CUACA musim luruh di Kota London memberikan suasana dingin dan nyaman. Daun-daun berwarna keperangan berguguran jatuh ke atas jalan. Di salah sebuah kediaman yang terletak di pinggir bandaraya tersebut, kelihatan sebuah keluarga sedang berbicara tentang suatu perkara.
Tengku Faliq Ezekiel, anak muda berusia 29 tahun itu muncul di bumi UK atas satu tujuan. Menemui kedua ibu bapanya yang sudah lama bermastautin di negara tersebut untuk mendapatkan sesuatu.
Selesai sahaja menjamu selera, Faliq meletakkan dokumen perjanjian yang dibawa di atas meja. Tidak sabar-sabar. Lagipun, itu tujuan utama dia ke sini.
Tengku Farid berpandangan dengan isterinya yang duduk di sebelah. Syarifah Rose sekadar membalas melalui isyarat mata. Faliq tidak memahami bahasa tubuh dipamerkan kedua ibu bapanya.
"So?" soal Faliq. Menanti papanya menurunkan tandatangan. Perkara tersebut sudah mereka bincangkan semalam.
"Actually we have one condition. Kalau Faliq setuju ikut syarat tu, papa akan sain."
"Okey. No problem. Apa saja syarat Faliq akan ikut."
"You sure?"
"Yes. I'm definitely sure," Faliq menjawab penuh yakin.
Syarifah Rose mengukir senyuman. Begitu juga Tengku Farid. Gembira dengan jawapan Faliq.
"Syaratnya Faliq kena kahwin dengan Erin," ucap mereka bersama-sama.
"WHAT?!"
Faliq tersandar di kerusi. Tidak menduga bahawa syarat itu pula diberikan oleh kedua ibu-bapanya.
"Wait, wait. Are you kidding me? Papa dan mama nak Faliq kahwin dengan... Erin?"
Tengku Farid dan Syarifah Rose sama-sama mengangguk. Saat itu wajah seorang gadis kacukan Melayu-Sweden yang memiliki raut unik menerpa ke minda. Unik kerana wajah gadis itu lebih mirip kepada warga Eropah, tetapi kulitnya sawo matang. Nak kata Melayu bukan, nak kata mat saleh pun bukan juga.
Entahlah Faliq sendiri kurang pasti. Sementelah mereka sudah lama tidak bertemu. Apa yang pasti dia tidak sukakan gadis itu. Lantas Faliq tertawa kecil. Masih sukar mempercayai. Tentu kedua ibu bapanya sedang bercanda. Mustahil permintaan tersebut adalah benar.
"No, no. Papa dan mama bagi syarat lain. Apa saja. Faliq akan ikut. Tapi, bukan yang ini."
Wajah Tengku Farid dan Syarifah Rose dipandang. Tiada perubahan. Masih sama seperti tadi. Bermaksud mereka serius dengan rencana yang disebutkan.
"Okey. Faliq boleh kahwin. Bagi Faliq perempuan lain. But, not with her. Not that girl!" Faliq bertegas.
Kalau dah mereka nak sangat dia berkahwin, boleh aje. Tidak begitu sukar. Cuma, bukan dengan gadis bernama Erin itu. Mustahil sama sekali. Namun, dilihat wajah papa dan mama masih serupa.
"I'm not going to marry with that girl. She's my sister. Macam mana Faliq nak kahwin dengan adik sendiri? Are you out of mind??" bentak Faliq.
"Adik angkat..." Tengku Farid memintas.
"Still!" ucap Faliq menyinga.
Ibu bapa dia dah hilang akal ke? Jauh-jauh dia terbang dari Malaysia ke sini semata-mata untuk mendengar syarat gila ini? Sia-sia sahaja dia ke mari. Lantas Faliq bangun ingin berlalu pergi. Namun, Tengku Farid dengan tenang menjelaskan kepada anaknya.
"Tanah tu milik Erin. Kalau Faliq betul-betul mahukan tanah tu, you have to marry her."
Langkah Faliq serta-merta terhenti. Dia berpaling mengadap kedua ibu bapanya.
"What do you mean?"
"Tanah yang Faliq mahukan sangat tu asalnya milik keluarga Erin. Arwah parents Erin hadiahkan kepada kami sebagai balasan menjaga Erin sepuluh tahun lalu."
Mendengar penjelasan tersebut membuatkan Faliq kembali duduk di kerusi ruang makan tersebut. Baru dia faham serba sedikit apa yang berlaku.
"Kami sayangkan Erin seperti anak sendiri. Kami harap Faliq boleh jaga Erin dengan baik sama macam kami jaga dia selama ni. Seperti yang papa cakap, tanah tu asalnya milik keluarga Erin. Tak adil untuk Erin kalau kami serahkan kepada Faliq macam tu aje."
Faliq mengetap bibir sambil berfikir. Sanggupkah dia menerima syarat tersebut? Sungguh rumit. Namun, andai itu sahaja pilihan yang ada, apakah dia ingin berpatah balik?
~~~~~~~~~~~~~~
LORONG pejalan kaki yang dipenuhi dedaunan kering berguguran dari pohon di sekitar jalan dilalui. Erin Alayna Johansson, gadis berusia 24 tahun itu membetulkan trench coat berwarna gelap yang tersarung di tubuh. Sambil itu dia meraup anak rambut yang jatuh ke dahi saat angin dingin menerpa ke wajah lalu diselit ke belakang telinga.
Gaya gadis ini amat ringkas. Tiada solekan tebal menghiasi wajah. Cukup dengan olesan pelembab bibir sahaja. Rambut panjang keperangan dilepas bebas. Orang cakap wajahnya unik. Berhidung mancung, bermata bundar dengan alis lentik semulajadi. Kulitnya sawo matang diwarisi daripada arwah ibu. Bagi warga Eropah warna kulit sepertinya menjadi idaman.
Erin baru sahaja menamatkan pengajian dalam jurusan senibina dari sebuah kolej terkemuka di London. Dia merancang untuk mendapatkan pekerjaan tidak lama lagi. Namun, siapa sangka orang lain terlebih dahulu mengaturkan rencana hidup untuknya.
Beberapa meter melangkah, Erin tiba di hadapan sebuah kediaman dua tingkat bercat putih yang dihuni sepasang suami isteri dari Malaysia itu. Dia ke sini setelah dipinta oleh kedua ibu bapa angkatnya. Kata mereka ada hal penting ingin dibicarakan.
Ketika melalui pintu utama, Erin bertembung dengan seseorang. Lelaki itu melanggar dengan kasar hingga dia tertolak ke dinding. Terkejut seketika Erin melihat riak menyinga dipamerkan lelaki itu. Dahla tak minta maaf. Angkuh dan berlagak.
Tanpa mempedulikan apa yang berlaku, Erin masuk ke ruang dalam kediaman untuk bertemu kedua ibu bapa angkatnya. Dilihat wajah masing-masing kelihatan amat tegang. Erin yakin ini tentu ada kaitan dengan perkara tadi.
Faliq, saudara angkatnya yang sombong. Jarak usia mereka berbeza lima tahun. Namun, Erin tidak pernah menganggap lelaki itu sebagai abang. Ini kerana hubungan mereka berdua tidak seperti adik-beradik lain dan lebih kepada orang luar.
Pertama kali Erin mengenali Faliq adalah sepuluh tahun lalu ketika dia diambil menjadi anak angkat pasangan Tengku Farid dan Syarifah Rose. Selepas kehilangan kedua ibu bapa kandung dalam nahas kemalangan jalanraya, Erin mengikut mereka berpindah ke London memandangkan dia tidak punya sesiapa lagi di Malaysia. Namun, Faliq tidak ikut bersama. Dia memilih tinggal bersama arwah datuk dan neneknya di Kuala Lumpur. Disebabkan itu mereka lansung tidak rapat.
Ini pun rasanya selepas beberapa tahun baru Erin berjumpa semula dengan Faliq. Lelaki itu kalau datang ke London tidak pernah bertegur-sapa dengannya. Erin bagaikan tidak wujud di mata lelaki itu. Malah, kata-kata Faliq suatu ketika dulu masih diingati. Faliq menggelarnya sebagai anak terbuang yang dipungut ibu bapanya. Entah apa yang si Faliq tu benci sangat pada dia.
Sebaik menyedari kemunculan Erin, Tengku Farid dan Syarifah Rose tidak menanti lebih lama untuk menuturkan hasrat di hati. Mereka tidak ingin membuang masa. Bimbang hal penting tersebut tidak sempat dinyatakan.
"Erin, papa dan mama ni semakin tua. Lambat-laun akan tinggalkan dunia ni. Jadi, sebelum apa-apa berlaku, kami harap dapat lepaskan Erin ke bawah jagaan orang yang kami percayai. Bukan orang luar tetapi keluarga sendiri," tutur Tengku Farid.
"Err apa maksud papa?" Erin meminta penjelasan.
"Kami sebenarnya..." ucapan Syarifah Rose terhenti seketika. Serba-salah ingin meneruskan kata-kata.
"Kami nak kahwinkan Erin dengan Faliq," lancar tutur Tengku Farid menghabiskan ayat isterinya.
Erin terpempan. Matanya membutang. Terpamer riak terkejut di wajahnya.
"Err... maksud papa dan mama... Abang Faliq?"
Walaupun Faliq tidak dianggap seperti seorang abang, namun lelaki itu tetap disebut sebagai Abang Faliq memandangkan jarak usianya yang agak jauh berbeza dengan Erin.
Tengku Farid dan Syarifah Rose sama-sama mengangguk. Mengiyakan pertanyaan Erin. Bibir Erin kelu, tidak pasti apa yang harus dia katakan.
"Tapi..." Erin ingin membantah.
Namun, Syarifah Rose terlebih dahulu memintas.
"Kami dah lama fikirkan tentang perkara ni. Kalau apa-apa berlaku kepada kami sekurang-kurangnya ada orang yang kami percaya dapat lindung dan jaga Erin. Dan kami rasa orang itu adalah Faliq."
Faliq? Aduh, biar betul. Lelaki itu nak tengok muka dia pun tak hendak. Macam mana nak kahwin dan hidup bersama? Erin menggigit bawah bibir. Perkara ini benar-benar membuatkan fikirannya runsing.
"Tapi, Abang Faliq terima ke Erin jadi isteri dia?"
Tengku Farid dan Syarifah Rose saling berpandangan.
"Insya-Allah Faliq akan terima. Dia harus terima," ucap Tengku Farid dengan ayat yang kedengaran sedikit berlainan di hujungnya.
"Yang penting Erin setuju tak?"
Erin terpaku. Tidak pasti jawapan yang harus diberikan. Permintaan ini terlalu berat. Apa yang patut dia lakukan? Nak bantah? Memang nak kalau boleh. Tapi, jauh di sudut hati Erin serba salah. Dia terhutang budi kepada kedua ibu bapa angkatnya itu. Mereka telah menjaga, melindungi dan memberikan kasih sayang secukupnya selama ini. Tidak terbalas jasa mereka membesarkan dia hingga berjaya seperti hari ini.
"Takpe, Erin fikirkan dulu tentang perkara ni ye. Mama dan papa tak nak paksa," ucap Syarifah Rose sambil mengusap lembut tangan Erin.
Memandang ke wajah keibuan wanita separuh abad itu membuatkan mata Erin berkaca. Benar-benar rasa bersalah. Sanggupkah Erin menghampakan perasaan mereka?
??????
Share this novel
test_account
kenapa novel ni x naik dia punye notice..saye dh add n follow