BAB 8

Romance Completed 3997

Wad Pediatrik memang khusus untuk kanak-kanak. Daripada bayi hingga yang tangkas berlari semuanya ada. Mereka datang daripada pelbagai golongan. Kaum dan agama. Setiap daripada kanak-kanak itu ada masalah tersendiri yang membuatkan mereka terpaksa bermalam di wad. Bagi Nasuha kanak-kanak itu begitu istimewa. Suatu peringkat umur yang tidak tercela dengan dosa. Suatu perantara masa yang menyaksikan minda tidak sesak dengan pelbagai persoalan yang tidak pernah berkesudahan. Itulah zaman kanak-kanak. Makan, minum, bermain, kemudian tidur. Tidak pernah sekalipun memikirkan masa hadapan. Ah, alangkah indahnya andai zaman itu diulang kembali!

Jiwanya yang hampir dengan kanak-kanak membuatkan Nasuha memilih cabang kerjaya ini. Peribadinya yang suka menolong sedari kecil menyedarkannya akan profesion kejururawatan. Sukanya pada anak-anak kecil mendorongnya memilih pediatrik sebagai pengkhususan semasa alam pendidikan. Melihat ketawa kanak-kanak yang polos itu, memberikan satu nafas kekuatan kepada Nasuha. Kanak-kanak itu bernafas atas ruang udara yang sejahtera seolah-olah mereka tidak mengalami apa-apa kesakitan sedangkan hakikat yang terbentang jelas menunjukkan setiap seorang daripada mereka mempunyai masalah kesihatan yang membuatkan mereka diam di dalam wad ini.

Nasuha menghampiri sebuah katil di dalam Wad Pediatrik. Melihat sekujur tubuh yang lena, membuatkan Nasuha berhati-hati menghenyakkan punggung di atas tilam. Hadid. Kanak-kanak yang berumur dua tahun tujuh bulan. Melihat dari luar Hadid memang nampak biasa seperti kanan-kanak lain. Tetapi memang benar kata pujangga, kiambang memang cantik pada pandangan permukaan dengan bunganya yang kuntum mengembang, tetapi di dasarnya akar tidak sama sekali menjejak ke dasaran.

Hadid seorang kanak-kanak yang istimewa. Walaupun dia hampir mencecah usia tiga tahun tetapi memang tidak fasih berkata-kata. Maklum ibunya, Hadid memang sedikit lambat untuk menangkap apa-apa sahaja yang diajarkan. Malah minumnya juga masih dengan botol susu. Hadid sering menghidap demam panas. Demam panas yang dialaminya itu membuatkan tonsil selalu membengkak. Kata doktor, jika antibiotik yang diberikan tak berkesan, maka Hadid perlu dibedah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience