27

Romance Completed 132660

Pagi itu Hana banyak termenung. Makan juga tidak lalu, walaupun dipujuk beberapa kali oleh mamanya. Kemudiannya Hana menangis kerana tidak selesa dan merasa mahu muntah.

Selesai mengeluarkan isi perut, langsung Hana tidak mahu bercakap. Selebihnya dia melayan perasaan sendiri sambil sekali-sekala mengerang kesakitan.

Petang itu menjelang Maghrib, Hana demam lagi. Setelah dimasukkan ke wad khas, barulah suhu badannya menurun. Pada sebelah paginya, Hana memang kelihatan kurang bermaya.

Kakaknya Amirah segera datang melawat setelah dibenarkan bercuti dari kerja. Amirah yang juga rapat dengan Hana tidak henti-henti memberi kata-kata semangat.

Setelah diberi makan beberapa jenis ubat dan dilap tubuh dengan tuala basah, barulah demam Hana berkurangan. Kalau tidak terpaksa ditangguhkan sementara rawatan chemotherapy.

Malam itu Amirah turut menemani Azizah di wad yang menempatkan Hana. Amirah mengusap tangan dan dahi Hana berkali-kali sambil melayan Hana bercakap.

Tanpa sedar, mata si adik memberat. Melihat Hana sudah berlayar ke alam mimpi, baru senang duduk Amirah.

Lengan Hana yang lebam-lebam akibat bekas jarum menambah sayu di hati Amirah. Perubahan yang amat ketara, dari seorang yang ceria dan manja kepada seorang yang pendiam.

"Kuatkan Dikna, mama?" bisik Amirah. Azizah mengangguk perlahan.

Dari tadi dia menahan dari menitiskan airmata di hadapan Hana. Hakikatnya, luluh hati seorang kakak melihat si adik yang sedang menahan sakit.

"Kita kena selalu beri kata-kata positif. Biar dia tak sedih, biar dia lupakan sakit tu. Mama kesian tengok dia asyik diam, tak bercakap. Mama takut dia stress."

"Inshaallah, ma. Adik kuat semangat. Kita semua pun kena kuat."

"Nanti Hana boleh balik, mama ingat nak mintak air penawar dengan ustaz. Kita cuba alternatif lain pula. Mudah-mudahan ringan sikit sakit dia." cadang Azizah.

Tidak sabar mahu membawa Hana pulang ke rumah. Dia juga sudah lama duduk di hospital, ada baiknya jika Hana dapat meluangkan masa di rumah pula.

"Elok jugak tu ma. Nanti dah balik rumah boleh along jenguk kerap sikit. Camilla pun teringin nak jumpa maksu dia."

.
.

"Takkan tak ada alamat lain!! Nombor telefon rumah ke?!" tengking Hazim terhadap Yusra di hadapannya.

Terkejut Yusra dibuatnya, hanya menunduk sambil menggeleng dengan pertanyaan Hazim.

"Get out." ujar Hazim tanpa menoleh ke arah Yusra.

Pantas gadis itu melangkah keluar dari bilik itu. Kali pertama melihat Hazim marah sebegitu.

Hazim menghentak meja beberapa kali bagin melepaskan amarah yang bersarang di hati. Sakit hati apabila segala usaha untuk menjejaki Hana tidak berhasil.

Sudah dikerahkan Yusra untuk membuka fail peribadi milik Hana untuk mendapat segala maklumat tentang isterinya. Tiada alamat lain selain dari alamat rumah sewa lama milik Hana.

Nombor telefon juga sudah tidak digunapakai. Hazim menghempas punggung di kerusi. Berkira-kira lagi kepada siapa dia harus merujuk bagi mengetahui keberadaan Hana.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Laju Hazim menekan butang interkom. Dia tahu siapa dia harus cari.

Tidak lama kemudian Azleen muncul di muka pintu.

"Have a sit." pelawa Hazim.

"Ada apa Encik Hazim?" Azleen sudah bertanya takut-takut.

Dengar cerita dari staff-staff lain, angin bosnya itu tidak berapa baik kebelakangan ini. Kecut perut juga bila dia dipanggil kali ini.

Mungkin juga kerana bergaduh dengan Mona tempoh hari. Dengar khabar rumah tangga mereka sedang dilanda tsunami.

"Awak tahu mana Hana tinggal?" tanpa berbasa-basi Hazim terus bertanya.

"Atilia Hana ke encik? Setahu saya dekat apartment Prima tu la. Kenapa encik?"

Azleen tertanya-tanya mengapa hal berkaitan Hana yang dibangkitkan. Takkanlah dia ni tak tahu pula tempat tinggal Hana, bukankah mereka ada skandal bersama? Pelik.

"I mean, rumah family dia. Awak tahu?"

Azleen memandang Hazim sekejap. Buat apa Hazim nak tahu rumah keluarga Hana? Bagai ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh lelaki ini. Azleen ragu-ragu sama ada dia perlu memberitahu apa yang diminta.

"Please. If you know something. Tolong bagitahu saya..." Hazim sudah merayu apabila melihat Azleen bagai berfikir-fikir.

Ini mungkin satu-satunya cara untuk dia berjumpa dengan isteri kesayangan. Hazim sudah tidak peduli lagi akan cakap-cakap orang. Yang penting dia mahu segera bertemu Hana.

.
.

Hana membuang pandang ke arah luar tingkap kereta. Perasaan teruja apabila dibenarkan 'bercuti' dan pulang ke rumah setelah sekian lama berkampung di hospital.

Makin tidak sabar setelah dimaklumkan oleh Amirah bahawa anak saudaranya Camilla juga sudah menunggu di rumah. Rindu benar kepada si kecil kesayangannya itu.

Sampai di rumah, Badrul membantu memapah Hana untuk didudukkan ke atas kerusi roda. Belum sempat bergerak masuk ke dalam rumah, Camilla sudah menjerit melihat kedatangan maksunya.

"Maksuuu!!!" berlari si kecil Camilla mendapatkan Hana.

"Lala!!" Hana menyambut dengan gembira, walau tenaganya tidak menyamai Camilla.

Beriya Camilla mahu membantu Badrul menolak kerusi roda Hana untuk masuk ke rumah.

Camilla tidak berhenti berceloteh sejak tadi. Banyak perkara yang ingin dibualkan dengan Hana. Anak kecil itu langsung tidak bercakap tentang masalah kesihatan yang dialami Hana.

Mungkin kerana sudah diterangkan oleh kakaknya Amirah, Camilla pula sejenis yang bijak dan matang berbanding kanak-kanak seumurnya.

Melayan karenah anak saudaranya, Hana lupa sebentar akan kesakitan yang dialami. Melihat seisi keluarganya yang berada di hadapan matanya kini, Hana jadi sebak.

Ada mama, ayah, angah, along, abang long, Camilla. Apakah agaknya reaksi wajah-wajah kesayangannya ini sekiranya dia ditakdirkan pergi dahulu.

Mama, pasti akan menjadi insan yang paling sedih. Mama bersengkang mata menjaganya di hospital. Ayah yang tak henti-henti mendoakan dan kadangkala menunaikan solat hajat agar Hana cepat sihat.

Angah yang berada di sampingnya dari hari pertama Hana disahkan sakit. Dan along sanggup meninggalkan keluarga untuk ulang alik dari rumah ke hospital bagi menjenguknya.

Hana menahan air mata yang mahu gugur. Hanya secebis doa ikhlas dipanjatkan kepada illahi. Agar semua insan kesayangannya dipanjangkan umur, dan sentiasa sihat sejahtera.

Andai Hana yang harus pergi dahulu, dia redha.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience