BAB 1

Romance Completed 245829

BUNYI dentingan menandakan lif yang dinaiki tiba di aras yang dituju. Zafril melangkah keluar dari lif lalu berjalan menuju ke mesin bayaran parkir yang terletak di hujung ruang legar aras ‘basement’ bangunan berkenaan. Kepingan tiket parking dikeluarkan dari kocek seluar sebelum dimasukkan ke mesin berwarna kuning di hadapannya.

“Fee is five Ringgit…”

Suara dari mesin bayaran automatik itu kedengaran bergema di ruangan tingkat bawah tanah berkenaan yang sedikit sunyi ketika waktu sudah menjengah hampir ke pukul lapan malam. Tidak ada sesiapa di situ selain dirinya.

Zafril meraba tangannya ke poket belakang jeans mahu mengambil dompet. Bagaimana pun saat itu baru dia menyedari bahawa dompet miliknya tiada di situ. Eh? Ke mana pula dompet itu hilang?

Spontan Zafril menepuk dahi sambil meraup tapak tangan ke kepala. Teringat yang dompet miliknya pasti tertinggal di dalam kereta. Haish. Kelam-kabut mahu bertemu dengan seseorang di aras lobi tadi membuatkan dia tergesa-gesa meninggalkan kenderaan di ruang parkir. Hurm, ini kalau nak menapak semula ke kereta mahu berpeluh juga. Sudahlah kenderaannya diparkir paling hujung sekali. Sempat dia mengeluh tanda kesal kerana lalai.

Ketika Zafril ingin mengambil semula tiket bayaran parkir dari mesin, dilihat satu tangan milik seseorang yang kebetulan berada di belakang menghulurkan not berwarna hijau ke arahnya. Tanpa berfikir panjang Zafril terus mencapai not wang tersebut lalu dimasukkan ke mesin parkir. Dan tiket yang sudah dibayar diambil semula. Mujurlah ada ‘penyelamat’ pada waktu begini.

Seraya Zafril menoleh mahu mengucapkan terima kasih kepada orang yang sudi membantunya. Juga mahu memberitahu bahawa dia akan membayar kembali wang tersebut selepas mengambil dompetnya yang tertinggal di dalam kenderaan nanti.

Namun, saat wajah di hadapannya menyapa pandangan bibir Zafril terkelu seketika. Sedang berdiri di depan mata adalah seorang gadis tinggi lampai yang memiliki raut wajah anggun dan jelita. Serta-merta membuatkan dia terpesona. Rupa-rupanya inilah orang yang sudi membantunya sebentar tadi.

“Err miss, thank you. Actually I tertinggal my wallet dalam kereta. You tunggu sini jap I pergi ambil my wallet dan bayar balik duit you.”

Bagaimana pun, gadis jelita itu sekadar tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dia melayang-layangkan tapak tangan sebagai tanda isyarat tidak perlu. Tiket parkir yang berada di tangannya dimasukkan ke dalam mesin bayaran automatik sama seperti yang dilakukan oleh Zafril tadi.

“It’s okay. Anggap je I belanja you. Lagipun, it’s just a five dollar,” balasnya dalam senyuman indah yang cukup menawan.

Serba salah, Zafril menggaru kening. Walaupun cuma berjumlah lima ringgit, tetapi dia tetap berasa malu apabila tiket parkir dibayar oleh seorang gadis yang tidak dikenali. Haish.

“Oh…. urm well I tak nak berhutang apa-apa. Or you boleh bagi your contact number? I akan hubungi you nanti untuk bayar semula wang tadi?”

Gadis jelita itu lantas tertawa kecil. Lunak dan merdu nada suaranya. “No, no. Tak perlu. Kan I cakap tadi, anggap je I belanja you. Dan you bertuah bertemu dengan I hari ni. Okey?”

Seraya gadis itu mengambil tiket parkir miliknya dari mesin automatik selepas membuat bayaran lalu berpaling sebelum melangkah pergi. Lansung tidak ambil pusing dengan gelagat lelaki muda yang sedang memerhati ke arahnya. Sudah terbiasa dengan reaksi sebegitu. Rata-rata lelaki yang ditemui akan memberikan ekspresi yang serupa saat melihat dirinya.

Selama beberapa detik Zafril masih leka merenung ke lenggok langkah persis ‘supermodel’ gadis itu. Walaupun sekadar berpakaian kasual namun gaya dan kecantikannya amat menyerlah. Cukup untuk memukau pandangan mata seorang lelaki sepertinya.

Haish. Kau dah kenapa, Zafril? Takkan kau jatuh cinta pandang pertama pada gadis tu pulak? Hati Zafril bermonolog sendiri.

Tidak mahu terus melayan perkara yang bermain di benaknya, Zafril ikut sama melangkah keluar dari ruang legar aras ‘basement’ berkenaan menuju ke kenderaan yang berada di petak parkir paling hujung.

Bagaimana pun, ketika melalui deretan kenderaan yang berbaris di ruang parkir aras ‘basement’ itu, tanpa sengaja mata Zafril terpandangkan kelibat sebuah kereta sedan yang bonet hadapannya sedang terbuka. Dan di hadapan kereta itu kelihatan susuk tubuh gadis yang membantunya sebentar tadi sedang terjenguk-jenguk bersama lampu suluh. Dengan segera Zafril menghampiri.

“Hai. Ada apa-apa masalah ke?” Zafril bertanya ingin tahu.

Gadis itu mengalihkan pandangan ke arah Zafril. Reaksinya sedikit tersentak.

“Eh, you. Erm tak tahulah. Kereta I ni tiba-tiba je tak boleh ‘start’. Dah try banyak kali tapi tak boleh juga.” Jawapan itu diberikan.

Seraya Zafril ikut memerhati ke bahagian enjin di bonet hadapan kenderaan tersebut. Dahinya sedikit berkerut-kerut. Cuba menganalisis punca masalah yang berlaku.

“Bateri habis kot? Jap I cuba check ye,” ujar Zafril lantas meminta lampu suluh yang berada di tangan gadis itu.

Dengan senang hati si gadis memberi lampu suluh lalu membiarkan lelaki muda di hadapannya mengambil alih. Sementelah dia sendiri pun bingung tidak pasti masalah apa yang sedang melanda kenderaannya. Tiba-tiba sahaja enjin tidak dapat dihidupkan. Dia bukan pandai sangat bab berkaitan kereta. Hanya tahu memandu sahaja. Diperhatikan gelagat lelaki muda yang sedang membantunya. Sedikit curiga. Namun, dia tidak mahu memberi sebarang persepsi buruk.

Beberapa minit kemudian Zafril cuba menghidupkan kenderaan berkenaan dan ternyata usahanya berhasil. Enjin kereta dapat dihidupkan semula. Dan gadis pemilik kenderaan itu tersenyum penuh teruja.

“Wah! Alhamdulillah. Dah dapat ‘start’.” Reaksi wajahnya yang sebelum itu sedikit gusar bertukar ceria. Bersyukur kerana ada seseorang yang muncul membantu di saat dirinya sedang kesusahan.

Zafril keluar dari kenderaan bersama senyuman yang terukir di wajah. Gembira kerana dapat membantu gadis itu.

“Dah okey. Tapi, better you bawa kereta ni ke bengkel nanti. Check kalau ada problem lain. Risau juga kalau tiba-tiba enjin ‘mati’ masa tengah drive kat jalan.” Zafril menutur pesanan.

“Sure. Nanti I bawa pergi bengkel. Actually ni bukan kereta I. Kereta my cousin. I pinjam kejap. By the way, terima kasih banyak Encik…”

“I Zafril. Panggil I Zaf je,” ujar Zafril dengan senang hati memperkenalkan diri.

“Oh, I Tania. Thanks again ya, Zafril. Nasib baik you ada. I hargai sangat bantuan you. Urm kejap. Berapa ye I patut bayar dekat you?” Gadis itu menyoal sambil menyeluk tangannya ke dalam tas tangan untuk mengeluarkan dompet.

Dengan pantas Zafril menegah sambil mengangkat tapak tangan ke atas. “Eh, apa pula bayar? Takpe, I tolong dengan ikhlas.”

“Alah, janganlah macam tu. Seganlah I. You dah sudi tolong I. Ini kalau I panggil mekanik mahu dia caj puluh-puluh ringgit juga tau.” Si gadis bersungguh-sungguh mahu memberikan upah terhadap lelaki yang membantunya.

“No, no. Tak perlu. Remember tadi you dah tolong I dekat mesin parking? Lima Ringgit tu kira caj untuk I bantu you.” Zafril berseloroh sambil tersenyum.

Gadis jelita itu lantas tertawa kecil. Teringat semula pertemuan pertama mereka berdua tidak sampai setengah jam yang lalu. “Ah, ya. So, lima Ringgit tadi tu kira dah berbalas lah ye?”

Zafril mengangguk. “Yes. Orang kata bila kita buat baik akan dibalas kebaikan juga. Macam you cakap tadi, I bertuah bertemu dengan you hari ni.”

“Haha. Nope. Actually I yang bertuah bertemu dengan you hari ni.” Si gadis melorekkan senyuman manis di bibir mungilnya.

Perbualan mereka berdua ketika itu bagaimana pun terganggu seketika apabila kedengaran satu panggilan masuk ke telefon si gadis. Dengan pantas dia menjawab panggilan yang diterima.

“Yes, Jay. I dekat parking. Kereta I rosak. Kejap lagi I sampai. It’s okay dah ada orang tolong I. See ya.”

Zafril sekadar mendengar tanpa ingin mengganggu perbualan gadis itu. Sebaik selesai berbicara si gadis menoleh semula ke arah Zafril.

“Erm okeylah you. I kena pergi dulu. Terima kasih sekali lagi sebab sudi bantu I hari ni. I really appreciate. Kalau you takde tak tahulah apa jadi.”

“No worries. Hati-hati drive ye. Semoga selamat sampai. Take care,” ucap Zafril sambil memerhati gadis jelita itu masuk ke dalam kenderaannya.

“You too. Bye.” Si gadis melambaikan tangan sebelum menutup pintu kereta. Perlahan-lahan kenderaan yang dipandu bergerak meninggalkan ruang parkir bangunan berkenaan.

Zafril memerhati kelibat kenderaan itu sehingga hilang dari pandangan. Entah mengapa bayangan wajah gadis tadi membuatkan bibirnya mengukir senyuman. Bukan kerana kecantikan yang menghiasi wajah gadis itu. Tetapi, ada perasaan lain yang sedang meresap jauh ke dalam jiwanya. Perasaan yang sukar diungkapkan saat ini. Apakah akan ada lagi pertemuan di antara mereka berdua selepas ini?

******

CAWAN berisi kopi panas disisip ke bibir menikmati minuman itu saat jam di dinding sudah mencecah ke angka sepuluh malam. Malam ini dia perlu berjaga sekali lagi. Sama seperti malam-malam lain yang telah berlalu. Lukisan senibina yang sedang dihasilkan menerusi aplikasi Lumion di skrin komputer riba dipandang kosong.

Sudah berjam-jam dia duduk berteleku melihat lukisan senibina yang belum siap itu. Otaknya tepu. Tak ada idea. Sedangkan tempoh waktu untuk sesi pembentangan kepada klien semakin dekat.

Urgh! Bosan. Idea oh idea. Di mana kau? Zafril menebak anak rambutnya dengan jemari. Stres.

Seraya jari telunjuk Zafril menekan tetikus menghalakan ‘kursor’ ke satu laman sesawang lain. Mahu menghilangkan kebosanan. Juga ingin mencari ilham bagi menghasilkan tugasan yang perlu disiapkan.

Seketika kemudian terpapar wajah seorang gadis jelita di skrin komputer riba. Renungan Zafril difokuskan ke foto itu. Perlahan-lahan kedua belah hujung bibirnya melengkung ke atas. Inilah gadis yang ditemuinya tempoh hari.

“Tania Imelda…” ucap Zafril perlahan sambil membaca maklumat ringkas yang tercatat di laman sesawang yang sedang dilayari.

Selepas pertemuan bersama gadis jelita di ruang parkir tempoh hari, fikiran Zafril masih menerawang terkenangkan pemilik wajah yang memukau pandangannya. Dia rasa macam pernah melihat gadis itu sebelum ini. Tetapi terlupa di mana.

Secara tidak sengaja dia melihat gambar gadis yang sama muncul dalam paparan artikel dalam sebuah majalah beberapa hari lalu. Baru diketahui bahawa gadis itu merupakan seorang model terkenal. Patutlah wajahnya ‘familiar’. Salah seorang selebriti rupanya.

Cantik, menarik dan tertarik. Tiga ungkapan yang dapat menggambarkan gadis jelita itu. Apakah pertemuan mereka tempoh hari cuma sekadar kebetulan? Mungkinkah akan ada peluang untuk dia bertemu si gadis yang memukau pandangannya sekali lagi?

Haish. Kenapalah dia tak teringat nak minta nombor telefon gadis itu tempoh hari? Eh, dia ada minta. Tapi, gadis itu mengelak untuk memberi maklumat peribadi. Hurm kalau tak tentu mereka masih boleh terus berhubungan. Mungkin juga dia berpeluang untuk menjadi kekasih gadis itu. Hah!

Seraya Zafril menggelengkan kepala sambil tersenyum sendiri dengan angan-angan kosongnya. Mengarut! Entah-entah gadis itu sudah pun mempunyai teman lelaki. Dan dia hanya mampu bermimpi di siang hari.

Tak mengapalah. Cukup dia memuja gadis itu dari kejauhan sahaja. Lagipun, siapalah dia untuk berpasangan dengan gadis sejelita itu. Dia cuma lelaki biasa yang tidak punya apa-apa. Tiada pangkat atau harta. Cumalah seorang arkitek senibina yang sering bergelumang dengan kertas kerja permintaan klien. Mana ada perempuan suka dengan kehidupan lelaki sepertinya.

Sedang Zafril sibuk melayan fikiran, kedengaran telefon pintar berhampiran komputer riba berbunyi. Lantas dijawab panggilan yang diterima selepas melihat ke nama yang tertera di skrin.

“Zaf, kau kat mana? Busy ke, bro?” Kedengaran suara seorang lelaki menyapa di hujung talian. Teman baiknya.

“Erm aku tengah siapkan ‘drawing’ klien. Apahal kau call aku? Kalau nak ajak aku pergi ‘clubbing’ aku tak free malam ni, bro.”

Dengan pantas Zafril meningkah walaupun belum diberitahu. Sudah maklum akan kegemaran teman baiknya yang seorang itu. Kalau telefon tak ada perkara lain yang ingin dibicarakan. Sementelah Zafril memang tidak gemarkan tempat-tempat hiburan sebegitu. Berkunjung ke kelab-kelab eksklusif tersebut pun sekadar untuk menemani si teman baik sahaja.

“Bukanlah. Aku pun dah tak sempat nak pergi ‘clubbing’. Lately makin busy. Sejak jadi chairman ni aku rasa life aku dah macam orang tua. Asyik main golf dengan klien, lepak coffee house je. Bosan weh. Haha.” Suara tawa temannya menghiasi perbualan.

“Kau memang dah tua pun. Tak yah berlagak muda. Tahun depan kau dah ‘3 series’, bro. Pergi cari bini.”

Zafril berlelucon sambil tangannya masih leka menggerakkan tetikus di atas meja memerhati ke raut wajah si gadis jelita yang terpapar di skrin komputer riba.

“Wey, kau kutuk aku. Kau tu dah 3 series. Bila nak kahwin? Aku tunggu kau kahwin dulu, Zaf. Haha.”

“Hurm kalau kau tunggu aku sampai tahun depan pun belum tentu aku akan kahwin. Takde perempuan nak kahwin dengan aku.”

“Kah kah. Kau tu yang sombong. Perempuan nak kau, tapi kau yang jual mahal. Tengok macam aku ni, lepas seorang pergi seorang yang lain datang. Aku tak yah cari. Diorang datang sendiri. Haha.”

Zafril berdesis sambil menggelengkan kepala. Sudah selalu mendengar bicara teman baiknya itu. “Kau lain, bro. Kau tu kasanova. Aku takde masa nak jadi macam kau. Aku busy menghadap kerenah klien je ni.”

“By the way aku sebenarnya call kau ni sebab nak ajak kau temankan aku ke satu event next week. Boleh tak? Kalau tak boleh pun kau kena bolehkan jugak. Wajib!”

Seraya Zafril mengerutkan dahi seketika. “Hurm event apa? Kenduri kahwin kau ke? Nak aku tolong jadi saksi? Atau nak aku jadi pengapit kau?”

“Kepala hotak kau. Aku belum cadang nak kahwinlah. Haha. Ni aku ada jemputan dinner next week. Kau temankan aku, Zaf.” Pinta si teman baik.

Serentak itu Zafril tertawa. “Bro, kau nak pergi dinner apahal ajak aku teman pulak? Girlfriend stewardess kau tu mana? Ajaklah dia teman.”

“Dah takdelah, bro. Aku dah putus dengan dia minggu lepas. So, event next week ni kau teman aku. Okey?”

“Aduh, malaslah aku. Kau carilah awek lain temankan kau. Tak kuasa aku nak berkepit dengan kau. Kang orang ingat aku ‘songsang’ pulak. Haha.”

“Weh, ke situ pulak otak kau. Aku ajak kau teman sebab kita sama-sama ‘single’. Ni lah peluang nak cari awek baru.”

“Hurm aku busy lah. Banyak ‘drawing’ nak siapkan.” Alasan itu diberikan Zafril. Masih cuba menolak ajakan teman baiknya.

“Bolehlah, bro. Ada ramai awek cantik datang event tu nanti. Temankan aku nak cari girlfriend baru. Nanti aku tolong carikan untuk kau sekali.” Si teman baik masih terus memujuk.

Zafril mendengus nafas. Kepala yang tidak gatal digaru. Acara keramaian seperti itu bukan kegemarannya. Pasti dia akan kebosanan nanti.

“Haish. Dinner apa ni? Kat mana?” Malas-malas Zafril bertanya.

“Shangri-La. Gala Dinner dengan Petromica Holdings. Ada ‘catwalk show’ sekali, bro. Nanti boleh cuci mata tengok aweks model yang cun-cun kat sana. Haha.” Suara temannya yang tertawa nakal kedengaran di corong telefon.

‘Model’. Entah mengapa perkataan itu menarik perhatian Zafril. Fikirannya tiba-tiba teringatkan sesuatu. Mana tahu nanti boleh terserempak dengan gadis jelita yang ditemuinya tempoh hari. Spontan keningnya terjongket. Ajakan si teman baik membuatkan perasaan Zafril bertukar teruja.

“Hurm okey. Aku pergi dengan kau. Tapi, nak pakai apa nanti? Apa ‘dresscode’ untuk dinner tu?”

“Dresscode dinner tu smart casual. Kau pakai je apa-apa yang sesuai. Asalkan dapat pukau mata aweks-aweks cun tu nanti. Haha. Okeylah, bro. Catch you later.”

Panggilan yang diterima tamat. Perhatian Zafril beralih semula ke arah skrin komputer riba. Bibirnya tersenyum. Harap-harap gadis jelita bernama Tania Imelda itu akan muncul di majlis sama yang akan dihadirinya nanti. Mungkin mereka berpeluang untuk bertemu sekali lagi. Ya, mungkin.

Share this novel

DHIA AMIRA
2022-08-15 07:14:43 

best ..nk bg coin ..coin xckup ...


NovelPlus Premium

The best ads free experience