Malam itu hujan mulai turun. Dari renyai-renyai berubah menjadi lebat dan kilat sabung-menyambung. Selepas menunaikan solat isyak Rina bertafakur di atas sejadahnya memohon perlindungan kepada Allah daripada bala bencana. Tengah hari tadi Mak Jenab sudah pun mengetahui rahsianya daripada Syuhada dan rahsia itu pasti sekarang sudah tersebar di seluruh kampung. Sejak daripada tengah hari tadi dia tidak keluar dan berkurung di dalam rumahnya. Kilat yang berdentum dengan kuat membuatkan Rina gugup dan menggeletar. Setiap kali hujan seperti itu kesakitan yang dirasakan pada sejarah hitamnya itu seperti dapat dirasakannya kembali. Jeritan kuat dan wajah bengis Haikal terbayang dimindanya sehingga berpeluh-peluh dahinya.
Rina menutup telinganya sambil beristighfar dengan kuat. Perutnya tiba-tiba berasa sakit sedikit tetapi cukup membuatkan kakinya terasa lemah. Rina cuba berpindah dari sejadahnya dan naik ke atas tilam nipis di sisinya. Bibirnya diketap cuba menahan rasa sakit itu dan cuba menenangkan dirinya agar tidak berasa gementar.
"Anak, ummi mohon kuatlah demi ummi." Rina bicara sendiri sambil mengusap perutnya dan tersandar lemah pada dinding.
"Rina!!! Keluar kau dari rumah! Kami tahu kau berada di dalam rumah! Keluar kau, Rina!" Tiba-tiba kedengaran suara orang bising-bising dari luar rumahnya. Walaupun diluar sana kendengaran suara hujan lebat tetapi tidak menenggelamkan suara penduduk kampung yang menyuruhnya keluar.
"Ya Allah, lindungi hamba dan anak hamba." Rina berdoa berkali-kali benar-benar pasrah kepada Allah. Perutnya diusap dan dibisikkan kata-kata semangat kepada bayi di dalam perutnya itu dan sebenarnya lebih kepada dirinya sendiri.
"Bismillahi tawakkaltu alallah walaa haula walakuata wala quwwata illa bilah." Rina berbisik.
"Kita pecah saja pintu rumah dia ni, tok penghulu, imam." Suara kasar seorang lelaki berkata dengan penuh rasa marah.
"Sabar, jangan bertindak terburu-buru. Kita tak boleh masuk ke dalam rumah orang tanpa seizin tuannya." Imam Madi menenangkan penduduk kampung yang sedang beremosi ketika itu. Selepas selesai menunaikan solat isyak berjemaah di surau kampung tiba-tiba beberapa penduduk yang diketuai Mak Jenab datang kepadanya dan memberitakan tentang kehamilan anak gadis Puan Mawar tanpa seorang suami. Mereka mahu mengusir Rina keluar daripada kampung itu kerana tidak mahu menanggung bala akibat perbuatan zina wanita itu.
"Nak sabar apa lagi ini, imam? Sudah jelas lagi bersuluh dia itu sudah melakukan maksiat. Dia mengandung tanpa ada seorang suami. Dia sudah melakukan dosa besar tok, imam. Dia perempuan zina! Aku sendiri yang pegang perutnya yang membuncit itu. Aku tidak akan menipu kau semua." Mak Jenab cuba untuk meyakinkan orang kampung bahawa dia tidak menipu.
"Sabar, kita bawa bincang baik-baik dengan Rina." Tok penghulu pula berbicara setelah lama mendiamkan diri. Dia tidak mahu keputusan dibuat dengan menggunakan emosi tetapi menggunakan akal yang sihat.
"Eh, Jenab. Kau jangan tuduh bukan-bukan tanpa usul periksa. Kita tanya dia dulu baik-baik dan baru buat keputusan." Pak Hashim salah satu penduduk kampung yang tidak menyukai Mak Jenab pula membela nasib si yatim piatu.
"Hey Hashim, yang kau nak bela sangat perempuan zina tu kenapa? Jangan-jangan kau pun terlibat sama dengan Rina tu. Yelah, kau kan baik sangat dengan dia kalau dia datang ke kedai kau siap tawarkan ikan percuma lagi." Mak Jenab mencemuh Pak Hashim pula apabila lelaki itu membela Rina dan tidak mahu mempercayai kata-katanya.
"Astaghfirullahalazim, kamu berdua ni. Kita datang ke sini untuk selesaikan masalah bukan menambah masalah. Kamu ni Jenab, tak habis-habis menyebarkan keaiban orang. Sudah-sudahlah tu, takut nanti bala yang menimpa kampung kita ini bukan disebabkan Rina tu melainkan disebabkan fitnah yang berleluasa dalam kampung ni." Tok penghulu menghentikan perbalahan antara Mak Jenab dan Pak Hashim apabila melihat Pak Hashim yang mahu menjawab kata-kata Mak Jenab tadi.
"Tok, saya ni bukan buka keaiban orang. Saya dapat dari sumber yang betul apa. Mana ada saya mereka-reka cerita. Cuba tanya Syahiran kawan baik dia tu. Baguslah saya beritahu orang kampung tentang perangai sebenar budak itu. Konon baik berpurdah tapi sebenarnya pandai menyorokkan kebusukan. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Sepandai-pandai menyembunyikan bangkai akhirnya busuk juga." Mak Jenab memandang penduduk kampung yang lain meminta pembelaan. Mak Jenab memang pakar menaikkan kemarahan penduduk kampung mereka.
"Betul apa yang dikatakan Mak Jenab tu, tok penghulu. Zaman sekarang ni orang yang bertudung labuh lebih menakutkan daripada perempuan yang tidak bertudung. Lebih baik tunggu ikhlas bertudung daripada bertudung tapi buat dosa bertimbun. Dunia makin nak kiamat, tok." Salah seorang makcik membela Mak Jenab.
"Yang betul tu mengata, yang tak betul tu fitnah. Dosa besar, Jenab. Janganlah nilai seseorang daripada pakaiannya tetapi nilailah seseorang daripada agama dan akhlaknya. Bertudung labuh itu adalah syariat Allah jadi tiada istilah perempuan tidak bertudung itu lebih baik dari perempuan bertudung. Jika benar perempuan tidak bertudung itu seorang yang baik pasti dia akan mengikuti arahan Allah yang mewajibkan setiap wanita islam yang berakhil baligh itu bertudung. Kalau nak salahkan seseorang itu biarlah pada dirinya bukan pada agama yang dipeluknya." Imam Madi sempat memberikan nasihat kepada penduduk kampung disitu apabila mendengar ideologi pemikiran mereka yang salah itu.
"Ah, daripada banyak cakap macam ini mari kita heret perempuan itu ke mari. Kita tengok sendiri dengan mata kepala kita sama ada dia mengandung ke tidak." Salah seorang penduduk lelaki disitu membantah. Dengan bantuan kawan-kawannya, mereka dengan mudah mampu memecahkan pintu kayu rumah Rina yang sememangnya sudah rapuh itu. Tanpa keizinan mereka masuk ke dalam rumah itu walaupun cuba dihalang oleh Imam Madi dan tok penghulu. Mereka tidak memperdulikan lagi kata-kata dua orang yang mereka segani di kampung mereka itu.
"Disini kau menyorok ya? Dasar perempuan zina." Salah seorang mereka menemui Rina yang sedang duduk bersandar sambil menahan kesakitan di perutnya. Rina ditarik dengan kasar agar mengikutnya keluar daripada situ. Hampir terheret Rina dibuatnya kerana kakinya terasa begitu lemah untuk kekal berdiri.
Di dalam hujan yang masih lebat itu tanpa belas kasihan Rina dihumban ditengah-tengah penduduk kampung yang sedang berkumpul. Rina mengerang kesakitan sehingga air matanya menitis.
"Nampak! Aku tak bohong kau semua. Lihat perutnya yang membuncit itu!" Mak Jenab berteriak menunjukkan perut Rina yang kelihatan membuncit ke depan. Akibat dibasahi hujan, telekung yang dipakai Rina melekat di tubuh.
Penduduk kampung mula riuh melihat kebenaran di hadapan mata mereka itu. Masing-masing mula mencemuh dan menghina seakan-akan mereka tidak pernah melakukan dosa.
"Hei Rina! Bapak kau lelaki soleh, mak kau perempuan soleha tapi tak sangka perangai kau seperti wanita sundal!" Wanita disebelah kiri Mak Jenab mendekati Rina dan ditampar kuat wajah Rina tanpa belas kasihan.
“Kau tak kesian ke pada mak bapak kau? Anak jenis apa kau ni?” Seorang lagi menghina dan meludah pada Rina.
"Astaghfirullahalazim, sudah! Jangan menghukum seperti ini." Imam Madi cuba menenangkan keadaan yang semakin panas itu.
"Sudahlah imam, kalau dalam Islam kita kena rejam perempuan yang melakukan zina. Tapi disebabkan kita duduk di Malaysia, kita tak boleh melakukan hukuman itu. Kita halau saja dia dari sini. Setuju tak?" Seorang lelaki pula bersuara.
“Setuju.” Penduduk yang lain menjawab.
"Tolong, jangan halau saya daripada sini. Saya tiada tempat lain lagi untuk dituju. Dengarkan dulu penjelasan saya." Rina merayu cuba meraih simpati. Dipandangnya wajah tok penghulu, Imam Madi dan Pak Hashim yang tidak menghakimi dirinya.
"Tak ada lagi yang nak dijelaskan. Semuanya sudah nyata, kau perempuan zina yang tidak layak untuk duduk di kampung halaman kami! Hancurkan rumah dia!!!" Keadaan semakin tidak terkawal apabila warga lelaki di kampung itu mula merosakkan harta benda di dalam rumah Rina. Rina pula menjadi mangsa pukulan warga wanita disitu walaupun Imam Madi dan tok penghulu cuba melindungi Rina.
"Nanti!!! Ada apa semua ini?" Tiba-tiba mereka terdengar suara seseorang memekik dengan kuat. Hujan lebat kembali renyai-renyai sehingga suara itu seakan bergema.
Tan Sri Mansur membeliakkan matanya melihat rumah menantunya diporak perandakan dan menantunya berada di atas tanah yang berlumpur dengan luka di wajahnya. Tan Sri Mansur terus berlari mendapatkan Rina yang sudah lemah terbaring di tanah dengan kedua tangannya melindungi perutnya. Sekali lagi mata Tan Sri Mansur terbeliak apabila melihat perut menantunya itu membuncit ke hadapan.
Rina mengandung!
"Apa yang kamu semua buat pada menantu saya?" Tan Sri Mansur membentak dan matanya mencerlung memandang penduduk kampung yang kini melihatnya.
"Benarkah Rina ini menantu encik?" Tok penghulu bertanya ingin kepastian bahawa apa yang didengarnya tidak salah.
Tan Sri Mansur tidak menjawab sebaliknya dia memberikan sehelai kertas yang dikeluarkan dari poket seluarnya kepada tok penghulu sebelum tok penghulu beristighfar panjang. Surat pernikahan Rina dan Haikal kini bertukar dari satu tangan ke tangan yang lain. Ada riak wajah kesal di wajah mereka.
"Bukan ke aku sudah kata kita harus berbincang dengan baik bukan dengan melakukan kekerasan seperti ini! Lihat apa yang kalian lakukan sekarang? Kalian menuduh perempuan yang tidak berdosa ini perempuan zina!" Tok penghulu bersuara kesal. Luluh hatinya melihat keadaan Rina yang baru lepas dipukul itu.
"Kalian semua sudah melakukan kezaliman terhadap perempuan mengandung ini! Kalian harus meminta maaf kepadanya. Jenab, kau yang mulakan fitnah ini kau harus bertanggungjawab." Imam Madi memandang Mak Jenab yang kelihatan pucat wajahnya.
"Aku...aku...bukan salah aku!" Mak Jenab tergagap menjawab dan berlari meninggalkan kawasan perumahan Rina kerana berasa takut.
"Ini satu penghinaan! Saya tidak akan melupakan penghinaan ini! Jika sesuatu terjadi kepada menantu saya, saya akan pastikan kamu semua akan terima akibatnya!" Tan Sri Mansur menengking lagi. Tan Sri Mansur memanggil Aqil agar membantunya untuk mengangkat Rina ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital.
Aqil terkedu seketika. Dia yang menjadi pemerhati sejak dari tadi tidak menyedari bahawa gadis yang berada di pangkuan bapanya itu adalah Rina Althafunisa. Dia tidak menyangka nama Rina yang disebut sebut orang kampung itu adalah wanita yang dincintainya. Segera Aqil menghulurkan bantuan dengan mencempung tubuh Rina yang kurus itu masuk ke dalam keretanya. Dadanya berdebar kencang melihat wajah Rina yang sangat dekat dengan wajahnya itu. Wajah itu terpejam matanya kerana menanggung kesakitan akibat dipukul oleh penduduk kampung. Aqil dapat mendengar bisikan Rina yang perlahan-lahan menyebut nama Allah. Nampaknya Rina tidak menyedari kehadirannya kerana menahan rasa sakit yang teramat.
Aqil berlari semula ke tempat duduk pemandu apabila Tan Sri Mansur masuk ke dalam kereta dan duduk disisi Rina. Dia segera memecut laju untuk mencari hospital di kawasan itu tetapi dia tidak tahu ke mana harus dia tuju. Dia tidak pernah berada di kawasan itu dan ditambah pula dengan kawasan yang gelap gelita seperti itu yang menyukarkan dirinya untuk mencari.
"Allahuakhbar!" tiba-tiba mereka mendengar suara Rina yang mengerang kesakitan. Tangan gadis itu memegang perutnya dan mengerang lagi.
"Rina, kenapa ni nak?" Tan Sri Mansur bertanya risau melihat keadaan Rina itu.
"Anak..." Rina tidak sempat menghabiskan ayatnya apabila sekali lagi dia mengerang kesakitan kali ini dengan linangan air mata. Tangannya terketar-ketar menunjukkan air ketumban yang sudah pecah.
"Ya Allah! Aqil cepat sikit, air ketuban Rina sudah pecah! Dia akan melahirkan bila-bila masa saja lagi!" Tan Sri Mansur mencapai tangan Rina dan digenggamnya erat.
Aqil tidak berputus asa, dia meneruskan pemanduannya sehingga dia keluar dari kawasan perkampungan itu dan berada di kawasan pekan. Aqil bersyukur di dalam hatinya apabila melihat bangunan hospital dihadapannya. Aqil berlari keluar sebaik saja dia berhenti di hadapan pintu masuk hospital tersebut untuk meminta pertolongan. Tidak lama kemudian beberapa orang jururawat dan seorang doktor datang mendorong katil pesakit bersama.
Rina dibaringkan dan dikejarkan ke bilik kecemasan. Rina sudah tidak bermaya. Anak matanya seperti hilang kawalan. Pandangan matanya kabur dan dia tidak menyedari apa-apa lagi selepas itu. Rina pengsan tidak sedarkan diri. Genggaman tangannya pada Tan Sri Mansur juga semakin renggang sebelum terlepas.
"Dia sudah pengsan tidak sedarkan diri. Kita tiada pilihan lain, kita harus menjalankan pemedahan untuk selamatkan nyawa bayi di dalam kandungannya. Kalau kita terlambat bayi itu boleh lemas dan tidak dapat diselamatkan. Look, she's bleeding." Doktor perempuan yang bertugas memberitahu Tan Sri Mansur keadaan Rina yang sedang bertarung nyawa sekarang ini.
"No matter what it is with any cost, save my daughter-in-law doctor." Tan Sri Mansur merayu agar Rina diselamatkan.
"InsyaAllah, sebaiknya berdoalah kepada Allah agar menantu dan cucu encik selamat. Saya hanya manusia biasa yang cuba buat yang terbaik untuk menyelamatkannya atas izin Allah." Doktor perempuan itu menasihati Tan Sri Mansur sebelum menghilangkan diri di dalam bilik rawatan kecemasan itu.
Aqil memeluk Tan Sri Mansur agar bersabar. Di dalam hatinya yang dalam dia mendoakan keselamatan Rina dan anak yang dikangdung wanita muda itu. Terbukti kata-kata Rina bahawa wanita itu sudah berkahwin malah berkahwin dengan abang angkatnya sendiri, Haikal. Zalimnya dia kepada wanita muda itu kerana sudah menuduh Rina yang bukan-bukan sehingga membuatkan perempuan itu terluka.
'Ya Allah, selamatkan dia dan anaknya.' Aqil berdoa dalam diamnya.
Share this novel