BAB 3

Romance Completed 4317

“Wah! Ini yang buat aku jealous ni,” sahut Nita. Tak semena-mena dia yang terlebih teruja.

“Kau kenal?” tanya Dahlia. Nasi goreng di dalam pinggan disuap ke dalam mulut. Rohani menggeleng.

“Tak kenal, tapi aku dengar staf-staf kat bawah tu duk bercakap-cakap.”

“Ohh... tu sebablah kau excited bangun pagi-pagi hari ni eh?” Nita ketawa. Faham sangat dengan perangai Rohani.

“Tak ada maknanyalah. Aku bangun pagi-pagi sebab hari ni turn aku masak,” bantah Rohani. Nita mencebik.

“Dah, dah... makan cepat. Lambat, kau pergi sendiri.” Rohani mengugut sebelum menghirup teh O panas di dalam cawan. Memang setiap hari, dialah yang menjadi pemandu tak bergaji untuk Nita dan Dahlia. Nasib baiklah dia dan Dahlia bekerja di tempat yang sama dan jalan untuk ke pejabat Nita pula sehaluan. Jadi tak adalah menyusahkan dirinya. Lagipun, demi sahabat baik sendiri katanya.

“Okey, jom!” Dahlia bangun dari kerusi lalu mencapai begnya. Kemudian barulah Nita dan Rohani menyusul.

Sampai di pejabat, Dahlia dan Rohani masing-masing menyiapkan apa yang patut untuk mesyuarat sebentar nanti. Tepat jarum jam menghala ke pukul 9.00 pagi, semua staf yang terlibat sudah berada di bilik mesyuarat.

Dahlia yang mengambil tempat di sebelah Rohani sempat melilaukan mata ke sekitar bilik mesyuarat, memerhati setiap wajah yang ada di situ. Setiap kali berlaga pandangan mereka, dia melemparkan senyuman manis tanda salam perkenalan.

Tidak semena-mena, matanya terpaku pada satu wajah. Senyuman yang tadinya menguntum di bibir kian memudar.

Entah berapa lama dia terdiam di situ, merenung wajah yang juga sedang merenung ke arahnya. Ketika lelaki itu melemparkan senyuman, barulah Dahlia tersedar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience