Bab 15

Romance Completed 12519

CUTI semester sudah bermula. Harraz berbaring di atas katilnya sambil
berfikir mengapa Izzah sudah tak seperti dulu lagi. Dia dah jumpa dengan
lelaki lain ke? Dia dah putus asa ke? gumam hatinya.

Pintu biliknya diketuk. Iqbal melangkah masuk lalu
membaringkan diri di sebelah Harraz. Dia merenung wajah Harraz lama.
“Angah ni kenapa? Sejak mula cuti asyik berkurung je dalam bilik?
Makan pun sikit je? Angah tak sihat ke?” Dia melekapkan belakang
tangannya ke dahi Harraz. “Eh, tak panas pun!”

“Angah sihat,” jawab Harrza dua patah. Dia mengalihkan
tangan Iqbal yang masih melekap di dahinya.

“Habis tu kenapa muka nampak sedih je? Macam muka orang
baru lepas kena tinggal bini.”

“Iqy ingat tak perempuan yang angah cerita tu?” Harraz
bersandar di kepala katil diikuti Iqbal.

“Ingat. Kenapa dengan dia? Angah dah terima cinta dia ke?
Dia ada mempermainkan angah ke?” soal Iqbal tak sabar.

“Bukan...”

“Kalau bukan, apa?”

“Seminggu sebelum cuti dia macam nak mengelak je dari
angah. Selalunya dia akan cari angah. Ni langsung tak nampak batang
hidung. Mungkin dia dah putus asa kot? Apa yang patut angah buat sekarang?”

“Angah cintakan dia?”

Harraz mengangguk. “Tapi dengan keadaan angah yang macam
sotong ni, mesti akan buat dia malu bila keluar dengan angah. Angah dah
mula sayangkan dia tapi tak nak dia malu,” luahnya. Wajahnya muram. Dia
bermain dengan jari-jemarinya.

“Kalau dia betul-betul ikhlas cintakan angah, dia akan
terima keadaan diri angah seadanya,” Iqbal memberi pendapat.

“Dia memang terima angah seadanya tapi lama-lama mesti dia
akan malu bila hari-hari ada orang kutuk dia, kan?” Harraz memandang
wajah Iqbal.

Iqbal mengangguk. Kemudian dia memetik jari. “Iqy rasa dah
sampai masanya untuk angah berubah!”

“Berubah?” Harraz mengerut dahi tak dapat menangkap
kata-kata adiknya.

“Yup, berubah! Sepanjang cuti ni Iqy akan cuba ubah angah
supaya jadi keras sikit.” Iqbal tersenyum penuh makna.

“Macam mana tu?” Harraz mula teruja.

“Angah tidur dulu, esok ikut Iqy pergi Pertama Kompleks.”
Iqbal turun dari katil dan melangkah keluar dari bilik Harraz.

Harraz memejam matanya. Malam itu buat pertama kali dia
dapat tidur dengan lena setelah seminggu asyik memikirkan perubahan Izzah.

*****
“IQY nak beli apa kat sini?” tanya Harraz sebaik saja dia dan Iqbal
melangkah masuk ke dalam Pertama Kompleks.

Iqbal tak menjawab sebaliknya dia terus berjalan. Apabila
dia ternampak kedai yang menjual pakaian seragam, dia melangkah masuk ke
dalam kedai itu.
Harraz hanya menurut.

“Bang, pakaian seragam PKBM kat mana?” tanya Iqbal kepada
jurujual.

Jurujual itu menunjukkan pakaian seragam yang diminta kepada
Iqbal dan Harraz, kemudian dia berlalu ke kaunter kerana ada pelanggan
yang mahu membuat pembayaran.

Tanpa membuang masa, Iqbal mula memilih saiznya dan Harraz.

“Nak buat apa dengan baju ni? Angah bukannya masuk PKBM
pun.” tanya Harraz pelik apabila Iqbal menyerahkan pakaian seragam
kepadanya.

“Inilah cara untuk keraskan sikit cara jalan angah yang
lembut tu,” jelas Iqbal lantas kembali membelek pakaian seragam itu.

“Tak fahamlah.” Harraz menggaru kepalanya.

Iqbal menoleh semula ke belakang. “Macam ni... sepanjang
cuti semester ni angah akan berkawad kat laman rumah kita. Buat bangkit
tubi dan tekan tubi sekali.” Dia kembali menyambung mencari saiz baju.

Terbuntang mata Harraz mendengarnya. “Mampuslah angah macam
tu! Kalau tak buat boleh tak?” Tak sanggup aku nak buat bangkit tubi
dengan tekan tubi. Buat sakit badan je!

“Tak boleh! Angah cakap tak nak...” Iqbal memetik jarinya.
“... siapa nama perempuan tu?”

“Reen...”

“Hah, Reen! Angah cakap tak nak Reen malu bila keluar
dating dengan angah, kan?”

Harraz mengangguk laju.

“So, dengan adanya latihan ni, insya-Allah cara jalan
angah yang lemah gemalai tu boleh jadi keras sikit macam Iqy ni.” Iqbal
cuba meyakinkan Harraz. Dia mengambil pakaian seragam di tangan Harraz
lantas dibawa ke kaunter pembayaran.

*****
“KIRI, kanan, kiri,” Harraz berkawad di tengah panas.

“Keras sikit jalan tu, jangan lemah gemalai. Tegakkan badan!
Suara tu pun keraskan jangan nak lembut sangat!” jerit Iqbal.

Peluh sudah memercik di dahi Harraz. Dia tak sangka Iqbal
boleh bertukar sebegini garang apabila mengajarnya. Pernah juga dia mahu
berputus asa tak mahu berkawad lagi namun demi Izzah, dia kuatkan juga
semangatnya.

“Skuad! Ke belakangggg... pusing!” arah Iqbal.

“Check in! Satu, dua, tiga, maju! Kiri! kanan! kiri!”
Harraz mula berjalan ke arah Iqbal.

“Skuaddd... tiiii!”

“Satu, dua!” jerit Harraz.

“Kita berhenti kawad dulu, lepas ni buat tekan tubi seratus
kali,” arah Iqbal.

Terbeliak mata Harraz mendengarnya.

“Skuaddd... keluarrrr... baris!”

“Satu, dua, satu! Kiri! Kanan! Kiri!” Harraz berlari
mendapatkan mamanya yang sedang duduk di gazebo. Dia mengambil tempat di
sebelah mamanya.

“Anak mama penat ya? Nah, minum air ni.” Datin Suhana
menghulurkan gelas yang berisi air oren kepada Harraz.

Harraz menyambutnya lalu meneguk rakus.

Iqbal menjentik kuat jari kelengking Harraz yang menegak
setiap kali meneguk air.

“Sakitlah!” marah Harraz lantas merapatkan jari kelengkingnya.

“Dah berapa kali Iqy kata rapatkan jari kelengking tu. Ini
tak, asyik terjungkit je!” bebel Iqbal.

“Tak biasalah...” rengek Harraz.

“Kalau tak biasa tu kena biasakan. Lama-lama nanti okeylah.”

Harraz mencebik.

“Cepatlah minum, kita nak buat tekan tubi pulak ni.” Iqbal
sudah mula bangkit.

“Penat pun tak hilang lagi ni,” sungut Harraz.

“Angah, lagi sebulan lebih je nak habis cuti tau. Angah
kena kerja keras sikit.” Iqbal menarik tangan Harraz.

“Kejap, nak ambil semangat dulu.” Harraz mencapai telefon
pintarnya yang diletakkan di atas meja. Wallpaper telefon pintar
direnung lama. Merenung ukiran namanya dan Izzah, sedikit sebanyak dapat
mengembalikan semangatnya. “Okey, jom!” Harraz mula bangkit. Badannya
ditegakkan lalu berjalan seperti berkawad. Tanpa disedari, dia telah
terlanggar batu dan jatuh di atas rumput. “Auuu!” Dia menjerit kesakitan.

Iqbal menepuk dahinya.
Datin Suhana menggeleng kepala.

“Boleh ke buat tekan tubi ni? Kalau tak, kita tangguh je
dulu.” Iqbal menolong Harraz untuk bangkit.

“Boleh, angah kuat!” ujar Harraz setelah berdiri dengan
stabil. Dia melangkah menuju ke tapak dia berkawad tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience