BAB 56

Romance Completed 42886

Dua tahun kemudian,

Angin lembut bertiupan membawa bayu kesedihan. Daun-daun kering jatuh luruh ke tanah. Tikar mengkuang dibentangkan di bawah pokok rendang yang terdapat di situ. Pohon kemboja putih yang merimbun menggugurkan bunga-bunganya.

Suasana sunyi sepi itu ditemani dengan bacaan yasin yang dibacakan oleh Izz Faris dan Akid Ahnaf sekeluarga. Perasaan hiba mula bertandang di hati. Pusara dihadapan mereka kini mengingatkan bahawa kematian itu pasti.

Sesungguhnya semua yang bernyawa akan mati suatu hari nanti. Seterusnya, kematian itu  akan membawa rasa keinsafan kepada mereka yang masih hidup.

Bacaan yasin dibacakan sehingga ke penghujungnya dengan diketuai oleh Izz Faris. Merdu dan sayu saja kedengaran bacaan tersebut. Menyampaikan betapa rindunya mereka pada arwah. Hanya itu yang mampu dilakukan sebagai sedekah.

Bacaan yasin akhirnya ditamatkan dengan bacaan doa daripada Akid Ahnaf. Izz Faris menadah tangan. Matanya tak lepas memandang pusara dihadapannya dengan pandangan yang sarat dengan kerinduan. Mulutnya mengaminkan doa yang dibaca dengan hati yang ikhlas.

Mengharapkan doa itu diangkat oleh Tuhan dan dimakbulkan. Kelopak mata Izz Faris terpejam, menghayati maksud doa yang dibaca. Patah perkataan yang dimaksudkan membawa makna yang baik. Tidak lain dan tidak bukan dari segi kesihatan, kekayaan rezeki dan umur yang panjang.

Usai bacaan doa itu tamat, Akid Ahnaf menyiram air mawar yang dicampur dengan campuran bunga yang dibawa ke atas pusara tersebut. Dia menahan sebak di dada. Daun pandan yang sudah dibacakan surah-surah pilihan turut ditaburkan pada pusara itu.

Tindakan itu dilakukan bergilir-gilir oleh ahli keluarganya. Tok Wan turut hadir di situ. Air matanya mengalir saat menyiram air tersebut. Melepaskan kerinduan pada arwah. Masih teringat saat saat terakhir bersama arwah dahulu. Dia mengukir senyuman lemah.

"Izz..." panggil Akid Ahnaf perlahan. Sebuah lagi jug air mawar itu diserahkan pada Izz Faris. Akid Ahnaf menepuk lembut bahu sahabatnya. Tahu lelaki itu masih bersedih.

"Aku pergi dulu. Nanti dah selesai, aku ada dekat kereta. Sabar ya Izz." ucap Akid Ahnaf mahu memberikan ruang untuk Izz Faris bersendirian pada ketika itu. Ingin memberikan sahabatnya privasi untuk menyampaikan kata-kata pada arwah untuk kali terakhir.

Izz Faris mengangguk perlahan. Bibirnya naik mengukir senyuman kecil kepada Akid Ahnaf. Huluran sahabatnya disambut. Akid menarik tangannya semula yang berada pada bahu Izz. Dia mengorak langkah meninggalkan Izz bersendirian.

Izz Faris menghantar pemergian Akid Ahnaf dengan pandangan. Jug yang berisikan air mawar yang diberikan Akid sebentar tadi diletakkan disisinya. Dia mengalihkan pandangan pada pusara itu semula.

Bebola matanya bergerak pada rumput rumput yang tumbuh pada pusara itu. Tangannya pantas mencabut rumput tersebut sehingga tiada lagi yang tinggal. Batu nisan yang dipacakkan di atas pusara itu diusap oleh Izz. Jarinya menggosok kotoran yang menutup sebaris nama pemilik nama pusara tersebut.

Sebaik batu nisan itu dibersihkan, Izz Faris memandang sayu sebaris nama yang sudah lama dia tidak lihat itu. Akhirnya, pada hari ini dia diberikan peluang untuk melawat pusara milik sahabat lamanya itu. Secara tidak langsung, kenangan mereka bersama berlayar di fikiran.

"Aku... mintak maaf sebab lambat lawat kau." ucap Izz Faris memulakan bicara. Rasa sebak  memenuhi dada. Berat hatinya ingin meluahkan perasaan. Rindu terasa ingin bersembang dengan arwah lagi. Dia tahu dia takkan dapat peluang itu untuk kali kedua.

Hanya kalau dia bertindak dengan lebih awal. Namun kini semuanya sudah berlalu. Dia tidak lagi dapat memutarkan masa. Dia redha dengan ketentuan-Nya. Tuhan lebih sayangkan arwah. Dia tersenyum sayu.

"Aku minta maaf sebab tak dapat jumpa kau untuk kali terakhir. Aku minta maaf sebab tak sempat ucapkan selamat tinggal untuk persahabatan kita. Aku minta maaf." ucap Izz Faris dengan nada sebak. Kepalanya ditundukkan. Air mata yang mengalir diseka. Dia menarik nafas panjang.

"Jadi, aku harap kau dapat maafkan aku. Aku dah lama maafkan kau. Aku rindu kau sejujurnya. Tapi aku redha. Aku akan hidup dengan bahagia. Harapnya kau tenang dekat sana." ucap Izz Faris mengakhiri bicaranya. Dia mengukirkan senyuman. Seolah arwah dapat melihatnya. Lalu, air mawar diambil olehnya sebelum disiramkan pada pusara itu dengan bacaan al- Fatihah untuk disedekahkan pada arwah.

Dia bingkas berdiri. Tikar mengkuang dilipat semula. Terasa angin sepoi-sepoi bahasa menerpa ke arahnya. Dia meraup rambutnya ke belakang. Sebelah tangannya memegang tikar mengkuang yang sudah dilipat. Manakala sebelah lagi memegang jug yang sudah kosong.

Dia memberikan pandangan terakhir pada pusara tersebut. Bibirnya mengukir senyuman.  Mulutnya bergerak mengatakan sesuatu yang tak dapat diucapkan olehnya pada suatu ketika dahulu. Dia mengorak langkah pergi.

"Selamat tinggal, Naufal."

••???••?????••???•

Kelihatan dari jauh tempat Izz Faris berdiri terdapat Akid Ahnaf bersama kaca mata hitamnya bersandar pada kereta dengan tangannya disilangkan ke dada. Izz Faris mengukir senyuman kecil. Dia mempercepatkan langkah. Sepersalinan baju melayu yang dipakai diperbetulkan agar kemas.

"Dah selesai?" tegur Akid Ahnaf apabila menyedari Izz Faris sudah tiba. Dia segera mengambil jug kosong dan tikar mengkuang dari tangan Izz untuk diletakkan di bonet kereta. Anggukan kepala diberikan kepada Akid Ahnaf oleh Izz sebagai jawapan.

Kaca mata hitam Akid Ahnaf dibuka sebelum diletakkan pada poket di dada kirinya. Usai meletakkan barang di dalam bonet, dia memeluk tubuh Izz Faris seketika cuba memberikan semangat. Lalu, dia meleraikan pelukan.

"Izz, jangan fikirkan sangat. Naufal mesti faham kenapa kau baru melawat kubur dia sekarang. Bukan kau sengaja tak datang majlis pengebumian dia dulu tapi sebab kau tak tahu. Jangan salahkan diri kau." nasihat Akid Ahnaf menepuk bahu Izz. Izz Faris menoleh ke arah Akid Ahnaf. Cuba mencerna kata-kata sahabatnya.

"Sekurangnya kau dapat lawat kubur arwah kan? Kita yang hidup ni kena teruskan. Jangan putus asa. Masih jauh lagi perjalanan kita. Let bygones be bygones." sambung Akid Ahnaf lagi memberikan kata-kata hikmah. Tak mahu Izz Faris membuang masa dengan sia-sia hanya kerana terperangkap dalam masa lalu seperti abangnya Adi Ashraf.

Izz Faris melepaskan keluhan panjang. Dalam masa yang sama menghela nafas lega selepas mendengar kata-kata daripada Akid Ahnaf. Dia  melepaskan tawa kecil apabila menyedari sahabatnya itu pandai bermain dengan kata-kata. Tenang hatinya sekarang.

Izz Faris melemparkan senyuman. Bahunya sengaja dilagakan pada bahu Akid Ahnaf. Ucapan terima kasih diberikan kepada sahabatnya membuatkan Akid tersenyum bangga. Tak semena-mena, leher Akid ditarik oleh Izz. Tangannya menggosok rambut milik Akid yang tersisir kemas sehingga serabai.

"Dah besar dah kau." ucap Izz Faris dengan sisa tawanya apabila melihat wajah cemberut daripada Akid Ahnaf. Rakannya itu sudah dianggap seperti adiknya sendiri.

"Aku memang dah besar lah gila! Dah nak kahwin dah pun." marah Akid Ahnaf membetulkan rambutnya pada cermin kereta. Habis rosak rambutnya. Sudahlah nanti dia mahu bertemu Maisarah!

Sebuah figura yang menghampiri mereka berdua disedari oleh Akid Ahnaf. Dia menolehkan kepala dengan riak wajah kerisauan. Tindakan itu turut dilakukan oleh Izz Faris. Rambutnya yang serabai itu dibiarkan.

"Abang, Riana okay ke?" tanya Akid Ahnaf risau kepada Adi Ashraf. Risau apabila pasangan suami isteri itu tidak dapat menyertai mereka semua melawat kubur arwah Naufal sebentar tadi.

Tok Wan juga risau melihat keadaan Ariana yang lemah semacam. Izz Faris menunggu balasan daripada Adi Ashraf. Dia bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk menyelamatkan nyawa Adi Ashraf dan Ariana pada hari kejadian.

Mereka berdua kehilangan darah yang banyak. Bacaan nadi mereka yang rendah benar-benar merisaukan Izz Faris dan Akid Ahnaf sekeluarga. Alhamdulilah semuanya tidak apa-apa. Semuanya kerana dengan izin-Nya dan semangat pasangan suami isteri itu yang kuat untuk bertahan pada saat-saat akhir. Dalam diam, Izz Faris mengagumi cinta yang dimiliki oleh mereka berdua.

"Tak ada apalah. Riana lupa nak breakfast pagi tadi. Tak sabar nak jumpa Naufal katanya." balas Adi Ashraf mengeleng kepala mengenangkan sikap isterinya.

Dia juga turut risau apabila Ariana yang tiba-tiba memuntahkan segalanya semasa dalam perjalanan mereka ke sini. Mereka berdua terpaksa tunggu di dalam kereta sementara ahli keluarganya melawat kubur arwah Naufal.

"Oh. Ingatkan apa tadi." ucap Akid Ahnaf menghela nafas lega. Izz Faris turut melakukan perkara yang sama. Tak sanggup mereka berdua rasa jika pasangan suami isteri itu ditimpa kesusahan lagi. Mereka saling berpandangan apabila mereka melakukan perkara itu serentak.

"Kau berdua dah kenapa?" tanya Adi Ashraf tiba-tiba. Mengundang tawa daripada Akid dan Izz. Adi Ashraf mengeleng kepala melihat gelagat sahabatnya bersama adiknya. Bersyukur dapat melihat mereka lagi pada hari ini.

"Abang..." tegur suara lunak yang dikenalinya menyapa pada gegendang telinga. Dia menoleh ke belakang. Tubuhnya secara tiba-tiba ditolak oleh Akid dan Izz. Gelak tawa dua sekawan itu membuatkan Adi turut tergelak sama. Tawanya terhenti apabila pandangannya jatuh pada figura seorang wanita yang dicintainya sepenuh hati.

"Sayang..."

••???••?????••???•

Adi Ashraf tersenyum penuh makna memandang ke arah Ariana yang tidak jauh berada dari tempatnya berdiri. Baju kurung moden berwarna putih yang dipakai oleh Ariana mengingatkan dia kepada hari pernikahan mereka.

Adi Ashraf mengorak langkah untuk mendapatkan isterinya. Ingin melindungi wanita itu di dalam pelukannya sentiasa. Ariana tersenyum manis pada Adi Ashraf. Hatinya berbunga-bunga apabila dirinya dipandang dengan pandangan yang sarat dengan kasih sayang.

"Sayang nak apa hmm?" tanya Adi Ashraf lembut. Dia memegang tangan Ariana. Jari manis isterinya yang tersarung cincin perkahwinan mereka berdua diusap lembut.

"Lapar." ucap Ariana manja sambil mengusap perutnya. Mulutnya dimuncungkan. Sengaja mahukan perhatian daripada Adi Ashraf. Tangan Adi Ashraf naik mengusap perut isterinya. Dia mengerutkan wajah.

"Lapar ke? Nak makan?" tanya Adi Ashraf berpura-pura tak faham. Ariana Atilia menjulingkan mata ke atas. Tahu suaminya sengaja berbuat sebegitu. Haih dia dah la tak makan sarapan tadi, ada yang kena makan dekat sini jugak nanti!

"Nak makanlah. Takkan nak abang pulak. Cepatlah." rungut Ariana geram. Tangan suaminya yang berada perutnya ditepis sebagai tanda protes. Adi Ashraf menahan tawa.

"Oh kesiannya, jom kita pergi makan. Nak? Ke ada orang merajuk tu?" tanya Adi Ashraf cuba mengusik. Tangannya senyap-senyap dilingkarkan pada pinggang Ariana.

Dengar saja kata-kata yang meluncur keluar dari mulut suaminya, Ariana menggangguk laju tanda tak sabar. Tangannya segera memeluk erat lengan suaminya. Dia tersengih kerang.

"Mana ada merajuk. Kata nak pergi makan kan tadi? Jomlah." ajak Ariana dengan nada teruja. Adi Ashraf tersenyum. Dia memegang tangan Ariana dengan erat sebelum melangkah pergi.

Mereka berdua meminta diri daripada ahli keluarga untuk keluar berdua sebentar. Puan Sandra dan Encik Johan mengangguk tanda membenarkan. Ibu bapa Adi Ashraf, iaitu Encik Marzuki dan Puan Ratna juga melakukan perkara yang sama. Mereka tersenyum bahagia melihat keadaan suami isteri itu. Tok Wan menghela nafas lega. Akhirnya mereka bahagia.

Semuanya berjalan lancar membuatkan Ariana dan Adi Ashraf senang hati. Tapi semuanya tidak sah kalau tiada sebarang usikan daripada Akid Ahnaf dan Izz Faris.

"Eee tak malu. Dah kahwin pun nak dating." usik Akid Ahnaf. Dia tersenyum lebar hingga ke telinga. Tak semena-mena, kepalanya dipukul oleh Izz Faris. Dia meringis kesakitan.

"Sakitlah! Betul la aku cakap." rungut Akid Ahnaf tidak puas hati. Dia menumbuk tangan Izz Faris sebagai balasan. Izz mengeleng kepala. Dia menyilangkan tangan sambil tersenyum melihat Adi Ashraf dan Ariana.

"Lantak diaoranglah. Yang kau sibuk kenapa? Entah-entah kau dengan Maisarah lagi teruk. Macam aku tak kenal kau." perli Izz Faris sedas. Akid Ahnaf menjulingkan mata ke atas.

"Diamlah. Kau belum kahwin mana kau tahu? At least, aku tak single macam kau." balas Akid Ahnaf memulangkan paku buah keras. Dia tersenyum mengejek ke arah Izz Faris. Bangga dengan balasannya kepada sahabatnya itu.

Izz Faris tersenyum penuh makna. Pandangannya yang sukar ditafsirkan membuatkan Akid Ahnaf tak sedap hati. Ada apa-apa yang dia tak tahu ke?

"Siapa kata aku single? " balas Izz Faris tersengih. Keningnya digerakkan. Akid Ahnaf membulatkan mata.

"Izz!"

••???••?????••???•

Senyuman lebar tidak pernah lekang dari wajah Ariana pada hari itu. Sejak dari tadi dia tidak lepas memandang sisi wajah Adi Ashraf yang sedang khusyuk memandu. Sebelah tangan suaminya yang diletakkan pada ribanya dipegang erat.

Manakala, sebelah lagi mengawal stereng kereta. Sesekali Ariana akan menangkap anak mata Adi Ashraf yang bergerak ke arah ketika memandu. Dia melebarkan senyuman.

"Abang, tengok depan." tegur Ariana dengan nada yang cuba ditegaskan. Dia menampar lembut wajah suaminya supaya pandang ke hadapan dan menumpukan perhatian dalam pemanduan.

"Tak boleh, sayang cantik sangat. Kena tengok jugak." balas Adi Ashraf selamba. Tangan Ariana diambil sebelum dihadiahkan ciuman di situ sekilas. Wajah Ariana berona merah.

"Mengada." marah Ariana dengan wajahnya memerah. Pipi suaminya dicubit kuat. Adi Ashraf berpura-pura mahu mengigit tangan isterinya membuatkan Ariana menarik tangannya semula. Dia melepaskan tawa kecil.

Gelak tawanya disertai oleh suaminya, Adi Ashraf. Ariana menyilangkan tangan ke dada. Dia menongkat dagu melihat Adi Ashraf. Bibirnya mengukir senyuman. Menghela nafas lega dalam diam.

Memang banyak ranjau yang mereka perlu hadapi untuk mengecapi kebahagiaan mereka sekarang. Namun semuanya berbaloi. Sehingga ke hari ini dia tidak pernah lupa untuk memanjatkan rasa syukur kepada Tuhan atas peluang berharga yang diberikan oleh-Nya.

Jika tidak kerana izin-Nya, sudah pasti dia sudah tidak lagi berpijak di atas muka bumi ini. Kejadian yang hampir meragut nyawanya membuatkan dia lebih mensyukuri segala nikmat yang diberikan. Mengajar dia erti kesyukuran dan menjanjikan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat.

Bibir Ariana naik mengukir senyuman apabila Adi Ashraf mencubit pipinya. Kali ini giliran dia pula yang menghadiahkan ciuman pada tangan suaminya. Dia menyulami tangan mereka bersama. Jarinya terletak sempurna dalam genggaman suaminya.

Ariana membuang pandangan ke luar. Wajah Haris Irfan tiba-tiba muncul di ruang fikiran. Serta-merta, dia melepaskan keluhan berat. Hatinya sedih mengenangkan nasib lelaki yang pernah digelar sahabat itu.

Dia sudah lama memaafkan Haris. Dirinya tak mahu menyimpan dendam terhadap lelaki itu lagi. Biarlah perkara yang lepas dibiarkan berlalu. Yang lebih mengejutkan, Haris didiagnos menghidapi sakit mental.

Dia disahkan menghidapi penyakit itu selepas mengaku melihat bayangan arwah Mawar dan Naufal menghantui hidupnya. Akhirnya, hujung tahun yang lalu, Haris dimasukkan ke dalam penjara atas tuduhan cubaan membunuh untuk kes kemalangan Naufal. Ariana jatuh simpati kepada Haris. Mungkin itu kifarah yang diberikan kepada Haris.

"Sayang, termenung apa? Jom, dah sampai." tegur Adi Ashraf yang sudah membuka tali pinggang. Enjin juga sudah dimatikan.

Lamunan Ariana terhenti seketika terhadap perkara yang terjadi kepada mereka berdua sejak dua tahun yang lalu. Dia membuka tali pinggang keledar sementara Adi Ashraf membuka pintu untuknya. Tangannya dihulurkan.

"Jom."

••???••?????••???••

"Nak makan apa?" tanya Adi Ashraf di sebelah Ariana. Mereka berjalan beriringan. Tangan Adi Ashraf dipeluk oleh Ariana dari tepi. Kepalanya dilentokkan pada bahu milik suaminya.

"Hmmm, nak tu!" ucap Ariana gembira apabila melihat sebuah kedai aiskrim yang terdapat di situ. Dia mengangkat kepala memandang ke arah suaminya.

"Sayang kena makan nasi dulu. Nanti muntah lagi." balas Adi Ashraf dengan berat hati. Ariana mengangguk tanda faham tanpa banyak tanya. Entah kenapa, seleranya asyik bertukar sejak kebelakangan ini. Adi Ashraf mengerutkan dahi. Pelik dengan Ariana yang tiba-tiba mendengar kata.

"Sayang okay ke? Tak nak marah abang?" tanya Adi Ashraf pelik. Ariana mempamerkan riak wajah yang sama seperti Adi Ashraf. Apa yang tak okay dengan dia?

"Riana okay. Jomlah pergi makan nasi. Lapar..."  ucap Ariana dengan wajah yang dimonyokkan. Perutnya digosok secara memutar. Dari tadi berbunyi diminta untuk diisi.

Belum sempat Adi Ashraf membalas, sepasang suami isteri melintasi mereka berdua. Si isteri yang mengandung menarik perhatian Ariana untuk seketika. Kelihatan wajah wanita itu berseri-seri.

Ariana menundukkan wajah memegang perutnya sendiri. Mengenangkan dia kepada kegugurannya pada kali pertama dia mengandung. Sejak daripada kegugurannya, doktor mengatakan mereka berdua sukar untuk mendapat anak. Tetapi mereka berdua tetap tidak berputus asa dan sentiasa ikhtiar. Tahu pasti ada hikmahnya.

Usai pasangan suami isteri itu pergi, Adi Ashraf  menjatuhkan pandangan pada isterinya yang diam. Wajah masam Ariana menandakan ada sesuatu yang menganggu fikiran isterinya itu. Adi Ashraf segera melingkarkan tangan pada pinggang isterinya.

"Sayang..." panggil Adi Ashraf lembut. Dagu isterinya diangkat.

"Hmmm..." balas Ariana melarikan pandangan mata Adi Ashraf.

"Sayang tahukan abang sayang Riana. Tak kira apa jadi sekalipun. Jangan fikir masa lalu okay. Biar abang jadi masa sayang yang sekarang, masa depan dan selamanya. Tak ada siapa bolehkan pisahkan kita melainkan kematian, faham?" ucap Adi Ashraf menarik perhatian Ariana. Membuatkan Ariana memandang ke dalam anak mata suaminya yang hanya mempamerkan kasih sayang suaminya kepadanya.

Ariana mengangguk tanda faham. Senyumannya tak dapat disembunyikan lagi. Hilang segala kebimbangannya apabila mendengar kata-kata Adi Ashraf
Seringkali dia berasa bimbang sekiranya dia tak dapat memberikan anak untum mereka berdua. Namun setiap kali perkara itu terlintas di fikiran, Adi Ashraf akan membuktikan bahwa semua itu salah sama sekali.

"Thanks for everything, hubby." ucap Ariana pada Adi Ashraf. Dia mencium pipi Adi Ashraf sekilas sebelum melarikan diri ke arah sebuah restoran. Adi Ashraf menurut langkah isterinya dengan senyuman menghiasi wajahnya.

"Sayang!"

••???••?????••???••

Adi Ashraf segera mengambil tempat dihadapan isterinya. Dia menongkat dagu melihat Ariana yang sedang menjamu selera. Bukan main banyak lagi hidangan makanan yang dipesan oleh Ariana namun Adi Ashraf langsung tidak mengatakan apa-apa. Barangkali isterinya sedang kelaparan.

Walaupun sebenarnya dia agak hairan dengan selera besar Ariana dalam beberapa minggu ini. Sudu yang berada pada tangan Ariana diambil oleh Adi Ashraf. Ariana mahu merampas semula tetapi Adi Ashraf tidak mahu membenarkan.

"Biar abang suapkan." ucap Adi Ashraf menyuakan sesudu makanan tersebut pada mulut Ariana. Laju sahaja Ariana membuka mulut. Matanya terpejam menikmati keenakan makanan tersebut.

"Sedap sangat ke?" tanya Adi Ashraf ingin tahu. Ariana mengangguk tanda mengiyakan. Dia menyuap Adi Ashraf pula sesudu. Sebelum menyuapkan dirinya dua sudu lagi.

"Sayang, comot. Sini." tegur Adi Ashraf bersama tisu di tangan. Ariana mendekatkan mukanya pada Adi Ashraf menunggu kotoran di mulutnya dibersihkan. Adi Ashraf tersengih.

Chup!

Pipi gebu milik Ariana dicium sekilas oleh Adi Ashraf. Ariana membulatkan mata. Dia segera memandang sekeliling risau sekiranya ada orang yang melihat apa yang dilakukan oleh suaminya.

"Apa ni, malulah!" adu Ariana menampar lengan suaminya. Adi Ashraf melepaskan tawa dengan selamba. Dia kembali menyuap Ariana semula.

"Biarlah. Makan cepat." ucap Adi Ashraf. Ariana mengunyah makanan itu dengan perlahan. Dia memandang wajah suaminya dengan pandangan tajam. Tangannya memegang pipinya.

"Stop, dah kenyang. Nampak tak pipi Riana dah tembam." omel Ariana sambil memegang pipinya yang gebu. Malah lebih gebu dari biasa menandakan berat badannya makin bertambah.

Adi Ashraf menafikan dengan menggeleng. Memang benar pipi Ariana kelihatan tembam tetapi isterinya kelihatan lebih comel sebegitu. Dia mencubit pipi Ariana tanda geram.

"Mana ada tembam. Kalau tembam pun tak apa, baru best abang peluk malam-malam." ucap Adi Ashraf menyuap sesudu makanan ke dalam mulut Ariana.

"Janganlah suap lagi! Nanti baju Riana dah tak muat nak jadi pengapit Maisarah..." rungut Ariana menarik sudu dari tangan Adi Ashraf.

"Janji sayang muat dalam hati abang sudah la eh." balas Adi Ashraf tersengih. Dia tetap mahu menyuap Ariana semula. Namun dihalang oleh  Ariana. Dia bingkas berdiri. Wajahnya masam mencuka tanda merajuk.

Adi Ashraf segera berdiri. Panik apabila menyedari Ariana merajuk. Dia menarik tangan isterinya. Ariana melepaskan pegangan  Adi Ashraf pada tangannya.

"Sayang, janganlah merajuk. Abang gurau je." pujuk Adi Ashraf. Ariana mengeleng kepala.

"Abang, Riana nak pergi tandaslah." balas Ariana. Dia mahu memeriksa sesuatu. Selera makanannya yang bertambah, berat badannya naik mendadak dan emosi yang tidak stabil seperti menandakan sesuatu.

"Nak teman." celah Adi Ashraf membuatkan Ariana mengeleng laju. Gila ke suami dia ni?

"Mana boleh! Abang laki!" marah Ariana. Dia melepaskan keluhan. Dia mengambil sesuatu dari dalam begnya sebelum masuk ke dalam tandas wanita.

Adi Ashraf berdiri menunggu isterinya dengan penuh sabar. Dia sempat menghabiskan makanan mereka berdua. Pembayaran juga sudah diselesaikan. Lebih kurang 10 minit, dia menunggu tetapi Ariana masih tidak keluar.

Dia mula risau. Dari tadi dia sudah berjalan ke hulur hilir. Lagaknya seperti orang yang menunggu seseorang selesai daripada pembedahan. Tak lama kemudian, figura Ariana muncul di hadapan Adi Ashraf.

"Sayang, kenapa ni? Kenapa nangis? Period pain?" tanya Adi Ashraf panik melihat Ariana yang muncul dihadapannya dengan air mata yang mengalir laju. Ariana mengeleng kepala tanda menafikan.

Dia menyembamkan wajah pada dada Adi Ashraf. Tangannya memeluk pinggang suaminya. Esakan yang kedengaran kini semakin perlahan. Adi Ashraf membalas pelukan isterinya.

"Shhh, abang ada. Kenapa hmmm?" bisik Adi Ashraf lembut pada telinga isterinya. Dia menyeka air mata yang mengalir di pipi Ariana. Ariana menarik nafas panjang.

"Riana mengandung." ucap Ariana dengan sekali nafas. Dia kembali mengalirkan air mata gembira. Dirinya sendiri tak menyangka perkara itu. Adi Ashraf tersentak.

Tangannya segera memegang perut Ariana. Pandangannya jatuh pada tangannya yang diletakkan pada perut isterinya. Ariana tersenyum kepada suaminya.

"Baby? Abang dengan sayang?" tanya Adi Ashraf kepada Riana dengan nada yang tidak percaya. Ariana mengangguk laju tanda mengiyakan.

Tanpa amaran, tubuh Ariana dipeluk oleh Adi Ashraf dengan erat. Namun kali ini dengan lebih berhati-hati. Risau sekiranya mencederakan anaknya dan Ariana. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan Adi Ashraf pada ketika itu.

"Abang nak jadi papa! Sayang mengandung!" ucap Adi Ashraf dengan penuh teruja. Ariana melepaskan tawa melihat reaksi suaminya. Dia menutup mulut suaminya apabila menyedari suara Adi Ashraf yang menarik perhatian orang yang lalu lalang.

Adi Ashraf tersengih kerang di sebalik tangan isterinya. Tak semena-mena, tangan Ariana dialihkan oleh Adi Ashraf. Tubuhnya kini dicempung oleh suaminya.

"She's preg-" jerit Adi Ashraf tetapi terhenti apabila dihalang oleh Ariana. Matanya dibulatkan kepada suaminya. Dia menahan senyuman daripada terukir di bibir.

"Adi Ashraf!"

Updated!
Wait for epilog tomorrow yeay ??
Stay tune?
Don't forget to vote
And leave a comment!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience