Bab 35
“Saya tak beritahu sesiapa. Ini rahsia. Tapi disebabkan Leo adalah pewaris, jadi saya beritahu kamu berdua. Biarkan saja Puan Suriati fikir dia masih ada hak dalam syarikat tu!” kata Peguam Wong lagi.
Affendi dan Leo saling berpandangan, kemudian tersenyum.
Airiel bergerak laju menghala ke tingkat. Jabatan pemasaran terletak di tingkat bawah. Saat dia melintasi ruang legar pejabat itu, dia terlihat Leo mengiring Affendi masuk. Airiel memandang ke arah Leo sekali lagi. Benarkah itu Leo? Airiel terhenti melangkah, terperanjat. Macam mana sakai tu boleh ada di sini? Jadi pemandu peribadi Affendi? Sejak bila pula Affendi ada pemandu peribadi? Hanya pengarah urusan syarikat sahaja yang ada pemandu peribadi.
Dia memerhati wajah Leo. Dia memang tidak pernah lupa pada wajah itu meskipun gaya lelaki itu sudah berubah. Harus dia akui, lelaki yang tinggi lampai itu tampak segak dalam uniform pemandu. Siap mengenakan topi yang cantik, seperti topi yang dipakai oleh anggota polis.
Huh! Macam mana Affendi boleh kenal dengan sakai tu? Dia rasa pelik dan hairan memikirkan hal itu. Airiel mengambil keputusan untuk mendekati mereka. Ketika itu Affendi ada di hadapan meja telefonis, sedang berkata sesuatu dengan gadis bertugas.
Dan Leo yang setia bagaikan anjing, tetap berdiri di sisi Affendi bagaikan melindungi lelaki itu… Begitulah Airiel mengutuk marah di dalam hatinya.
“Heehhh… Sakai! Macam mana kau boleh ada kat sini?” tegur Airiel sengit, sambil berjalan angkuh ke arah Affendi dan Leo.
Leo sudah bersedia. Dia tahu Airiel dan Irfan akan muncul di hadapannya bila-bila masa sahaja. Leo menunduk, seolah-olah takut hendak memandang Airiel. Dia tidak mahu mendedahkan dirinya, bimbang Airiel mengenalinya. Namun Airiel tidak mengenalinya sebagai Zakuan, sebaliknya Leo! Si sakai yang dia hina-hina semasa mereka bertemu di kawasan camping di pinggir Sungai Berakit.
“Siapa maksud kau ni Airiel?” Affendi bertanya, sambil memandang tepat wajah Airiel.
“Dia ni… Kau tak tahu asal usul dia?”
“Leo?” Affendi pura-pura bertanya.
“Yalah! Siapa lagi?” balas Airiel.
“Siapa pun dia… Dia juga manusia macam kita.” jawab Affendi.
“Mari Leo, ikut aku. Jangan layan sangat dia ni, nanti kau jadi gila dibuatnya.”
Leo mengangguk sahaja.
Airiel merengus, melepaskan marah dan geram. Matanya liar memandang kedua-dua lelaki itu. Airiel bergerak menuju ke biliknya. Hatinya terus terbakar. Bila melihat Leo di situ, dia jadi teringat pada Amalina. Gadis itu menolak pinangannya mentah-mentah. Dalam masa seminggu sahaja dia mendapat jawapan yang mendukacitakan. Sejak itu juga Amalina tidak lagi membalas panggilannya. Amalina juga enggan membuka pintu sekiranya dia datang ke rumah.
Airiel menggenggam penumbuk. Dia melepaskannya ke dinding. Aduh! Buku limanya terasa sakit. Menyesal dia melepaskan marah pada dinding yang keras lagi dingin. Dia membalut tangannya yang melecet.
Airiel melepaskan keluhan. Dia pasti akan kena marah lagi dengan Puan Suriati kerana datang lewat ke pejabat.
“Pergi… tidak… pergi… tidak… pergi…”
“Pergi mana?” tanya Hashim ingin tahu.
“Pergi jumpa Leo, ya? Dia dah call kau?”
Amalina menggeleng.
“Habis, kau tu dalam dilema nak pergi mana?”
“Lelaki malam pelancaran tu… Affendi dari Omara Holdings. Dia call tadi, nak jumpa aku petang ni. Katanya nak tawar jawatan kosong, tapi aku tak percaya. Dia macam ada rancang sesuatu…” beritahu Amalina satu persatu.
“Oh! Bahaya tu Alin! Kau perlukan aku? Aku boleh temankan kau.”
Amalina ketawa. “Kau ni… Tak perlulah jadi bodyguard aku.”
Hashim tertawa sama.
“Hei! dengar ni. Kalau kau rasa ragu-ragu… berhati-hatilah! Kau boleh jumpa dia, berdua-duaan saja dalam bilik kerjanya. Tapi hindari dari duduk di sofa panjang. Kau mesti duduk di sofa tunggal.”
“Hashim! Kau ni merepeklah!”
“Betul Alin. Aku cakap betul ni… Satu lagi jangan minum apa-apa kalau dia tawarkan minuman.”
“Tak payah ajar akulah! Aku tahu semua tu!” Amalina gelak, terasa lucu dengan kata-kata Hashim.
Walaupun Hashim berpesan supaya Amalina mengajaknya bersama, tetapi gadis itu membuat keputusan pergi bersendirian. Dia tahu di mana letaknya Omara Holdings. Dia terus naik ke bilik Affendi setelah menemui penyambut tetamu di tingkat bawah bangunan itu.
“Masuk!” panggil Affendi.
Amalina melangkah masuk. Matanya tertuju ke arah Affendi yang duduk di belakang sebuah meja kaca yang besar. Ruang itu nampak kemas dan bersih. Spontan matanya memandang ke arah sofa panjang berwarna putih bersih. Tiba-tiba dia teringat pesanan Hashim, jangan duduk di sofa sekiranya dipelawa. Amalina seperti hendak ketawa. Affendi langsung tidak menyuruh dia duduk.
Affendi bangun, lalu mengajaknya keluar.
...bersambung
Bab akan datang:
Ke manakah Affendi ingin membawa Amalina? Mengapakah Affendi mahu membawa Amalina ke tempat lain?
Share this novel