13

Romance Completed 132664

Azan subuh yang berkumandang mengejutkan Hana dari lena. Lengan Hazim yang mengalasi perutnya digosok perlahan.

"Abang, subuh.." bisik Hana.

Walaupun masih belum baik hubungan mereka, menjadi tanggungjawabnya untuk mengingatkan sang suami tentang kewajipan yang satu itu.

Hazim yang sedang melawan rasa mengantuk sempat mencapai tangan Hana yang ingin bangkit.

"Tunggu abang, kita solat sekali."

Selesai memberi salam, Hazim dan Hana memanjatkan doa ke hasrat illahi. Meminta agar rumah tangga yang dibina dilimpahi rahmat dan dijauhkan dari sebarang perkara tidak baik.

Malah itulah doa yang sering disebut-sebut oleh Hana kebelakangan ini. Usia perkahwinan yang terlalu muda itu pasti banyak cabarannya. Hanya yang sabar akan berjaya mempertahankan ikatan suci itu.

Hazim menyentuh tangan Hana yang masih menadah, mengembalikan gadis itu ke alam realiti. Doa diaminkan lalu tangan Hazim disalam tanpa disuruh.

Hazim membalas dengan sebuah ciuman di dahi. Menatap wajah suci itu di awal pagi menghadirkan satu perasaan yang damai. Hilang seketika kekusutan yang dihadapi.

"Ati sediakan breakfast dulu." Hana berlalu meminta diri.

Masih belum tahu apa yang hendak dibicarakan dengan Hazim pagi itu. Kekok sungguh rasanya. Semalam Hazim memujuknya lagi sewaktu dia berpura-pura tidur.

Mendengarkan kesungguhan Hazim, hati Hana cepat tersentuh. Namun begitu, dia masih belum mahu berbicara tentang perkahwinan Hazim dengan bakal madunya.

Tidak percaya dia bakal bermadu dengan Mona. Tidak pernah dia bayangkan situasi itu. Fikirnya Hazim hanya akan jadi miliknya seorang.

Selesai menggoreng bihun dan keropok ikan, Hana membancuh seteko teh o panas pula. Hazim yang dari tadi sudah terbau harum masakan Hana masih berbaring di atas katil di bilik.

Belum selesai lagi sesi memujuk isterinya, harus diteruskan lagi pagi ini. Sengaja dia tidak mahu mengganggu Hana di dapur. Biarlah gadis itu selesai kerja-kerja memasaknya dahulu.

Sebelum lebih jauh dia mengelamun, terjengul wajah Hana di muka pintu.
"Abang, makan."

Laju Hazim bangkit dari pembaringan. Hana pula tidak menunggu malah dia berjalan turun ke dapur tanpa berkata apa.

Suasana masih senyap di meja makan. Selesai menghidangkan makanan Hazim. Hana menuangkan dirinya secawan teh o. Jam menunjukkan pukul 8 lebih. Masih sempat untuk dia bersiap.

"Sayang kenapa tak makan?" tanya Hazim sewaktu perasan Hana hanya menghirup air.

"Ati nak keluar nanti. Nak pergi majlis akad nikah Tasha." Hana berterus terang, lagi pula dia belum meminta izin dari suaminya.

"Oohh.." Hazim mengangguk. Batal nampaknya plan dia untuk meluangkan masa dengan Hana di rumah.

Takkanlah Hana sengaja mahu mengelak dari duduk dengannya?

Hana mengerling sebentar ke arah Hazim yang sedang makan. Tiada riak di wajah itu.

"Abang... izinkan tak?" lama Hana diam sebelum meminta kebenaran.

"Pergilah." mahu mengikut, bimbang terbongkar pula rahsia mereka. Hazim membenarkan sahaja. Biarkan Hana keluar untuk release tension.

Hazim bersandar di pintu sambil memerhati pantulan muka Hana di cermin. Hana yang sedang merias wajah buat kali terakhir hanya membalas dengan riak serius.

'Tengah marah pun cantik' bisik hati Hazim.

Bayangan Hazim yang sedang berjalan ke arahnya dibiarkan. Hari ini dia turut menyarungkan sehelai shawl berwarna biru lembut, sepadan dengan baju peplum yang dipakai. Mengikut tema yang sudah ditetapkan.

"So cantik, sayang." tangan Hazim melingkar di pinggang Hana. Sejuk mata memandang wajah Hana bertudung.

Kucupan diberi di bahagian pipi kiri Hana. Sungguh dia ingin berlama-lama begini dengan Hana tapi apakan daya, Hana cuma senyum hambar.

Selesai bersiap, tangan Hazim dicapai dan Hana menciumnya tanda ingin pergi. "Tengah hari nanti Ati balik."

Hazim menghantar pandangan ke arah Hana yang makin menjauh. Hatinya terusik dengan layanan dingin Hana, namun dia mengerti.

-

Bergema sahaja perkataan 'sah', seluruh isi masjid itu mengucapkan syukur. Hana memaut bahu Tasha yang kegembiraan. Selamat sudah sahabatnya menjadi isteri orang.

Hana turut berkongsi rasa bahagia apabila melihat pengantin lelaki menyarungkan cincin kepada Tasha. Jelas keceriaan di wajah Tasha dan pasangan. Dalam diam, Hana terharu.

Sewaktu acara lafaz taklik, Hana yang cuba menenangkan Tasha yang sebak turut bergenang mata. Terbayang pula wajah suami di ingatan. Makin tak keruan dibuatnya.

Hana sebak lagi ketika sesi bersalaman Tasha bersama orang tuanya. Betapa seorang ayah berharap agar puteri yang selama ini dijaga dengan penuh kasih sayang, akan dilindungi sebaik mungkin oleh suami.

'Hana teringatkan mama dan ayah'
Apakah perasaan orang tua itu nanti sekiranya mendapat tahu bahawa puteri bongsunya sudah menjadi isteri orang? Marahkah? Gembirakah seperti ibu dan bapa Tasha?

Alangkah indahnya jika majlis akad nikah dia seindah ini. Dihadiri oleh sanak saudara dan teman rapat yang membawa seribu satu rahmat dan doa yang baik-baik.

Selesai majlis Tasha, Hana meminta untuk pulang memandangkan waktu sudah melepasi waktu zohor. Di dalam kereta Hana termenung. Bersyukur majlis Tasha berjalan lancar, dalam masa yang sama dia juga sebak.

Tidak terlintas di fikiran Hana, majlis nikah Hazim nanti bukan dia pengantin perempuannya. Tabahkah dia menghadapi hari itu? Allahu...

Air mata yang ditahan sejak tadi mengalir jua. Tiada siapa yang tahu kesedihan di hati. Tiada tempat untuk Hana mengadu dan menagih simpati.

"Ya Allah... kuatkan aku.." ucap Hana terketar-ketar.

Dalam kesedihan, digagahi jua untuk dia menghantar pesanan kepada Hazim. Selagi dia bergelar isteri Hazim, dia akan tetap menyayangi dan menjaga lelaki itu sebaik mungkin. Itu janjinya.

'Salam abang. Abang dah makan?'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience