Pejam celik pejam celik, sudah genap tiga bulan Tiara menetap di rumah Hadi. Walaupun pada mulanya dia agak berat hati untuk duduk di situ kerana menganggap dirinya akan menyusahkan keluarga Hadi.
Tetapi selepas Hadi membawanya ke rumah Puan Balqis dan Encik Irwan, tidak pula dia sampai hati untuk menolaknya. Dan akhirnya dia bersetuju.
Bagi Encik Irwan, dia beranggapan dengan memberi Tiara keizinan untuk tinggal di rumahnya dapat juga dia memudahkan urusan Tiara. Tiara tidak perlu untuk memikirkan soal makan kerana di dalam rumah itu, Tiara dilayan seperti keluarga mereka sendiri.
Sekurang-kurangnya, rasa bersalah yang menyelubungi dirinya dapat dikurangkan sedikit walaupun sehingga ke hari ini Tiara masih tidak tahu menahu tentang hal itu.
Puan Balqis pula sangat gembira dengan kehadiran Tiara di dalam rumah itu.
Seboleh-bolehnya dia akan mencurahkan kasih sayang seorang ibu kepada Tiara supaya Tiara tidak terlalu merasakan kehilangan ibu tercinta nya. Dia tidak pernah merasakan Tiara menyusahkan dia tetapi sebaliknya menyenangkan dia.
Sebelum kehadiran Tiara, hanya Puan Balqis sahaja yang melakukan kerja rumah di rumah itu. Dialah yang memasak, dialah yang mengemas rumah, dialah yang mengemas dapur dan bermacam lagi.
Tetapi sejak Tiara ada, kurang sedikit beban nya. Tiara seorang gadis yang boleh diharapkan. Sekiranya Puan Balqis mengemas rumah, Tiara boleh mengurus kan hal di dapur. Sungguh dia sangat menyenangi kehadiran Tiara.
Hawa juga tidak kurang gembiranya. Selama tiga bulan itu, dia merasakan seperti dia mempunyai seorang kakak. Jikalau sebelum ini dia hanya mencari Hadi tetapi kali ini tidak. Kalau dia mempunyai cerita, dia akan ceritakan pada Tiara.
Kadangkala sampai Hadi pelik sama ada dia ataupun Tiara adik beradik Hawa. Walau bagaimanapun, dia tetap gembira melihat ahli keluarga nya menerima Tiara di rumah besar itu.
Tiara juga sudah mempunyai kereta sendiri. Itupun atas pertolongan Hadi menguruskan hal-hal pembelian kereta. Walaupun hanya mempunyai kereta model Perodua Axia, Tiara tetap bersyukur.
Sekurangnya sekarang dia tidak perlu mengharapkan orang lain untuk membawanya ke mana-mana. Dia boleh membawa dirinya sendiri.
//
Bau masakan rendang daging hasil air tangan Puan Balqis harum semerbak memenuhi ruang dapur. Sesekali Puan Balqis akan mengacau rendang daging yang sedang mereneh di atas dapur gas.
Sementara itu Tiara pula sedang tekun membasuh sayur-sayuran di sinki dapur. Di tangannya, dia sedang membasuh kobis manakala di sebelah kanan nya terletak besin yang berisi kacang panjang, lobak merah dan sengkuang cina.
Semua bahan-bahan itu hendak dibuat kuah lontong. Selesai sayur-sayuran itu dibasuh, Tiara mula memotong semua bahan itu di meja apabila Puan Balqis yang sedang berada di hadapan kuali rendang tiba-tiba bersuara.
"Tiara, sebenarnya daripada dulu mak cik nak tanya sesuatu dengan Tiara. Tapi maklumlah, mak cik ni dah tua. Asyik terlupa je. Ni dah alang-alang kita berdua ni, mak cik nak tanya lah"
Tangan Tiara yang sedang memotong lobak merah terhenti. Dia meletakkan pisau di atas papan pemotong sebelum memalingkan wajahnya memandang Puan Balqis.
"Tanya je lah mak cik. Mak cik tak payah nak mintak kebenaran ke apa. Tanya je terus. Apa soalan mak cik tu?" soal Tiara, lembut.
"Sebenarnya Tiara ada adik beradik tak? Mak cik bukan apa, saja lah nak tahu pasal Tiara. Sebab selama Tiara dekat sini, Tiara tak ada lah pulak sebut pasal adik beradik Tiara"
Buat seketika waktu, Tiara terkedu dengan soalan yang ditujukan oleh Puan Balqis. Wajah abangnya terus meluncur di kotak fikiran nya.
Tiara membasahkan bibir nya kemudian menggigit bawah bibir.
"Ada. Tiara ada seorang abang" Lambat Tiara membalas.
Riak wajah sedikit terkejut terpamer di wajah Puan Balqis. Dia tidak pernah tahu bahawa Tiara ada ahli keluarga yang lain.
Api di dapur gas ditutupnya kemudian langkahnya menuju ke arah sebelah Tiara.
"Kenapa Tiara tak pernah cakap dekat mak cik sebelum ni? Sekarang ni, abang Tiara dekat mana? Dia tahu tak yang Tiara tinggal dekat sini?" tanya Puan Balqis, masih lagi terkejut.
"Err..."
Sungguh, ketika itu Tiara kehilangan kata-kata nya. Dia tidak tahu apa yang sepatutnya dia katakan. Tiara berbelah bahagi.
Sama ada dia perlu berbohong kepada orang yang menolongnya selama ini ataupun hanya berterus terang tentang keberadaan abangnya ketika itu. Tentang abangnya yang sedang menjalani hukuman penjara.
Buat seketika waktu, Tiara buntu. Dalam tidak sedar, dia membuka mulut nya untuk menjawab soalan Puan Balqis. Apa yang akan dikatakan oleh nya, dia tidak tahu.
Tetapi, tidak sangka tiba-tiba muncul satu suara yang seolah-olah menolong nya daripada 'pergelutan' itu.
"Argh! Adoi!"
Secara automatik kepala Puan Balqis dan Tiara berpaling untuk melihat punca jeritan itu.
Tidak menunggu lama, Puan Balqis berjalan keluar dari ruang dapur dan dia mendapati Hadi sedang berdiri sambil memegang jari kakinya di tepi meja makan. Wajahnya jelas menunjukkan yang dia sedang kesakitan. Ataupun hanya dibuat-buat.
"Ikhwan dah kenapa ni?" soal Puan Balqis sambil berjalan mendekati anak lelaki nya.
Tiara pula hanya melihat dari ruang dapur sahaja.
Hadi menarik kerusi meja makan lalu duduk di atasnya. Tangannya masih lagi memegang jari kakinya.
"Tadi Ikhwan tersepak kaki meja ni. Tak guna betul meja ni"
Sebaik sahaja mendengar jawapan Hadi, air muka Puan Balqis terus berubah. Dia memandang Hadi dengan pandangan yang tajam.
"Meja ni elok je ada dekat sini daripada dulu. Kaki Ikhwan itu yang melayang ke sana melayang ke sini. Umu ingat apa benda lah tadi" kata Puan Balqis kemudian kembali semula ke dapur.
Hadi yang masih duduk di kerusi dibiarkan sahaja.
"Umi, kaki Ikhwan sakit ni umi. Umi relax macam tu je?" Hadi mempamerkan riak wajah tidak percaya.
"Alah, setakat tersepak kaki meja je. Bukannya kena lenyek dengan tayar lori. Tak payah nak mengada" jawab Puan Balqis dari dapur.
Melihatkan tiada apa yang penting, Tiara kembali duduk di meja dan sambung memotong sayur sayuran.
Seminit kemudian, dia melihat Hadi memasuki dapur sambil matanya melilau melihat keadaan sekeliling.
Hadi melihat Tiara sedang duduk di meja bersama dengan sayuran yang ingin dipotong kemudian dia berjalan ke arah uminya yang memantau nasi impit yang sedang direbus.
"Erm, Hawa mana umi?" soal Hadi tiba-tiba.
"Kan dia tengah tengok tv dekat ruang tamu tu. Masa Ikhwan datang sini tak nampak ke dia tengah duduk dekat sofa?" Puan Balqis memandang Hadi sekilas pandang.
Hadi seolah-olah tersedar. Dia menggosok belakang tengkuk nya.
Melihatkan Hadi masih lagi tercegat di situ, Puan Balqis menjadi pelik. Sama seperti Puan Balqis, Tiara juga merasakan perasaan yang sama.
Tetapi, Tiara tidak mengambil kisah sangat tentang tingkahlaku Hadi itu. Sekurang-kurangnya, kehadiran Hadi itu menyelamatkan dirinya daripada menjawab soalan Puan Balqis.
"Ini dah kenapa tiba-tiba je datang dapur ni? Lapar lah tu. Selagi tak lapar, tak ada lah nak datang jenguk apa yang jadi dekat dapur ni"
Hadi tersengih seperti kerang busuk. Betullah apa yang dikatakan oleh uminya itu. Perutnya sudah lapar dan minta diisi.
"Haah. Lapar lah umi. Umi masak apa? Dari jauh tadi bau macam rendang. Betul ke ada rendang?" Hadi meninjau isi kandungan kuali yang terletak di atas dapur gas.
"Iya, umi masak rendang daging. Itu, Tiara tengah potong potong sayur nak buat kuah lontong" kata Puan Balqis. Jarinya menunjuk ke arah papan pemotong yang digunakan oleh Tiara.
Tiara hanya diam membisu sahaja sambil memerhati perbualan di antara dua beranak itu.
"Wah! Dah macam hari raya. Ada rendang, ada lontong. Padahal raya dah lepas dah. Ketupat, lemang dengan kuah kacang tak ada?"
"Banyak cantik. Kalau nak berlemang, ketupat bagai pergi start enjin kereta tu lepas tu pergi beli sendiri. Ingat ni malam raya ke nak ada lemang? Dah lah, Ikhwan pergi lah keluar. Biar umi dengan Tiara je buat kerja dekat dapur ni. Kalau Ikhwan dekat sini, bukan nya menolong. Lagi melambatkan kerja ada lah" Puan Balqis menolak lembut badan Hadi supaya keluar dari ruang dapur kemudian dia menuju ke arah sinki untuk membasuh daun kunyit untuk dimasukkan ke dalam rendang daging nya.
"Alah, tak apa lah. Kalau ada apa-apa kerja ke, biar Ikhwan tolong. Lagipun umi asyik cakap yang Ikhwan tak tolong dekat dapur. Kali ni biar Ikhwan tolong jugak" kata Hadi sambil menggosok telapak tangannya menunjuk kan dia bersedia untuk menolong apa yang patut.
Puan Balqis malas untuk menyuruh Hadi keluar dari dapur jadi dia hanya membiarkan sahaja Hadi disitu.
"Suka hatilah. Tolong tengokkan rendang ni. Jangan bagi hangus. Sesekali kacau rendang tu"
"Tengok je kan?"
"Iya" balas Puan Balqis
"Okey"
Tiara yang sedari tadi hanya diam menggeleng perlahan kepalanya melihat Hadi.
"Apa kena lah dengan mamat ni?" bisik hatinya.
//
Tiara yang sedang leka melihat langit malam yang dihiasi bintang dan bulan sedikit terkejut apabila melihat Hadi tiba-tiba berada di sebelah nya.
"Kau ni! Terkejut aku. Aku ingat siapa lah tadi" marah Tiara dengan suara yang perlahan.
"Siapa lagi lah pulak. Kau ingat rumah ni ramai sangat ke penghuni dia? Ingat rumah kebajikan?" gurau Hadi.
"Diam lah kau. Kenapa ni kau dekat sini?"
"Sepatutnya aku yang tanya soalan tu dekat kau. Kau buat apa malam-malam dekat luar ni? Tahu tak dah pukul berapa sekarang?" tanya Hadi
"Baru pukul 9 malam. Tak lewat pun lagi. Bukan nya pukul 4 pagi. Aku saja je duduk luar ni. Bosan. Tak tahu nak buat apa. Lagipun bulan malam ni cantik. Itu yang aku tengok tu"
Tiara menyilangkan tangan sambil memandang ke hadapan. Angin malam yang sejuk menerpa tubuhnya.
"Cantik ke bulan? Aku tengok biasa je macam hari-hari sebelum ni. Tak ada beza pun" Hadi mendongakkan kepalanya memandang bulan yang berada di langit.
Tiara menoleh kepalanya dan memandang Hadi dengan pandangan yang tajam.
"Kau tu yang tak pandai menghayati keindahan alam. Cuba kau tengok betul-betul bulan tu. Cantik tau. Bukan selalu kita dapat tengok bulan purnama. Walaupun bulan tu jauh daripada kita, tapi kita masih dapat tengok kecantikan dan keindahan bulan tu. Tambah pula bulan tu berlatarbelakangkan langit yang indah. Memang cantik ciptaan Allah" kata Tiara sambil memandang ke arah bulan.
Hadi mengerutkan dahinya. Dia memandang wajah Tiara yang sedang asyik melihat langit.
"Hoi! Kau nak jadi pengkaji bulan ke malam ni? Kenapa kau tiba-tiba bermetafora dengan aku?"
Tiara menurunkan kepala nya daripada melihat bulan dan memandang Hadi dengan pandangan tidak puas hati.
"Kau ni kenapa. Sibuk lah kacau aku. Aku nak tengok langit dengan tenang pun tak boleh. Kau tak ada kerja ke sampai nak sibuk kacau aku ni?" soal Tiara.
Pada awalnya, elok sahaja dia seorang diri menikmati keindahan langit malam itu. Tiba-tiba pula datang seorang yang tidak diundang nya.
"Haah. Aku tak ada kerja. Aku pun macam kau jugak, bosan"
Tiara tidak mempedulikan Hadi sebaliknya hanya diam membisu. Yang peliknya, Hadi juga turut diam dan masih lagi berdiri di sebelahnya.
Semasa Tiara sedang leka berada dalam dunia sendiri, tiba-tiba dia teringat kan suatu perkara.
"Hadi" panggil Tiara.
Hadi menoleh kepalanya ke arah Tiara.
"Aku lupa nak cakap terima kasih dekat kau sebab kau macam dikira tolong aku masa dalam kesusahan hari tu" kata Tiara.
Terkebil-kebil mata Hadi dibuatnya setelah mendengar kata-kata Tiara. Dia ni dah kenapa?
"Apa yang kau mengarut ni? Kesusahan yang mana ni?" tanya Hadi, tidak mengerti dengan apa yang dikatakan oleh Tiara.
"Ingat tak ada satu hari tu yang kaki kau tersepak kaki meja? Lepas tu kau volunteer diri kau untuk tolong masak. Ingat tak?" soal Tiara dengan harapan lelaki itu mengingati hari itu.
"Ingat. Kenapa?"
"Kau tahu tak sebelum kaki kau tersepak kaki meja, mak kau ada tanya aku pasal adik beradik aku. Aku cakap lah, ada seorang abang. Lepas tu, kau faham-faham lah apa yang mak kau tanya. Mana abang aku? Aku waktu tu tak tahu nak cakap apa. Otak aku waktu tu tiba-tiba berhenti berfungsi. Tapi sebelum aku dapat jawab tiba-tiba je kau mengerang. Lepas je tu, mak kau terus lupa pasal tu. Jadi dekat sini aku nak cakap yang kau tolong aku sebab aku tak payah nak menipu mak kau atau apa-apa je lah. Kau dengar tak aku cakap ni? Mengelamun pulak dia" Tiara melayangkan tangannya di hadapan muka Hadi apabila dia melihat Hadi seperti tidak mendengar apa yang dikatanya.
"Dengar. Aku tahu lah" Hadi melihat Tiara sekilas pandang.
"Tahu apa?" Tiara mengerutkan kening nya.
"Aku tahu pasal soalan mak aku bagi dekat kau tu" kata Hadi selamba sambil memasukkan kedua-dua tangan ke dalam poket seluar.
"Kau tahu?! Kau dengar ek?"
"Iya. Waktu tu aku memang nak masuk dah dapur tiba-tiba aku terdengar. Kaki aku tu pun memang tersepak kaki meja. Yang aku tiba-tiba rajin tolong tu pun sebab aku nak mak aku lupa pasal soalan tu. Alah, tak ada benda lah. Benda kecil je"
Terlopong mulut Tiara mendengar kata-kata Hadi.
"Serius lah Hadi? Thank you! Waktu tu aku memang tak tahu nak jawab apa. Kau memang penyelamat aku"
Kembang kempis hidung Hadi mendengar pujian daripada Tiara.
"Tahu tak apa. Dah lah, kau pergi masuk rumah. Dah pukul berapa ni" kata Hadi sambil menggerakkan kepalanya ke arah rumah.
"Okey. Once again, thank you" Tiara menguntumkan senyuman lebar buat Hadi sebelum berlalu pergi masuk ke dalam rumah.
"Anytime, Tiara" jawab Hadi perlahan.
Seketika kemudian, Hadi memandang bulan yang sedang bersinar terang di langit. Baru sahaja sebentar tadi, Tiara mengatakan yang bulan cantik malam ini.
"Betul cakap Tiara. Bulan cantik sangat malam ni" bisik Hadi dengan senyuman kecil.
thankyou sebab sudi bace ( ◜‿◝ )♡ sorry atas kekurangan and sorry for late update :(:(
Share this novel