BAB 5

Romance Completed 9366

Farah Harissa duduk di pinggir pusara ayahanda tercinta. Dia baru sudah membacakan surah Yaasin untuk dihadiahkan kepada allahyarham, yang sudah kembali ke rahmatullah kira-kira enam bulan lalu. Air mata yang turun dibiarkan menitis laju di pipi. Biarlah… biarlah dia menangis kerana saat ini, dia benar-benar merindui lelaki itu. Lelaki yang ditakuti, digeruni anak muridnya namun lelaki itulah satu-satu lelaki yang dekat di hatinya. Kerana Haris bin Nasir ialah ayahnya.

“Kenapa Farah tak beritahu abang yang cikgu dah enam bulan meninggal dunia?”

Farah Harissa berpaling bila mendengar soalan itu. Terpempan bila melihat sepasang mata bergenangan. Sedihkah Faridzul Asyraf atau sukakah?

Air mata diseka. Wajah tampan itu ditatap, cuba mencari riak yang sering dilihat sewaktu dulu. Riak benci setiap kali nama ayahnya disebut ketika dia masih bekerja dengan lelaki ini.

“Tak sangka abang sudi jejak kaki ke Langkawi semula. Bukankah abang dah bersumpah yang abang tak akan sama sekali balik ke pulau ni?”

Faridzul Asyraf tersenyum mendengar kata-kata gadis di hadapannya ini. Dalam lembut, diri terasa disindir.

“Soalan abang belum Farah jawab.”

Farah Harissa mengalihkan tubuhnya sedikit demi membenarkan Faridzul mengambil tempat di hujung pusara. Dia terus mendiamkan diri, mendengar dan memerhati lelaki itu membaca Yasin dan berdoa. Hati semakin dihambat pilu. Air mata yang ditahan kini mengalir semula.

“Banyak dosa abang pada arwah. Entah mampu entah tidak abang menebusnya.” Desah penuh sendu kedengaran.

“Abang dah maafkan ayah? Maafkan apa yang dibuatnya pada abang dulu?”

Lelaki itu laju mengangguk. Dia tersenyum dan berkata, “Abang masih ingat apa budah perempuan ni kata pada abang dulu….. ‘Dendam ni, bang…., memang manis kalau dapat dibalas. Tapi, Nabi pernah cakap, memaafkan setiap kesalahan….itu jauh lebih baik lagi!’”

Faridzul Asyraf kini menatap wajah ayu di hadapannya.

“Farah Harissa, terima kasih kerana memberi nasihat tu! And you know… you are right. Sekarang ni, hati abang tenang aje. Tak keluh kesah memikirkan kisah lampau. Tak ada kemarahan bila teringat nama Haris bin Nasir. Semua dah hilang dah.”

“Syukur alhamdulillah. Kalau ayah masih hidup tentu dia seronok dengar pengakuan abang tu.”

“He was a good man to have a good daughter like you.”

“Jomlah balik. Abang dah jumpa mama?”

“Mak cik yang beritahu anak dara dia ada kat sini.”

Mereka berjalan seiringan menuju ke rumah pusaka yang diduduki Farah, adiknya Sarah dan ibunya, di Kampung Bakau. Tak sampai 5 minit pun menapak, dah sampai. Farah kaget melihat betapa ada orang lain lagi di rumahnya.

“Abang bawak rombongan ya datang rumah Farah? Mentang-mentang cuti sekolah sekarang ni, abang pun ikut rombongan juga ya. Dah pergi sampai mana dah? Dah panjat Telaga Tujuh?”

Faridzul ketawa mengekeh menyebabkan Farah kehairanan.

“Abang yang jadi ketua rombongan, tau! Kat atas rumah awak tu ada mak, bapak abang, mak long, pak long abang dan adik beradik abang. Diorang tak sabar nak tengok…”

“Oi, Farah! Hang mai sini lekaih! Tetamu kita ni dah nak tercekik tunggu hang buat ayaq!”

Merah padam muka Farah Harissa bila jiran sebelah rumah, Mak cik Enab terpekik terlolong panggil dia dari tingkap dapur. Panggilan yang menyebabkan semua tetamu di atas rumah menoleh dan merenung dirinya. Ada yang bisik-bisik, ada yang sengih-sengih.

Tiba-tiba seorang wanita berlari turun. Mujur slim, kalau tidak dah jadi itik serati mendekati dirinya.

“Farah Harissa! Patutlah orang tu tak boleh lena siang malam teringat… Lawanya bakal menantu mak ni!”

Farah Harissa tergamam. Mata melekat pada wajah Faridzul Azyraf. Ada riak kurang percaya tapi bila wanita itu memeluknya dia jadi kelu. Tidak tahu apa yang harus dibuatnya.

“Joe dah bagi cincin tu?”

“Cincin?” Farah tanya.

Faridzul hanya mampu ketawa sambil mengeluarkan sesuatu dari dalam kocek.

“Abang bawak ni tadi. Tapi bila fikirkan balik, takkan nak lamar Farah di tanah perkuburan pulak? Tak pernah dibuat orang, kan?”

Farah Harissa ketawa riang. Faridzul Asyraf tidak perlu meluahkan isi hati untuk memberitahunya bahawa lelaki itu mencintai dirinya kerana hari ini, dia sudah meyakini bahawa kalau tiada rasa cinta itu, pasti lelaki berhati keras ini tidak akan ke sini. Dia tahu, dia sudah berjaya memiliki kedua-duanya. Hati dan cinta lelaki itu.

Anak cina makan kuaci

Kulit bersepah di kiri kanan

Usah dihina, jangan dibenci

Hati diubah, jadi berkenan

Berkirim salam sewaktu senja

Menatap sayu mentari petang

Sedih terasa menghambat jiwa,

Si dia berlalu terus menghilang

Tanam serai di pinggir gambut

Pandan seikat dibuat pewangi

Kasih termetrai, cinta bersambut

Simpan di hati sampai ke mati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience