BAB 1

Drama Completed 48973

BAB 1.

“WHAT?”
Orkid hampir terbangun dari kerusi saat sesuatu diperdengarkan padanya. Dia menggeleng tanda tak mahu.
“Tak, mummy. Kid tak nak,” tekannya hampir menangis.
“Kenapa tak nak pulak? Ni kan kerja mulia?” kata Dato Rizwan pula.
Orkid menarik nafasnya. Cuba bersabar.
“Kenapa Kid, daddy?” tanyanya inginkan jawapan.
Dato Rizwan dan Datin Seri berpandangan antara satu sama lain.
“Sebab Kid aje satu-satunya anak mummy dan daddy yang tak kerja lagi,” selamba datin Seri menjawab.
Orkid diam pula.
“Kak Shin kan ada? Kenapa tak mintak tolong kak Shin aje?” selamba si adik menunding jari pada si kakak yang sedang menyuap makanan.
Sudahnya, Oshin tersedak dibuat oleh Orkid.
“Eh, tolong sikit ya? Akak dah kerja. Kid tu yang tak ada kerja. Ala… apalah susahnya. Tolong kawan mummy jagakan cucu dia aje,” balas Oshin lembut.
Dato Rizwan dan Datin seri mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata anak sulungnya.
Orkid menjeling kakaknya geram.
“Kalau dah senang sangat, akak ajelah yang pergi,” tekannya. Nadanya sudah mula meninggi tanda rimas dipaksa sebegitu.
Datin Seri memandang anak tirinya lama.
“Kid… please. Kawan mummy tak mintak lama pun untuk jagakan cucu dia. Sebulan aje. Lepas tu, Kid boleh buat apa saja yang Kid nak,” pujuk datin Seri lembut.
Orkid menghela nafas berat. Pujukan sang ibu tiri melemahkannya. Apa yang harus dia lakukan? Patutkah dia membantu saja kawan mummynya itu? Tapi masalahnya, dia tak tahu menjaga budak.
“Berapa umur budak tu, mummy?” Tanya Orkid lembut.
Dato Rizwan dan Datin Seri tersenyum sedikit. Tahu anaknya sudah mula berlembut.
“5 tahun. Budak tu tak nakal pun. Kid jangan risaulah,” ujar sang ibu lembut.
“Nanti Kid fikirkan dulu,” katanya dan terus bangun membawa pinggan.
Tak ada mood lagi Orkid hendak makan. Sewaktu membasuh pinggan, otaknya tak habis-habis memikirkan tentang pertolongan itu. Kalau minta dia tolong benda lain, InsyaAllah dia boleh tunaikan. Tapi minta tolong jagakan budak berumur 5 tahun… Tak tahulah dia nak kata apa. Anak saudara pun tak ada. Macam manalah nak menjaga anak orang.
Orkid menuju ke bilik kakaknya. Kelihatan Oshin sedang berbaring sambil membaca novel. Dengan selamba Orkid menarik Novel pada pegangan Oshin. Apa lagi, mengamuklah gadis itu. Sedang seronok membaca. Ada pula manusia yang mengacaunya.
“Kid! Ganggu, tahu? Nak apa ni. Dahlah masuk bilik orang tak ketuk pintu dulu. Entah apa-apa perangai,” kata Oshin geram.
Umur mereka beza setahun saja. Kerana itu mereka agak akrab. Tambahan pula, mereka cuma dua beradik saja.
“Akak tak balik rumah mama ke?” Tanya Orkid hairan.
Biasanya Oshin akan bermalam di rumah ibu kandung Orkid.
“Malaslah. Lagipun esok family Nufail nak datang rumah ni. Nak bincang apa entah,” balas Oshin selamba.
“Malas konon. Macamlah rumah ni dengan rumah mama tu jauh berbatu-batu. Padahal Rumah berkembar aje pun. Kentut pun dengar,” bidas Orkid selamba.
Oshin buat tak tahu saja dengan bebelan si adik.
“Akak kena tolong Kid,” luah gadis yang berusia 28 tahun itu benar-benar gusar.
Oshin memandang adiknya dengan pandangan hairan.
“Kenapa?”
“Kid tak tahu macam mana nak jaga budak.” Orkid berterus-terang lagi.
Terhambur tawa Oshin mendengar jawapan adiknya. Takkanlah takut sehingga resah sebegini. Orkid yang dia kenal bukan begini perangainya.
“Well… anggap ajalah ni satu cabaran. Kid kan suka cabaran,” balas Oshin lembut.
Orkid diam pula. Cabaran? Bolehkah dia menyahut cabaran itu? Entahlah. Mahu tak mahu, dia kena mencuba juga.
“Don’t worry. Jaga budak aje. Akak yakin Kid akan selesa dengan kerja Kid,” pujuk gadis itu lembut.
Lambat-lambat Orkid menggangguk juga. Dia harus mencuba. Kalau tak macam mana dia nak tahu dirinya mampu atau tak?
“I try my best,” kata Orkid ringkas.
Oshin senyum serta-merta. Dia tahu adiknya Cuma ragu-ragu.
“Macam nilah adik akak. Tak mengalah cepat sangat.”
Orkid melihat sekeliling bilik kakaknya. Sakit matanya melihat barang hantaran bersepah atas meja.
“Akak tak reti kemas barang tu betul-betul ke? Sakitlah mata orang tengok,” tegurnya selamba.
Oshin hanya buat tak tahu saja. Hujung minggu ini, Oshin akan bertunang dengan pilihan hatinya. Jadinya mereka sekeluarga agak sibuk dengan persiapan pertunangan Oshin.
“Harap nanti Nufail bawak sepupu dia yang smart. Bolehlah kita kahwin sekali,” seloroh Oshin selamba.
Terbuntang mata Orkid mendengar kata-kata si kakak.
“No! jangan nak mengada-ada.” Cepat-cepat Orkid membantah. Bimbang kakaknya menelefon tunangnya minta bawakan calon suami untuknya pula.
Oshin sekadar melepaskan tawa. Lucu melihat adiknya kalut sebegitu.
Orkid menjeling kakaknya geram.
“Kenapa pulak tak boleh? Cousin Nufail yang nama Azim tu handsomelah.” Sengaja dia memetic nama Azim… sepupu rapat tunangnya itu. Padahal Azim sudah lama berkahwin.
“Jangan mengarutlah kak Shin,” bidas Orkid tetap tak mahu dijodohkan dengan sesiapa.
Oshin meletakkan novelnya di sebelah. Dia bangun berhadapan dengan Orkid yang sedang duduk menongkat dagu. Orkid membalas renungan kakaknya semula.
“What?” Tanya Orkid hairan.
“Akak hairanlah. Kenapa Kid seolah-olah tutup hati Kid untuk lelaki?” Tanya Oshin ingin tahu jawapan si adik.
Orkid diam sejenak. Dia berfikir jawapan yang sesuai untuk diperdengarkan pada kakaknya. Sejujurnya, dia pun tak tahu mengapa hatinya seperti terkunci untuk mana-mana lelaki. Sejak kemalangan 3 tahun lepas, dia seperti menjadi orang lain. Kehidupannya terasa tak lengkap.
“Entahlah. Kid pun tak tahu kenapa. Perasaan kat dalam ni… rasa lain sangat,” luahnya perlahan.
“Lain macam mana tu?” Tanya Oshin lagi. Masih tak jemu mengorek isi hati si adik.
Orkid melarikan pandangannya seketika. Dia memejam rapat matanya. Hatinya merasa rindu. Tapi rindu pada siapa, dia pun tak tahu. Ingin berterus-terang pada si kakak, bimbang Oshin kata dia gila pula. Setelah tenang, matanya dia buka luas. Dia kembali memandang Oshin yang menginginkan jawapan.
“Kid tak tahu macam mana nak describe perasaan ni. Mungkin hati Kid belum jumpa lelaki idaman Kid kut.” Hanya jawapan itu saja yang dapat Orkid sediakan.
Oshin berpuas hati dengan jawapan Orkid.
“Dahlah. Kid jangan fikir lebih-lebih sangat. Nanti sakit kepala tu. Kid pergilah relaxkan otak Kid tu,” katanya lalu menepuk bahu Orkid.
Orkid lantas bangun dan beredar dari bilik Oshin. Dia kembali ke biliknya. Dia memandang persekitaran bilik yang dihuninya. Sungguh, kadang-kadang dia rasa terlalu sunyi bersendiri sehinggakan dia berharap akan ada seseorang yang datang mengisi kekosongan di hatinya. Dia pun tak tahulah mengapa pelik-pelik sangat keinginannya ini.
“I love you more.”
Tiap kali Orkid bersendiri, pasti dia teringat kata-kata keramat itu. Entah di mana agaknya dia pernah mendengar kata-kata indah itu. Yang lagi pelik, dia boleh tersenyum apabila mengingatinya. Ahh! Malas dia nak fikir lebih-lebih.

Mateen masuk ke dalam rumah keluarganya. Hari ini mesyuaratnya padat dari pagi hingga petang sehinggakan hendak makan pun tak sempat. Lesu perasaannya.
“Baru balik?”
Langkah Mateen terhenti. Dia memandang ke arah tangga. Lantas bibirnya mengukirkan senyuman lebar.
“Asalammualaikum mummy,” sapanya dan mendekati sang ibu.
Puan Betty menjawab salam lembut dan mengusap kepala anaknya penuh kasih. Sememangnya sejak kecil lagi Mateen memang dididik sebegitu.
“Harini Mateen ada meeting dari pagi, mummy. Letih dah rasa ni. Rose macam mana? Dia okey? Dia susahkan mummy tak?” Tanya Mateen ingin tahu keadaan satu-satunya anak tunggalnya.
Puan Betty melabuhkan duduknya di atas sofa. Mateen juga turut berbuat perkara sama. Beberapa minit kemudian, pembantu rumah datang menghidangkan minuman buat Mateen.
“Rose okey. Dia memang budak baik. Tapi mummy tetap perlukan penjaga. Mummy tak harapkan bik Salmah untuk jaga Rose. Mummy perlukan orang lain,” tegas Puan Betty. Benar-benar ingin anaknya memikirkan soal itu.
Mateen mengeluh sedikit. Sememangnya ibunya memang hendak yang terbaik untuk Rose Nadeen, cucu tunggalnya.
“Mummy cakap dia nak datang. Betul ke?” takut-takut Mateen bertanya.
“Tak tahu lagi. Mak dia tak bagi jawapan lagi,” jawab Puan Betty ringkas.
“Sure mummy tak nak Mateen cari orang lain?” Tanya Mateen sengaja menduga sang ibu.
“Mateen nak ke cari orang lain?” Tanya Puan Betty pula.
Mateen diam pula. Sungguh hatinya merindu.
“But susah… mummy.” Mateen berkata resah.
“Mummy tak peduli. Mummy Cuma nak dia yang jagakan Rose. Slow-slowlah kita bawak dia masuk semula dalam keluarga ni,” kata Puan Betty lagi.
Mateen berdiam agak lama. Sudahnya, dia naik bertemu anaknya di bilik.
“Hai… sweety. How are you?”
Rose melompat seronok saat melihat Mateen di hadapan mata.
“Daddy! Miss you.” Lantas tubuh sang ayah dia peluk erat.
Mateen tersenyum ceria melihat anaknya. Dia menarik Rose agar duduk di atas pahanya.
“Rose buat apa seorang-seorang dalam bilik ni?”
“Rose lukis gambar mummy. Bila mummy nak balik… daddy? I miss her so much,” luah anak kecil itu benar-benar rindu.
Mateen menarik nafas seketika. Lukisan sang anak Mateen pandang sekilas. Macam mana ibu, begitu jugalah anaknya. Memang pandai melukis.
“Mummy tak sihat lagi. Kalau mummy dah sihat… mesti mummy akan datang jumpa kita,” pujuk Mateen sekian kali.”
“Bila mummy nak datang, daddy. Rose miss mummy so much,” ulang Rose lagi hampir hendak menangis.
Mateen menarik nafas dalam. Tak tahu macam mana lagi hendak menjawab pertanyaan anaknya.
“Suatu hari ya sayang,” balas Mateen lemah.
Ingatannya tertumpu pada isterinya… Orkid Mikayla. Mereka berkenalan sewaktu mereka baru berpindah. Tak sangka pula Orkid sering perhatikan dia.
“Hai…” Orkid menyapa ceria saat lelaki itu baru pulang dari kerja.
Mateen memandang Orkid sekilas. Tak berminat hendak berkenal-kenal. Sudahnya dia masuk ke dalam rumah begitu saja. Sombong eh… sombong. Tunggulah. Aku akan buat kau cintakan aku pulak,” bisik Orkid sendiri.
“Kid… apa lagi tu? Masuk. Jangan duk intai anak teruna orang!” tempik ibu kandung Orkid Puan Mawar.
Cepat-cepat Orkid menuju ke dalam rumah. Bimbang dibebel oleh sang ibu.
“Apa… ma? Kid mana ada buat apa,” jawab Orkid selamba.
Puan Mawar memandang anaknya lama. Macamlah dia tak tahu anaknya gigih benar mengurat anak jiran sebelah. Malu mukanya saat bertembung dengan Puan Betty.
“Jangan nak jadi perigi cari timba sangat ya? Mana mama nak letak muka ni? Malu, tahu? Kid tak habis-habis pergi sana buat-buat hantar makananlah, buat-buat terserempaklah. Ingat mama tak tahu ya?” bebel Puan Mawar lagi.
Orkid buat muka selamba. Sudah biasa dibebel sang ibu. Cuma dia bimbang juga ibu tiri dan ayahnya mendengar bebelan mamanya. Memang habislah dia.
“Mama… slowlah sikit bebel tu. Nanti mummy daddy dengarlah,” katanya risau.
“Biar. Biar mummy dengan daddy dengar. Dah gatal sangat.”
“Ada apa tu, Mar? dengar sampai dalam rumah ni.”
Datin Seri mula sibuk hendak tahu. Selamba dia masuk ke dalam rumah Puan Mawar ikut pintu dapur. Yalah, sudah rumah mereka berkembar. Dia masuk sajalah sesuka hatinya.
“Anak kau ni gatal nak kahwin.”
Berubah wajah Orkid diperli ibunya.
“No, mummy. Mana ada… mama ni, kan?”
Datin Seri memandang madunya hairan.
“Kenapa?” Tanyanya benar-benar ingin tahu.
“Dia duk mengurat lelaki yang baru pindah ni. Hari-hari buat-buat terserempak, hantar makananlah. Gedik betul. Geram aje aku tengok muka dia yang tak bersalah tu.”
Datin Seri tergelak mendengar bebelan Puan Mawar pada anak tirinya. Si Orkid ini memang lain macam sikit perangainya. Apa yang dia mahu, dia akan dapatkan juga walau apa pun yang jadi. Hal itu memang Datin Seri tahu sangat.
“Biarlah dia, Mar. Lagipun orang tu dah dewasa. Dah teringin nak berkeluarga. Tak gitu… Kid?” balas Datin Seri sambil tersenyum-senyum.
“Aku tak kesahlah dia nak kahwin ke apa. Tapi mata aku sakit tengok dia tergedik-gedik dekat rumah sebelah tu. Padahal orang tak suka dia pun,” luah Puan Mawar lagi.
“Mama ni… mana ada orang tergedik-gedik,” nafi Orkid keras.
“Menjawab, menjawab. Tak ada kerja sangat, pergi tolong mummy masak sana!”
Orkid mencebik tak puas hati dimarah ibunya sebegitu sekali.
“Mama memang tak sayangkan Kid. Mama sayangkan kak Shin aje,” balasnya lagi.
“Eh… budak ni. Ke situ pulak dia pergi. Dah kata aku tak sayang dia pulak. Kau tengoklah anak kau ni Seri. Aku dah tak kuasa nak melayan.”
Datin Seri menggeleng saja dengan perangai emak dan anak itu. Selalunya begitulah mereka berdua. Dia memang akan selalu jadi orang tengah antara mereka.
“Dahlah tu. Mama gurau aje. Kau ni pun. Dengan anak pun nak gaduh. Jom pergi rumah aku? Nanti abang Riz balik. Kita makan sama-sama, okey?” lembut Datin Seri mengajak madu dan anak tirinya.
Keluarga Orkid memang unik sedikit. Ibu dan ibu tiri Orkid memang hidup bermadu. Tapi mereka bukan jenis madu yang klise bergaduh sana-sini. Isteri pertama salahkan isteri kedua. Isteri kedua pula berebut suami tak bagi balik rumah isteri pertama. Tak… mereka bukan begitu. Kerana apa mereka bukan begitu? Kerana pemimpinnya bijak memimpin dan adil. Lagipun, Datin Seri yang meminta suaminya berkahwin lain kerana inginkan zuriat. Kuasa Allah, kahwin saja Dato Rizwan dan Puan Mawar, 2 bulan setelah itu Datin Seri disahkan mengandung. Setahun selepas lahirnya Oshin barulah Puan Mawar mengandungkan Orkid pula. Datin Seri menganggap yang kehadiran Puan Mawar membawa rezeki padanya dan Dato Rizwan. Lahir saja Orkid, Dato Rizwan dikurniakan pangkat Dato. Bukan main gembira lagi mereka. Kerana itulah Datin Seri sayang pada madunya.
Meriah. Makan malam mereka sekeluarga dihiasi dengan cerita-cerita yang membuatkan mereka tersenyum lucu.
“Kid tak nak cari kerja ke? Sampai bila nak melepak dekat rumah?” Tanya Dato Rizwan bersahaja.
Orkid tak jadi hendak menyuap makanannya. Dia meletakkan sudu di sisi pinggan.
“Ala… nantilah daddy. Kid suka aje duduk rumah,” jawabnya selamba.
“A’ah. Suka duduk rumah sebab boleh intai jiran sebelah, kan?” sinis Puan Mawar memerli anaknya.
Oshin tergelak kecil. Suka adiknya kena bebel dengan Puan Mawar.
“Shin pun jangan nak gelak sangat. Bila nak cari kerja? Melepak dengan kawan aje tak habis-habis,” leter Puan Mawar lagi. Kali ini ditujukan pada anak tirinya pula.
Datin Seri mengangkat tangan tanda bersetuju dengan leteran madunya pada anak-anaknya. Bukan main penat lagi dia meminta Oshin mencari kerja. Tapi itulah. Serupa bercakap dengan dinding saja lagaknya.
Masam muka Oshin jadinya. Terus tak ada mood nak membahan adiknya.
Dato Rizwan menarik nafasnya seketika. Sedar anak-anaknya perlukan teguran dan bimbingan darinya.
“Daddy memang cari duit untuk isteri-isteri dan anak-anak daddy. Tapi… kalau kita tak berjimat, kalau kita guna sesuka hati, semua akan habis macam tu saja. Daddy nak Shin dan Kid cari kerja. Kalau tak nak, kerja aje dengan mama,” cadang Dato Rizwan.
Serentak Oshin dan Orkid menggeleng. Tak setuju langsung dengan cadangan sang ayah.
“Kenapa pulak tak nak kerja dengan mama?” Tanya Datin Seri ingin tahu.
Masing-masing diam pula. Takkanlah mereka nak jawab mereka tak mahu bekerja dengan Puan Mawar sebab Puan Mawar garang?Memang saat itu juga mereka akan kena marah. Sememangnya Datin Seri agak lembut mendidik anak-anak manakala Puan Mawar sedikit tegas. Yalah. Kalau tak tegas anak-anak mereka asyik main-main. Terutama sekali Orkid.
“Daddy tak nak tengok korang adik-beradik melepak macam dah tak ada kerja nak buat dalam dunia ni,” sambung Dato Rizwan lagi.
Kedua-dua adik-beradik itu mengangguk hampir serentak.
“Okey, daddy. Kalau tak ada kerja Kid kerja dekat butik mama,” setuju Orkid akhirnya. Dia sedar… walaupun mamanya garang tapi mamanya memang majikan yang baik.
Puan Mawar lega akhirnya. Sabar sajalah dia dengan anaknya ini. Kena marah, kena bebel dengan suami dia dulu, barulah otak berfungsi dengan baik.
Senyap-senyap Orkid keluar dari rumah ayahnya. Dia curi-curi melihat lelaki yang dia suka itu. Tapi masalahnya, dia tak Nampak apa-apa sebabnya lelaki itu ada dalam rumah. Orkid menggaru kepalanya. Dia berfikir seketika cara hendak mengumpan lelaki itu keluar dari rumah. Berhati-hati dia menuju ke pintu rumah lelaki itu. Dia merenung saja pintu itu seolah-olah dia merenung wajah lelaki pujaannya. Tiba-tiba, pintu di hadapannya terbuka dari dalam.
Terkejut Puan Betty melihat jirannya di hadapan mata. Orkid juga terkejut. Mulalah dia gelabah sendiri.
“Orkid, kan? Ada apa ni?” Tanya Puan Betty hairan melihat Orkid tercegat saja di hadapan rumahnya.
Terkebil-kebil mata Orkid memandang Puan Betty. Tak tahu hendak membalas apa.
“Err… ta… tak ada apa, aunty.”
“Betul ke?” Tanya Puan Betty lagi. Rasanya seperti dia tahu saja untuk apa Orkid ke sini.
Lambat-lambat Orkid mengangguk.
“Nak jumpa Mateen ke?” Tanya Puan Betty lagi.
Bercahaya wajah Orkid apabila sudah tahu nama lelaki pujaannya. Mateen…. Sedap saja di telinganya.
“Errr… ya. Saya nak jumpa Mateen,” jawab Orkid memberanikan diri.
Puan Betty menggeleng sedikit. Dasyat anak dara sekarang. Tak malu menunjukkan rasa suka pada lelaki.
“Tapi dah malam ni dik. Esok aje ya jumpa Mateen? Tak manis jumpa malam-malam macam ni,” nasihat Puan Betty lembut agar Orkid tak terasa dengannya.
Merah sedikit wajah Orkid. Malu ditegur terang-terangan oleh tuan rumah. Itulah, jangan pandai-pandai datang rumah orang malam-malam.
“Baik aunty. Saya balik dulu ya?” pamit Orkid sambil menundukkan kepalanya.
Puan Betty menarik nafas dalam. Kasihan juga melihat Orkid malu sebegitu.
“Orkid… kejap,” seru Puan Betty lembut. Orkid yang baru hendak pulang ke rumah, memberhentikan langkahnya serta-merta saat mendengar suara Puan Betty memanggilnya.
“Ya?”
Puan Betty membuat isyarat menyuruh gadis itu tunggu sebentar. Dia masuk meninggalkan Orkid yang terkebil-kebil sendiri. Dua minit kemudian, dia keluar dengan sekeping kad di tangan.
“Nah… ambillah,” kata Puan Betty lembut dan menyerahkan kad itu pada Orkid.
“Kad apa tu, aunty?” Tanya Orkid hairan.
“Ambillah dulu.”
Teragak-agak Orkid mengambilnya. Dia melihat sekilas kad di tangan. Ammar Mateen. Orkid tersentak. Perlahan-lahan dia memandang wajah aunty Betty yang selamba saja seperti tak ada apa-apa.
“Hati-hati balik ya? Good luck,” kata Puan Betty dan menutup pintu rapat. Dia sudah tunjukkan jalan pada gadis itu. Jadi terpulang Orkid sajalah bagaimana hendak memandu sehingga sampai ke destinasi. Puan Betty termenung seketika. Mengapa dia buka pintu tadi? Dia diam berfikir. Sudahnya, baru dia teringat yang dia nak keluar untuk membuang sampah. Puan Betty menggeleng sendiri. Boleh pula dia lupa benda penting itu.
Masuk saja ke dalam rumah, Orkid diterpa pandangan hairan ayah, ibu tiri dan kakaknya.
“What?” dia bertanya hairan.
“Pergi mana?” Tanya Dato Rizwan serius.
Orkid menelan liur. Gerun mendengar suara ayahnya yang tegas itu.
“Ambil angin,” jawab Orkid perlahan.
“Ya ke? Daddy tak suka anak-anak daddy cakap bohong,” kata Dato Rizwan memberi amaran.
“Yalah… yalah… Kid baru lepas balik dari intai jiran sebelah,” jujurnya selamba. Tapi suaranya tetap diperlahankan. Bimbang mamanya mendengar jawapannya itu. Haruslah dia disumpah menjadi batu saat itu juga.
“Tak habis-habislah. Patutlah mama pening dengan Kid,” komen dato Rizwan ringkas. Dia pun dah malas nak menghalang anaknya. Bukan dengar cakap pun.
Sesudah Dato Rizwan dan Datin Seri masuk ke bilik, Oshin mendekati adiknya.
“So… macam mana? Kid Nampak tak lelaki tu tadi? Dia perasankan Kid tak?” Tanya Oshin teruja.
Orkid sengih bangga. Lantas kad yang dia dapat, dia tunjukkan pada Oshin. Bulat mata Oshin memandang kad ditangan adiknya.
“Wow! Ni sangat-sangat bagus. Dia bagi Kid kad dia?”
Oshin mengambil kad yang dipegang adiknya. Dia membelek kad tersebut. Nama dan nombor telefon lelaki itu sudah ada bersama Orkid sekarang.
“Bukan lelaki tu yang bagi Kid. Mak dia yang bagi,” jawab Orkid dengan nada bangga.
Makin membulat mata Oshin mendengar jawapan adiknya.
“So… nama pun dah tahu, nombor phone pun dah tahu. Apa lagi? Teruskanlah mengurat sampai dapat.” Bersemangat perempuan itu memberi dorongan pada adiknya.
Orkid tergelak sedikit dengan gelagat kakaknya. Gadis itu pula yang bersemangat lebih.
“Sabarlah kak. Nampak gelojoh benar macam ni. Ni kan dah malam. Esok lusa ajelah orang plan strategi lain. Sekarang Kid duk fikir nak cari kerja aje ni. Nanti daddy bising lagi. Penat nak dengar. Daddy tu jarang bersuara. Sekali dah bersuara boleh menanah telinga kita,” ujar Orkid agak gusar.
“Ala… kerja dengan mama aje. Akak pun ingat nak kerja dengan mama. Senang sikit. Pedulilah mama garang pun,” kata Oshin sambil tergelak kecil.
Orkid senyum juga akhirnya.
“Okeylah. Kid nak balik tidur. Esok nak plan strategi mengurat jiran sebelah,” kata Orkid selamba dan berjalan menuju ke dapur. Selamba dia menolak pintu dapur ibunya dan terus berjalan menuju ke bilik.
Puan Mawar yang sedang menyusun lukisan baju-baju di ruang tamu sekadar memandang saja anaknya berlalu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience