Kelihatan Ariana sedang duduk di ruang tamu bersendirian. Televisyen yang dihidupkan memaparkan pelbagai rancangan aneka ragam tetapi tiada satu pun yang menarik perhatian dirinya.
Mungkin juga kerana ada perkara yang sudah berlegar-legar di fikirannya sejak dari petang tadi. Perbualannya bersama suaminya mengingatkan dirinya tentang abang angkatnya, Naufal.
Sebuah keluhan kecil dilepaskan dari mulutnya tanpa sengaja. Dia sudah bersiap sedia untuk menjelaskan segala-galanya. Namun bukan segala-galanya tetapi hanya beberapa perkara sahaja yang dia mahu Adi Ashraf tahu buat masa ini.
Dengan harapan suaminya akan lebih faham tentang keadaaannya sekarang. Dalam pada masa yang sama dapat meringankan beban yang di rasakan oleh dirinya selepas berbuat demikian.
Keberadaannya di ruang tamu disedari oleh Tok Wan. Tanpa berkata apa-apa, wanita tua itu telah pun mengambil tempat di sebelah Ariana yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.
Tangannya yang sudah berusia itu mengusap lembut tangan Ariana cuba menenangkan gadis itu. Tindakan tersebut serta-merta membuatkan Ariana melepaskan nafas lega.
Bibirnya mengukir senyuman nipis sebelum dia mengeratkan lagi pegangan tangan. Lalu, kepalanya pula dilentokkan di bahu Tok Wan. Tak lama kemudian, kepalanya diusap lembut lalu dicium penuh kasih.
Ariana hanya diam cuba untuk menikmati belaian kasih sayang daripada Tok Wan setelah sekian lama mereka tak berjumpa. Tambahan pula, dia amat memerlukan semua ini terutamanya sekarang.
"Lia... Ada apa-apa yang Lia nak cakap ke hmmm?" tanya Tok Wan lembut. Dia dapat merasakan sesuatu yang menganggu anak perempuannya itu.
Ariana sudah tahu soalan itu yang akan ditanyakan kepadanya. Hal ini kerana seperti mana Tok Wan mengenali dirinya sebegitu juga dia mengenali Tok Wan.
Hubungan mereka berdua yang amat rapat sejak dirinya kecil lagi. Oleh itu juga dia tahu tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada Tok Wan. Tiada apa yang dia dirisaukan apabila dirinya bersama Tok Wan membuatkan dia berasa lebih senang.
"Tok... Lia teringatkan abang Naufal." luah Ariana akhirnya berterus-terang. Terasa lega hatinya apabila dia telah meluahkan perkara itu kepada seseorang.
Tok Wan tersenyum kecil sebaik mendengar luahan daripada anaknya itu tentang anak lelakinya, Naufal. Dia sudah sedia maklum tentang hubungan mereka yang agak akrab.
Namun apa yang membuatkan Ariana teringatkan semula tentang Naufal membuatkan dia tertanya-tanya. Dia tahu pasti ada sesuatu lagi yang disembunyikan oleh anaknya.
"Lia... Kenapa ni cuba cakap dengan Tok? Kenapa Lia teringat dekat Naufal?" soal Tok Wan cuba mendapatkan jawapan. Dia tahu Ariana rindu dengan anaknya seperti dia juga. Tak pernah sekali pun dia lupa tentang anak lelakinya Naufal, apatah lagi merindukannya.
"Ash buat Lia teringat dekat abang Naufal Tok. Dia nak jumpa abang Naufal. Lia takut Lia tak kuat nak tahan diri daripada jadi macam dulu bila jumpa dia." tambah Ariana lagi. Tetapi kali ini dengan nada yang sayu. Dia menundukkan pandangan.
Tok Wan mula memahami keadaan Ariana. Dia sendiri tahu tentang perasaan tersebut. Bukan hanya mereka berdua tetapi Encik Johan dan Puan Sandra juga. Anak lelakinya Naufal benar-benar meninggalkan impak besar kepada mereka.
"Tok... Lia rindu abang Naufal." luah Ariana dengan perasaan sebak. Kata-kata Ariana membuatkan Tok Wan menariknya ke dalam pelukan. Mereka berdua berpelukan lama.
"Tok pun rindu Naufal. Esok kita jumpa dia hmmm." pujuk Tok Wan sambil mengusap belakang badan Ariana. Dalam erti kata lain, dia cuba memujuk dirinya juga.
Rasa rindunya terhadap Naufal sudah lama bersarang di dalam hati. Mungkin pada kesempatan ini, dapat juga dia lepaskan apabila bertemu anaknya esok hari.
"Tok, Lia bawak Ash sekali boleh? Lia nak kenalkan dia dekat abang Naufal." ucap Ariana apabila teringat janjinya kepada suaminya untuk memperkenalkan Naufal.
"Boleh, sayang. Ash patut tahu. Lia tak boleh sembunyikan perkara ni selama-lamanya. Lia faham kan?" balas Tok Wan cuba mengingatkan anaknya. Ariana mengangguk tanda faham. Tok Wan mengukir senyuman tanda lega.
"Lia gembira dengan Ash?" soal Tok Wan lagi cuba menduga hubungan pasangan suami isteri itu. Laju sahaja Ariana mengangguk tanpa ragu-ragu. Membuatkan Tok Wan mengukir senyuman penuh makna.
"Dah lewat malam ni. Lia masuklah tidur. Kesian dekat Ash tunggu lama dalam bilik. Tok tak nak tengok Lia sedih sedih lagi. Abang Naufal nak Lia gembira bukan sedih ingat tu. Kalau bukan dengan dia tapi dengan Ash. Lia takkan jadi macam dulu kalau jumpa Naufal, Tok dengan abang Naufal tahu Lia kuat. Lia kena kuat untuk Ash dengan Naufal." pesan Tok Wan panjang lebar. Semoga kata-katanya dapat membantu Ariana mengatasi segala ujian yang bakal hadir pada masa akan datang.
"Terima kasih Tok. Kalau Tok dah tak ada, Lia tak tahu nak buat apa. Lia sayang Tok Wan sangat-sangat." luah Ariana sambil tersenyum. Dia bersyukur kerana masih mempunyai Tok Wan disisinya.
"Tok Wan pun sayang Lia. Dah pergi tidur cepat. Nanti bangun lewat." marah Tok Wan cuba mengusik. Pipi gebu milik Ariana dicubit.
"Selamat malam, Tok Wan. Lia sayang Tok Wan!" ucap Ariana buat kali terakhir sebelum mengorak langkah ke bilik tidurnya. Sempat dia menghadiahkan ciuman di pipi Tok Wan.
Kini dia tidak lagi bersusah hati selepas berbual dengan Tok Wan. Pintu biliknya dibuka. Ruang biliknya yang masih cerah membantu dia menemui susuk tubuh suaminya yang sudah lena diulit mimpi.
"Oh tidur tak tunggu aku pun." bisik Ariana sendiri. Dia menutup semula pintu biliknya. Usai itu, dia mengambil tempat di sebelah suaminya. Kepalanya digelengkan apabila melihat tubuh suaminya dikelilingi dengan beberapa keping gambarnya bersama Naufal.
"Tak sabar betul kau nak jumpa Naufal kan, Ash?" soal Ariana kepada suaminya yang masih lena diulit mimpi itu. Tangannya pantas mengambil semua gambar tersebut untuk disimpan semula.
Sesekali dia tersenyum apabila terpandang gambarnya bersama Naufal sedang tersenyum lebar. Jelas terpamer kegembiraan pada wajah mereka berdua pada ketika itu. Mengimbau semula kenangan mereka berdua pada suatu masa dahulu.
Dia meletakkan semula gambar-gambar tersebut ke dalam laci. Tubuh suaminya diselimutkan sehingga paras dada. Rambut yang menutup dahi suaminya diselak oleh Ariana penuh kasih.
Pandangannya jatuh pada cincin perkahwinan mereka berdua yang telah berlangsung beberapa bulan lalu. Cincin tersebut nampak cantik tersarung pada jari manisnya yang runcing.
Pandangannya beralih pada wajah suaminya yang sedang lena. Memori mereka berdua bersama pada awal perkahwinan membuatkan dia tersenyum.
Tanpa dia sedari, dirinya sudah terbiasa dengan kehadiran Adi Ashraf di dalam kehidupannya sekarang. Dirinya tak dapat membayangkan kalau suatu hari nanti Adi Ashraf akan meninggalkan dirinya.
Walaupun jauh di sudut hati, dia tahu perkara itu akan terjadi juga pada akhirnya. Hanya cepat atau lambat sahaja sebelum segala-galanya terbongkar.
Namun sebelum itu terjadi, dia berjanji akan membahagiakan Adi Ashraf sedaya upaya dirinya. Walaupun itu akan bermakna dia juga akan terluka pada akhirnya. Dia kena kuat untuk suaminya dan Naufal sepertimana yang dia katakan oleh Tok Wan.
Akhirnya, dia menghadiahkan sebuah ciuman hangat pada dahi suaminya sebelum mula berlayar di alam mimpi. Semoga segala-galanya baik-baik sahaja.
"Goodnight, Ash."
Sementara itu, Alif Zafran sedang sibuk menyiasat butiran maklumat mengenai Naufal sebaik menerima mesej daripada Adi Ashraf. Mesej yang dihantar oleh Adi Ashraf tentang Naufal yang berkemungkinan menjadi salah seorang suspek yang di dalam kes yang disiasat olehnya.
Dalam diam, dia turut bersetuju dengan teori Adi Ashraf namun dia bertindak untuk tidak menuduh melulu. Dia perlukan bukti yang lebih kukuh untuk membuktikan penglibatan Naufal dalam kejadian serangan terhadap Ariana beberapa bulan yang lalu.
Malangnya apa yang ditemukan olehnya tentang Naufal benar-benar memeranjatkan dirinya. Dia meraup muka tanda kecewa kerana gagal menemukan dalang disebalik semua ini.
Namun pada masa yang sama bersyukur kerana dia tidak bertindak terhadap orang yang tidak bersalah seperti Naufal. Nampaknya dia perlu meneruskan siasatan.
Sebelum itu, dia menghantar sebuah salinan fail yang ditemukan mengenai Naufal kepada Adi Ashraf untuk menjelaskan salah faham mereka berdua terhadap Naufal. Alif Zafran mula memikirkan persoalan yang baharu yang perlu dia selesaikan.
"Kalau bukan Naufal, siapa?"
???????????????????
Keesokannya harinya, Adi Ashraf sedar dari lena tanpa isterinya disebelah. Dia mengerutkan dahi cuba mengingat sesuatu sekiranya dia ada membuatkan isterinya itu marah atau apa. Malangnya tiada satu pun yang terlintas difikiran.
"Dia merajuk ke? Tapi apa aku buat kali ni?" monolog Adi Ashraf sendirian. Dia terpaksa memulakan harinya dengan perasaan tidak senang hati.
Kakinya mengatur langkah ke dalam bilik air untuk membersihkan diri. Otaknya pula masih ligat memikirkan seribu satu cara untuk memujuk isterinya yang sedang merajuk. Tetapi persoalannya kenapa?
Perlukan dia menghubungi Akid Ahnaf untuk meminta petua daripada adiknya?
Dia mengeleng kepala apabila terfikir dia bakal diketawakan oleh adiknya apabila bertanya soalan sedemikian. Adik dia bukan boleh percaya sangat.
Lebih-lebih lagi kalau Akid Ahnaf!
Usai membersihkan diri, dia keluar dari bilik air bersama sehelai tuala yang dililit di pinggang. Rambutnya yang masih basah menitikkan titisan air pada tubuhnya membuatkan dia meraup rambutnya ke belakang.
Sehelai tuala kecil yang disangkut di bahu diambil untuk mengeringkan rambutnya. Anak matanya mencari kelibat isterinya di dalam bilik tersebut tetapi tiada. Tanpa dia sedari, dia mengeluh tanda kecewa.
Anak matanya jatuh pula pada telefon pintarnya diatas meja kecil disebelah katil. Lambat-lambat dia berjalan untuk mengambil telefon tersebut. Lalu, punggungnya dilabuhkan di birai katil sambil memeriksa beberapa mesej penting yang ditinggalkan untuknya.
Terpapar nama Alif Zhafran membuatkan dia membuka mesej tersebut tanpa membuang masa. Dalam dia menunggu untuk aplikasi mesej tersebut dibuka, kedengaran seseorang memanggilnya. Namun dia menghiraukan sahaja.
"Ash!" panggil Ariana lebih kuat sehingga Adi Ashraf menoleh. Buat seketika, Adi Ashraf terkelu apabila melihat isterinya. Matanya naik turun melihat susuk tubuh isterinya yang tersarung sepersalinan baju kurung.
"Ash... Hei dengar tak?" panggil Ariana cuba menyedarkan suaminya yang telah memerhatikan dirinya sejak dari tadi.
Kenapa? Baju yang dia pakai ni buat dia nampak gemuk ke? Monolognya sendiri. Tetapi kata-kata suaminya seterusnya membuatkan dia lega serta-merta.
"Cantik." ucap Adi Ashraf ringkas sebelum menemui wajah isterinya yang sudah memerah. Oh dia tercakap kuat ke?
"Kenapa kau tiba-tiba pakai baju kurung ni, Riana?" tambah Adi Ashraf cuba menukar topik. Jarang sekali dia melihat isterinya memakai pakaian tersebut. Apatah lagi kain.
"Oh, Naufal suka aku pakai baju kurung. Erm, dia kata aku cantik bila pakai baju kurung." jawab Ariana menahan malu sambil mengalihkan pandangan ke tempat lain.
Adi Ashraf tak dapat menafikan kata-kata tersebut kerana isterinya memang kelihatan cantik memakai baju kurung tersebut. Tetapi dirinya terasa sedikit tak kena apabila mengetahui isterinya memakai pakaian tersebut untuk lelaki lain.
"Kenapa tinggalkan aku bangun seorang-seorang pagi tadi? Kau merajuk dengan aku ke?" soal Adi Ashraf sekali lagi cuba menukar topik. Kini giliran Ariana yang mengerutkan dahi. Bila pulak dia merajuk?
"Mana ada aku merajuk. Aku bangun awal sebab nak jumpa abang Naufal la." jawab Ariana cuba mempertahankan diri. Entah macam mana suami dia boleh fikir dia merajuk pun dia tak tahu.
Adi Ashraf memejam mata apabila mendengar nama Naufal yang diulang untuk ke berapa kalinya pada hari ini. Naufal, Naufal, Naufal. Siapa sebenarnya lelaki yang bernama Naufal ini sehingga isterinya sendiri tak henti menyebut nama lelaki itu?
"Jadi semuanya kau buat untuk Naufal? Untuk aku pulak macam mana?" soal Adi Ashraf sedikit dingin. Dia langsung tak suka apabila isterinya melebihkan orang lain berbanding dirinya.
"Kau kenapa ni, Ash?" soal Ariana kembali apabila melihat perubahan suaminya yang secara tiba-tiba. Tanpa amaran, Adi Ashraf telah pun memerangkap isterinya dengan menggunakan tubuhnya pada dinding bilik.
Ariana terkejut dengan tindakan mengejut suaminya menarik nafas panjang. Apa dia buat sampai suami dia jadi macam ni? Beberapa lama kemudian, barulah dia tersedar sesuatu. Dia tersengih kerang.
"Ash... Kau jealous eh?" soal Ariana berani. Tidak lagi takut seperti tadi. Anak matanya menikam tepat pada anak mata suaminya. Kedudukan mereka yang dekat membolehkan Ariana merasai hembusan nafas suaminya yang lembut pada wajahnya.
Adi Ashraf mengecilkan anak matanya ke arah isterinya. Kepalanya ditundukkan lagi agar menyamai ketinggian mereka berdua. Sebelah tangannya diletakkan di sebelah kepala isterinya mengelakkan daripada isterinya lari. Bibirnya mengukir senyuman sinis.
"Kalau ya pun kenapa, hmm?" soal Adi Ashraf lembut pada telinga isterinya. Membuatkan seluruh bulu roma Ariana meremang. Tak menyangka suaminya mengaku. Air liur ditelan kesat.
Belum sempat dia mengeluarkan kata-kata, pintu bilik mereka dibuka luas. Serta-merta, mereka berdua menoleh ke arah gerangan disebalik pintu. Sepasang mata Puan Sandra dibulatkan apabila melihat keadaan mereka berdua.
Adi Ashraf yang masih bertuala manakala Ariana yang lengkap berpakaian. Tetapi dalam posisi yang amat mencurigakan membuatkan Puan Sandra sendiri berasa malu kerana menganggu pasangan suami isteri tersebut. Dia segera meminta maaf sebelum meminta diri untuk pergi dari situ bersama senyuman.
Ariana yang baru tersedar dengan kedudukan mereka menolak tubuh suaminya jauh dari dirinya. Membuatkan Adi Ashraf memberikan jelingan tajam tanda tak puas hati.
"Ash, pakai baju lah!" marah Ariana sambil mengambil sehelai baju T-shirt milik suaminya. Lalu, dicampakkan pada wajah Adi Ashraf.
Adi Ashraf yang baru menyedari dirinya tak berpakaian meraup muka. Patutlah ibu mertuanya terkejut sebentar tadi. Dia segera menyarungkan pakaian tersebut pada tubuhnya.
"Cepat solat, nanti kita lambat." pesan Ariana sambil mencekak pinggamg. Mukanya yang masih merah membahang dikipas menggunakan sebelah tangan. Malu sungguh dirinya akibat kejadian tadi.
Adi Ashraf hanya diam. Baru sahaja dia mahu menunaikan solat baru dia teringat. Wudhuknya telah pun terbatal akibat daripada sentuhan isterinya tadi. Dia melepaskan keluhan.
Pintu bilik air diketuk kerana digunakan oleh Ariana. Namun tiada jawapan daripada gadis itu. Manakala, Ariana pula langsung tidak menghiraukan ketukan pintu tersebut. Sengaja mahu mengenakan suaminya yang pernah membuatkan dirinya berada dalam keadaan yang sama.
Sekarang, rasakan!
"Ariana Atilia!"
???????????????????
Mereka sekeluarga menaiki satu kereta untuk melawat Naufal bersama-sama. Puan Sandra pula tidak melepaskan peluang untuk memberikan senyuman penuh makna kepada Ariana sejak tadi.
Senyuman tersebut sememangnya membawa sebuah makna yang hanya sepasang suami isteri itu sahaja yang tahu. Sudah berapa kali Ariana memarahi Adi Ashraf kerana tindakan lelaki itu yang membuatkan keadaan mereka menjadi seperti ini.
"Fine, aku minta maaf. Aku tak buat macam tu dah. Aku cuma nak tahu kenapa kau sayang sangat dekat Naufal." bisik Adi Ashraf perlahan hanya untuk mereka berdua sahaja dengari.
Ariana menghela nafas panjang. Dia faham maksud suaminya itu. Cuma dia mahukan suaminya itu sendiri yang lihat bahawa tiada apa yang suaminya perlu cemburukan terhadap Naufal.
"Kita dah sampai." ucap Encik Johan yang menjadi pemandu mereka sekeluarga pada hari itu. Tak lama kemudian, mereka semua keluar dari kereta.
Ariana menolong ibunya mengeluarkan barangan yang dibawa dari bonet kereta. Sementara, Adi Ashraf meliarkan pandangan sekeliling. Tiada sebuah rumah yang berada dalam pandangannya.
Hanya sebuah tanah perkuburan lama. Takkanlah... Tiba-tiba, bahunya ditepuk oleh Encik Johan. Dia menoleh.
"Jom, Ash." ajak Encik Johan. Dia menuju ke tanah perkuburan tersebut. Adi Ashraf hanya mengikut langkah bapa mertuanya dari belakang.
Puan Sandra, Tok Wan dan Ariana telah pun berada di hadapan mereka. Tak lama kemudian, mereka berhenti di sebuah pusara yang kelihatan bersih dan kemas. Tertulis sebaris nama pada batu nisan di atas pusara tersebut.
Naufal Amir.
Adi Ashraf dan Ariana saling berpandangan. Perasaan serba salah mula menyelubungi Adi Ashraf. Ariana menyedari perkara tersebut segera mendapatkan suaminya. Lengan suaminya diusap lembut.
"Hei, tak apa. Kau tak tahu. Aku minta maaf tak bagitahu kau awal-awal." ucap Ariana serba salah. Adi Ashraf mengangguk tanda faham. Mungkin ada sebab isterinya berbuat demikian.
Mereka sekeluarga mula membacakan yasin beramai-ramai. Sebuah doa turut disedekahkan kepada arwah. Suasana yang hiba itu menenggelamkan perasaan gembira sebentar tadi. Kini berganti dengan perasaan rindu terhadap arwah. Terutamanya, Ariana.
"Assalamualaikum, abang Naufal. Hari ini Lia bawa suami Lia, Adi Ashraf." ucap Ariana sayu sambil memegang batu nisan di pusara tersebut. Adi hanya mampu memegang tubuh isterinya untuk memberikan sokongan.
Tok Wan pula melepaskan rindunya terhadap anaknya setelah sekian lama tak melawat. Rumput-rumput kecil dicabut untuk memastikan kekemasan kubur tersebut. Dia melihat Ariana yang sedaya upaya menahan tangisan disisi Adi Ashraf.
Membuktikan betapa kuatnya Ariana pada ketika itu. Tok Wan tersenyum bangga melihat Ariana yang jauh lebih kuat daripada dahulu. Perasaan hibanya tadi kembali menerpa.
"Kalaulah Naufal dapat tengok semua ini." bisiknya di dalam hati. Tetapi apabila bila terpandang pada Adi Ashraf dia berasa lega kerana kini Ariana mempunyai seseorang yang disisi.
Ariana menahan tangisan. Dia kena kuat. Betapa dia rindukan suara arwah untuk menenangkannya pada ketika itu hanya Tuhan yang tahu. Tak lama kemudian, dia dibawa ke dalam pelukan suaminya.
"Aku ada. Aku ada untuk kau."
???????????????????
Sepanjang perjalanan mereka pulang ke rumah, keadaan mula kembali seperti biasa. Kecuali Ariana Atilia yang kurang bercakap. Membuatkan Adi Ashraf risau. Isterinya masih mengukir senyuman tetapi tidak seperti selalu.
"Riana... Kita pergi pantai nak?" ajak Adi Ashraf sebaik mereka tiba di rumah. Ariana hanya mengangguk sebagai balasan. Puan Sandra yang menyedari keadaan mereka berdua datang mendekati Adi Ashraf.
"Adi, Riana memang macam tu kadang-kadang. Adi jangan risau sangat ya? Dia cuma rindukan Naufal." maklum Puan Sandra sambil melihat Ariana yang baru masuk ke dalam bilik.
"Baik ibu. Adi cuma risau." luah Adi Ashraf. Puan Sandra mengangguk tanda faham. Bahu menantunya ditepuk sebelum dia beredar dari situ. Adi Ashraf turut menukar pakaian.
Usai mereka berdua selesai menukar pakaian, mereka berdua menuju ke pantai seperti yang dicadangkan oleh Adi Ashraf. Sebaik tiba disitu, kelihatan tidak ramai orang yang berada di situ.
Bunyi ombak laut memenuhi kesunyian antara mereka. Masing-masing hanyut dalam perasaan sendiri. Angin yang bertiup lembut bagai membawa masalah mereka pergi. Serentak, mereka berdua menghela nafas lega.
Tindakan itu membuatkan mereka saling berpandangan sebelum menghamburkan tawa. Sedikit sebanyak mengurangkan ketegangan antara mereka. Akhirnya, Adi Ashraf memulakan perbualan.
"Riana..."
"Hmmm..."
"Aku nak tanya sikit."
Ariana segera menoleh ke arah suaminya. Seolah membaca fikiran lelaki itu sebelum melontarkan kata-katanya pula.
"Pasal Naufal kan?" teka Ariana sambil duduk di atas tikar yang dibentang oleh suaminya. Adi Ashraf mengangguk. Ariana menarik nafas panjang.
Sudah bersedia untuk menjawab tentang segala-galanya. Dia membuang pandangan pada laut yang luas terbentang. Warnanya membiru membuatkan dirinya tenang untuk meneruskan kata-katanya.
"Berapa lama arwah Naufal dah... tak ada?" soal Adi Ashraf penuh berhati-hati. Risau menyinggung perasaan isterinya.
"Arwah dah tak ada lebih kurang lima tahun." balas Ariana tanpa ragu-ragu. Adi Ashraf mengangguk dalam diam.
"Kalau aku nak tahu sebab apa, tak apa ke?" tanya Adi Ashraf lagi. Dia berasa lega apabila melihat isterinya mengangguk.
"Arwah meninggal sebab accident." jawab Ariana perlahan. Dia sendiri tak sanggup mengulang kembali ayat tentang kemalangan itu.
"Riana sebab tu ke kau takut-" kata-kata Adi Ashraf terpotong apabila Ariana mengangguk lemah. Terasa sejuk tubuhnya apabila teringatkan semula kejadian itu. Masih segar lagi ingatannya.
"Arwah bukan abang angkat aku je tapi tunang aku, Ash. Kami berdua gembira sangat hari tu. Tapi nak buat macam mana mungkin bukan takdir kami berdua bersama. A...aku yang bawa kereta hari tu. Tapi... arwah Naufal je yang tak terselamat. Semuanya sebab brek kereta tak berfungsi. Aku rindu dia... sangat-sangat. Tapi aku redha dengan ketentuan-Nya." luah Ariana penuh sebak.
Air matanya yang bertakung tumpah jua pada akhirnya. Kenangannya bersama arwah bagai menerpa dalam satu masa. Membuatkan dia lemah. Tanpa berkata apa-apa, Adi Ashraf memeluk tubuh isterinya. Membenarkan gadis itu menangis semahu-mahunya.
"Tak apa. Lepaskan semua. Hanya ada kita berdua je dekat sini. Aku tahu kau kuat. Tapi tak semestinya kau lemah kalau kau menangis. " pujuk Adi Ashraf penuh kasih sambil mengusap kepala isterinya.
Dia nampak semuanya. Nampak betapa isterinya menahan diri daripada menunjukkan segala kesedihan yang dialami olehnya kepada sesiapa. Isterinya hanya nampak gembira walaupun sebenarnya tidak.
Pada mulanya, dia sendiri tak menyangka isterinya turut kehilangan orang yang tersayang. Walaupun isterinya kehilangan, gadis itu masih boleh tersenyum dan ketawa seperti tiada apa-apa yang berlaku di dalam hidupnya.
Masih ingat lagi dia terhadap keadaan isterinya yang ketakutan ketika kejadian mereka berdua belajar memandu dahulu. Membuktikan betapa susahnya isterinya menahan perasaan itu sendirian. Adi tahu kerana dia pernah melalui perkara yang sama.
Kini dia tahu dia perlu bahgiakan isterinya seumur hidupnya. Mereka berdua pernah kehilangan orang yang tersayang. Oleh itu, dia mahukan Ariana mendapatkan kebahagiaan yang sepatutnya selepas menderita sekian lama.
Mungkin tak salah dia mencuba....
Mungkin tak salah dia mencintai seseorang semula...
Untuk Ariana Atilia.
Updated!
Next chapter tomorrow?
Enjoy reading...
Don't forget to
Share this novel