kasut untuk memudahkan pergerakan. Sebotol besar air mineral, sebungkus roti ban beritikan kacang dimasukkan ke dalam sebuah beg sandang. Tidak lupa kompas. Walaupun Leo ada bersamanya, tetapi dia amat takut kepada kemungkinan mereka akan sesat. Dia memikul kamera video di atas bahu. Kamera juga siap diisi dengan segulung filem, disandang di atas bahu.

Leo bergerak lebih dulu. Lelaki itu sedang meranduk air menyeberangi sungai. Kelihatan seluarnya sudah basah kembali.

Mereka berdua mulai berjalan naik ke darat. Leo membuka parang yang tersisip di pinggangnya dan mulai menebas kiri kanan, supaya mudah untuk Amalina meredah semak. Amalina mengikut rapat di belakang Leo. Tubuh lelaki itu tidak berbaju. Di belakangnya tergayut laras senapang.

Mereka kian jauh masuk ke hutan. Kedatangan mereka disambut oleh bunyi pelbagai penghuni hutan. Amalina leka melihat pelbagai spesies burung yang ada di dahan. Seekor burung enggang kelingking sedang bertenggek di atas dahan pokok ara. Memang burung enggang tersebut suka tinggal di kawasan tepi sungai.

Mereka mulai mendaki tebing yang lebih tinggi. Keadaan pokok kayu kayan semakin rapat, namun cahaya matahari yang lembut masih tembus di celah-celah daun. Terdapat pelbagai jenis pokok seperti merbau, meransi, geronggang derum, tualang dan lain-lain. Dan dari celah-celah daun terlihat burung rimba genting, takor api, burung rimba telinga perak dan lain-lain. Amalina tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar-gambar burung tersebut. Video kameranya dihalakan ke arah burung-burung itu. Dia rasa begitu teruja, sehingga tidak sedar Leo sudah jauh ke hadapan meninggalkannya.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah Leo sebenarnya? Kenapa dia tidak seperti orang asli lain?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience