Bab 1

Action Series 1929

"Jikalau masa boleh diputar kembali, buat apa memeningkan kepala memikirkan pilihan yang tidak pasti?"

****
Peperangan yang tercetus di selatan Rom amat membimbangkan kerajaan sehingga satu sidang gempar diadakan di istana.

Hadrianus, panglima perang atasan telah hadir lebih awal bersama kawan baiknya, Antinous.

Di meja bulat, mereka berbincang dengan kusyuk bersama raja Rom, dan beberapa pahlawan Rom lain.

"Bagaimana dengan strategi pusing-siur?", Hadrianus yang terkenal pintar mencadangkan. "Berlawan dengan askar yang menganggap lawannya tidak berkebolehan dapat membuka peluang lebih besar dari apa yang kita korbankan.", terangnya.

Raja Rom meminta kertas kerja, "Menurut kau, apa yang perlu dikorbankan?"

Hadrianus tersenyum. "Nyawa tentera kita."

Semua ahli meja bulat nyata membuntangkan mata.

"Tentera kita?"

Suara-suara sumbang kedengaran, rata-rata menolak rancangan gila itu. Mana mungkin mereka mengorbankan nyawa askar sendiri.

Raja Rom berfikir sejenak. "Sudah. Walaupun panglima perang atasan selalu mempunyai idea bernas, kebimbangan untuk strategi ini nyata. Kalau boleh, jelaskan."

Hadrianus mengangguk. Pantas tangannya menarik Antinous untuk menunjukkan peta yang telah dilakar. Dia memberitahu tempat perhentian dan huraian strategi dengan teliti. Tanpa ada satu pun yang tinggal, terbukti kepintaran panglima perang atasan masih boleh pakai.

Perbincangan itu berlangsung hingga ke lewat petang. Hadrianus yang kepenatan tidak ingin mencari kawannya kerana dia pasti Antinous ada menunggunya di perkarangan hadapan seperti biasa.

"Nah.", Hadrianus menyerahkan token penghargaan puteri Rom kepada Antinous.

Puteri Rom amat menggemari pahlawan kerajaannya, turut mengagumi Hadrianus dan Antinous yang sering bergerak bersama. Puteri Rom menganggap mereka sebagai sebuah syiling yang saling melengkapi. Keputusan raja untuk menganugerahkan mereka pangkat tertinggi dalam ketenteraan dilihat sebagai satu keberkatan atas kerajaan Rom.

"Haih, terima kasihlah." Antinous menyimpan token tersebut dan kembali bertanya tentang ekspedisi perang pada minggu hadapan.

"Seperti biasalah. Aku akan pergi dengan tentera risikan. Kita jumpa di sempadan tenggara dua hari kemudian."

"Baik, baik." Antinous tersengih. "Kau nampak gementar, sejujurnya."

"Aku merasakan pengakhiran hidup semakin hampir."

"Kalau itu berlaku pun, bukan dalam masa terdekat." Antinous menepuk bahu kawannya. "Kau masih ada masa. Yang akan mati dulu antara kita ialah aku."

"Antinous." dia tidak suka apabila kawannya senang betul menyumpah diri begitu.

"Suara garang kau tidak berguna pada aku. Sudahlah, tidak usah berkata perkara ni lagi. Bagaimana dengan Vibia dan anak kau, Antoninus? Dengarnya kau akan menghantar dia jauh dari Rom."

Hadrianus menghela nafas penat. "Vibia baik. Antoninus juga. Kau tahu persekitaran sekarang tidak memungkinkan. Aku ingin dia belajar di Hispania."

"Adriana pasti akan sedih mengetahui berita itu.", Antinous memaklumkan.

Hadrianus mengangguk. "Bagaimana dengan anak perempuan kau? Aku sudah lama tidak nampak dia."

"Mana tidak, kita semakin sibuk untuk persiapan perang." Antinous tersengih sebelum menyambung, "Adriana mengurangkan sedikit perangai gasarnya. Walaupun berasa lega, kadang aku rindu perangai semula jadinya itu."

Hadrianus tersenyum, "Kau terlalu keras mengajarnya."

Antinous mengusik tidak ingin kalah, "Dan kau pula terlalu kuat memanjakannya."

Senda gurau dan perbualan mereka tidak putus sehinggalah mereka sampai di rumah Hadrianus. Vibia yang perasan kedatangan mereka terus menyambut dengan wajah riang, walaupun dapat terlihat kegusaran disebalik senyuman manis itu.

Hadrianus menarik tangan isterinya ke hujung bilik sebelum bertanya, "Apa yang mengganggu fikiran?"

"Antoninus telah hilang sejak tengah hari tadi."

"Hm..." Hadrianus mengusap dagu. "Biar aku tanya Antinous berkaitan Adriana dahulu."

"Baiklah." Vibia akur.

Mereka kembali ke ruangan utama. Hadrianus mengambil tempat di sebelah kawannya dan bertanya, "Kau tidak mendengar apa-apa berita berkaitan Adriana?"

"Tidak. Antoninus hilang lagi?"

"Ya."

Antinous tidak kelihatan terkejut. "Kebiasaan waktu-waktu begini, pasti mereka berdua bermain di tasik.", jawabnya membuka pintalan kebimbangan suami isteri itu. "Kau seperti lupa. Mereka pasti akan balik sekejap lagi." tambahnya kemudian.

Benar seperti jangkaan Antinous, kanak-kanak yang hanya beza dua tahun itu kembali pulang.

Adriana nampak terkejut apabila melihat ayahnya di rumah itu. "Ayah!"

"Kamu sudah tidak ingin memberitahu ayah sebelum pergi?" Antinous berkata tegas. "Saudara tua kamu begitu risau."

Adriana menikus. Melihat wajah kasihan itu, Hadrianus bersuara, "Lain kali beritahu makcik Vibia sebelum keluar."

"Baik." Adriana menunduk. Perlahan-lahan dia bergerak ke belakang Hadrianus supaya dia tidak terus dimarahi.

Antinous yang melihat itu mulai sakit kepala. Hadrianus hanya ketawa dan mengangkat anak kecil itu dengan cermat.

"Dengar sini, peperangan semakin hampir. Ekspedisi perang akan dijalankan minggu hadapan. Dengar cakap Vibia dan bersikap baiklah."

Kedua kanak-kanak itu mengangguk faham.

"Jangan suka keluar tanpa memberitahu terlebih dahulu, lebih -lebih lagi di saat kritikal ini." Hadrianus menyambung.

Lagi sekali, mereka mengangguk faham.

Pada malam itu, Adriana tidak dapat tidur memikirkan kejadian di tasik petang tadi.

"Kau akan belajar jauh?" Adriana memecah sunyi apabila mereka hanya memukul air sejak setengah jam yang lalu.

Antoninus menghela nafas berat sebelum perlahan mengangguk. "Ayah ingin aku belajar dengan baik, dan ibu menyuruh aku untuk menjadi waris yang berkebolehan. Macamlah aku tahu...", ayat terakhir dibisik perlahan.

"Kau akan belajar di mana?"

"Hispania."

Adriana tidak mengerti wajah cemberut kawannya. Hispania merupakan tempat yang cantik. Dia yakin tempat itu menyeronokkan. Jadi mengapa Antoninus seperti tidak ingin pergi?

Penat berfikir sendiri, dia menyuarakan kebingungannya, "Hispania kedengaran mengagumkan. Kau tidak ingin pergi?"

Antoninus berdehem. Matanya merenung kawan kecil yang berwajah polos itu. Jika dia cakap apapun, Adriana tidak akan faham. Melihat betapa beruntungnya kehidupan gadis itu, Antoninus menjadi marah. Di ambil segenggam batu kerikil dan dibaling ke dalam tasik.

Adriana terkejut dengan tingkah laku kawannya yang tiba-tiba. "Antoninus!"

"Diam." Antoninus menjawab dingin.

"Kau marah aku?"

"Kau!" Antoninus merenung Adriana tajam. Dia mengatur nafasnya apabila melihat wajah itu kelihatan mendung. "Tidaklah. Aku tidak marah kau. Aku marah diri aku..."

"Oh. Sedihnya." Adriana menyuarakan pendapatnya, tetapi kedengaran sarkastik di telinga Antoninus.

Antoninus hanya tersengih dan berpaling. Tiba-tiba badannya terasa hangat. Adriana memeluknya erat sambil tangan menepuk bahu.

Antoninus terdiam. Perlahan air mata yang ditahan mengalir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience