Bab 17: Tanpa Rela

Romance Series 20066

AIR Milo yang siap dibancuh dihidang di atas meja untuk tetamu dua beranak itu. Damia hanya mampu lemparkan senyum kepada mereka berdua. Senyum yang nampak jelas terpaksa dan dipaksa.

"Amboi, Damia. Makin segak kamu ni. Padahal setahun sekali kita berjumpak tapi makin berseri-seri mak cik tengok kamu," puji Mak Cik Zainab.

"Mana ada. Biasa je, mak cik." Damia tersengih malu. Padahal dalam hati berbunga-bunga jugaklah rasa.

Nasib baiklah sebelum dia keluar masuk dapur tadi, dia dah mandi siap-siap. Kalau tak, mahu sememeh aje muka tu.

"Tengoklah anak siapa. Anak Siti Hasmah, kan?" Mak Siti pula menyampuk. Sibuk dan tak nak kalah sungguh.

Damia tayang muka menyampah tatkala dua sekawan itu tertawa riang. Tetapi sempat dia lirikkan ekor matanya ke arah Lokman. Lelaki itu sedang asyik menatapnya. Tidak!

"Umm ... Damia." Lokman mulakan bual.

Ketika itu juga suasana terus senyap. Mak Siti dan Mak Cik Zainab macam tahu-tahu aje nak kasi ruang kepada anak masing-masing mulakan sesi pikat-memikat.

"Hmm?"

"Awak sihat?"

Damia telan liur. Soalan dari Lokman itu mudah dan ringkas sahaja tetapi entah kenapa terasa susah pulak nak lontarkan jawapan.

Bukannya dia benci lelaki itu tetapi dia sedaya upaya cuba untuk menjaga jarak antara mereka. Tambah-tambah yang dia dah tahu tujuan dua beranak itu datang ke sini.

"Sihat," jawab Damia singkat, padat dan jelas.

"Kalau tak ada apa-apa, Damia pergi naik atas dululah ye. Minumlah," sambung Damia dengan selambanya. Tanpa segan-silu dia terus beredar dari ruang tamu untuk menuju ke biliknya.

Dia sudah tiada semangat mahu melayan tetamu lebih-lebih lagi mereka yang mahu berbincang tentang hal perkahwinan ini. Rasa malas dan beban.

Mak Siti tertawa kecil mahu kurangkan rasa janggal. "Aduh Damia ni. Malu-malu pulak dia. Biasalah, budak-budak zaman sekarang ni manalah nak pandai layan tetamu. Semua nak harapkan mak masing-masing, kan ..."

Mak Cik Zainab dan Lokman hanya membalas senyum.

Dalam hati Mak Siti, dia sudah gelabah tak tentu arah. Ye la, Si Damia itu pergi menonong macam tu je. Nanti apalah pulak Mak Cik Zainab ni fikirkan. Mahu nanti rancangan perkahwinan itu dibatalkan, memang masaklah Mak Siti tu.

Mak Siti dengan kalutnya terus mendapatkan anaknya yang baru sahaja menapak satu anak tangga tu. Aduh! Kacau line betullah.

"Angah! Hoi, kamu ni dah kenapa ha? Nak lari dari Lokman? Kamu tahu tak dia tu siapa? Dia tu bakal suami kamu tau. Lagipun bukannya kamu tak kenal dia pun," tengking Mak Siti. Waktu macam ni la yang sesuai untuk 'basuh' puas-puas anaknya itu tatkala dua tetamu itu masih di ruang tamu.

Damia tarik mukanya. Makin menyampah pula rasanya. Memang dia tak akan tenang selagi belum selesainya rancangan perkahwinan itu. Perkahwinan paksa.

"Mak, angah penatlah. Mak jelah yang layan Lokman dengan Mak Cik Zainab tu. Dan untuk pengetahuan mak, angah tak pernah setuju pun tentang perkahwinan ni dan angah tak akan setuju sampai bila-bila," balas Damia geram.

Segera dia sambung semula langkahnya setelah hamburkan amarah yang terbuku di hati itu. Puas.

Kalau boleh nak aje dia menempik jawapan itu sekuat hati sehingga Lokman dan Mak Cik Zainab mendengarnya tetapi Damia sedar, dia tak nak mempermalukan ibunya.

"Ni mesti sebab penjual sate tu, kan?"

Langkah Damia automatik terhenti. Air liur perit ditelan.

"Tolonglah, angah. Kamu lupakan jelah laki tu. Bukannya susah mana pun. Kamu dengan dia berkawan je bukannya sampai tahap bercinta lagi, kan?" sambung Mak Siti.

Damia menoleh. Nafasnya dihela agar dirinya mampu bertenang.

"Hmm ... memang angah dengan Syafiq tu berkawan dan kami tak pernah luahkan perasaan langsung. Tapi angah tahu isi hati dia. Angah pun yakin dengan isi hati angah dan mak tak boleh nak sangkal perasaan kami berdua."

"Baru kenal dah berani cakap pasal hati. Sudahlah! Mak tak nak kamu cakap tentang laki tu dah," bentak Mak Siti. Tetapi nada suaranya masih terkawal

"Sekarang ni, mak mintak satu je ... tolonglah dengar cakap mak. Tolonglah, sekali ni je. Kamu dah banyak melawan mak, kamu dah banyak biadab dengan mak. Tapi mak tak pernah buang kamu. Kamu sanggup ke jadi anak derhaka disebabkan lelaki tu?" sambung Mak Siti dengan nada merayu.

Damia pejamkan mata. Dirinya bagaikan dihimpit. Ya Allah! Macam ni ke rasanya dilema? Dilema antara lelaki dengan restu ibu?

Bukannya dirinya sengaja buat onar saat tu tetapi keadaan yang memaksanya buat sebegitu. Tetapi apabila difikirkan kembali, betul juga apa yang dikatakan ibunya.

Ibunya masih ada hak terhadapnya. Masih memegang kunci syurga untuk dirinya.

Untuk hal Lokman, biarlah jodoh yang menentukan. Lagipun, dia kenal Lokman itu lebih dari dia kenal Syafiq.

Lokman, kawan sewaktu zaman kanak-kanak dan remajanya. Seorang yang baik dan agak tegas sebab dia tu anak sulung. Mungkin tak salah kalau dia turuti permintaan ibunya. Kali ini sahaja.

Untuk hal Syafiq pula, dia terpaksa. Terpaksa untuk melupakan lelaki itu demi kepuasan si ibu. Dia sedar dia sudah biadab dengan ibunya itu tetapi tak naklah perkara ini melarat sehingga tanpa penghujungnya. Ibunya itu sudah membantah keras hubungan mereka. Jadi, memang dah tak ada harapan untuk teruskan persahabatan yang terbina.

Damia hela nafas berat. Kepalanya diangguk tanda ya.

Mak Siti terus hadiahkan senyum. Segera dia pergi semula menghadap kedua tetamu itu.

Damia pula hanya mampu membuntuti langkah ibunya dari belakang. Bertemankan rasa yang berat.

"Maaflah lama sangat. Bukan apa, Damia ni dia kata dia segan dengan Lokman. Tu yang kalut sangat nak pergi masuk bilik tu," dalih Mak Siti yang cuba menjernihkan keadaan.

"Takpa la, Siti. Kami faham." Mak Cik Zainab menampar perlahan lengan Mak Siti.

Damia yang duduk di sebelah ibunya hanya pasang segaris senyum. Senyum yang sudah hilang serinya.

"Damia, awak okey tak?" tanya Lokman pula.

"Okey je."

Mak Cik Zainab lalu menegakkan posisi duduknya. Perkara serius bakal diajukan sebentar lagi.

"Damia, kamu tahu kan tujuan mak cik dengan Lokman datang sini?"

Damia pandang sekilas wajah Mak Cik Zainab. "Ya, mak cik."

"Kamu setuju ke dengan rancangan ni? Rancangan untuk kahwinkan kamu dengan Lokman?" tanya Mak Cik Zainab lagi.

Bukannya dia tak percaya akan kata-kata Mak Siti tempoh hari tetapi biarlah jawapan itu keluar dari mulut Damia sendiri. Itu lebih baik.

Damia pandang wajah ibunya. Ibunya jongketkan sebelah keningnya. Lantas kata-kata yang keluar dari mulut ibunya tadi bermain di layar fikiran.

"Ya, mak cik. Saya terima." Damia paksakan diri senyum. Padahal dalam hatinya sedang meraung rasa pedih dan perit.

"Alhamdulillah ..."

Syafiq, maafkan aku. Aku terpaksa. Rintih hati Damia.

*****

Damia baringkan dirinya di atas katil. Jam baru menunjukkan pukul 9:00 malam tapi dia tak tahu nak buat apa.

Selalunya waktu macam ni, semestinya dia tu melekat dengan telefon pintarnya. Tapi tu la, telefonnya tu dah pecah dah pun disebabkan ibunya.

Baru je terfikir pasal ibu, tiba-tiba pintu bilik diketuk. Diketuk bukan sekali dua. Tetapi berkali-kali jugaklah. Memang tak menyabar sungguh.

Damia dengan malasnya bangun jua dari pembaringan. Pintu bilik yang dikunci dibuka dan seperti dijangka, gerangan ibunya sudah tercegat di depan pintu.

"Kamu tidur ke tadi?" tanya Mak Siti.

"Tak adalah mak," jawab Damia ringkas. "Kenapa, mak? Nak cakap pasal Lokman lagi ke?"

Damia terus julingkan mata ke atas selepas meneka. Malas kalau mahu cakap pasal hal perkahwinan ni setiap hari. Cukuplah dia tu yang terpaksa bersetuju dengan perkahwinan itu.

Boleh muak tau asyik cakap pasal kahwin tu.

"Kamu ni, tak boleh ke berlembut sikit? Cara kamu bercakap dengan mak, dengan kak long kamu, dengan Lokman pun, dingin betul. Lain pulak dengan si penjual sate tu. Dengan laki tu boleh pula kamu nak tergedik-gedik, cakap manja-manja dengan dia. Memang berbeza sungguh," sindir Mak Siti.

Dia mula dah. Masuk bilik semata-mata nak sakitkan hati. Kalau tahu tadi, tak payah buka pintu pun tak apa dari mendengar rungutan ibunya itu.

Memanglah dengan Syafiq tu aku jadi lain! Waktu aku dengan Syafiq aje aku terasa bebas. Syafiq aje la yang faham aku. Bentak hati Damia.

"Dengan Syafiq lain, dengan mak lain. Sekurang-kurangnya Syafiq tu tak pernah paksa-paksa angah untuk buat semua benda," bidas Damia.

"Amboi! Nak banding-bandingkan mak dengan dia pulak. Apa yang special sangat lelaki tu sampaikan kamu tak boleh nak tutup mulut pasal dia?"

"Dah mak yang cakap pasal Syafiq dulu. Bukannya salah angah pun."

Mak Siti buang pandangan ke arah lain. Tahu pun malu. Dia yang mulakan dulu tapi dia yang nak marah-marah. Nasib baiklah Damia berani balas balik.

"Dah! Jangan cakap pasal dia lagi. Ni mak ada satu benda nak bagi kat kamu ..."

Terkial-kial Mak Siti menyeluk tangannya ke dalam poket baju kelawarnya.

Damia kerutkan dahi. Benda apalah yang ibunya satu ini nak bagi. Macam-macam hal.

"Nah! Untuk kamu." Mak Siti lalu menyerahkan sebuah telefon pintar.

Telefon pintar berwarna putih itu dihulurkan kepada Damia. Mata Damia terkebil-kebil. Mulutnya pula ternganga.

"U ... untuk angah?"

"Ye la. Untuk siapa lagi kalau bukan kamu."

Damia tanpa was-wasnya terus ambil telefon pintar itu. Dalam hatinya, seronok jugaklah sebab dia dapat semula untuk memiliki teknologi tu biarpun berbeza dari sebelumnya. Biarlah, asalkan dapat. Mungkin ini sebagai ganti daripada ibunya.

"Bila mak beli telefon ni?" tanya Damia tatkala matanya masih mengimbas fizikal telefon itu.

Nampaknya, telefon pintar itu tidaklah secantik dan sebaharu mana. Bahagian belakangnya sedikit kotor. Skrinnya sedikit bercalar. Ni mesti telefon terpakai. Nak bagi pun biarlah ikhlas sikit. Dasar kedekut!

"Oh, tu kak long kamu yang belikan. Tadi mak yang suruh dia beli masa dia balik dari kerja. Baik kan kak long kamu tu," ujar Mak Siti.

Damia ketapkan giginya. Kakaknya yang belikan rupanya. Patutlah buruk semacam.

Ni mesti Nadia tu sengaja beli telefon yang buruk dan agak lama sebab murah. Dan tak lain tak bukan, pastinya dia tu mahu balas dendam tentang kejadian tempoh hari. Kejadian tarik-menarik rambut.

"Ceh! Baik tak payah beli," gumam Damia lalu dia lemparkan telefon tersebut di atas katil.

Mak Siti menggelengkan kepalanya. Bertuah punya budak.

"Kamu ni, bersyukurlah sikit dapat telefon tu. Bukan senang tau mak murah hati suruh kak long kamu belikan."

Damia buat tak endah. Lantas dia baringkan tubuhnya di atas katil. Lebih baik dia tidur dari melayan perangai ibunya tu.

"Buat pekak je eh kamu ni? Tengok-tengoklah sikit telefon tu." Mak Siti menampar perlahan paha Damia. "Padahal telefon tu guna duit gaji kamu sendiri," ucap Mak Siti perlahan.

Damia yang mendengar gumam Mak Siti laju sahaja bangkit dari pembaringan.

"Apa? Duit gaji angah?" Terbeliak mata Damia. Duit gajinya bulan ni belum dapat lagi. Takkanlah ...

"Yalah. Duit gaji kamu bulan ni. Mak guna untuk beli telefon ni. Lagipun nanti kalau dapat duit tu, kamu mesti beli telefon baru jugak, kan?"

"Mak! Kenapa mak ni eh? Pandai-pandai guna duit orang nak beli itu ini. Tahulah angah ni pekerja kat kedai mak tu tapi janganlah buat macam ni!" Damia berang.

Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan. Dia cuba untuk menenangkan diri dari rasa marah yang mencanak-canak.

"Dan mak pun terpaksa ... berhentikan kamu dari kerja cashier kat kedai mak dah," sambung Mak Siti lagi tanpa hiraukan keberangan Damia.

Pada masa itu aje, dah bermacam-macam berita buruk yang mahu diberitahu kepada anaknya.

Si Damia apa lagi, menjerit geramlah dia.

"Mak kejam! Dah puas mak pisahkan angah dengan Syafiq, lepas tu mak paksa angah kahwin dengan Lokman. Dan kali ni mak hentikan angah bekerja pula? Apa ni?"

Mak Siti picit kepalanya. Sudah dapat diagak apa yang bakal dihadapnya ketika itu. Tapi dia kisah apa? Janji perkara tu sudah diumumnya.

"Mak bukannya suka-suka nak berhentikan kamu, tapi mak nak kamu lebih bersedia. Lepas kamu kahwin dengan Lokman nanti, takkanlah nak kerja dengan mak lagi. Mestilah makan minum, pakaian dan rumah semua Lokman sediakan, kan?" Mak Siti cuba meyakinkan anaknya. Kali ini dia cuba bermain secara psikologi.

Damia geleng kepalanya. Pening dengan perangai ibunya. Nasiblah Mak Siti itu ibu kandungnya, kalau tidak dah lama Damia larikan diri dari rumah tu.

"Mak tetap tak serik nak seksa angah?" Hampir menangis Damia dibuatnya tetapi dia tahan.

"Mak bukannya seksa kamu okey! Kalau mak seksa, dah lama mak dera kamu dan buat kamu macam hamba. Tapi ada ke mak buat semua benda tu? Tak ada kan?" lawan Mak Siti.

Damia pejamkan mata. Apabila difikirkan semula, benar apa yang dikatakan ibunya. Ibunya memang agak garang dan suka memaksa membuat itu ini tetapi sekurang-kurangnya dia tu masih tonjolkan sikap sayang akan anaknya.

Semuanya terlihat dengan makan minum, pakaian dan keperluan Damia yang terjaga. Tidak ada satu pun Mak Siti abaikan.

"Dahlah. Jangan nak benci mak lama-lama. Kamu tak nak jadi anak derhaka, kan?"

Anak derhaka. Itu ajelah frasa yang sering digunakan Mak Siti untuk mengugut anaknya.

Damia tertunduk. Akhirnya dia akur jua.

Mak Siti sudah tersengih gembira. Bagus jugak jadi seorang ibu ni. Dengar sahaja perkataan derhaka dari mulut, anak automatik jadi penurut kata.

"Telefon kamu tu, mak dah masukkan sim kad baru. Jadi kamu sekarang guna nombor telefon barulah," tutur Mak Siti yang belum habis tentang telefon.

"Nombor baru? Kenapa tak guna je nombor lama? Lagipun sim kad lama tu bukannya rosak kan?" Damia keliru.

"Ye, mak tahu. Tapi mak tak nak penjual sate tu call atau mesej kamu dah. Sebab tu mak tukar je nombor tu. Senang cerita," jawab Mak Siti tanpa belas kasihan.

Damia tercengang. Sampai tahap begitu ibunya tak mahu dia dan Syafiq berhubung.

Dirinya cuba bersabar. Tak nak bentak-bentak macam tadi. Tak nak juga perkataan derhaka itu keluar dari mulut ibunya lagi. Apa yang dia mampu buat sekarang, hanya termenung.

Syafiq ... nama itu bermain di fikiran. Rindu.

"Cuba bukak telefon tu. Tengok ada nombor siapa," kata Mak Siti yang menghentikan lamunan Damia.

Dahi Damia berkerut seribu. Ibunya ni semacam aje dari tadi berkeras menyuruh buka telefon. Ada benda istimewa sangat ke?

Damia turuti sahaja. Skrin disentuh dan pancaran cahaya menyala.

"Cuba bukak bahagian 'Contacts' pulak," sambung Mak Siti lagi.

Damia turuti lagi arahan ibunya. Terlihat di bahagian kenalan tersebut, terdapat nombor ibu dan kakaknya yang sudah siap disimpan.

Nombor Syafiq? jangan harap nombor lelaki tu mahu disimpan sekali.

Damia tolak skrinnya ke bawah dan dia terlihat ada satu nombor yang agak asing di bawah nama ibu dan kakaknya.. Nombor yang tak pernah dia kenali.

"Nombor siapa ni, mak?"

Mak Siti sengih. "Siapa lagi kalau bukan Lokman. Tadi mak bertukar nombor telefon dengan dia tau."

Mata Damia semakin membulat. Patutlah beria-ia suruh tengok telefon, rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Cis!

Ketika itu juga, telefon yang dipegang itu berdering. Nombor itu sedang mendailnya. Sudah semestinya gerangan itu Lokman.

"Ha, panjang umur dia. Cepatlah jawab tu," arah Mak Siti teruja.

Anaknya yang mendapat panggilan, tetapi dia yang melebih-lebih.

Damia tekan butang berwarna hijau. "He ... hello?"

"Hello, Damia? Awak tahu kan ni siapa?" Suara Lokman di hujung talian kedengaran.

Damia telan liur. Tiba-tiba suasana berubah kekok

"Ya, saya tahu tu. Awak Lokman."

Lokman hadiahkan tawa kecil. Terasa lucu pulak dengar suara Damia yang kedengaran masih malu-malu tu.

"Awak janganlah segan dengan saya. Kita ni bukannya saling tak kenal pun."

Damia hanya senyum. Memang betul dia dan Lokman dulu rapat, tetapi apabila dah meningkat dewasa, mereka semakin renggang. Ditambah dirinya yang dipaksa berkahwin dengan lelaki itu, lagilah bertambah ketidakselesaan dirinya.

Tawa dalam talian kian menghilang. Tiba-tiba keadaan agak canggung dan senyap.

"Umm ... Damia."

"Ya?"

"Minggu depan awak free tak?" tanya Lokman. Dia lelaki, dialah yang kena buat 'first move'.

Damia pandang ibunya. Ibunya dengan laju mengangguk.

"Ya, saya free je. Kenapa?"

"Kalau boleh ... nak tak kita keluar jalan-jalan? Itu pun kalau awak naklah. Kalau tak nak tak apa," ajak Lokman lagi tanpa paksaan.

Tetapi semestinya ajakan itu masih mengharapkan sinar harapan. Harapan jawapan 'ya' yang akan keluar dari mulut Damia.

Sekali lagi Damia pandang ibunya di sebelah. Ibunya sudah menjegilkan dan memberi isyarat melalui mata. Paksa dan paksa lagi.

Kepala diangguk laju tandanya suruh bersetuju. "Hmm ... saya okey je," jawab Damia tanpa rela.

Dia tak nak jadi semakin rapat dengan Lokman tu tapi kenapa? Kenapa semua benda ni diuji kepadanya?

Bersambung...

Halamakkk Lokman ajak Damia dating pulak. Sian dia, padahal dia tak tau Damia tu kena paksa hmmm

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience