"HANTU??? Hantu Hitam?" Melongo penuh mulut Mak Zainab saat menghadam ceritaku itu. Wajahku yang sudah basah berpeluh ditatap dalam-dalam bersama riak yang antara dua, iaitu mahu bersimpati atau ketawa.
"Betul, mak! Saya memang tak nampak sangat sebab kat belakang tu gelap sikit. Yang saya nampak hantu tu pakai pakaian serba hitam. Ada ke manusia normal yang pakai pakaian serba hitam macam tu mak kalau bukan hantu raya?" soalku dengan perasaan geram yang ditahan-tahan. Bukan geram pada respons Mak Zainab, tetapi geram kepada hantu yang aku temui tadi.
"Mana ada hantu bulan-bulan puasa ni, Wa? Hantu semua dah kena ikat dah," kata ibu mentuaku lagi bersama riak yang sangat selamba. Ah, aku dah agak yang ibu mentuaku sememangnya tidak akan percaya pada kata-kata ini.
"Habis kalau bukan hantu, yang tadi tu apa? Orang bunian? Saya yakin mak, memang hantu!" kataku sambil meneguk segelas air putih yaang sedang berada dalam peganganku sehingga habis. "Mak, mak ada tak kenal dengan mana-mana bomoh yang boleh halau... "
"Ishhh budak ni! Aku hempuk kepala kau karang, dengan kau-kau sekali hilang ingatan, Wa!" Tajam jelingan Mak Zainab, pedas juga bebelan yang dia lontarkan kepadaku. "Yang kamu tengok tu bukannya hantu orang lain pun, Wa!"
"Habis tu, hantu siapa mak? Hantu ayah?" aku menyoal polos tetapi aku laju menekup mulutku ketika melihat tangan ibu mentuaku tiba-tiba terangkat, seolah-olah mahu menjentik mulutku.
"Hantu ayah kamu pun bukan! Tu hantu laki kamu tu! Siapa lagi yang berhantu kalau bukan dia! Dah, pergi masuk tidur. Malam ni biar Hannah tidur dengan mak je," bebel Mak Zainab sebelum menyusun laju langkahannya masuk ke dalam bilik.
"Hantu laki aku?" Aku terkedu buat sesaat dua. "A... Ayen dah mati betul-betul ke?" soalku sendirian sambil menggaru kepala. Namun dalam berasa penasaran dan sedih, sempat juga aku mengekek lucu. "Elehhh, nak bawa Hannah tidur sama pulak. Takutlah tu!"
"JADI ke kamu tolong Hussien hari ni, Wa?" tanya Mak Zainab sambil memerhatikan aku menyapu lantai.
Tadinya, kami baru sahaja selesai bersahur. Hannah pula masih terlena di dalam bilik. Sementara menunggu hari menjadi terang, aku mengambil keputusan untuk membantu mengemas dapur mentuaku itu. Bergerak ke suatu sudut untuk mengambil penadah sampah, aku lantas menggeleng. "Tak mak. Hussien kata, tak payah. Lagipun, saya nak sambung buat biskut je hari ni. Takut tak sempat pula nak siap."
"Banyak ke biskut yang kamu dah buat?"
"Hrmmm... dalam 25 jenis dah. Ingat nak cukupkan sampai 30 jenis, mak." ujarku seraya tersengih.
"Ishhh, banyak juga tu." Mak Zainab terangguk-angguk.
"Banyaklah baru meriah mak. Lagipun, ni kan kali pertama kita beraya kat rumah tu. Ambil berkat kata orang." Aku tersenyum namun senyumanku itu mendadak mati sebaik sahaja fikiranku tiba-tiba melayang ke arah lain. Tidak lain tidak bukan, hanya perihal Rayyan Hakimi sahaja yang selalu membuatkan aku menjadi sebak. "Kalaulah Abah Hannah ada, mesti lagi meriah kan mak? Dia tu walaupun garang, tapi... "
"Dahlah, jangan sedih-sedih. Kita ni cuma mampu berdoa je, Wa. Mak faham perasaan kamu. Memang tak mudah tapi mak tahu, menantu mak ni seorang yang kuat."
Seperti biasa, hanya anggukan dan senyuman nipis sahaja yang akan aku berikan setiap kali dipujuk oleh ibu mentuaku. Rasa sedihku memang tiada penawarnya, namun aku enggan Mak Zainab berasa bersalah dan susah hati. Rasa itu, biarlah aku pendam sendiri.
"Raya pertama nanti, kita semua sambut kat rumah kami ya? Ramai-ramai mesti seronok!" Aku kembali bersuara riang, riang yang dibuat-buat kerana aku mahu mengusir kesedihan yang sedang berlangsung di antara kami.
Mak Zainab laju mengangguk. "Ye, mak dah cakap dah dengan Iza. Mereka pun setuju jugak."
"Saya betul-betul dah tak sabar nak raya, mak!" Aku mengekek gedik sambil bergerak ke suatu sudut untuk menyimpan penyapu dan penadah sampah yang aku guna tadi. Selesai mencuci tangan, aku kembali mendekati ibu mentuaku. "Hannah belum bangun lagi ke, mak? Saya ingat nak balik rumah terus lepas ni."
"Kamu sibuk kan? Biar je lah Hannah dengan mak kat sini. Mak bosan duduk rumah sorang-sorang, lainlah kalau ada Fifi."
"Tapi tak menyusahkan mak ke?"
"Laaa... menyusahkan apa pulak, Wa? Bukan orang lain, cucu mak juga. Kamu buat je kerja kamu kat sana. Biar mak yang jaga Hannah," tegas ibu mentuaku membuat aku terpaksa akur. Bukan tidak sudi membiarkan Mak Zainab menjaga Hannah, tetapi aku cuma risau jika dia akan kekurangan masa rehat sahaja.
"Ye lah, kalau macam tu saya gerak sekarang je lah mak. Hari pun dah terang ni," kataku setelah melirik ke arah luar. Kunci motosikal bersama beberapa baranganku yang lain aku capai lalu aku bawa ke arah luar.
"Hati-hati. Jangan pulak kamu merempit kat jalan tu."
"Baik, mak. Saya jalan dulu ye, mak?"
Setelah menyalami tangan Mak Zainab, aku segera melangkah ke arah luar. Sopan sekali pergerakanku saat memanjat naik ke atas motosikal kerana aku tahu, ada sepasang mata tajam yang sedang memerhatikan aku. Enjin motosikal aku hidupkan, sebelum dibawa pergi meninggalkan halaman rumah ibu mentuaku itu. Kelajuannya pula usah ditanya, gerakannya amat perlahan dan ayu namun sebaik sahaja kenderaan beroda dua yang aku tunggang itu berada di atas jalan raya besar sekaligus bebas daripada penglihatan ibu mentuaku, aku terus memulas kuat pendikitnya. Semakin lama, semakin kuat. Lagak seperti seorang samseng wanita, aku yang bermaharani di situ. Gerakan yang sangat laju seiring dengan bunyi enjinnya yang sangat membingitkan. Bising dan menyakitkan buat telinga orang lain tetapi itulah yang membuatkan aku seronok dan bangga. Kadangkala, timbul juga rasa kesalku kerana terlambat belajar menunggang motosikal.
Selang beberapa minit kemudian, tibalah aku di perkarangan rumahku. Aku melangkah turun, tetapi aku tidak terus masuk ke dalam rumah sebaliknya bergerak ke arah belakang untuk memeriksa keadaan di situ. Namun yang membuatkan aku terkejut adalah saat aku terpandang sahaja akan keadaan di situ.
"Eh, mana pergi pasu yang jatuh malam tadi? Hilang pula?" Aku penasaran sendirian sambil ligat memerhatikan keadaan di situ. Kemas, malah lebih kemas daripada sebelumnya. "Rajin pulak hantu hitam tu tolong aku kemas. Ah, biarlah. Terima kasih, hantu hitam."
Bersama perasaan antara seram dan tidak kisah, aku terus melangkah masuk ke dalam rumah. Daripada membuang masa memikirkan hal yang aneh, lebih baik aku membuat biskut raya sahaja. Ada juga faedahnya.
"HUHHH, penatnya. Rasa nak patah pinggang aku ni!'
Aku duduk bersandar pada kerusi sebaik sahaja selesai menyarungkan pakaian pada tubuhku. Jam di dinding aku pandang sekilas, tersisa tiga jam lebih lagi untuk masuknya waktu berbuka. Seharian ini aku menghabiskan masaku di dapur. Penat bertungkus-lumus sendirian, akhirnya siap juga biskut-biskut rayaku. Ada 30 balang semuanya dengan jenis yang beraneka macam. Sengaja aku membuat lebih kerana aku mahu memberi beberapa balang kepada Hussien dengan Awis nanti. Kasihan mereka terutamanya Si Hussien itu. Husseinlah orang kuat kami. Orang yang paling bertanggungjawab dalam menguruskan penternakan biri-biri suamiku. Dia tidak pernah merungut mahupun berkira. Semua kerja dia lakukan dengan sangat ikhlas walaupun terpaksa bekerja lebih masa.
Aku bangkit menuju ke arah dapur. Segelas air putih aku tuang, lalu aku minum dengan laju. Aku merancang hendak singgah ke tempat penternakan biri-biri untuk memberikan biskut kepada Hussien dengan Awis terlebih dahulu sebelum pergi menjemput Hannah dari rumah mentuaku.
Sepuluh balang biskut aku ambil lalu aku masukkan ke dalam sebuah plastik besar. Setelah itu, barulah aku mencapai kunci kereta. Segala pergerakanku sangat laju kerana aku bimbang akan terlewat.
Rancanganku sebenarnya hendak membawa motosikal tetapi apabila mengenangkan bebelan ibu mentuaku nanti semerta membuatkan aku terpaksa mematikan niat itu. Mahu tidak mahu, terpaksa jugalah aku memandu kereta.
Beberapa minit meredah jalan raya kampung itu, akhirnya aku tiba juga di tempat penternakan biri-biri milik suamiku. Aku menarik nafas lega saat melihat motosikal Hussien dan Awis yang masih sahaja terparkir elok di situ. Setelah memberhentikan kereta di tempat biasa, aku pun terus melangkah keluar dengan membawa sebuah plastik besar bersama.
Dari jauh, aku sudah mendengar suara mereka bergelak tawa. Riuh dan kedengaran lebih meriah daripada biasa seolah-olah pemilik suara itu lebih daripada dua orang. Pandang ke arah kandang Ayu, dan seperti yang aku jangkakan, di situ jugalah mereka sedang melepak.
"Sen!" Aku melaung nyaring.
Gedebukkk!
Kami masing-masing tersentak saat mendengar ada bunyi yang terjatuh dan untuk ketika itu juga aku melihat wajah Hussien dengan Awis tiba-tiba berubah lain. Seperti takut dan kalut.
"Eh, apa benda yang jatuh tu? Kambing ke?" soalku sambil terus melangkah mendekati kedua-dua lelaki itu.
Tidak menjawab, sebaliknya mereka serentak menggaru kepala dan tersengih. "Errr... errr... tak. Tak ada apa yang jatuh, Wa. Awak salah dengar agaknya," kata Hussien dengan suara yang tergagap-gagap. Awis pula laju mengangguk tanda mengiakan.
"Yang awak berdua ni macam terkejut semacam je, dah kenapa? Saya ni Hawa, bukan pontianak!" Lancang mulutku meluah sambil menjeling tajam ke arah kedua-dua lelaki itu. "Ni, saya ada buatkan biskut raya untuk awak berdua. Seorang lima balang."
"Eh-eh, sedapnya! Free ke Wa?" soal Awis riang seraya menyambut huluranku. Awis memang sejenis yang pantang melihat makanan, memang hobinya makan. Entah-entah, biskut raya yang aku beri ini belum raya lagi dah habis.
"Saya ikhlas. Raya nanti jangan lupa datang rumah tau? Saya masak banyak," ujarku sambil tersenyum namun senyumanku mendadak mati saat terpandang sahaja pada wajah poyo Ayu. Spontan mencapai sebotol mineral kosong, tetapi belum lagi sempat aku mengangkat untuk memukul kepala Ayu, Hussien pula laju menegur.
"Hahhh, start dah! Dah-dahlah tu, Wa. Dekat nak raya ni, lebih baik awak berdua saling memaafkan."
"Hahaha! Dah macam bermadu pula, kan Sen?" Awis mencelah bersama tawanya.
Aku hanya mencebik malas. Botol kosong tadi aku letakkan kembali di tempat asalnya. Lagi elok aku menjenguk Si Awa Gedik, hilang juga rasa penatku seharian ini. Aku berpusing untuk menukar hala tuju, namun belum lagi sempat aku bergerak, tiba-tiba aku terpandang pula pada sehelai baju yang tersidai sebarang di situ. "Ba... baju siapa ni, Sen?" aku menyoal sebelum laju mencapai baju yang berwarna kuning itu untuk ditiliki. Baju itu seperti sudah dipakai oleh seseorang. Pandang ke arah Hussien dengan Awis semula, kedua-dua lelaki itu pula sememangnya sedang berpakaian lengkap.
Hussien dengan Awis langsung saling berpandangan sebelum serentak juga memandang ke arahku. Bergerak-gerak bibir mereka seolah-olah sedang gigih menyusun kata sementara aku pula terus menanti dengan perasaan yang sangat berdebar-debar. Aku yakin aku tidak salah menebak siapa pemilik baju itu, malah bauannya juga aku kenal benar.
biri/biri
Share this novel