BAB 9

Thriller Completed 2943

“Kalau enam belas tahun dulu kau bersumpah takkan kacau hidup aku, aku takkan buat engkau sampai jadi macam ni, Doktor Aniff! Tapi, disebabkan enam belas tahun lalu, aku bersumpah yang aku akan buat engkau dan kawan-kawan kau terseksa sampai macam ni!”

‘Bang!’ Pintu keranda ditutup!

Aniff, Mutalib dan Alan sedang menunggu di bawah sebatang pokok yang terletak di luar pagar sekolah. Mereka mahu membuat perhitungan. Tumbukan sulung ke muka Aniff beberapa hari lepas cukup memalukan.

Tambahan pula, Yanto telah mendapat sokongan daripada Cikgu Hailey. Setiap aduan yang dibuat mendapat belas kasihan. Yanto memang patut diajar!

Kelihatan Yanto baru sahaja melepasi pagar sekolah. Wajahnya tersenyum girang.

“Opsss! Tunggu dulu Encik Keranda Kayu bin Tukang Gali Kubur...,” terbahak-bahak ketawa Mutalib dan Alan. Hampir terguling-guling mereka menahan jenaka kasar Aniff. Yanto tidak mahu bertelagah lagi. Dipaksakan kakinya berlalu meninggalkan Aniff dan kawan-kawannya.

“Nanti! Jangan sombong, kawan.” Aniff memberi isyarat kepada Mutalib dan Alan. Mereka terus menangkap badan Yanto lalu ditolak ke suatu kawasan semak.

“Kau orang nak buat apa ni? Apa dosa aku sampaikan kau orang benci sangat dengan aku?” Rintihan Yanto masih di awang-awangan. Tidak ada sesiapa di antara mereka bertiga yang mempedulikannya.

Aniff menyeluk ke dalam beg galas. Di tangannya, ada satu bungkusan hijau dan isinya berwarna putih. Dengan pantas, dituang isi bungkusan itu ke dalam mulut Yanto.

“Uhuk!”. Tersedak-sedak Yanto dibuatnya. Serbuk tepung yang dituangkan Alan itu mengembang di rongga mulut. Aniff kemudiannya mengoyak mulut Yanto, lalu dibuangnya baki kahak yang menguning ke dalam mulut yang sama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience