Bab 3

Romance Series 59136

Tiupan angin pantai melekakan aku dari dunia luar. Aku memejamkan mata seketika dan cuba menikmati udara bersama bunyi pukulan ombak. Tak pernah sesekali aku jemu menikmati pemandangan sebegini. Pantai. Tempat yang paling menenangkan bagiku. Setiap hujung minggu, sedari dulu lagi, sini tempatku menghilangkan diri. Aku membawa diri dari kesibukan dunia, dari keperitan sebuah kehidupan. Sebab hidup tak selalunya indah.

Aku jadi teringat persoalan yang ditanya Aliya semalam. Cinta. Jawapan yang aku berikan hanyalah gambaran kasar. Tapi apa sebenarnya cinta bagiku? Hanya sebuah perasaan? Atau satu medium untuk menghilangkan kesunyian? Semua orang melafazkan cinta, tapi mereka tahu ke makna sebenar? Sememangnya, wajib ke semua perasaan cinta dibalas?

Sekarang aku terfikir, cinta umpama satu penyakit. Tiada penawar, tiada ubat. Sekali terkena, sakitnya tak mudah dirawat. Cinta hanya menyakitkan.

“Hai tablemate,” aku tersentak dari lamunanku. Dia lagi. “Setiap Ahad, waktu yang sama, meja yang sama, dan orang yang sama. Adakah itu kebetulan?” dia bergurau. Aku cuma tersenyum melihat dia. “Izinkan patik duduk menemani tuan puteri.”

“Dah lah, jangan buat malu. Duduk diam – diam boleh tak?” aku segera menarik kerusi dan menyuruhnya duduk dari ekoran mataku. Mataku tidak lepas dari memandang dia yang berceloteh sendirian. Macam mak cik tua gayanya.

Dia, Adam. Lelaki yang telah menjadi peneman aku setiap hujung mingguku. Hampir setahun juga tanpa jemu aku dan dia berbual kosong sambil membuang masa. Dia seperti biasa akan mengeluarkan buku lukisan dari beg sandangnya. Dia pastinya akan termenung seketika, memerhati sekeliling sehingga tercapai satu subjek untuk memulakan aktiviti melukisnya.

Aku menompang dagu dan memerhati dia.

Adam mengeluarkan sesuatu dari begnya. “Air?” dia mempelawa air tin. Aku tersenyum melihat persediaannya seperti biasa. “Mocha.” Dia menjawab sebelum sempat aku bertanya. “Dan ni, macam biasa.” Aku tersenyum melihat dia mengeluarkan bekas makanan dari begnya dan membuka penutup. “Buah – buahan kegemaran Cik Mia.”

“Woah, makin pakar setiap perkara kesukaan Mia yer,” aku menyambut air tersebut. “Kali ni nak lukis apa?”

Adam membuat insyarat jari menyuruhku diam sambil menunjuk pada kertas kosong di atas meja. Tak boleh ke seseorang bertanya dahulu. Tapi nanti akhirnya dia akan cakap aku kuat membebel. Lepas tu nanti aku tak kagum dengan hasil kerja dia kalau tahu perkara dia nak lukis tu awal – awal.

Sejujurnya, dari hari pertama kenal aku dah kagum dengan hasil lukisan dia. Jadi sehingga sekarang aku dengan yakinnya anggap dia ni pelukis handalan dan mungkin dah berjaya pamerkan lukisan dia kat galeri. Mana tahu kan? Dia sendiri misteri dan tak mahu aku tahu banyak perkara tentang dia.

“Suka lagu ni?” tanya dia sambil fokus meukis.
“Hmmm?”

Dia mengangkat muka. “Atau suka band tu?” Pandangan dia seperti tahu segala yang berada di fikiranku. Wajahnya menunjukkan dia menanti jawapan dariku.

“Tak pernah dengar lagu ni kat radio, tapi menarik juga lagu ni. Lagu baru ke?” aku berhati – hati memberikan jawapan. Aku menundukkan kepala dan berpura membetulkan tudungku yang ditiup angin.

Tanpa banyak tanya, dia kembali fokus pada lukisannya. Tapi aku perasan, senyuman sinis terukir di bibirnya. Ingin aku bertanya, namun tak terkeluar persoalan.

‘Hari ini aku bernafas.. Mencari bayanganmu yang hilang.. Tiada arah mengajarku.. tiada petunjuk mencarimu.. Kau hilang dan aku masih di sini menanti kehadiranmu.. Seandainya Tuhan menarik nyawaku.. Satu ku pinta.. Pertemukan aku semula dengan kamu..’

Adam bersenandung. Aku tersentak. Dia hafal bait lagu ‘mereka’.

“Bahagian verse dia menarik. Tapi korus dia lagi menarik.”

Komen dari Adam. Aku hanya mengangguk. Setuju yang aku turut suka korus dari kumpulan tersebut. Aku mengerling sekilas dari jauh. Sudut aku duduk agak terpencil dan jauh dari mereka. Terlindung dengan pasu bunga hiasan. Sempurna bagiku.

“Mia.. kau pasti bukan ke sini setiap hujung minggu sebab mereka?” Adam bertanya tanpa mengangkat muka.

Entah kenapa, aku yakin, sekiranya aku menidakkan, dia pasti akan tahu jawapan sebenar. Dia seperti boleh membaca pemikiranku. Jadi aku mengambil keputusan untuk diam dan tidak menjawab persoalan darinya. Aku fokus mendengar lagu yang dinyanyikan dan berpura memerhati kanak – kanak yang bermain layang – layang.
Pantai ni tempat aku selalu singgah untuk menenangkan fikiran. Namun setelah sekian lama, menjadi satu rutin untuk aku ke sini. Tentang kumpulan penyanyi tu? Ya, Daniel ada. Dia salah satu sebab aku di sini. Ketika aku khusyuk melayan pemandangan, aku sendiri tak sedar mereka mula menjadi penyanyi jalanan di situ. Aku sedar ketika mendengar lagu tersebut dipermainkan. Sambil menyelam minum air. Dia salah satu sebab aku selalu ke sini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience