Bab 1

Drama Completed 172814

BUNYI keletang-keletung yang terhasil daripada ketukan tukul dan mesin-mesin di dalam bengkel itu sudah lali kedengaran di telinga. Bau pelbagai jenis minyak juga sudah lali keluar masuk melalui rongga hidungnya. Baju t-shirtnya sudah lencun dibasahi peluh yang tidak henti-henti keluar dari setiap liang roma di seluruh tubuhnya.

Kipas kecil sebesar tapak tangan yang mengipas menghadapnya tidak memberi kesan langsung terhadap sekujur tubuhnya yang sedang terjemur di bawah panas matahari terik di kaki lima bengkel ditemani dengan radio kecil berantena panjang dan runcing yang sedang memutarkan lagu rock 90an.

"Ira! Ira!" laung satu suara dari dalam bengkel namun suara radio yang terlalu kuat, menenggelamkan suara si pemanggil.

"Syaira!" tempikan suara garau berkekuatan 90 desibel itu membuatkan kedua-dua bahunya terenjut kerana terkejut.

Dengan pantas dia menekan punat OFF di radio kecilnya lalu berdiri dan memandang seraut wajah yang sedang mencerlungnya dengan seribu kerutan di dahi. Mungkin kerana marah beberapa kali panggilannya tadi tidak bersahut.

"Sorry, sorry, tak dengar," ujarnya lalu membuka topeng muka dan menggaru kepalanya yang tidak gatal disertai dengan sengihan.

"Mana nak dengar kalau suara radio macam suara orang buat konsert. Lambat lagi ke nak siap? Customer dah call tadi tanya," soalnya sambil membelek enjin motosikal yang sudah separuh siap dipasang itu.

"Hari ni tak sempatlah Abang Dol. Tengahari esok baru boleh siap. Ni pun dah jam berapa dah ni. Saya belum rehat lunch pun lagi ni bang. Customer tu baru je hantar pagi tadi kan? Apa lah customer ni pun! Ingat nak overhaul enjin macam nak sambung lego ke?" jawabnya dengan rasa sebal.

Peluh yang mengalir di tepi wajahnya dikesat dengan belakang tapak tangan meninggalkan sedikit kesan minyak kotor yang terpalit di pipinya.

"Hm, ye lah. Kenapa tak pakai topi? Panas kat luar. Buat kat dalam je lepas ni. Motosikal tu, alih kat tepi supaya kau boleh buat kat situ nanti. Kau rehat makan dulu, dah siap makan terus sambung balik. Tu ha, banyak lagi motosikal nak kena repair tu," kata Dollah, pemilik bengkel itu lalu masuk semula ke dalam untuk membereskan bahagian tugasnya pula.

- - - - - - -

"Thanks Dil," ucap Syaira lalu turun dari motosikal dan membuka topi keledar.

"Takde hal lah. Esok awal tau. Abang Dol dah bising-bising dah dengan aku tadi pasal aku terlupa nak pasang head lamp customer yang tiga hari lepas punya lagi," ujar Aidil lalu menyambut topi keledar yang Syaira hulurkan kepadanya.

"Ya, aku tau. Aku selalu awal lagi tunggu kau kat depan ni tau! Kau tu yang selalu lewat, bukan aku," balas Syaira disusuli dengan cebikan.

"Okay, okay! Kali ni aku sampai sini sebelum matahari terbit," kata Aidil lalu tersengih.

"Okay, kita tengok esok." Syaira mencabar sambil menghalakan jari telunjuk ke wajah Aidil.

"Dahlah, aku masuk dulu," kata Syaira lalu melangkah menuju ke rumah papan yang tidak bercat itu.

Syaira berdiri di hujung tangga sambil merenung ke arah pintu masuk. Kalau diikutkan rasa hati, dia tidak ingin lagi tinggal di rumah itu, namun dia tiada pilihan buat masa sekarang. Hanya itu sahaja rumah tempat dia berteduh dan berlindung daripada hujan dan panas. Setiap anak tangga didaki dengan langkah kaki yang berat dan malas.

"Hah! Balik pun! Kau dah kena bayar gaji kan? Gas kat dapur dah nak habis dah tu. Makanan kat peti pun ada tinggal sikit lagi!" sergah satu suara lantang di ruang tamu.

"Belum lagi mak. Gaji minggu lepas Ira dah guna untuk bayar yuran kolej," jawabnya dengan reaksi tenang. Wajah Puan Alimah yang sedang duduk di atas kerusi malas di ruang tamu itu di pandang dengan pandangan kosong.

"Aku tak percaya! Tiap minggu si Dollah tu kasi kau duit upah kan? Kau nak tipu aku?!" Puan Alimah menempelaknya lalu berdiri dan merentap beg silang yang bersandang di bahunya dengan kasar dan mula menyelongkar setiap ruangan beg itu.

"Hah! Ni apa?! Ni apa?! Kau nak menipu lagi?! Nak tunggu bapa kau kasi duit, sempat kebulur lagi aku dua beranak! Hei, budak! Rumah ni bapa kau dah tukar atas nama aku kalau kau nak tahu! Kau patut bersyukur aku bagi kau tinggal sini lagi tahu! Kalau bukan sebab bapa kau yang membela kau sangat, aku dah lama halau kau dari sini tahu tak?!" tengkingnya lalu menggenggam sekeping wang kertas 50 ringgit yang diambil dari dalam beg Syaira lalu mencampakkan begnya ke atas lantai.

"Mak, tu duit Ira nak beli buku untuk kelas lusa ni lah mak," ujarnya sambil mengetap gigi menahan perasaan.

"Siapa mak kau?! Kau kerja kat bengkel si Dollah tu kan? Hah! Kau kerja lah lagi kuat-kuat untuk beli buku kau tu!" jawab Puan Alimah sambil memandangnya dengan pandangan ekor mata lalu melangkah menuju ke bilik.

"Mak." Elena, anak kandungnya yang baru keluar dari bilik, memanggil.

"Hah! Ni duit untuk Lena beli mekap yang Lena nakkan tu," kata Puan Alimah lalu menghulurkan duit kertas yang diambilnya dari beg Syaira tadi.

"Wah! Terima kasih mak! Sayang mak!" ucap Elena lalu memeluk ibunya dengan senyuman lebar sampai ke telinga. Sempat lagi Elena mencebik dan menjeling ke arah Syaira sebelum masuk semula ke dalam bilik.

Syaira melepaskan keluhan sambil mengusap rambut pendeknya ke belakang. Begnya yang dicampak di atas lantai tadi diangkat sambil merenung tajam ke arah bilik dua beranak itu. Kedua-dua tangan mengepal penumbuk sambil menutup matanya beberapa saat menahan marah.

"Eh, Ira dah balik rupanya," tegur satu suara garau dari belakang.

Syaira lantas menoleh ke belakang dan melempar senyuman ke arah ayahnya yang sedang duduk membuka kasut di kerusi panjang di kaki lima.

"Ayah nak air?" soal Syaira. Wajah keletihan ayahnya dipandang dengan rasa simpati.

"Takpe lah Ira. Ayah terus nak mandi, nak asar. Dah nak masuk maghrib ni, takut tak sempat," jawab Encik Radin lalu melangkah masuk ke dalam dan melepasi Syaira menuju ke bilik.

Syaira hanya mengiringi langkah ayahnya dengan pandangan mata sehingga ayahnya menghilang di sebalik pintu bilik. Keluhan diluahkan buat kesekian kalinya.


- - - - - - -

Angin malam yang datang bersama hujan lebat, terasa dingin sekali menerpa di kulit wajah dan tangannya yang terdedah, namun ia tidak mendatangkan gigilan di tubuhnya. Bunyi katak di sana-sini bergema kuat bersahutan menenggelamkan bunyi cengkerik malam, mungkin kerana gembira menerima rahmat yang turun mencurah-curah ke bumi ketika ini.

Pandangannya lurus ke arah jalan raya yang disinari lampu jalan, membolehkan dia melihat wap haba bumi naik tersejat ke atas menyejukkan bumi yang terjemur dek panas terik sinaran matahari siang tadi.

Fikirannya yang kusut, sedikit demi sedikit terasa tenang mendengar bunyi hujan yang jatuh mencurah-curah menimpa zink rumah yang rasanya ibarat terapi yang mengasyikkan dan menenangkan jiwa.

Setiap hari, ada sahaja ulah ibu tiri dan kakak tirinya yang membuatkan tekanan darahnya naik, namun dia sudah lali. Lali dengan segala perlakuan dan percakapan dua beranak itu walaupun adakalanya, ingin di smackdown kedua-duanya sekali.
Kalau dulu, setiap hari dia akan menangis mengenangkan cara dia dilayan di dalam rumah itu sehinggakan dia pernah terfikir untuk bunuh diri kerana berasakan dirinya tidak layak hidup di dunia ini. Mujur sahaja akal sihatnya masih mampu berfikir dengan waras, jadi dia memilih untuk berjuang meneruskan hidup.

"Ira?" Encik Radin memanggil dari belakang membuatkan Syaira terus berpaling memandangnya.

"Ya ayah?" segaris senyuman pendek dilakarkan buat ayahnya yang tersayang.

"Kenapa tak tidur lagi? Esok takde kelas ke?" soal Encik Radin lalu mengambil tempat duduk di sebelahnya di atas kerusi panjang.

"Lusa baru ada kelas." ringkas dia menjawab.

Encik Radin meraup wajahnya sambil melepaskan satu keluhan panjang. Wajah anaknya ditatap dengan perasaan serba salah yang menggunung. Sejak dia berkahwin dengan isteri barunya enam tahun lepas, Syaira semakin kurang bercakap, melainkan ada hal yang benar-benar mustahak.

"Keperluan belajar semua cukup? Bila kena bayar yuran?" soalnya lagi.

"Cukup, yah. Yuran pun dah bayar, jangan risau," jawab Syaira dengan secalit senyuman di bibir.

"Kerja macam mana? Okey?"

"Okey. Semua okey, ayah tak payah risau okey?" jawabnya sambil memandang seraut wajah tua di depannya.

Jeda. Suasana sepi. Hanya kedengaran sisa-sisa rintikan hujan di atas zink yang kian mereda.

"Ayah masuk dulu. Jangan tidur lewat. Ni duit belanja Ira untuk bulan ni," kata Encik Radin lalu memegang tangan Syaira dan meletakkan beberapa keping duit kertas 50 ringgit di atas telapak tangannya.

"Eh! Ayah, tak perlu. Ira ada duit lagi. Ayah bagi je kat mak okey?" ujarnya lalu cuba menyerahkan semula wang itu kepada ayahnya, namun ayahnya menolak.

"Kalau macam tu, guna bila perlu. Untuk mak, ayah dah bagi tadi. Ira masih tanggungjawab ayah. Simpan duit tu elok-elok. Ayah masuk dulu," kata Encik Radin lalu melangkah masuk ke dalam rumah.

Syaira merenung duit di tangannya lalu melepaskan satu keluhan. Itulah sebabnya dia berguru dengan Dollah dalam bab membaiki motosikal dan membuat keputusan untuk bekerja sambilan di bengkel, kerana dia tidak mahu menyusahkan ayahnya lagi.

Hanya di situ sahaja tempat kerja yang dia tahu boleh membayar gajinya secara mingguan dan agak lumayan kerana bengkel itu selalunya penuh kerana sering menjadi tumpuan. Tambahan pula, Dollah yang berusia pertengahan 40an anak tiga itu merupakan orang sekampungnya juga dan agak rapat dengan ayahnya.

Apa lah sangat pendapatan ayahnya yang mengambil upah sebagai penombak kelapa sawit. Belanja ibu dan kakak tirinya sahaja setiap bulan tidak setara dengan pendapatan ayahnya. Duitnya lah yang selalu menjadi sasaran dua beranak itu jika wang yang diberikan oleh ayahnya habis digunakan oleh mereka.

Syaira meraup kasar wajahnya lalu masuk ke dalam rumah.

* * * * * * * * *

"Kau dah siap ke assignment yang Prof. Badriyah suruh buat tu?" soal Rania, satu-satunya orang yang paling rapat dengannya di kolej itu. Lengan Syaira dipaut sambil berjalan menuju ke perhentian bas di luar pagar kampus.

Rapat pun sekadar kawan ke kafe dan kawan bertukar pendapat dalam pembelajaran sahaja. Tidak pernah walau sekali pun Syaira menceritakan hal peribadinya dengan Rania. Entah kenapa Rania suka berkawan dengannya. Sudahlah cantik, peramah, kaya pula tu dan Syaira sayangkan sahabatnya itu.

"Dah. Aku dah hantar dah pun," jawab Syaira sambil memandang setiap langkah kakinya dan lebih tepat lagi ke arah kasut berjenama All Star yang bersarung di kakinya.

"Tak bagitahu pun! Boleh kita hantar sama-sama," kata Rania dengan bibir yang dimuncungkan sedepa.

"Kau tak tanya pun," balas Syaira bersahaja dengan senyuman nipis yang terukir di bibir.

Mereka tiba di perhentian bas di luar pagar kampus lalu mengambil tempat di bahagian kerusi panjang yang masih kosong.

"Apa tengok-tengok? Ada masalah ke?!" Rania menjerkah sekumpulan tiga orang pelajar perempuan yang sedang berbisik-bisik sesama sendiri sambil memandang ke arah mereka.

"Eh! Kau dah kenapa ni? Rilekslah!" kata Syaira dengan suara separuh berbisik sambil menyiku lengan Rania.

"Diorang mengata kitalah!" balas Rania sambil menjeling ke arah sekumpulan pelajar tadi.

"Biar je lah. Lainlah kalau diorang pukul. Kalau tu, memang aku smackdown teruslah," kata Syaira serius.

"Hisy!" Rania mendengus sambil berpeluk tubuh dengan bibir yang dimuncungkan kerana tidak berpuas hati.

Beberapa minit kemudian, sebuah kereta Toyota Vellfire putih bercermin gelap berhenti di depan mereka.

"Jom!" kata Rania lalu menarik tangan Syaira.

"Eh, takpe, kau pergilah. Aku naik bas je," kata Syaira menolak pelawaan Rania. Segan.

"Kau ni! Setiap kali aku ajak balik sekali, mesti kau tak nak. Kali ni no excuse! Jom!" kata Rania lalu menarik paksa tangan Syaira.

"Tengok tu! Dalam ramai-ramai lelaki kat kampus ni, lelaki jadian tu juga yang dia nak," kata satu suara yang sempat tertangkap di telinga Syaira, namun dia membiarkan sahaja kata-kata itu seperti angin berlalu.

- - - - - - -

"Kau tak penat ke balik dari kelas terus tembus kerja?" soal Aidil sambil mengumpil tayar motosikal dan sesekali memandang Syaira yang sedang tekun memasang semula satu per satu alat ganti pada motosikal yang sedang dibaikinya.

"Tipulah kalau aku cakap tak penat kan? Tapi nak buat macam mana juga, aku tak nak susahkan ayah aku lagi. Kalau aku tak kerja sini, mana aku dapat biaya kos aku belajar? Nanti sampai ke tua aku tak dapat sambung belajar," jawab Syaira tanpa memandang Aidil kerana tidak mahu tersalah langkah dalam membuat kerja.

"Alaa, muda lagi. Umur baru 24 tahun pun. Hujung tahun ni kau habis belajar dah kan? Ada lima bulan lagi. Nanti dapat kerja yang lebih elok, dah tak perlu kau susah-susah macam ni lagi. Kalau aku kaya kan, dah lama aku kahwin dengan kau. Kau tak payah kerja, tak payah masak. Aku layan kau macam ratu," kata Aidil lalu ketawa.

"Siapa cakap aku nak kahwin dengan kau? Nanti kan orang cakap kau gay pula. Tak takut ke kena ejek?" kata Syaira lalu turut ketawa.

"Diorang apa tahu?" balas Aidil yang masih dengan sisa tawanya.

Sedang khusyuk melakukan kerja sambil bersembang, mereka dikejutkan dengan bunyi tayar kereta terseret di jalan raya yang di brek secara mengejut di depan mereka. Seorang lelaki muda memakai baju kemeja berwarna hitam berlengan pendek keluar dari kereta lalu menghempas kuat pintu keretanya.

"Mana bos korang?!" lelaki itu menyoal kasar sambil melilau memandang ke sekeliling.

Syaira dan Aidil saling berpandangan lalu Aidil berdiri dan menghampiri lelaki tadi.

"Err, maaf bang, bos keluar sekejap ambil barang kat pejabat pos," kata Aidil sopan.

Syaira meneruskan kerjanya kerana dia kena siapkan kerjanya hari ini juga. Bersusun lagi motosikal lain yang perlu dibaiki. Semakin banyak yang dibaikinya, makin banyaklah dia dapat.

"Kau, bagitahu bos kau, buat kerja tu jangan berlengah! Runner aku dah seminggu tak masuk kerja sebab alasan motosikal masih kat bengkel ni tahu tak?!" lelaki itu menengking tepat di depan muka Aidil sehingga Aidil dapat merasakan ada percikan air liur memercik di wajahnya.

"Maaf bang. Buat masa ni, bengkel tak cukup kakitangan sebab dua orang pekerja baru berhenti minggu lepas. Tapi takpe, yang mana satu motosikal pekerja abang tu, saya repair sekarang juga," kata Aidil sedikit tergagap.

Berdasarkan penampilan dan kereta yang dibawa oleh lelaki itu, dia kelihatan sepertinya dari kalangan orang senang.

Lelaki itu melilau ke sekeliling mencari motosikal pekerjanya dan pandangannya terhenti ke arah motosikal yang sedang dibaiki oleh Syaira. Syaira kelihatan santai melakukan kerjanya dan tidak mempedulikan tempikan lelaki itu sejak tadi.

"Hah! Tu!" kata lelaki itu lalu berjalan menuju ke arah Syaira.

"Hoi! Lembab! Buat kerja cepat sikit boleh tak?! Kenapalah bos korang ambil juga pekerja lembab macam ni?!" lelaki yang sudah berdiri di belakang Syaira mengherdiknya sambil bercekak pinggang.

Syaira mengetap gigi. Penumbuknya dikepal geram lalu dia berdiri dan berpaling menghadap lelaki itu.

"Cakap elok-elok boleh tak?!" soal Syaira sambil merenung tajam mata lelaki itu. Spanar di tangan kanannya digenggam erat.

Lelaki itu kelihatan sedikit terkejut selepas mendengar suara Syaira.

"Eh! Perempuan rupanya. Ingatkan budak jantan tadi. Patutlah lembab! Baik kau duduk kat rumah belajar masak je! Tempat ni bukan untuk perempuan lembik macam kau, faham?! Kau siapkan motor tu sekarang juga! Lembik!" cemuh lelaki itu dengan perkataan terakhir yang sengaja ditekankan.

Syaira merasakan seperti ada haba panas di dalam tubuhnya yang sedang naik ke kepala. Berombak-ombak dadanya kerana terlalu marah.

"Ira! Steady, relax," kata Aidil separuh berbisik sambil menyiku lengan Syaira, namun Syaira seakan tidak mendengar. Telinganya sudah berdesing akibat perasaan marahnya yang sedang meluap-luap.

Tanpa diduga, Syaira menolak kedua-dua bahu lelaki itu membuatkan lelaki itu terundur dua tapak ke belakang.

"Mari sini aku tunjuk kat kau, apa yang dimaksudkan dengan lembik!" Syaira mengherdiknya sambil menghalakan spanar boleh laras di depan muka lelaki itu dengan renungan tajam.

"Kau!" kata lelaki itu dengan jari telunjuk yang dihalakan ke wajah Syaira. Rahangnya kelihatan bergerak-gerak menahan marah.

"Ira!" Aidil memanggilnya lagi dengan suara berbisik yang ditekankan sambil menarik bahunya, namun Syaira menepis kasar tangannya.

"Kau dengar sini, kambing! Motor ni baru je kena hantar petang kelmarin masa bengkel dah nak tutup kalau kau nak tahu! Kau pergi jumpa dengan pekerja kau tu, tanya betul-betul! Lain kali, datang ke tempat orang, bagi salam dulu. Kambing macam tu lah! Tak reti nak bagi salam!" tengking Syaira lalu menolak bahu lelaki itu sekali lagi kerana terlalu geram. Kalau diikutkan hati, mahu di spanarnya sahaja mulut lelaki itu, biar tahu rasa.

Selepas mendengar penjelasan Syaira. Lelaki itu terbungkam seribu bahasa menyedari akan keterlanjurannya yang main terjah sahaja. Giginya diketap kuat. Lelaki itu mendengus kasar lalu menuju ke keretanya. Berdecit bunyi tayar keretanya yang dipecut menggunakan gear satu itu.

Share this novel

DHIA AMIRA.
2022-09-05 09:42:27 

adan uke

DHIA AMIRA.
2022-09-05 09:42:20 

hah kan dh dpt kambing


NovelPlus Premium

The best ads free experience