Hari ini bakal menjadi titik permulaan kehidupan baruku bergelar seorang isteri. Sejujurnya aku merasa gelisah dan berat hati kerana jalan yang bakal kulalui ini adalah jalan yang tidak pasti bagiku. Ia seperti satu kepalsuan yang membuatkan nafasku sesak. Aku hanya berserah.
Di satu Febuari, Jumaat, 2.30 Petang.
“Aku terima nikah, Najla Arissa binti Badlisham dengan mas kahwinnya satu dinar tunai!”
“Sah?” Tanya Tok Kadi, Tuan Haji Firdaus kepada saksi-saksinya. 2 orang saksi yang duduk berhampiran dengan pengantin lelaki menganggukkan kepala masing-masing.
“Sah.” Jawab saksi yang pertama.
“Sah.” Kata saksi yang kedua pula.
“Alhamdulillah…”
Bacaan doa mengiringi upacara akad nikah yang telah selamat berlangsung sebentar tadi. Pengantin lelaki, Elman Putra Dato’ Seri Tajul Ariffin terketar-ketar sewaktu mengaminkan bacaan doa Tuan Imam, Ustaz Ramzan. Mukanya kelihatan tegang.
Sambil mengaminkan bacaan doa, matanya melirik tajam ke arah isteri yang baru dinikahinya. Hati Elman berasa panas. Kalau tidak memikirkan dia kini sedang berada di hadapan Ustaz Ramzan dan Tuan Haji Firdaus, mahu saja dia menerpa ke arah Najla yang cantik berpakaian pengantin itu. Terasa ingin dicekik-cekik leher gadis itu sepuas-puasnya. Gadis ke? Elman mencebik. Sinis. Perut Najla yang masih kempis itu dipandang lama.
“Anak Elman. Tahniah ya, dah jadi suami Najla. Saya doakan agar rumahtangga yang dibina ini akan berkekalan sampai ke syurga. Jaga amanah yang telah Allah berikan kepada anak Elman ini dengan baik. Kalau isteri ada buat salah, tegur dengan baik. Jangan gunakan kekerasan. Muafakatlah suami isteri. Andai ada yang tak betul, bincang baik-baik.”
Nasihat Ustaz Ramzan sebelum pulang tadi kembali terlayar di kotak fikiran Elman Putra. Elman ramas kepala yang terasa berat. Dia masih berteleku di dalam bilik Najla. Isterinya itu, sejak usai majlis akad nikah, tidak langsung menampakkan batang hidungnya. Entah menyorok di mana, Elman malas nak ambil tahu. Yang nyatanya sekarang ni, dia rasa terjerat dengan perkahwinan yang diatur oleh papa Najla dengan daddynya.
Ingatan Elman melayang kepada peristiwa sebulan yang lalu.
“Anak kau dah buntingkan anak aku!”
Jerit Tan Sri Badlisham kepada Dato’ Seri Tajul Ariffin dan Elman. Gegak-gempita ruang tamu di rumah Elman dengan suara amarah Tan Sri Badlisham. Elman kecut perut. Tidak disangka, perbuatan jahatnya kepada Najla pada malam pesta hari jadi sahabat baik Najla, Aulia, mencambahkan benih di dalam rahim Najla.
Elman rasakan dunianya kelam waktu itu. Kemarahan Tan Sri Badlisham berada di kemuncak. Tak pasal-pasal kepala Elman dibaling telefon bimbit lelaki korporat tersebut. Benjol kepalanya dek tak sempat menahan Samsung Galaxy Note 2 itu dari singgah ke kepala. Elman terduduk sambil pegang kepala. Dato’ Seri Tajul Ariffin nyata terkejut melihat benjol di kepala anaknya.
“Sabar dulu, Bad. Kita boleh bincang perkara ni baik-baik.”
“Nak bincang apa lagi? Anak aku dah mengandung! Kau lainlah, anak kau jantan. Anak aku ni perempuan. Dahlah dia satu-satunya anak yang aku ada. Sebab anak kau yang tak guna ni, masa depan anak aku hancur. Hancur!” Berombak dada Tan Sri Badlisham melepaskan kemarahan.
Share this novel