Beberapa minggu kemudian, semasa cuti panjang, ayah tiba-tiba kata,
“Sabtu ni ada tetamu nak datang. Jauh katanya”. Aku soal dari mana dan siapa, ayah hanya jawab kawan lamanya.
Kebiasaannya aku tidak berdebar sedemikian tatkala diberitahu akan ada tetamu yang bakal hadir ke rumah. Namun, kali ini berbeza. Entah siapalah agaknya yang nak datang ni ya sampaikan aku rasa macam ni.
Hari yang diperkatakan sudah tiba, hidangan untuk para tetamu juga telah aku dan ibu siapkan. Hanya menunggu mereka tiba sahaja.
Beberapa minit kemudian, loceng rumah berbunyi dan aku segera membuka pintu. Dengan senyuman manis di muka, aku menyapa para tetamu dan mengalukan kedatangan mereka.
Usai bersalaman dan menghidangkan air, aku pun masuk ke bilik tanpa sebarang petunjuk apa yang bakal dibualkan oleh kedua-dua ibu bapa ku bersama para tetamu.
Tapi aku pelik, sepanjang aku hidup, tak pernah pula ayah atau ibu cerita akan kawan lamanya yang ini. Kebiasaannya mereka atau salah seorangnya akan menceritakan kawan lama mereka yang masih lagi dapat dihubungi. Dan sekali sekala juga berkunjung ke rumah mereka. Namun, kawan lamanya yang satu ini, bukan sahaja wajah tak pernah ku lihat tetapi namanya macam pernah ku dengar.
Tak lama kemudian, pintu bilik aku diketuk oleh ibu dan memberi isyarat untuk jamu tetamu makan.
Selesai sahaja mencuci segala peralatan makan, aku pun duduk bersama di ruang tamu kerana aku menyangka tetamu ingin mengundurkan diri.
Rupa-rupanya, ada hal mustahak yang ingin dibincangkan dan ianya berkaitan dengan masa depan aku.
Dengan bahasa berlapik oleh ‘kawan lama’ ayah, dia menyampaikan hajat yang dibawa bersama.
Katanya, ingin memetik bunga di taman. Aku pun entah kenapa boleh tiba-tiba tak faham bahasa kiasan itu. Tambahan, aku pula sejenis yang tak pandang muka tetamu lama-lama terutama tetamu lelaki.
Share this novel