Nurbaya baru mahu melangkah masuk ke dalam kereta selepas lebih dua jam mengadakan temubual dengan CEO sebuah syarikat hartanah terkemuka negara apabila terdengar salam dihulurkan kepadanya.
“Waalaikumussalam.” Salam dijawab perlahan.
“Nurbaya, kan? Isteri Fikri Ismail.” Dia mengangguk mengiyakan pertanyaan lelaki yang seingatnya tidak pernah dikenali.
“Saya Kamarul. Kawan Fikri masa kat U dulu. Dia sihat? Lama tak jumpa dia.” Laju Kamarul memperkenalkan diri.
“Alhamdulillah sihat. Maaflah saya tak ingat en Kamarul.”
“Tak payah berenciklah. Kamarul sudah. Memang awak tak kenal tapi saya kenal awak sangat.”
“Saya tak faham.”
Macam mana tak kenal kalau setiap hari selama tiga tahun saya dok tengok gambar awak.” Nurbaya mengerutkan dahi.
“Kat U dulu saya sebilik dengan Fikri. Gambar awak terpampang kat dinding bilik. Itu yang saya kenal sangat awak. Setia betul Fikri dengan awak. Bukan tak ada student perempuan yang nak dengan dia tapi Fikri langsung tak pandang. Saya siap usik kalau dia kahwin dengan orang lain, saya dulu yang nak gelakkan dia. Kronik betul dia masa tu. Seingat saya setiap kali lepas solat dia mestikan doakan awak, Nurbaya.” Kata-kata Kamarul membuatkan Nurbaya berasa darah menyerbu naik ke wajahnya. Dia terdiam. Tidak tahu hendak memberi reaksi.
“Saya minta diri dulu. Kirim salam pada Fikri.” Kamarul meminta diri. Nurbaya sekadar mengangguk.
Jam menunjukkan pukul 12.30 malam ketika Nurbaya tiba di rumah. Dia diarah membuat liputan kes kemalangan maut yang mengorbankan nyawa enam sekeluarga.
Langkah terus dibawa menuju ke bilik tidur. Fikri sudah pun lena. Selepas membersihkan diri, Nurbaya merebahkan dirinya perlahan di sebelah suaminya.
Buat pertama kali selepas 10 bulan, dia memberanikan diri berdepan dengan Fikri yang kelihatannya nyenyak lena.
Nurbaya menatap sungguh-sungguh wajah Fikri yang jauh lebih matang berbanding kali terakhir dia melihat lelaki itu 10 tahun lalu. Rambutnya masih ikal tetapi tidak kembang seperti dulu. Kumis dan janggut sejemput yang dijaga rapi membuatkan paras Fikri bertambah manis. Jernih wajahnya cukup menenangkan.
“Dah puas belek?” Pertanyaan Fikri membuatkan Nurbaya terkejut besar. Dia segera membawa tubuhnya membelakangkan Fikri. Dan seperti biasa, Fikri merangkul pinggangnya.
“Handsome tak suami awak ni?” Nurbaya terdengar ketawa kecil mengiringi pertanyaan itu.
Tak tidur lagi rupanya. Malu aku, katanya dalam hati.
“Kawan awak, Kamarul kirim salam.” Dia berkata perlahan.
“Waalaikumussalam. Macam mana kenal dia?”
“Saya tak kenal. Dia tegur saya. Dahlah nak tidur.”
“Tidurlah. Nite sayang.”
Nite Fik, Nurbaya membalas dalam hati.
Share this novel