“ Alah mama ni. Macamlah Sam nak berkampung kat kampung afrika sana.
Orang kampung dah moden mama. Bukan macam zaman mama dan papa,” bantah
Sam.Tersengih lagi. Datin Fiza mempamerkan wajah cemberut. “ Bukannya
jauh mana pun. Masih dalam Malaysia lagi,” Sam berseloroh.
Bertemankan pak Abu selaku pemandu keluarga mereka, Sam bertolak ke
Puduraya. Tergesa-gesa dia mengalas beg besarnya sambil matanya mencari
kaunter tiket. Beberapa orang ulat tiket menghampiri dan bertanyakan
destinasinya. Sengaja dia tidak mahu melayan. Beberapa kaunter yang
menghala ketempat yang sama diperhatikan. Kemudian dia membuat keputusan
untuk mengambil tiket disalah satu kaunter.
Sementara menanti basnya bertolak Sam mengambil keputusan untuk makan
dahulu kerana kebetulan waktu sudah merangkak ke tengahari.
Ketika bas ingin bergerak dia tergesa-gesa turun ke platform. Selesai
memeriksa tiket dia bergerak masuk kedalam perut bas. Tercangak-cangak
dia memilih kerusi. Mujur kerana penumpang tidak penuh membuatkan dia
boleh pilih mana-mana kerusi yang dirasakan selesa. Sedapatnya dia mahu
bersendirian sepanjang perjalanan.
Perlahan-lahan bas bergerak meninggalkan kepesatan ibu kota yang terus
hangat. Meninggalkan kesibukan dan kerancakan yang ada.
Dia mahu menyedut udara segar kampung. Mendengar kokokan ayam tatkala
subuh menjelma. Mahu mendengar suara kambing dan lembu kalau ada.
Kampung Kyle masih lagi menjadi misteri. Itulah yang ingin dia teroka
sepanjang musim cuti kali ini. Jauh dilubuk hatinya dia berharap biarlah
ada kenangan indah dan manis yang akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur
sebagai buah tangan.
Perjalanan yang disangkanya mudah ternyata meleset sama sekali. Entah
apa nasibnya ketika melewati lebuhraya menuju utara, perjalanannya
tersekat. Ada kemalangan yang membabitkan beberapa kenderaan didepan
membuatkan perjalanan bas terhalang. Sam yang duduk terperuk dikerusi
mula gelisah tatkala bas bergerak terlalu perlahan. Adakalanya berhenti
lama. Kalau macam ni bila masa pulak aku nak sampai? hatinya bersungut.
Beberapakali lehernya dipanjangkan meninjau kearah depan. Yang mampu dia
lihat cumalah deretan kenderaan yang berbaris panjang. Kawasan
kemalangan mungkin masih berada jauh didepan. Sam menyandarkan tubuhnya
dengan perasaan sebal. Jam dipergelangan tangannya acapkali juga
dikerling dengan rasa tidak puashati. Jangan lambat aku sampai sudah,
desisnya lagi didalam hati.
Hampir tiga jam kemudian bas mampu bergerak lancar semula. Sam yang
sudah diasak dengan rasa bosan akhirnya mengeluh lega. Jam ditangannya
dikerling lagi. Mungkin dia terlewat sampai dibandar sebelum bertolak ke
kampung Kyle .
Menghampiri satu jam berikutnya sekali lagi bala menimpa. Kali ini bas
mengalami gangguan enjin. Sam yang hampir terlelap dikerusi terjaga
apabila tubuhnya tersentak seperti disentap oleh seseorang. Dengan rasa
mamai dan letih dia membuka mata. Memerhatikan kearah pinggir jalan.
Penumpanng dikerusi belakang dan depannya mula menceceh. Tidak pula dia
dengar butir percakapan mereka.
“ Apa hal ni?’ dia bersuara. Meminta jawapan dari yang lain.
“ Tak tahu.....engin tersenggut-senggut pulak. Bas rosak kot,” dia
mendengar tetapi tidak pasti siapakah yang bercakap.
Sam mengeluh kecewa lagi tatkala bas mudik dibahu jalan dan akhirnya
berhenti. Pemandu bas segera terjun keluar untuk memeriksa enjin. Sekali
lagi Sam terperuk kerusinya. Rambutnya yang agak lebat disisirnya dengan
tangan. Apa lagi ni? Dia tidak pasti selepas ini apa yang akan berlaku.
Sah, bas mengalami kerosakan yang agak serius. Memaksa mereka menunggu
sebuah lagi bas lain muncul untuk menjemput. Hari sudah mula menginjak
ke malam. Sam dibadai risau. Pukul berapa nanti aku nak sampai rumah
Kyle ? Hatinya berteka-teki.
Dek kerana masalah yang tidak dijangkan akhirnya dia tiba juga dibandar
yang dituju. Ketika itu hari sudah lewat. Malam sudah melabuhkan tirai.
Jari-jemari jam menunjukkan ke angka sebelas malam baru dia berjaya
menginjakkan kaki diperhentian bas.
Perkara pertama yang dia harus lakukan ialah menghubungi Kyle untuk
menyatakan kelewatannya. Amarahnya meluap-luap apabila menyedari yang
telefon bimbitnya kehabisan bateri. Malang apa pulak yang datang lagi
ni, dia bersungut didalam hati. Seperti rusa masuk kampung dia tidak
tahu apa yang harus dia lakukan.
Paling tidak pun dia harus mencari telefon awam. Lalu dia menyusur kaki
lima perhentian bas mencari. Pun begitu sekali lagi dia diterjah kecewa
apabila telefon yang sepatutnya digunakan untuk waktu kecemasan, rosak.
Sam tercegat lagi. Kalau diikutkan hatinya mahu saja dia menendang
pondok telefon itu. Memikirkan dia berada ditempat awam, disabarkan juga
hatinya yang sedang mendidih.
Sam akhinya membuat keputusan nekad. Apa cara sekalipun dia akan tetap
pergi ke rumah Kyle . Kemudian dia mengambil keputusan untuk memenuhkan
perutnya dahulu. Kebetulan sejak makan tengahari tadi dia langsung tidak
menjamah apa-apa.
Share this novel