BAB 12

Romance Completed 4031

“Kat mana papa?” Rania seakan berminat untuk mengetahuinya.

“Kanada.”

“Oklah tu. Nia bagitau Shafie yea papa.”

“Tak perlu.” Potong Dato’ Rashid.

“Papa dah bagitau mak dengan ayahnya. Mereka dah bagitahu Shafie. Mereka rancang nak pergi hujung bulan ni.” Rania kelu. Tidak sangka ayahnya terlebih dahulu telah menghubungi keluarga Shafie untuk memaklumkannya.

“Kenapa dengan kamu ni?” tegur Dato’ Rashid.

“Kalau Nia nak ikut, boleh tak papa?” Dato’ Rashid tidak terkejut dengan permintaan Rania tersebut. Dia sememangnya sudah menjangka permintaan Rania itu.

“Kenapa?” Dato’ Rashid berpura-pura tanya.

“Siapa nak jaga dia kat sana nanti. Takkan Mak Cik Aishah. Shafie tu beratlah papa. Kesian kat Mak Cik Aishah.”

“Mak Cik Aisyah tak nak menyusahkan kamu. Kalau kamu pergi sana, macam mana dengan kerja kamu kat sini? Hidup kamu akan berubah. Elok-elok jadi CEO, dah kena tukar jadi nurse pulak. Tak kisah ke?”

“Tak pe. Nia tak kisah. Demi Shafie, Nia sanggup jadi penjaga seumur hidup. Sofiya kan ada. Pejabat biarlah dia yang uruskan. Papa tengok-tengokkanlah. Boleh yea papa?”

“Kamu ni ingat jaga tu senang ke. Kat hospital tu lain. Banyak kemudahan ada. Kamu jaga makan minum dia dan lap badan dia je.”

“Kat rumah lain. Kamu kena buat semuanya. Tiada kemudahan macam kat hospital. Sanggup ke kamu nak mandikan dia, nak basuh berak dia? Jaga makan minum, pakaian dan tempat tidur dia? Banyak tu pengorbanan yang kamu kena buat.” Larang Dato’ Rashid. Dia cuba menghalang niat Rania.

“Takpe papa. Demi Shafie, Nia sanggup buat apa sahaja. Seumur hidup jaga dia pun takpe. Nia tak kisah.” Rania cuba yakinkan ayahnya.

“Yang kamu beriya nak jaga dia kenapa?”

“Shafie tu kan kawan Nia papa. Jadi tugas Nia lah kena jaga dia dan ambil berat tentang dia.”

“Bukan itu tugas seorang isteri ke?” potong Dato’ Rashid. Rania terdiam. Terpana mendengar kata-kata ayahnya.

“Ooo, lupa. Shafie kan belum kahwin. Jadi tugas menjaga kebajikan dia adalah tanggunjawab ibu bapa dialah kan Nia?” sambung Dato’ Rashid sambil tersenyum. Umpannya telah mengena. Dia mahu menyedarkan Rania mengenai Shafie. Sebagai seorang ayah, dia dapat rasakan Rania sangat memerlukan Shafie dalam hidupnya. Rania terlalu bergantung kepada Shafie dalam setiap perkara. Sebab itu dia menentang kuat hubungan Rania dengan Amirul kerana dia tahu siapa yang lebih sesuai untuk anaknya itu. Bukan lelaki yang berkerjaya atau berdarjat yang dicari untuk anaknya. Rania memiliki semua itu. Apa yang dicari adalah seorang pelindung dan pembimbing. Lelaki yang dapat melindungi anaknya saat susah dan senang. Yang dapat membimbing anaknya supaya sentiasa berada di jalan yang diredhai Allah. Shafie sangat layak kerana dia sangat memahami jiwa Rania.

“Nia naik atas. Nak tidur awal. Good night papa.” Ucap Rania dan dia terus menaiki tangga menuju ke bilik tidurnya. Dato’ Rashid hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya melihat telatah anaknya itu. Dia berdoa agar hati anaknya akan terbuka untuk melihat apa yang sedang berlaku di hadapan matanya sekarang ini.

Berulang kali Rania cuba memejamkan matanya. Sekejap dia mengiring ke kanan, sekejap ke kiri. Namun matanya masih tetap tidak mahu lelap. Masih terngiang-ngiang kata-kata ayahnya. Dia cuba memikirkan maksud tersirat di sebalik kata-kata tersebut.

“Dia sahabat baik aku. Sentiasa bantu aku. Lagipun aku yang menyebabkan dia lumpuh. Tak hairanlah kalau aku ambil berat kat dia.” Rania berkata sendirian.

“Dia selamatkan aku pun sebab tu tanggungjawab dia kan. Dia yang tak dapat kawal kereta.” Rania cuba menyedapkan hatinya sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience