BAB 2

Romance Completed 4092

PROSES pendaftaran pada pagi itu berjalan lancar seperti biasa. Walaupun terpaksa beratur panjang semasa masuk ke dalam Dewan Pelajar, aku dan Fuad tidak pernah mengeluh. Semua perkara itu sudah biasa bagi aku. Ketika kami berdua asyik berbual, tiba-tiba terdengar suara halus berbisik di belakangku. Suara itu seperti aku pernah dengar sahaja. Aku cuba memasang telinga, mencuri dengar setiap perbualan mereka berdua. Entah-entah, dia orang mengumpat pasal aku. Mesti mereka sudah cam muka aku ketika terserempak di luar tadi.

“I rasa, pompuan gemuk ni yang kita jumpa masa makan kat gerai makan kelmarin. You dah lupa ke B?” soal gadis itu perlahan, namun cukup jelas di telingaku.

“Yang mana satu budaknya. I tak berapa ingatlah. Lagipun, buat apa I nak ingat badak air macam dia tu. Buat sakit hati aje,” ucap lelaki itu pula. Terasa berbahang api kemarahan aku saat itu. Tidak menyangka, sampai ke hari ini dia masih mengingati kejadian yang tidak disengajakan itu walaupun sudah tiga hari berlalu.

“Kalau betul dia budak perempuan gemuk tu, nampaknya senanglah kita kerjakan dia cukup-cukup nanti. You kan dah cakap kat I, you nak balas dendam kat dia. Sekurang-kurangnya, dendam you akan terbalas juga nanti. Tak sangkakan, dia pun belajar kat sini.”

“Betul juga cakap you, honey. You tak payah risau. Pasal tu, biar I yang uruskan sendiri. You cuma tengok dan lihat sahaja. Orang macam dia tu, ada duit ke nak bayar yuran pendaftaran. Setakat kerja kat gerai makan, manalah cukup nak tampung kos pengajian kat sini. Esok-esok, tak sampai sebulan belajar dah berhenti.”

Sindiran tajam dari lelaki itu kali ini benar-benar menggores perasaan aku. Terasa kerdil diri ini apabila dikatakan begitu. Seolah-olah aku tidak layak belajar di kolej masakan ini. Mentang-mentang mereka anak orang kaya, suka hati sahaja nak mengutuk orang miskin macam aku. Ah, pedulilah dengan semua itu.

Biarlah apa pun yang mereka nak kata. Selagi aku boleh bersabar, aku akan bersabar. Mungkin apa yang berlaku hari ini merupakan ujian pertama aku di sini. Aku harus cekalkan semangat dan tidak boleh menyerah kalah sebelum waktunya.

Apa yang merungsingkan fikiran aku saat ini, apabila mengingati semula kata-kata gadis itu sebentar tadi. Ucapannya seperti mengandungi maksud tidak baik kepada aku. Dia ada mengatakan perihal dendam yang tidak aku ketahui hujung pangkalnya. Dendam apa lagi yang belum terungkai sejak insiden tempoh hari? Adakah mereka berdua telah membuat satu rancangan tidak baik kepadaku? Entah apa helah mereka kali ini, tidak aku ketahui.

Nampaknya, perjalanan aku di kolej masakan ini sudah pasti ada rintangan yang bakal mendatang di kemudian hari. Sungguh aku tidak menyangka, dia turut belajar di kolej ini. Bagaimanalah dia boleh mengambil jurusan yang sama denganku. Tambah parah, apabila dia memilih kolej ini sebagai tempat untuk belajar. Apa lagi yang boleh aku lakukan. Ini semua ketentuan dari-Nya.

Beberapa minit kemudian, Fuad yang berada di hadapanku sudah menuju ke kaunter pendaftaran sambil membawa beberapa helai dokumen yang diperlukan. Tidak sedar begitu cepat masa berlalu. Aku lihat, ada empat buah meja diletakkan di situ. Semua meja itu dipisahkan antara satu dengan yang lain. Aku difahamkan, pelajar-pelajar perlu melalui empat kaunter terlebih dahulu sebelum berada di meja terakhir untuk membuat pembayaran.

Saat ini, aku baru berada di meja yang pertama. Ada kira-kira tiga kaunter lagi perlu aku lalui. Menunggu satu-satu kaunter bagaikan bertahun lamanya. Ini berlaku kerana, jumlah pelajar yang hadir mendaftar pada pagi ini agak ramai sehingga sesak jadinya. Aku tidak sabar untuk melalui semua ini.

Biasanya, bagi seorang pelajar akan mengambil masa sekurang-kurangnya sepuluh minit bagi setiap kaunter yang dilalui. Bayangkan kalau ada 80 orang pelajar yang datang mendaftar. Aku rasa, sampai tengah hari baru selesai. Mujurlah aku dan Fuad datang awal pagi tadi. Kalau tidak, terpaksa menunggu berjam-jam lamanya.

Aku membelek-belek setiap dokumen yang berada di tangan. Dokumen-dokumen itu aku susun satu per satu supaya mudah ketika melalui setiap kaunter pendaftaran. Tidak perlu nak tergopoh-gopoh apabila diminta nanti. Duit yuran sebanyak Rm 650 juga sudah aku masukkan ke dalam sebuah sampul surat di bahagian atas.

Inilah duit hasil titik peluhku sendiri selama ini. Moga-moga, pendaftaran pagi ini akan membawaku jauh merentasi sempadan ilmu yang tak terjangkau dek fikiran. Aku sematkan dalam hati ini untuk belajar bersungguh-sungguh sebaik sahaja menjejakkan kaki di bumi bertuah ini.

Begitulah impian murni aku sejak dulu lagi. Aku malas mengusutkan fikiran dengan benda-benda remeh yang akan menganggu perjalanan aku di sini. Terutama sekali, lelaki sombong yang turut belajar sama tempat denganku itu. Biarlah dia dan kekasih hatinya itu bersuka ria menghabiskan hari-hari indah mereka di tempat ini.

Apa jua yang bakal dilakukan kepada aku nanti, tidak aku hiraukan. Buatlah apa sahaja yang mereka suka selagi terdaya. Aku tetap aku. Tidak akan ada sesiapa yang boleh mengubah nasibku, melainkan aku sendiri. Prinsip itu sentiasa aku bawa walau ke mana sahaja aku pergi. Kalau mereka ada rancangan untuk mengenakan aku, aku pun boleh buat lebih dahsyat dari itu. Aku akan pastikan lelaki itu jadi milikku satu masa nanti. Biar dia melutut di hadapan aku. Aku tak peduli walau dengan apa cara sekali pun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience