Bab 6

Romance Series 297590

SEMENTARA menunggu Aileen mandi, Hayl masuk ke dapur terlebih dahulu. Mahu menyediakan makan malam mereka. Tiga hari sebelum mereka berkahwin, Hayl sudah siap membeli barang-barang keperluan dapur. Tak banyak. Cukuplah untuk beberapa minggu.

Ayam mentah dikeluarkan daripada peti sejuk. Hayl bercadang mahu masak sambal ayam saja. Ringkas dan mudah. Cukuplah tu untuk mengisi perut mereka malam ini.

Ayam mentah yang sudah siap disiang itu direndam seketika. Sementara itu Hayl mula menyediakan bahan-bahan untuk membuat sambal. Disebabkan dia sudah biasa memasak, kerja-kerja ini mudah saja untuknya.

“Hayl.” Aileen berjalan masuk ke dapur.

“Iya,” sahut Hayl.

“Kalau kita bungkus makanan dekat kedai kan lagi senang,” ujar Aileen. Dia berjalan merapati Hayl.

“Tak apalah. Hayl nak masak sambal ayam. Senang je ni,” balas Hayl.

Hah senang? Senang bagi lelaki itu! Aileen ni kalau disuruh goreng ayam pun masih terkial-kial lagi. Hmm... Nasiblah Hayl kahwin dengan perempuan sepertinya.

“Nak Leen tolong apa-apa tak?” soal Aileen. Takkan dia nak tengok je suaminya itu memasak. Dah lah sepatutnya itu tugasnya.

“Leen tolong masak nasi boleh?”

“Okay.” Haa, nasib baiklah Hayl minta dia masak nasi je. Kalau suruh buat benda lain macam mana? Belum tentu dia tahu.

Masak nasi pun sebenarnya masih terkial-kial lagi. Gigih nak ukur paras air. Takut terlebih air nanti nasi jadi lembik. Kalau kurang air, keras pula.

Aileen terus bergerak mengambil periuk nasi lalu diisikan beras. Satu cawan kecil saja. Cukuplah ni buat mereka berdua. Aileen biasanya memang jarang makan waktu malam. Nak jaga badan kononnya. Tapi bila dah kahwin ni, kenalah dia makan sekali. Lagi-lagi suami dah masak. Kecil pula hati Hayl nanti kalau dia tidak mahu makan.

Siap memasak nasi, Aileen lihat Hayl sudah mula menggoreng ayam. Sambalnya pula sudah siap. Lepas ni tinggal nak gaul je ayam goreng tu dengan sambal.

“Hayl nak minum air apa?” soal Aileen.

“Apa-apa pun boleh.”

“Nak Leen buat air manis?” soal Aileen lagi.

“Boleh juga.”

“Okay. Leen bancuh sirap ais.”

“Cun!” Hayl tersenyum memandang Aileen sambil mengangkat ibu jarinya.

“Gelas dekat mana Hayl?” soal Aileen. Air sudah siap dibancuh. Gelas pula tak jumpa.

“Dalam laci tengah tu Leen.”

Aileen terus menarik laci kabinet yang berada di tengah-tengah. Dekat situ rupanya Hayl simpan gelas. Puas dia cari tadi. Elok je kemas tersusun gelas-gelas dekat situ.

Sewaktu mengambil gelas, mata Aileen terpandangkan sebiji muk berwarna biru lembut. Apa yang membuatkan dia tertarik pada muk itu adalah ukiran huruf yang ada pada muk itu.

Huruf H dan D. H sudah tentu untuk Hayl. D... Kalau bukan untuk Dhia, apa lagi? Entah kenapa Hayl masih simpan muk itu.

“Leen, jumpa tak?” teguran Hayl membuatkan Aileen tersentak.

Cepat-cepat Aileen ambil dua biji gelas dan menutup kembali laci itu. Nanti bila Hayl tiada di rumah, dia akan buang muk itu. Dia tak akan biarkan Hayl simpan lagi kenangan lamanya bersama dengan Dhia.

“Jumpa.” Dia terus berlalu ke ruang makan.

SELEPAS makan, Hayl dan Aileen duduk menonton televisyen di dalam bilik mereka. Aileen memang jarang menonton televisyen. Dia kurang gemar. Waktu duduk di rumah sewanya dahulu, dia memang langsung tak pernah menonton televisyen.

Berbeza pula dengan Hayl. Dia suka menonton filem dan drama. Terutama yang bergenre seram dan aksi.

“Leen dah mengantuk ke?” soal Hayl. Dia lihat isterinya itu sudah menguap beberapa kali.

Aileen mengangguk. Mengantuk sangat. Esok pula sudah mula kerja. Tapi kesian dekat Hayl. Tengok tv seorang-seorang.

“Leen tidurlah dulu. Sekejap lagi Hayl tidur.”

“Leen nak tidur dekat sini dulu boleh?” pinta Aileen.

Hayl senyum seraya mengangguk. “Come.” Ditarik tubuh Aileen bersandar di dadanya. Pinggang Aileen dirangkul erat.

“Leen, patut ke kita tukar panggilan kita?” soal Hayl tiba-tiba.

“Kenapa? Sebab ibu suruh ke?” Aileen tak jadi nak lelapkan mata.

“Bukan sebab ibu yang suruh.”

“Hayl tak suka Leen panggil Hayl nama je?”

Hayl ketawa kecil. “Hayl suka. Apa saja yang Leen panggil Hayl.”

Aileen senyum. Dia mengangkat wajah memandang Hayl. Melihat lelaki itu ketawa buatkan hatinya senang. Andai antara mereka berdua tiada wanita yang bernama Dhia itu, pasti dialah perempuan yang paling bahagia sekarang ini.

“Kalau Leen panggil Hayl abang, Hayl suka?”

Terus mekar senyuman di bibir lelaki itu. “Suka!” jawabnya teruja.

Aileen ketawa. Alahai... Comel la pula reaksi suaminya itu.

“Abang...” Walaupun agak janggal, tapi Aileen cuba. Mungkin nanti lama-kelamaan dia akan terbiasa.

Hayl terus mengeratkan lagi pelukan mereka. Puncak kepala Aileen dikucup lama.

“Thank you sayang.”

Tersengih-sengih Aileen mendengar panggilan itu. Walaupun ini bukanlah kali pertama Hayl memanggilnya dengan panggilan itu. Tapi setiap kali panggilan itu keluar daripada bibir Hayl buatkan hatinya jadi meleyot.

“Jomlah tidur,” ajak Hayl.

“Tadi bukan abang cakap nak tunggu movie tu habis dulu ke?”

Hayl ketawa. Abang... Ah indahnya!

“Tak jadilah. Abang rasa nak tengok isteri abang je.”

“Mengada!”

“Jom tidur.” Hayl terus mencempung tubuh Aileen. Bilik itu dipenuhi dengan suara gelak ketawa mereka.

AILEEN terkocoh-kocoh keluar daripada kamar mandi. Boleh pula dia terlajak bangun pagi ini. Sudahlah hari ini dia dan Hayl sudah mula bekerja.

“Leen tak iron baju lagi,” ujarnya sambil melangkah ke almari. Nak cari baju yang tak perlu digosok. Dia sudah lambat. Tak sempat dah kalau nak gosok baju sekarang ni.

Hayl yang sedang memakai tali leher itu menoleh. “Abang dah siap iron kan baju sayang. Tu...”

Aileen baru perasan baju kemejanya dan skirt paras lutut sudah siap digosok. Bibirnya menguntum senyum. “Abang! Thank you,” ucapnya. Aileen cepat-cepat mengambil bajunya. Mujurlah Hayl ada. Aileen daripada sebelum kahwin lagi beginilah rutin hariannya setiap pagi. Kalut. Mujurlah ada suami macam Hayl.

Siap memakai pakaiannya, Aileen melangkah ke meja solek. Dia bukanlah seorang yang memakai solekan tebal. Sekadar pakai bedak dan lipstick je. Tak nak bagi nampak muka terlalu pucat.

“Abang sorry, Leen tak sempat nak buat breakfast. Abang breakfast dekat office je boleh?”

Hayl mengangguk. “Tak apa. Abang memang jarang makan pagi.” Tengok Aileen kalut macam ni, dia pun tak sampai hati nak mengharapkan Aileen sediakan sarapan untuknya. Lagipun dia bukan jenis yang biasa makan pagi. Dapat minum secawan kopi pun dah cukup. Nanti sampai ofis, dia bancuhlah air sendiri dekat pantri.

BUAT pertama kalinya mereka datang ke pejabat bersama-sama hari ini. Kalau dulu rakan sekerja, sekarang dah bertukar status jadi suami isteri pula.

Sekejap lagi mesti dia kena bahan dengan rakan sekerjanya. Diorang memang kuat mengusik. Dah lah hari ni dia dan Hayl pakai baju warna sedondon. Manalah Aileen tahu. Hayl yang gosokkan bajunya. Dia sarung saja.

“Bye abang. See you soon.” Tangan Hayl disalam hormat. Walaupun mereka bekerja di bawah bumbung yang sama tapi mereka berlainan jabatan. Tak selalu jumpa pun.

Pejabat Aileen di tingkat empat. Manakala pejabat Hayl pula cuma berada di tingkat dua bangunan.

“Bye sayang. Happy working.” Hayl terus keluar daripada perut lif. Laluan mereka pun langsung terpisah.

Aileen terus menekan butang nombor empat. Pintu lif kembali tertutup.

AILEEN tidak dapat melelapkan matanya. Fikirannya menerawang jauh teringatkan bilik kerja Hayl. Entah kenapa Hayl tidak membenarkan dia masuk ke dalam bilik itu. Bukannya dia nak buat apa pun. Dia cuma nak tolong kemas bilik tu je, macam dia kemas bilik-bilik yang lain.

Tapi betul ke bilik itu bilik kerja Hayl? Kalau sekadar bilik kerja, kenapa Hayl beria-ia menghalangnya daripada masuk ke dalam? Dan mengapa juga Hayl mengunci pintu bilik itu sepanjang masa? Perbuatan Hayl itu membuatkan dia mula curiga terhadap Hayl. Mungkin juga Hayl cuba menyorokkan sesuatu daripadanya.

Ah... Susahnya jadi kau Aileen Syifa. Ada suami tapi suami cintakan perempuan lain. Berkahwin pula dengan lelaki yang masih mencintai masa lalunya.

Wajah Hayl sedang lena tertidur itu ditatap sayu. Tapi tiba-tiba tubuh Hayl bergerak. Aileen cepat-cepat memejamkan matanya kembali. Berpura-pura tidur.

Hayl bangun daripada pembaringannya. Wajah Aileen yang sedang tidur itu dipandang buat seketika. Tangannya naik mengusap perlahan rambut Aileen. Puncak kepala Aileen dikucup kemudian Hayl turun daripada katil. Kaki bergerak meninggalkan bilik.

Aileen membuka matanya semula sebaik Hayl keluar daripada bilik. Hayl ke mana? Sempat Aileen mengerling jam di dinding. Sudah pukul 3 pagi.

Hampir lima belas minit berlalu. Hayl masih belum kembali ke bilik. Aileen menyelak selimut. Dia bangun daripada pembaringannya.

Kemana Hayl pergi?

Lambat-lambat Aileen turun daripada katil. Dia melangkah keluar meninggalkan bilik. Sewaktu dia keluar daripada bilik, dia lihat bilik yang dikatakan bilik kerja Hayl itu terang-benderang. Pintu bilik sedikit terbuka.

Aileen perlahan-lahan melangkah menuju ke bilik itu. Bimbang jika Hayl sedar akan kehadirannya. Sekali pandang gayanya sudah seperti pencuri. Terhendap-hendap.

Luluh hati Aileen saat melihat ke dalam bilik itu. Hayl tipu. Ini bukan bilik kerja Hayl. Dalam bilik itu penuh dengan lukisan wajah seorang perempuan. Dan Aileen yakin wanita itu adalah Dhia.

Dia nampak Hayl sedang duduk di situ sambil memeluk sebuah lukisan. Hatinya bagai dirobek-robek. Tubir matanya bergenang. Tangannya menggigil. Dadanya terasa sesak. Mahu saja dia menjerit sekuat hati sekarang ini.

Happy reading! Sesiapa yang belum follow orked boleh follow orked untuk dapatkan notification setiap kali orked update. Thank you.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience