Bab 22

Short Story Series 55082

Tan Sri Mansur tersenyum girang apabila melihat menantu dan cucunya di ruang tamu sedang bercanda selepas bersarapan. Rina masih belum boleh berjalan tetapi kakinya sudah boleh digerakkan sedikit selepas mengikuti terapi di hospital. Kini wajah Rina kembali berseri tidak seperti seminggu yang lalu ketika dia masih di dalam keadaan lemah selepas sedar daripada koma. Dia merasakan keluarganya sudah semakin lengkap. Ada anak, menantu dan cucu tetapi seandainya saja ketika itu ada Haikal bersama yang sedang bermain dengan Qalifh pasti suasana itu terasa lebih indah.

Salahkah dia menjadi seorang yang tamak? Tamak dalam mengejar kebahagiaan keluarganya? Dia mahu Rina dan Haikal hidup bersama tetapi dia masih tidak memberitahu hasratnya itu kepada Rina kerana menunggu waktu yang sesuai. Rina dalam proses penyembuhan jadi dia tidak mahu mengganggu emosi menantunya itu dengan membangkitkan nama Haikal. Dia juga yakin Rina pasti tidak mahu mendengar nama anaknya langsung kerana dia masih ingat dengan jelas sepasang mata milik Rina yang mencerlung kemarahan apabila mendapat tahu bahawa dia adalah bapa kepada Haikal sewaktu kali pertama mereka bertemu di rumah wanita muda itu.

“Pakcik sudah mahu ke tempat kerja?” Hilang terus lamunan Tan Sri Mansur apabila mendengar suara Rina menyapanya.

“Ya, sudah seminggu papa cuti. Syarikat perlukan papa memandangkan adik ipar kamu masih belum balik daripada melaksanakan ibadah umrah.” Tan Sri Mansur mendekati Rina di ruang tamu.

Rina hanya mengangguk kekok kerana tidak biasa mahu memanggil lelaki itu dengan panggilan ‘papa’ seperti yang digelar oleh bapa mertuanya itu sendiri. Rina hanya melihat apabila Tan Sri Mansur menggendong Qalifh dan menimang anak kecil itu sehingga Qalifh ketawa kecil. Serta merta senyuman muncul di bibir Rina. Seandainya ibu dan Nek Jah masih hidup ketika ini pasti mereka akan melakukan perkara yang sama kepada Qalifh. Betapa rindunya dia kepada kedua arwah ibu dan Nek Jah. Dia mahu pulang ke kampung menziarahi pusara mereka tetapi keadaan masih tidak mengizinkan.

“Kenapa Rina? Kenapa Rina bersedih? Rina ada rasa sakit dimana-mana ke?” Serta merta Tan Sri Mansur bertanya khuatir apabila melihat Rina menangis tiba-tiba itu.

“Rina baik-baik saja. Rina cuma terkenangkan arwah ibu dan nenek. Jika mereka masih hidup pasti mereka juga merasakan perkara yang sama seperti pakcik rasakan sekarangkan?” Rina menahan sebak di dada. Dia cuba menenangkan hatinya dengan mengirim surah al-fatihah buat kedua insan yang dicintainya itu di dalam hati.

“InsyaAllah, jika Rina sudah boleh berjalan semula papa bawa Rina ziarah pusara mereka.” Tan Sri Mansur memujuk dan mengusap kepala Rina agar menantunya itu tidak bersedih lagi. Kini ada dia yang akan menjaga dan melindungi Rina dan Qalifh. Selagi dia hidup dia berjanji tiada sesiapapun yang akan menyakiti mereka lagi.

“Papa pergi ofis dulu. Nanti tengahari kalau semua urusan sudah selesai papa akan balik untuk hantar kamu ke hospital buat terapi.” Tan Sri Mansur menyerahkan Qalifh semula ke pangkuan Rina sebelum sekali lagi mengusap kepala menantunya itu.

Rina mengangguk dan menghantar pemergian Tan Sri Mansur melalui pandangan matanya sahaja. Rina menarik dan mengembuskan nafasnya berkali-kali sebelum bermain semula dengan anaknya itu. Ketika tangan kecil Qalifh menyentuh bibirnya, Rina mencium jari jemari kecil itu berkali-kali seakan menghilangkan rindunya yang selama setahun tidak bersama Qalifh.

“Qalifh Althar semoga kamu jadi anak yang soleh yang akan mendoakan ummi jika satu hari nanti ummi kembali ke sisi Ilahi.” Rina berbisik di telinga kanan Qalifh.

“Qalifh Althar semoga Allah melindungi kamu daripada panahan mata syaitan yang menyesatkan.” Rina berbisik di telinga kiri Qalifh.

Selesai Rina berdoa, telefon rumah itu berbunyi. Rina melihat ke arah dapur untuk melihat Mak Sofi tetapi wanita itu sedang sibuk mengemas dapur. Ain pula berada di tingkat atas mengemas biliknya. Rina teragak-agak mahu mengangkat telefon yang berbunyi itu kerana itu bukanlah rumahnya untuk dia melakukan sesuka hatinya. Akibat telefon rumah itu asyik berdering tidak berhenti akhirnya Rina mengangkat juga ganggang telefon di sebelah kerusi di tengah-tengah ruang rumah itu.

“Assalamualaikum, boleh saya bantu?” Rina langsung bertanya sebaik menjawab panggilan telefon itu.

“Siapa ni?” Kedengaran suara seorang lelaki didalam talian kembali bertanya kepada Rina. Suara itu bukan milik Mak Sofi yang sudah lama menjadi pembantu rumah mereka.

“Encik cari siapa?” Rina tidak memperkenalkan dirinya sebaliknya dia bertanya lagi.

“Shofwah ke? Ini Haikal, abang ipar kamu. Maaflah tak dapat hadir ke majlis perkahwinan kamu berdua sebab abang tak dapat ambil cuti…” Haikal menduga mungkin itu adalah adik iparnya kerana Aqil sudah berkahwin beberapa minggu yang lalu.

Ganggang telefon yang dipegang Rina jatuh ke bawah saat si pemanggil itu mengenalkan diri. Menggigil tangannya ketika itu. Dia masih dapat mendengar Haikal yang masih berceloteh di dalam talian tetapi dia tidak dapat menangkap apa yang dikatakan oleh lelaki itu kerana dia sedang dikuasai oleh ketakutan.

“Kenapa puan? Siapa yang telefon?” Mak Sofi yang baru selesai mengemas dapur mendekati Rina yang hanya merenung ganggang telefon yang tergantung tidak memperdulikan si pemanggil dalam talian.

“Hello, dengan siapa saya bercakap?” Mak Sofi bertanya dan serta merta matanya memandang Rina yang diam kaku tidak bergerak walaupun Qalifh menarik hujung tudung yang dipakainya.

“Tan Sri sudah pergi ke syarikat. Mungkin dia tidak dengar sewaktu encik telefon.” Mak Sofi berkata selepas seminit mendiamkan diri mendengar si pemanggil yang sedang bercakap. Tidak lama kemudian pebualan telefon dimatikan. Perlahan-lahan Mak Sofi mendekati Rina dan menyentuh bahu wanita itu lembut.
Seperti yang dijangka oleh Mak Sofi. Rina sedang berkhayal entah ke mana apabila Qalifh yang sudah mula merengek itu tidak diperdulikannya. Rina yang terkejut dengan sentuhannya terus memandang wajahnya seperti minta penjelasan. Pucat wajah Rina ketika itu dan bibirnya masih menggigil.

“Encik Haikal hanya mahu bertanya khabar tan sri dan adiknya saja.” Mak Sofi menggosok tangan Rina yang sejuk.

“Hanya itu saja?” Rina meminta kepastian tidak percaya.

“Mak Sofi tahu apa yang telah puan lalui di dalam hidup itu tidak mudah untuk puan melupakan apa yang telah dilakukan oleh Encik Haikal pada puan. Tapi puan jangan risau, selagi puan duduk di rumah ini puan akan dijaga dan dilindungi oleh tan sri. Tiada sesiapapun yang berani menyakiti puan dan Qalifh.” Mak Sofi berkata dengan nada yang memujuk agar Rina kembali tenang seperti sedia kala. Nampaknya wanita muda itu benar-benar berada di dalam ketakutan. Apakah yang telah dilakukan oleh Haikal kepada wanita ini sebenarnya sehingga sedemikian rupa ketakutannya?

“Apakah dia akan balik ke sini, Mak Sofi?” Rina bertanya perlahan. Tangannya yang memeluk Qalifh diketatkan seakan-akan ada orang yang ingin merampas anak kecil itu daripada pangkuan dirinya.

“Tidak, Encik Haikal akan tinggal di luar negara dalam tempoh waktu yang panjang. Puan jangan terlalu fikirkannya. Sekarang apa yang penting adalah kesembuhan puan.” Mak Sofi mengusap belakang badan Rina sebelum berlalu ke tingkat atas mahu menolong Ain yang masih mengemas bilik sejak daripada tadi.

Jantung yang mula berdetak normal kembali berdebar-debar apabila sekali lagi telefon rumah itu berbunyi. Dahi Rina mengeluarkan peluh dingin, kedua tangannya juga lembab akibat peluh yang terlalu banyak keluar dan badannya kembali menggigil. Rina cuba membawa ketenangan di dalam dirinya semula selepas membawa doa pelindung kepada Allah.

Perlahan-lahan Rina mengangkat panggilan itu dan dirapatkan ganggang telefon itu ketelinga kanannya. Jika tadi dia bersuara untuk menyapa si pemanggil kali ini dia hanya mendiamkan diri. Di dalam hatinya berdoa agar bukan Haikal yang berada di dalam talian ketika itu.

“Assalamualaikum, Mak Sofi. Qil ni, Mak Sofi sihat?” Kedengaran mesra si pemanggil menyapa tidak seperti si pemanggil yang pertama. Ada nafas lega yang baru keluar daripada diri Rina ketika itu.

Qil? Siapa pula lelaki ini? Rina bertanya pada dirinya sendiri. “Maaf, ini siapa?” Rina bertanya apabila si pemanggil tidak berhenti-henti bicara. Suaranya seperti biasa di dengar.
Sunyi.

“Ini siapa? Ain ke?” Lelaki itu bertanya apabila bukan Mak Sofi yang menjawab panggilan telefon rumahnya. Suara itu seperti milik…

“Bukan, saya…” Belum sempat Rina menjawab Qalifh menangis akibat daripada tadi Rina seperti tidak memberikan perhatian kepadanya. Secara semulajadi Rina memutuskan panggilan dan menimang Qalifh agar berhenti menangis. Terus dia lupa pada lelaki yang telefon sebentar tadi.

“Kenapa Qalifh menangis?” Ain bertanya sewaktu dia sedang menuruni anak tangga bersendirian.

“Mungkin lapar. Rina tak pasti.” Rina juga masih baru dalam menjadi seorang ibu. Dia masih belum mengerti tentang bayi yang masih kecil.

“Cuba susukan dia dahulu kalau dia tidak mahu maksudnya perutnya kembung. Nanti sapu ubat di perutnya.” Ain menjelaskan kepada ibu muda itu yang kelihatan bingung melihat Qalifh yang tiba-tiba menangis. Selalunya ibu muda seperti Rina memang masih belum arif tentang bayi mereka lebih-lebih lagi jika itu adalah anak pertama.

Ain dan Rina berbual tentang macam-macam tentang bayi di ruang tamu apabila Qalifh sudah berhenti menangis dan tertidur di pangkuan Rina. Rina bersyukur kerana ada Ain yang menjaganya kerana dia dapat banyak ilmu daripada wanita yang tua empat tahun daripada dirinya itu. Masanya dihabiskan berdikusi tentang penjagaan bayi dan penjagaan wanita selepas melahirkan.

Memandangkan Rina koma, dia tidak merasakan sendiri bagaimana caranya berpantang kerana semuanya diuruskan oleh Ain dan Mak Sofi. Tidak lama kemudian, Mak Sofi ikut berbual dengan mereka tentang pelbagai cerita daripada cara menjaga kesihatan dan tubuh badan agar sentiasa sihat sehinggalah ke resepi masakan kerana Rina sedaya upaya tidak memikirkan Haikal yang baru saja didengari suaranya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience