Sekali lagi, dia mendapat penglihatan dalam mimpinya.
Kali ini mimpinya sama. Selama tiga malam berturut-turut, dia memimpikan hal yang sama.
Waktu itu malam.
Langit gelap.
Seakan-akan sedang berdiri di dalam hutan kerana sekelilingnya dipenuhi dengan pohon dan tumbuhan hijau. Namun, dia tidak bersendirian. Di hadapannya berdiri tiga orang bertopeng. Seorang bertopeng beruang berwarna hitam, seorang bertopeng musang berwarna putih, dan seorang lagi mengenakan topeng kucing berwarna merah belang kehitaman.
Ketiga-tiga mereka berdiri di depannya dengan postur penuh amaran dan bahaya.
Adakah mereka Grim Reaper yang orang kampung selalu katakan selama ini?
"Berikan batu itu!" pinta Si Beruang kepadanya.
Batu?
"Berikannya atau maut menjemputmu!" arah Si Kucing pula.
Apa yang mereka maksudkan?! Dia tidak tahu apa yang berlaku di sini sekarang. Batu apa yang mereka mahukan? Memangnya dia siapa dalam mimpi ini? Adakah orang ini pencuri yang telah mengambil sesuatu daripada mereka? Atau dia ke yang dalam mimpi ini?
"Jangan banyak cakap, cabut saja nyawa dia ini!" arah Si Musang pula.
Jangan! Dia tidak mahu!
Si Beruang pun tanpa teragak-agak mengangkat topeng itu dari muka untuk ditalakan kepadanya.
Dia cuba menutup mata dan bangun dari tidurnya. Namun, pipinya dipegang lalu suara itu memanggilnya.
"Buka mata kau!" berulang-ulang kali perkataan itu disebut oleh suara itu.
Dia tidak mahu buka! Dia tidak mahu mati! Dapat dia rasakan tubuhnya digoncang kuat.
"EDITH WINTER! Buka mata kau!"
Tidak semena-mena dia yang mendengar terus tersentak bangun dari perbaringan dalam keadaan tercungap-cungap. Nafasnya naik turun dengan deras sebelum dia memalingkan kepala ke sisi melihat empunya suara.
"Kau bermimpi lagi?" tanya Cora Eli, kawan serumahnya kepadanya sambil berkerut kening risau. "Badan kau bercahaya sekali lagi."
Buat beberapa saat, Edith menenung wajah Cora tanpa berkata apa-apa. Dia cuba mengingatkan kembali apa yang dia mimpikan. Namun samar-samar. Dia hanya ingat batu aneh dan lelaki bertopeng sahaja. "Maaf," ucapnya sambil memegang dada.
Cora menekap tapak tangan ke dahi Edith untuk memastikan rakannya tidak apa-apa. Namun begitu, tangannya jatuh dengan lemah ke bawah selepas merasai bahawa rakannya ini demam dan jatuh sakit sekali lagi. "Sakit kau datang balik... kau mimpi benda yang sama ke?"
Buat seketika, Edith memandang Cora tanpa berkata apa-apa, cuba memproses akan mimpi tadi.
Namun, usahanya tiada gunanya.
Edith tidak dapat mengingatinya semula.
"Ha'ah," angguk Edith dengan nafasnya masih turun naik kerana terkejut dengan mimpi yang dialaminya sebentar tadi.
Ya... Edith mempunyai kemampuan kuasa yang mana dapat melihat visi masa silam atau masa lampau milik seseorang. Namun begitu, dia tidak boleh menghalang atau mengubah apa yang bakal berlaku. Dan dia bukan seorang peramal. Dia hanya boleh memimpikan sesuatu kejadian itu sekiranya kejadian itu mahu dia tahu. Sekiranya tidak, dia tidak akan memimpikannya. Dan kali ini, mimpi terbaharunya yang berulang selama tiga kali berturut-turut asyik menghantui lenanya kebelakangan ini.
"Kita jumpa Master Luna kalau macam itu. Minta dia buat pendinding untuk kau sementara waktu ini supaya mimpi itu tidak datang balik?" pujuk Cora.
Edith memandang Cora lalu menggeleng kepala perlahan. "Tak payah. Aku tak apa-apa. Mimpi kali ini bukan mimpi biasa yang aku selalu mimpikan. Mimpi ini macam nak memberitahu aku sesuatu..." jelasnya dengan kening berkerut.
"Mimpi apa itu? Kau tak pernah beritahu aku?"
"Kau tahu aku tak boleh beritahu kau apa yang aku mimpikan... ianya akan membawa nasib malang," beritahu Edith.
"Masalahnya aku risaukan kau... setiap malam macam ini? Demam segala..." keluh Cora lagi.
Tangan Cora ditepuknya dengan perlahan. "Jangan risau. Aku tak apa-apa. Kau sambunglah tidur. Esok banyak kerja kita kena siapkan..."
"Kau pasti?"
"Hmm... Aku okay. Kau tidurlah."
"Yalah... kalau macam itu aku tidur. Kau pun sama. Berehatlah. Badan kau panas sangat ini," pinta Cora.
Edith mengangguk kepala dengan perlahan lalu memerhatikan Cora bangun dari situ lalu mengambil tempat di katil sebelahnya. Setelah Cora baring, Edith pun memalingkan kepalanya ke luar jendela sebelah katilnya. Dia memandang ke arah kawasan hutan yang berada di belakang kawasan perkampungan ini.
Ada sesuatu yang tidak baik bakal berlaku di hutan itu. Ada orang yang akan mati di situ kerana The Grim Reaper. Sama ada dia atau seseorang, dia perlu menghalang hal itu daripada berlaku. Tapi bagaimana? Dia bukannya ada kuasa magik untuk mempertahankan diri. Yang ada pun hanya posyen yang dihasilkan.
Jadi, manusia biasa dalam dunia magik ini benar-benar membebankannya! Kuasa psikik konon! Bukannya boleh buat duit, malah memenatkannya lagi adalah! Urgh! Kenapa la mak ayah dia meninggal dunia tanpa meninggalkan dia apa-apa selain kuasa menyusahkan ini!
Masih penat dan mengantuk, Edith menumbangkan badannya semula ke belakang lalu memejamkan matanya untuk kembali tidur. Namun, tidak boleh. Setiap kali dia memejam mata, dia asyik terbayang akan tiga wajah bertopeng itu sahaja!
Dia tertanya-tanya, kenapa mereka bertopeng? Betul ke khabar angin? Khabar angin yang dia dengar sejak 10 tahun yang lalu. Khabar angin yang mengatakan bahawa rupa mereka itu boleh membuatkan sesiapa sahaja mati sekiranya menatapnya?
Share this novel