BAB 1

Family Completed 7206

MATA redupnya merenung tajam pada satu tempat yang agak tersorok. Bibirnya mengukir senyum tipis, lalu dia bangkit dan berdiri tegak.

“Di, aku gi sana kejap…” Bahu Fendi ditepuk perlahan tanpa berkalih seinci pun. Fendi sekadar mengangguk dan Kax terus menapak laju mendekati jasad yang sedang menyembamkan wajah ke lutut. Kening lebat Kax berkerut.

Eh, lain macam aje? Pemerhatian ditajamkan. Pakaian nampak okey. Kalau homeless tak pakai gini gaya. Tanpa berfikir panjang, dia terus mencangkung tepat di depan seorang gadis bertudung.

“Assalamulaikum…” Bahu gadis itu dicuit. Bimbang mengejutkan orang. Tapi, salam tak bersambut. Kax mencebek, pasrah.

“Dik, abang buat kerja amal. Bagi makan pakai pada yang memerlukan…” Satu bungkusan daripada non-woven bag dikeluarkan. Disua pada jasad yang sedang menghela nafas berat. Bahunya nampak terhinggut.

Lama Kax hulurkan tapi sayang tak disambut. Aiseh, tak sudi pulak ke?

“Dik?” Panggilannya masih tak mendapat tindakbalas. Hai… orang nak bantu, tak sudi pulak. Keluhan tipis terlepas daripada celah bibirnya. Balik daripada Australia, Kax tak buat apa. Bila dijemput lakukan kerja amal, dia berbesar hati. Apa yang pasti, dia perlu sabar demi memenuhi amanah ini. Dugaan nak berbuat kebaikan. Dia tahu, tak ada jalan pintas. Ada yang terima dengan syukur dan ada yang terima dengan herdikan. Sabar itu perlu. Emosi gelandangan, kita tak tahu. Sebab tak lalu perkara yang sama.

“Dik, ambiklah makanan ni…” pujuk Kax perlahan. Dia tahu, gadis itu sedang menangis. Dah mula dengar esakan.

“Tak apalah. Abang letak sini, ya?” Lantas, dia letak bungkusan makanan di sisi gadis itu.

Kax bangkit dengan wajah berkerut. Seram pulak tiba-tiba menangis. Silap-silap boleh mengundang syakwasangka. Tapi, bila dia mahu berlalu, hayunan kakinya terhenti.

“Macam mana saya nak hidup macam orang?”

“Err… adik tanya abang ke?” Kax berpaling laju. Keningnya berkerut hebat menerima soalan begitu. Liurnya terasa kasar melalui rengkung.

Dan, bila gadis itu angkat wajah, satu perkataan yang terdetik dalam hati kala menatap bening mata bundar basah itu. Cantik dan comot. Nampak ayu biarpun tudung dah kerenyuk dan tersentuh hatinya melihatkan airmata yang mengalir lesu dengan anak mata bagai meminta belas.

Gadis itu mengangguk. “Saya rasa saya ni macam binatang. Macam bangkai bernyawa. Tak layak dilahirkan jadi manusia…”

Dah pulak? Kax dekati gadis itu semula. Dia duduk mencangkung dan menggariskan senyuman. “Boleh abang tahu nama adik?” soal Kax, ramah.

“Adra…” Gadis itu menjawab sepatah dalam linangan airmata biarpun tiada tangis. Nampak benar emosi cedera parah.

Nama secantik orangnya tapi kenapa boleh tercampak di sini? Hanya Adra dan Allah yang mengerti.

“Okey. Abang nak tanya, kenapa Adra cakap gitu? Kenapa nak samakan diri macam binatang yang tak ada akal? Hrmm?” Bibir Kax koyak dengan senyuman.

Lagipun, memujuk orang jalanan ni, kena ada skill. Kena sabar dan pandai main psikologi. Walaupun dulu, dia belajar architecture.

Airmata Adra masih jatuh. Matanya tunak merenung keredupan mata dan senyuman pada bibir Kax. Dia tak rasa lapar dan dahaga. Dia hanya dahagakan hidup yang diredai.

“Sebab saya terbuang… atas silap sendiri. Tak pernah hargai masa lalu… sebab…” Adra kembali teresak. Dia tunduk menyembamkan wajah ke lutut.

Banyaknya sebab. Kening Kax makin berkerut. Dia tak rasa Adra sepatutnya ada di sini. Mendengarkan pada kata-kata itu boleh jadi Adra tersalah langkah. Nampak macam anak orang senang tapi tak tahulah. Nak kata lari rumah, boleh jadi.

“Adra, pandang abang,” pujuk Kax.

Terus Adra angkat wajah yang basah. Airmata langsung tak diseka.

“Adra kenapa sebenarnya? Cuba cerita?”

Bibir merah basah itu diketap. Adra tak tahu dari mana harus dia mulakan. Hampir seminggu di jalanan, ada yang datang membantu gelandangan tapi baru kali ini dia mampu meluahkan apa yang dia rasa. Dia dah tak mampu hadapi hidup di sini. Dia perlukan sokongan dan bukan terus ditolak ke jalan buntu.

“Salah saya, bang. Saya tak bersyukur. Lepas apa yang mummy dan daddy bagi, saya lupa segalanya. Saya hancurkan kepercayaan mummy dan daddy. Tujuh bulan lebih saya di pusat perlindungan, keluarga tak datang jenguk walaupun sehari. Tapi, saya nak mula hidup baru. Bayi tu tak salah…”

Airmata Adra kian lebat. “Tapi, Allah masih tak terima taubat saya. DIA ambik baby tu lepas dua hari saya bersalin sebab masalah paru-paru. Semangat saya hilang tapi habis pantang, saya balik dengan harapan baru. Keluarga saya pandang hina pada saya. Mana lagi saya nak pergi kalau keluarga sendiri menolak…” Seusai bercerita, Adra kembali menangis. Kawan-kawan juga hilang sekelip mata.

Kax terkedu tapi tidaklah terkejut. Berat tekanan perasaan yang Adra tanggung. Dikuasai rasa bersalah. Dan, ini pertama kali Kax menerima luahan perasaan. Sebelum ini bila dia menasihati, ada yang menempelak tapi dia tetap sabar dan tersenyum. Dugaan mereka, boleh jadi lebih berat daripada kapal selam. Biasa yang homeless ni tak ada keluarga. Ini… hati Kax mengeluh. Adra tak sepatutnya di sini.

Kax raup wajah beberapa kali. Entah jalan apa patut dia ambik. Bangkit dan berlalu tinggalkan Adra? Lepas tangan kerana tugasnya sekadar mengagih makanan? Atau tarik Adra agar timbul daripada terus tenggelam dalam lautan kegelapan? Kerana tangan Adra terkapai-kapai tapi apa yang perlu Adra capai?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience