BAB 2

Fantasy Completed 10501

Ariana termenung di tempat duduknya. Kebingitan rakan-rakan sekelasnya bermain tidak sedikitpun menarik minatnya untuk menyertai mereka. Matanya hanya terarah di satu tempat iaitu sudut di tepi pintu. Gadis kecil itu menongkat dagunya dengan sebelah tangan. Tidak berkelip matanya melihat sudut itu sejak guru subjek matematik meninggalkan kelas tahun 4 mawar itu.

Sehelai kapal terbang kertas jatuh betul-betul di atas mejanya. Ariana langsung tidak mempedulikan Aman, rakan sekelasnya itu yang semakin mampir dengannya. Tangan kecil Aman mencapai kapal terbang kertas yang sengaja dia baling ke arah Ariana.

Aman memandang sekilas wajah comel Ariana sebelum matanya terarah ke sudut yang sedari tadi menerima panahan mata Ariana. “Hantu mana pula yang kau nampak duduk dekat situ?” Soalan Aman mengalih perhatian Ariana. Ariana hanya diam tanpa jawapan. Dia memandang wajah Amar dengan pandangan yang sukar ditafsir.

“Aman… Jomlah. Takut aku tengok dia pandang macam tu. Nanti tak pasal-pasal kau kena kejar dengan hantu dia.” Rahimin, rakan Aman sudah menarik-narik tangan Aman dengan wajah yang dibayangi kerisauan. Aman menarik semula tangannya.

“Apa nak takut? Kau percaya sangatlah yang dia boleh nampak hantu… Dia ni sebenarnya gila. Takkan kau tak ingat, mak saudara dia tu pun gila. Penyakit keturunan.” Sindir Aman. Rakan-rakan sekelas yang lain sudah tertawa kecuali Ariana dan Rahimin.

Ariana bingkas dari duduknya. Dia berhadapan dengan Aman yang telah mati tawanya. Matanya mencerlung tajam ke arah Aman yang mula kelihatan pucat. Dia terus berlalu dari situ. Bahunya sengaja dilaga kuat dengan bahu Aman. Dari luar kelas dia dapat mendengar suara rakan-rakan sekelasnya menggelarnya gila. Suara yang paling kuat sekali adalah suara Aman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience