[Hispania.]
Antoninus sedang sibuk menelaah pelajaran. Pada waktu pagi, dia ke kelas. Sebelah petang pula, dia akan berlatih bertarung. Malam hari, barulah dia dapat berehat. Walaupun begitu, dia sering menghabiskan masa malamnya untuk belajar kerana janji gurunya.
"Tuan guru akan menunaikan satu permintaan kau jika kau telah dapat menjawab pertanyaan guru ini dengan lancar tanpa satu kesalahan."
Memang secara alaminya, tuan guru asal Hispania itu penuh sopan santun. Penggunaan 'guru ini' ialah panggilan kedua oleh seorang guru kepada muridnya yang menunjukkan kredibiliti dan kelembutan. Bagi seorang murid pula, mereka akan menggunakan perkataan 'murid ini' bagi menunjukkan rasa hormat dan sayang.
Disebabkan ketegasan dalam kelembutan itu, Antoninus akur dengan arahan gurunya. Tidak lain, permintaannya untuk pulang berjumpa kawan cilik yang sudah sepuluh tahun ditinggalkan.
Tok. Tok.
Antoninus tidak mengangkat kepalanya, hanya menyuruh orang itu masuk.
Pengasuh merangkap pembantu setianya masuk membawa air herba.
"Mundi."
Pembantu itu tidak jadi melangkah keluar. "Ya, Antoninus?"
"Ada surat baru untuk aku?"
Mundi tersenyum. Pasti menantikan surat kawannya itu. "Aku meletaknya di atas meja kau tadi petang."
Antoninus menyembunyikan senyuman lalu berdehem. "Oh baiklah. Kau boleh keluar."
Mundi menunduk dan berlalu pergi. Belum beberapa langkah dari bilik tuan mudanya, kedengaran suara teruja Antoninus yang tidak sabar.
"Akhirnya...", Antoninus menumbuk angin. Kemudian surat Adriana dicari disebalik kertas yang berselerak.
"Antoninus, cerita kesungguhan kau di Hispania sungguh menginspirasikan menyebabkan aku belajar menunggang kuda. Aku belajar sendiri, tanpa bantuan orang lain. Hebat bukan? Walaupun ayah memuji kehebatan aku, dia tetap marah kerana aku mencuri guna kudanya. Pakcik Hadrianus menasihatkan aku tentang etika, dan makcik Vibia menyokong hobi aku dengan santapan indah.
Walaupun hari aku seronok, tetap ada yang kurang tanpa kehadiran kau. Bila kau akan balik ke sini?
Yang menunggu kau, Adriana."
Antoninus tersenyum selepas membaca surat kiriman itu. Mindanya tidak ingin belajar buat masa ini. Dia laju mengambil kertas kosong dan menulis surat balasan menyatakan rindu dan janjinya.
Setelah selesai menulis, pembantunya laju dipanggil, "Mundi!"
Pembantu yang dipanggil itu bergegas masuk ke dalam biliknya.
Antoninus meletakkan surat balasannya ke dalam sebuah kotak yang cantik dengan ikatan kemas berisi hadiah untuk Adriana. Kemudian dia memberikan kotak itu kepada pembantunya. "Ini ialah surat balasan untuk Adriana. Pastikan sampai dengan selamat."
Mundi mengangguk. "Baiklah. Hm Antoninus, tuan Plinius menunggu kau di bilik baca. Ada hal yang ingin dibincangkan."
Antoninus meregangkan badan. "Baiklah."
****
"Hiyah!"
Seekor kuda sedang berlari dan melakukan beberapa muslihat sementara penunggang meratah kawasan dengan mata tajamnya.
Beberapa pusingan dilakukan sehinggalah kuda itu berhenti apabila penunggangnya jatuh ke atas tanah.
Adriana menahan suaranya namun terkeluar juga kerana kesakitan yang tidak tertahan. Kuda tadi berjalan perlahan dan mengampu kepalanya ke kepala Adriana seperti memujuk.
"Adriana! Bukan sudah ayah cakap..." Antinous berlari ke arah anak yang degil itu. Dia baru saja balik dari urusan di istana. Bila Adriana tidak ada di bilik, terdetik hati untuk memeriksa kandang kuda.
Betul sangkaannya, Adriana ada di situ. Sedang elok menahan kesakitan.
"Aku sedang berlatih untuk ikut berperang."
Antinous menggeleng. "Tidak usahlah. Ayah tidak mahu kamu tercedera. Ini sudah berapa kali jatuh kuda? Kamu mahu berapa kali patah kaki barulah berhenti berdegil?"
Adriana mengengsot ke hujung, bergerak ke tepi kaki kuda yang langsing itu. "Aku tidak akan berhenti."
Antinous baran, tapi ditahan kehendak hati. Buat masa ini, puterinya perlu dirawat.
Adriana memeluk kepala kuda itu sambil matanya ligat memerhati ayahnya yang sedang marah.
Antinous mengalah. "Ya lah. Kita akan bincangkan nanti. Mari rawat dulu kaki tu."
"Apa lagi yang ingin dibincangkan?", Adriana berbisik geram.
Antinous tidak mengendahkan rungutan itu dan segera memapah anaknya ke ruang tamu. Disebabkan jarang ada di rumah, manakala Adriana akan selalu menghabiskan masa di rumah Hadrianus apabila dia keluar, maka mereka hanya tinggal berdua di dalam rumah sederhana besar itu.
Semasa Antinous sibuk merawat luka, Adriana hanya duduk diam.
"Kenapa kamu tidak menumpukan kepada latihan memanah saja?"
"Aku ingin menjadi mahir seperti ayah."
"Hm." Antinous mengangguk dengan jawapan yang sama didengarinya sejak tahun lalu itu. Bukan dia tidak tahu, Adriana mempunyai rahsia yang berjaya dicungkil sedikit dua bulan yang lalu.
Mungkin ini masanya dia membuka mulut tentang perkara itu?
"Ayah seperti ingin berkata sesuatu kepada aku." Adriana mengagak.
Antinous berdehem. "Kamu nampaknya menyimpan rahsia daripada ayah."
"Siapa yang tidak pernah menyimpan rahsia di dunia ni?", tenang dia memulangkan paku buah keras.
Antinous berdehem lagi. Laju tangannya menguruskan luka di kaki anaknya sebelum berkemas dan melangkah pergi.
Adriana tidak puas hati. "Kenapa ayah tidak memberitahu aku perkara sebenar tentang ayah dan ibu?"
Antinous menghentikan langkah. "Apa pun yang kamu dengar dan dari mana pun kamu dengar itu, tolong jangan percaya. Ayah akan menerangkan semuanya nanti."
Air mata yang mengalir perlahan dikesa kasar. "Menerangkan bagaimana ayah membunuh ibu bapa kandung aku tanpa ihsan?", lancang mulutnya menyindir.
"Adriana!", Antinous menengking, tetapi menahan amarah melihat wajah itu mendung dengan mata merah kerana menangis.
Antinous mendapatkan anaknya dan wajah sedih itu dipegang kemas. "Hei hei hei, dengar sini."
Adriana cuba menolak. Dia terkedu apabila dahinya tiba-tiba terasa sakit.
Antinous melastik dahi puterinya untuk menarik perhatian. "Ayah janji akan berkata jujur dengan kamu."
Perlahan-lahan, Adriana menatap mata kuning padat milik ayah angkatnya. Begitu serius pandangan itu membuatkan dia duduk tegak.
"Ayah tidak pernah melakukan itu. Tidak pernah! Sesiapa yang mengkhabarkan ini kepada kamu sepertinya menyimpan hasrat buruk mengacau ketenteraman.", Antinous berkata sambil kepala diangguk sedikit.
Adriana mengeluh. Hatinya berdebar, dan fikirannya mula musykil dengan pengetahuan yang ditanam orang yang datang kepadanya tahun lalu. "Aku... masuk bilik dululah. Aku akan fikirkan."
"Pergilah." Antinous menepuk bahu puterinya dan memberinya ruang untuk balik ke bilik di tingkat atas.
Bila anaknya hilang dari penglihatan, Antinous terduduk lemah di atas kerusi. Dia mengeluh. Biarlah, sekurang-kurang dia sudah mengatakan yang sebenar.
Ingatannya kembali ke enam belas tahun lalu. Waktu itu, mereka ditugaskan bagi menghapuskan puak pemberontak di hutan. Pada waktu itu, dia hanyalah seorang tentera biasa.
"Hadrianus!", dia panik mencari kawannya dalam kekalutan.
Setiap serangan ditepis dengan mudah menyebabkan ketua panglima atasan yang ketika itu melihat berasa kagum.
Akhirnya dia menemui Hadrianus sedang luka parah, terduduk di pintu sebuah rumah.
"Hadrianus, kau macam mana?"
Dia hanya menyengih lalu menunjuk ke arah dalam.
Apabila isi rumah dijenguk, terdapat tiga mayat bergelimpangan dengan darah. Salah satu orang yang terlihat ialah tentera mereka.
"K... kau bunuh...?", Antinous tidak dapat menghabiskan bait bicara melihat kejadian mengejutkan itu.
"Dia begitu ganas. Ha... mari kita beredar." Hadrianus pinta perlahan.
Tadi apabila sedang bertarung, dia terdengar jeritan dari sebuah rumah. Apabila dilihat, seorang tenteranya telah ditikam dan keadaannya sudah nyawa-nyawa ikan.
Hadrianus yang bertanggungjawab sebagai jeneral campur tangan dan membunuh pasangan itu. Apabila langkahnya terhenti melihat bayi yang merenungnya itu, belakangnya ditusuk benda tajam sebelum kakinya juga diserang.
Hadrianus menendang lelaki itu dan kepalanya dipenggal. Akhirnya, lelaki itu kaku tidak bernyawa manakala Hadrianus terbiar cedera parah.
"Biarkan bayi tu disini." Hadrianus memutuskan pabila Antinous ingin membawa bayi itu keluar.
Antinous melihat bayi yang sedikit takut, tetapi tidak menangis. Hatinya jatuh kasihan. "Biarlah aku menjaganya."
"Kau boleh jadi pengkhianat! Dia golongan puak pemberontak."
"Aku akan besarkan dia." Antinous bertegas. "Aku akan didik budak ini sebaiknya."
Hadrianus mengalah melihat kesungguhan Antinous.
Tahun berganti tahun. Bayi itu semakin membesar. Melihat keceriaan di wajahnya, lama-kelamaan Hadrianus jatuh sayang dan rajin memanjakannya. Kasihnya kepada budak puak pemberontak itu sehingga dia menamakannya dengan nama Adriana.
Adriana, dekat dengan namanya sendiri. Sepertimana Antinous menamakan anaknya, Antoninus.
Sememangnya mereka merupakan kawan yang sangat akrab. Akrab sehingga apabila panglima perang atasan meninggal di medan perang dan Hadrianus dinaikkan pangkat, Antinous tetap disisinya sehinggalah dia diberikan pangkat jeneral.
Update freezes for couple of day, but will be up soon enough. Thank you for reading.
Share this novel