"BAIK, kalau you memang dah kemaruk sangat dengan jantan tu, i akan tunaikan segala permintaan you, Natasha!" Suara keras Tengku Hariz kedengaran nyaring bergema di seluruh pelusuk rumah agam indah itu untuk kesekian kalinya.
Rasa marahnya benar-benar meledak besar saat itu. Terlampau sakit hati dengan sikap Puteri Natasha, namun rasa itu sesungguhnya tidak sebesar rasa marah terhadap kegagalannya dalam mendidik seorang wanita yang bergelar seorang isteri.
'Ya Allah, di mana silapnya aku? Aku gagal!'
Ketika itu, wajah sinis isterinya ditatap dengan penuh tajam. Tiada lagi erti kasih mahupun perasaan simpati yang selama ini semakin subur di hati kerana rasa itu sudah lama berpergian jauh saat wanita itu memijak-mijak ketinggian darjatnya sebagai seorang lelaki yang bergelar suami.
"Memang i dah kemaruk sangat dengan Tengku Amizal. I dah tak tahan hidup dengan you, Hariz. I dah bosan, macam bersuamikan kayu mati. You tak habis-habis dengan kerja you. I you letak tepi je, macam i ni tak ada perasaan." Puteri Natasha juga dengan wajah bengang meluahkan segala rasa yang sudah terpendam sekian lama. Tangannya erat memeluk tubuhnya sendiri. Wajah Tengku Hariz juga dipandang seperti tiada peduli lagi. Umpama sampah yang harus dibuang serta merta, menyemak sahaja di dalam ruang hati.
"You tahu tak, i kerja keras untuk you, untuk Danial, anak kita. You tak nampak ke pengorbanan i selama ni, Natasha?" Tengku Hariz meluah kesal, bengang, kecewa dan sayu. Wajahnya diraup kasar sebelum matanya jatuh ke arah lelaki bedebah yang sedang berdiri di samping isterinya. Jantan yang menjadi punca masjid yang sudah terbina selama ini runtuh mendadak. Namun lelaki itu tetap kelihatan tenang, senyum tidak, marah pun tidak. Hanya tenang dan tetap diam.
Jika hendak mengikut hati marah, mahu sahaja Tengku Hariz menghabiskan nafas lelaki tersebut. Tetapi, akalnya masih waras dan dia juga sedar yang dirinya perlu waras lantaran memikirkan nasib anaknya yang masih terlalu kecil untuk menghadapi situasi seperti ini.
"You sebenarnya tamak, Hariz. You terlalu kejar kerjaya you. I dah tak kisah dah. I tetap nak kita berpisah. I dah tak tahan hidup dikongkong, tak bebas. You ambillah Danial, i tak nak dia sebab i tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan you dan you jangan risau, i akan explain dengan bonda dan walid i tentang kita. I takkan burukkan you. I lebih pilih Amizal. Lagipun kami berdua, dah... terlanjur. I sanggup serahkan apa je untuk dia." Pengakuan Puteri Natasha benar-benar membuatkan Tengku Hariz terpempan habis. Tahap kemarahannya benar-benar sudah memuncak total saat itu.
"Baik kalau tu yang you nak. Puteri Natasha binti Tengku Megat Zamarul, aku ceraikan kau dengan talak tiga! Berambus!" kata-kata itu terungkap dengan penuh yakin namun bersama manik-manik jernih yang kian deras meluncuri bidang pipi kasar Tengku Hariz. Sudah empat tahun mereka melayari hidup sebagai suami isteri, sukar untuknya menyangkal ada rasa cinta di hatinya terhadap Puteri Natasha biarpun ikatan ini berlaku kerana janji orang tua mereka. Namun, semua itu telah terlanjur hancur hanya kerana sesuatu yang bernama nafsu dunia.
Serentak dengan itu juga, Puteri Natasha langsung melebarkan senyuman puas kerana saat ini dirinya sudahpun bebas daripada hidup gila bersama Tengku Hariz.
Tanpa memandang sedikit pun ke arah wajah suci Danial, dia terus melangkah pergi dengan penuh yakin. Seolah-olah tiada langsung jiwa seorang ibu di dalam diri. Memang wajar seperti itu, kerana selama ini, Mak Imah yang lebih banyak mengurus Danial berbanding dirinya yang selalu sahaja tidak betah berlamaan berada di rumah.
Saat itu, Mak Imah yang merupakan seorang pembantu rumah di situ hanya mampu mengalirkan air mata. Tubuh kecil Danial yang baru sahaja berusia beberapa bulan di dalam dakapan, dipeluk erat dengan penuh rasa kasih dan perasaan simpati.
Share this novel
talak 3 trus...
sedih