Bab 8

Vampire Series 30571

SEJAK petang sehingga membawa ke tengah malam fikiranku terus menerawang memikirkan pengalaman yang aku lalui lewat petang tadi. Terlalu banyak persoalan yang tiada jawapannya. Baik Azril mahupun Adrian, masing-masing tidak menjelaskan apa yang sepatutnya. Yang jelas mereka tak dapat menyembunyikan perkara yang telah aku lihat. Perubahan yang berlaku pada Azril hari ini bukan sesuatu yang normal.

Aku cuba imbas kembali fakta tentang vampire yang pernah aku kaji beberapa hari lepas dan mengaitkannya dengan Azril dan Adrian semula. Sejujurnya semua fakta tersebut ada yang bercanggah dan ada yang setara. Sebagai contoh, bola mata Azril berubah kemerah-merahan. Gigi taringnya tumbuh memanjang dan dia cuba menggigit leherku. Macam vampire nak hisap darah manusia. Tapi vampire tak boleh kena cahaya matahari sedangkan Azril nampak okay sahaja walaupun matahari terik. Vampire tak keluar waktu siang tapi setiap hari Azril keluar waktu siang untuk ke kelas.Vampire tak suka berenang. Kalau dia vampire takkan dia gila pergi masuk kelab renang di kolej. Siap jadi pengerusi kelab lagi. Lagi satu fakta yang lebih penting, mengikut mitos vampire tak boleh masuk ke dalam rumah yang berpenghuni tanpa dijemput terlebih dahulu oleh tuan rumah. Adrian dan Azril masuk ke rumahku tanpa aku jemput terlebih dahulu. Bermakna mereka bukan vampire.. kan? Ish… makin fikir makin keliru.

Petang tadi sebenarnya ada satu lagi kejadian aneh yang aku lihat sewaktu Adrian mendapatkan adiknya. Ian peluk Azril ketika itu. Aku fikir dia cuba hendak menenangkan Azril tapi sebaliknya dia menyerahkan lehernya kepada Azril untuk ‘digigit’. Aku panik dan terkejut tapi tak dapat lari kerana tangan Ian sentiasa menggari pergerakanku. Selepas beberapa ketika Azril kembali dapat bertenang tapi kemudiannya dia pengsan dalam dakapan Ian. Ian membawanya pergi. Sebelum pergi dia sempat meninggalkan pesanan kepadaku.

“Aku takkan apa-apakan kau selagi kau boleh simpan rahsia ini. Aku perlu pergi sekarang. Boleh tolong aku bersihkan darah Azril di lantai tu?”

Lambat juga aku ambil masa untuk mengangguk menerima arahannya. Sebaik aku mengangguk Ian terus lesap bersama Azril dengan sekelip mata. Kemudian aku bersihkan darah Azril. Waktu itu aku masih dihantui ketakutan tapi dalam masa yang sama berusaha untuk menghapuskan bukti yang ditinggalkan oleh Azril. Pelik juga… aku hanya ikut arahan Ian tanpa membantah.

Malam ini aku sengaja biarkan jendela bilikku terbuka sedikit. Ada sesuatu yang tiba-tiba aku harapkan muncul malam ini. Mungkin beberapa hari yang lalu aku tidak mengalu-alukan kemunculan Ian ke bilikku walaupun dalam keadaan tak sengaja tapi kali ini aku harap dia tersesat lagi masuk ke bilikku semata-mata untuk bercakap dengannya. Aku tahu apa yang berlaku ke atas diri Azril diketahui dengan jelas oleh Ian. Selama ini mereka membohongi aku. kemungkinan juga Ian sama seperti Azril. Bukan manusia!

Aku masih tak berani mengatakan mereka ialah vampire walaupun perasaanku masih menganggap mereka sama seperti vampire. Makhluk yang menakutkan!

Aku toleh ke arah jam dinding. Jam baru menunjukkan pukul 10.30 malam. Ian selalunya muncul selepas jam 12.00 tengah malam. Mataku sudah mengantuk pula. Letih disebabkan kelas yang berjalan seharian siang tadi. Malah letih disebabkan hal yang berlaku lewat petang tadi. Aku duduk sebentar di atas katil sementara menunggu kemunculan Ian.

Penat pula tunggu orang yang tak pasti samada akan muncul atau tak. Aku mula baringkan tubuhku di atas bantal. Diam... Lama… Bosan… dan entah bila tanpa aku sedar akhirnya aku terlelap.

Bila aku terjaga semula, secara tiba-tiba wajah Ian mengejutkan di hadapan mataku. Aku hampir menjerit namun lekas Ian bertindak dengan menekup mulutku. Kesejukan tapak tangannya sama seperti yang aku rasakan pada kali pertama kami bertemu. Sejuk yang bagai membekukan mulutku. Pendek kata terlalu sejuk. Sebahagian rambut panjangnya menghalang wajahnya. Ekor mataku mencari jam dinding untuk melihat waktu. 11.55 malam.

“Kau tunggu aku sampai tertidur?” tanyanya sebelum perlahan-lahan melepaskan tangannya dari mulutku.

Aku masih tergamam melihat dia merebahkan punggung di hujung katilku. Entah berapa lama agaknya dia memerhatikanku tidur tadi. Aku tak mahu fikirkan sangat. Macam menakutkan pula bila terlalu memikirkan kemisterian Ian ni.

“Macam mana kau tahu aku tunggu kau?” soalku pelik. Memanglah pelik kalau seolah-olah dia tahu gerak geri aku.

“Takkanlah kau tak nak tanya apa-apa tentang apa yang kau lihat petang tadi. Lagipun pintu jendela tu kau buka sedikit. Langsir kau tolak ke luar... Kau hantar signal supaya aku ‘tersesat’ sekali lagi ke bilik kau kan?” Ekor matanya sempat menjeling ke arah jendela yang sememangnya aku buka sedikit sebelum ini.

Menoleh kembali ke arah jendela tersebut, aku fikir logik juga kata-katanya. Maka soalannya tadi bukan pelik.

“Macam mana keadaan Azril sekarang?” Sebelum nak bertanya soalan utama sengaja aku bermukaddimah menanyakan tentang Azril. Sebenarnya memanglah aku risaukan Azril juga.

“Biasanya dia perlukan sehari untuk memulihkan kembali tenaganya. Memang susah hidup Azril tapi dia tiada pilihan. Itulah takdir dia.” Dia bercakap dengan cukup tenang seolah-olah hal yang berlaku ke atas Azril adalah perkara biasa baginya.

“Jadi betullah dia vampire?” soalku serta merta. Perasaan ingin tahuku yang lebih tinggi menenggelamkan sebentar perasaan takut yang sepatutnya. Aku tak peduli dengan siapa aku sedang bercakap.

Ian senyum sinis sambil mengerlingku. Pandangannya begitu nakal sekali.

“Jawablah!” Aku buntangkan mata agar dia faham yang aku sedang serius sekarang. “Kenapa selama ini korang tipu aku? Jangan-jangan kau pun vampire macam Azril juga kan.” Geram pula aku dengan Ian yang sengaja membiarkan aku semakin serabut dengan segala persoalan.

“Jawapannya ialah… ya dan tidak.” Dia bangun dan berlegar-legar meneroka apa yang ada di bilik tidurku.

“Hah? Cakaplah betul-betul. Jangan main-main. Kau ingat aku tak nampak apa yang berlaku pada Azril siang tadi?” Aku turunkan kaki dari katil lantas mendapatkannya semula.

“Jadi apa yang kau lihat?” Ian dengan lagak selambanya melalukan hujung jarinya pada deretan buku-bukuku di atas rak. Satu buku di tarik secara rawak. Dia menyelak satu buku berwarna hitam tanpa tajuk.

“Dia keluarkan taring dan cuba nak hisap darah aku.”

“Really?” anak matanya mengecil. Memandang ke arahku seperti sangsi dengan pernyataanku. Mungkin dia cuba hendak menguji kejujuranku.

“Dia cuba tapi akhirnya… dia gagal. Kemudian darah keluar dari hidung dan mulut dia. A-aku tak faham apa yang berlaku.” Aku jelaskan dengan lebih terperinci. Aku mula sedar yang aku perlu takut pada Ian juga selepas melihat apa yang berlaku ke atas diri Azril sebelum ini.

“Kau takut?” Matanya yang sedang membelek buku di tangan itu aku perasan sedang menjeling kepadaku.

“Adrian… rahsia korang ada dalam tangan aku sekarang.” Aku cuba mengugutnya bila dia seperti tidak mempedulikan pertanyaan-pertanyaanku sedari tadi.

“Dan aku takkan teragak-agak hapuskan riwayat kau kalau ada sesiapa tahu tentang Azril.” Dia memulangkan paku buah keras dan ugutannya terhadapku lebih berkesan.

Gulp! Dia buat aku cuak. Serta merta langkah kakiku terundur ke belakang menjauhinya.

“Untuk jawab soalan kau tu… aku boleh klasifikasikan Azril tu sebagai unvampire.”

“Unvampire?” Pernyataan Adrian membuatkan wajahku berkerut seribu kerana tidak faham.

“Unvampire, maknanya vampire yang bukan vampire. Berbanding vampire yang menghisap darah, Azril produce darah untuk vampire lain.”

Jawapan Adrian buat wajahku berkerut seribu. Aku tidak pernah mendengar istilah unvampire. Kisah vampire pun aku rasa terlalu dongeng apatah lagi unvampire. Dari mana asal usulnya? Bagaimana ia wujud? Dari mana dan mengapa ia wujud? Urgh~~ aku perlukan penjelasan yang lebih jelas dari Adrian.

“Unvampire adalah satu virus yang dicipta untuk menghalang vampire dari menyerang manusia.” Adrian masukkan semula buku hitam tanpa tajuk tadi ke dalam rak secara melintang. Kemudian matanya tertancap pada satu buku berwarna merah kulitnya. Sebuah buku novel dari penulis Ahadiat Akashah bertajuk Untuk Tiga Hari. “Bila kegelapan menguasai malam, tiada siapa dapat menghalang kemunculan vampire. Matahari adalah kelemahan mereka namun mereka perlu lakukan sesuatu untuk meneruskan kehidupan. Mereka tak mahu membunuh tetapi mereka tiada pilihan bila terdesak. Mereka cuma perlukan darah manusia.” Buku berkulit warna merah itu dilintangkan seperti buku hitam tanpa tajuk tadi. Ekor matanya mengerlingku. Buat aku cuak secara tiba-tiba.

“Disebabkan mereka tak mahu membunuh manusia lagi, mereka mencipta satu virus yang boleh menterbalikkan sistem vampire. Maka wujudlah unvampire seperti Azril.”

“Vampire… betul-betul wujud ke?”

Adrian angguk.

“Sekarang? Maksud aku dalam zaman moden macam sekarang ni… vampire wujud?”

Adrian angguk lagi.

“Di sekeliling kita?”

Adrian cuma menyungging senyuman sebelum memusingkan kakinya dan mengatur langkah ke katilku. Aku ekorinya.

“Kau jangan nak main-main. Kau fikir kau boleh perbodohkan aku dengan kisah tentang vampire kau ni? Mengarut kau tahu tak. Langsung tak masuk akal!” aku tafsirkan yang senyuman di wajah Adrian itu bersifat sinis dan nakal. Maknanya dia bukan serius pun dengan apa yang dikisahkannya.

Adrian merebahkan tubuhnya di atas katil. Kedua belah tangannya diletakkan di belakang kepala yang berbaring di bantal. Kedua belah kakinya pula bersilang di hujung katil. Sikap santainya membuatkan aku bertambah bengang. Dia fikir aku ni budak kecil ke boleh percaya dengan mudah pembohongannya itu. Aku faham benarlah kalau dia berniat nak membahan aku disebabkan apa yang aku tonton beberapa hari lepas. Pasal Vampire Knight yang aku pinjam dari Elmira tu.

“Kau nak penjelasan yang macam mana lagi, Sofie? Nak aku buktikan ke?” anak matanya masih nakal mengerlingku. Dia tetap tak pedulikan amarahku.

“Apa maksud kau?”

“Aku boleh tunjuk macam mana vampire hisap darah manusia. Real. Depan mata kau. Nak?” Ian duduk semula. Kemudian tangannya mencengkam pergelangan tanganku sebelum menarikku ke dalam dalam dakapannya.

“Hah?” Aku terperangkap dalam renungan mata coklat Adrian. Senyumannya yang penuh daya godaan sedang menakluk jiwa suci seorang anak gadis. Seluruh tubuhku bagaikan teransang akibat sikap kelelakiannya yang terserlah. Mulut Adrian terbuka sedikit. Tangannya cuba menjalar mendapatkan tengkukku.

Tiba-tiba aku tersedar yang aku telah melangkau tahap sebenar keberanianku. Aku lupa tentang fakta yang Azril itu bukan manusia. Maka tak mustahil jika Adrian juga makhluk yang serupa.

“Kau jangan main gila!” Aku tolak Adrian sekuat hati sebelum kelam kabut melepaskan diri dari dakapannya. Sampai hendak terjatuh aku dibuatnya. Masak juga bila lututku sempat mencium kaki katil. Sakit gila! Tapi aku tahan.

“Berambus sekarang! Berambus dari bilik aku, Ian!” Aku jerit sekuat hati ke mukanya.

Ian ketawa. Ketawa dengan agak kurang ajar jugalah. Seolah-olah aku sedang buat persembahan Maharaja Lawak Mega di hadapannya. Puaka mamat vampire ni! Memang nak telan sumpah seranah aku malam-malam buta gamaknya.

Dalam keadaan tawanya yang masih bersisa, Ian melangkah menuju ke jendela. Aku perhatikan sahaja tindakannya. Dalam hati masih menyumpah-nyumpah perbuatan melampau Ian tadi.

“I-Ian…” hatiku masih tak puas membiarkan Ian pergi begitu sahaja. Sekurang-kurangnya ada sedikit fakta yang boleh diyakini aku dapat malam ini.

Ian toleh semula kepadaku ketika dia sudah hampir hendak melompat keluar dari lawang jendela.

“Boleh ke aku percayakan kau?” soalku teragak-agak.

“Aku terlalu mahu kau percayakan aku… oleh itu tak perlulah aku gunakan abiliti aku untuk hapuskan memori kau, Sofie.” Suaranya mendatar. Dia sedang berharap.

“Apa maksud kau, Ian?”

Ian tidak jawab apa-apa melainkan senyuman terakhirnya sebelum lesap dari jendela bilikku.

Aku pantas menghala ke arah jendela tersebut untuk melihat kelibat Ian. Malangnya tiada apa yang aku berjaya lihat melainkan warna gelap yang menyeliputi malam. Sebaik kutoleh ke sebelah kanan, aku perhatikan jendela rumah sebelah sudah bertutup.

Hal ini membuatkan aku tertanya-tanya. Bagaimana Adrian boleh lesap dengan sebegitu pantas tanpa meninggalkan sebarang kesan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience