“ASSALAAMU`ALAIKUM.” Mufidah memberi salam sewaktu pintu rumah sewa dia buka. Setelah melangkah masuk ke dalam rumah, pintu rumah terus dia kunci. Dia berjalan beberapa langkah menuju ke ruang tamu. Setelah itu dia duduk bersila di sebelah Qatrunnada. Tudung di kepala sudah dia tanggal dan letak di tepi.
“Wa`alaikumussalam. Yeah! Fida balik. Kau tahu tak Fida, bosan gila aku duduk seorang kat rumah. Tengok TV pun gambar ada tak ada macam hidup segan mati tak mahu aje. Ada kau ni bolehlah buat kawan berborak.” Qatrunnada dengan cerianya mengalu-alukan kepulangan Mufidah.
“Itulah aku fikir sebab kau seorang diri kat sinilah aku balik awal ni. Kau dah lunch? Aku ada bawa lauk masak lemak dari rumah.” Mufidah bertanya kepada Qatrunnada.
“Masak lemak? Wahhhhh! Kau macam tahu-tahu aje aku teringin nak makan masak lemak sejak dua hari lepas. Nak masak sendiri aku tak reti. Aku pergi beli kat gerai yang kita selalu makan tu tapi rasa dia macam lain je. Thanks Fida. Aku baru tanak nasi tadi, ingatkan nak goreng telur je tapi tak sangka kau bawa lauk masak lemak. Mesti sedap! Jom makan!” Qatrunnada yang gembira mendengar perkhabaran dari rakannya itu bersuara dengan ceria. Laju sahaja dia bangun dari duduknya menuju ke dapur. Dia menyendukkan nasi ke dalam dua buah pinggan dan dia bawa pinggan tersebut ke ruang tamu. Mufidah yang berada di ruang tamu pula sedang mengeluarkan lauk masak lemak yang dibawanya. Setelah itu dia ke dapur bagi mengambil sudu dan air minuman. Apabila semuanya siap terhidang, Qatrunnada dan Mufidah membaca doa makan dan mula menjamu selera.
“Nada, macam mana kau jawab online assessment kau hari tu?” tanya Mufidah.
“Aku minta permission nak guna WiFi rumah sebelah. Lepas tu dia bagilah aku password WiFi diorang.” Jawab Qatrunnada.
“Haha. Kau minta dekat siapa?” tanya Mufidah lagi kerana mereka hanya mengenali tiga orang sahaja jiran sebelah kiri mereka ini dan cuma dua orang sahaja yang rajin bertegur sapa dengan mereka.
“Dekat siapa lagi, dekat si WiFi itulah. Waktu tu dalam pukul 10.00 pagi diorang nak keluar pergi breakfast.”
“Yela. WiFi ada dua orang. Si Wai ke Si Fai?” tanya Mufidah lagi. Setelah itu dia menyuap nasi ke dalam mulutnya.
“Si Fai. Dia yang keluar rumah dulu waktu tu lepas tu baru Si Wai keluar.” Ujar Qatrunnada. Gelaran WiFi memang sinonim dengan dua orang jiran sebelah kiri mereka ini yang rajin bertegur sapa dengan mereka iaitu Wijdan dan Firhan.
“Oohh. Tapikan Nada, aku rasa WiFi tu minat kat kaulah. Dengan kita orang yang lain ni diorang berdua tu tegur biasa-biasa aje tapi bila dengan kau, senyum lebar diorang berdua tu bertegur sapa. Kau tak rasa ke?” Mufidah membangkitkan apa yang selama ini ahli rumah sewa tersebut perasan dengan perangai WiFi rumah sebelah itu.
“Ish, kau ni Fida! Ada-ada aje. Aku tak rasa apa-apa. Aku rasa biasa aje. Mungkin diorang berdua tu keturunan terlebih peramah kut, nak buat macam mana. Lagipun kau tahukan keadaan aku sekarang. Dah-dah, tak nak cakap pasal diorang dah. Jom makan sampai kenyang.” Qatrunnada menafikan telahan Mufidah. Dia dengan berseleranya meneruskan suapan makanan tengah hari.
Share this novel