BAB 10

Humor Completed 6445

Urusan pengkebumian dilakukan pada hari itu juga. Bacaan Surah Yasin

kedengaran di segenap isi rumah. Jenazah abah sudah siap dikapankan.

Semua urusan memandikan jenazah hingga ke mengkafan, semuanya diuruskan

oleh Zeek dan Amli, dengan bantuan orang-orang masjid di kawasan

perumahannya.

“Nak sembahyangkan jenazah di mana, Afif? Di rumah ka di masjid?”

Seorang lelaki berkopiah, bercermin mata menegur Zeek yang baru selesai

mengucup dahi abah.

Zeek hela nafas, “Di masjid, Bang Li.”

Lelaki yang dipanggil Bang Li itu menganggukkan kepala, “Nanti saya

panggilkan imam untuk mengimamkan...”

Tak sempat Bang Li itu menghabiskan ayatnya, Zeek menyampuk, “Saya

imamkan. Saya nak imamkan jenazah abah saya. Ini khidmat saya yang

terakhir yang boleh saya bagi pada abah saya, Bang Li.”

Bang Li menepuk bahu Zeek berkali-kali, “Arwah sangat bertuah punya anak

seperti Afif.”

Zeek ukir senyum hambar. Saya yang bertuah punya bapa sebaik abah...

“Kalau macam tu, biar Bang Li buat apa yang patut dulu.”

Zeek mengangguk, “Terima kasih, Bang Li.”

Bunyi tangisan yang pecah tiba-tiba buat Zeek berpaling ke arah Acha dan

Adni. Acha, si bongsu sudah terduduk di sisi jenazah abah. Umi yang tak

betah melihat tangisan Acha turut menangis di bahu Amli. Zeek ketap

bibir. Sebak melihat adik-adiknya masih menitiskan air mata. Sebak juga

dia melihat umi yang bagaikan sudah hilang punca. Perlahan-lahan dia

dekati Acha yang masih terduduk.

“Acha...”

Acha berpaling kepada Zeek lalu dia memegang lengan Zeek lalu digoncang

berkali-kali, “Along, Acha nak abah! Acha nak abah!”

Zeek merangkul tubuh Acha yang kelihatan sangat rapuh ketika itu, “Tak

baik, Acha. Tak baik meratap macam ni! Kesian abah, dik!”

“Acha rindu abah!”

Zeek mengangguk lalu ditepuk belakang Acha berkali-kali, menenangkan

Acha yang semakin kuat menangis, “Along tahu!”

Adni yang tadi berdiri kaku, turut duduk di sisi Zeek dan Acha lalu dia

kesat air mata Acha, “Acha, jangan menangis. Abah mesti tak suka Acha

menangis macam ni.”

“Acha tak puas lagi nak bermanja dengan abah...” separuh lirih, Acha

bersuara.

“Angah tahu. Angah pun tapi adik menangis macam ni, abah yang terseksa

dik. Jangan macam ni...” Adni bersuara, cuba memujuk Acha yang masih

mengalirkan air matanya.

Acha akhirnya menyembamkan kepalanya dibahu Zeek, menahan tangis yang

masih mahu keluar. Dia rindu abah!

Adni sempat pandang Zeek lalu mengesat air mata Zeek yang entah bila

mengalir, “Along kuat.”

Zeek mengangguk dan dia terus menenangkan Acha yang masih belum hilang

sedunya.

Zeek dan Amli bertungkus-lumus menguruskan jenazah abah untuk

disemadikan sambil ditolong oleh saudara-mara dan jiran tetangga. Dulu

pernah abah berpesan kepada dia dan Amli supaya belajar cara pengurusan

jenazah dan setiap kali ada orang di kawasan kejiranan meninggal, abah

menggalakkan dia dan Amli menolong ahli keluarga mereka menguruskan

jenazah. Sekarang, dia dan Amli pula yang ditolong orang ramai

menguruskan jenazah abah dan baru dia tahu betapa pentingnya untuk

belajar ilmu menguruskan jenazah.

Selesai jenazah abah ditanam, talkin mula dibacakan oleh imam masjid

kawasan itu. Suasana petang itu redup, seredup hati mereka semua.

Sesekali, Zeek mengesat matanya yang terasa berair. Dia memandang tepat

ke arah tanah yang membukit di depan matanya. Di dalam tanah membukit

itu, jenazah abahnya selamat disemadikan. Terbayang-bayang di matanya

memori indah bersama abah. Teringat dia ketika dia belajar mengaji

bersama abah, juga ketika dia berjaya menggenggam segulung ijazah,

teringat dia senyuman abah kala itu. Penuh kegembiraan dan jelas terbias

di wajah abah yang abah bangga dengan dirinya.

Usai talkin habis dibaca, dia mula menyiram air di atas kubur abah dan

diikuti oleh Amli. Beberapa orang adik-beradik abah yang turut hadir,

turut menyiram air. Perlahan-lahan, orang ramai mula meninggalkan

kawasan tanah perkuburan. Yang tinggal di situ hanya dia, Amli dan

saudara-mara mereka sahaja. Acha dan Adni tidak ikut serta kerana mahu

menemankan umi di rumah yang sudah berada di dalam tempoh edah.

Zeek tersentak saat bahunya disentuh dari belakang. Saat dia berpaling,

pak long, abang kepada arwah abah mengukir senyum kepadanya. Dia hanya

membalas senyuman pak long ala kadar saja sebelum matanya kembali

memandang pusara abah.

“Afif, sabarlah nak. Allah menguji kerana Dia sayangkan kita. Lagipun,

abah kamu tu dah terlalu menderita dengan sakit dia. Sekarang, biarlah

dia berehat di sisi Allah," Zeek hanya menunduk di sisi pusara ayahnya.

Kata- kata pak long ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Entah bila, pak long berlalu meninggalkan dia dan Amli.

“Along...” Panggil Amli, tiba-tiba.

“Hmm...?” Zeek menyahut tanpa memandang Amli.

“Jom balik! Umi mesti dah tunggu di rumah.”

Zeek mengangguk namun dia masih kaku di situ. Amli hela nafas sebelum

dia berlalu dulu, memberi ruang kepada Zeek kelihatan masih mahu duduk

di situ, seketika.

Tanah pusara abah yang berbukit itu dia pegang sedikit, seolah-olah dia

sedang memegang tangan abah. Dia sudah rindu pada abah. Sebenarnya, abah

sudah beri petanda yang dia akan pergi namun dia yang tak sedar. Hati

Zeek bagai dicarik-carik mengingati kata-kata abahnya dua hari sebelum

abah meninggal. Memberikan amanah terakhir, juga satu tanda yang abah

akan pergi selamanya...

`Along... abvah sherahkan tanggung.... tanggungjawabh abvah dhekat

along. Along... jagha keluargha kitha. Along jagha adhik-adhik. Jagha

umi...'

Zeek kesat mata yang terasa basah tiba-tiba. Along akan jaga amanah abah

sebaiknya. Along janji, bah...

Nurul Ain memeluk lututnya sambil mata terus memandang sepasang pasangan

yang agak berusia bergelak-ketawa di sebuah kerusi yang terletak di

hadapan tempat duduknya. Si suami kelihatan mengusik si isterinya dan si

isteri kelihatan memasamkan mukanya sebelum mengukir senyum buat si

suami. Tanpa sedar, bibir Nurul Ain mengukir senyum. Dulu, ayahnya juga

suka mengusik ibu sampai ibu merajuk. Ayah, pendiam tapi suka mengusik.

Ibu, kuat merajuk. Memang kena sangat. Dulu, ayah pun suka usik dia.

Selalu dia menangis pada tok wan lepas diusik ayah. Kali terakhir ayah

mengusik dia adalah sejam sebelum ayah pergi tinggalkan dia.

Nurul Ain menggeleng kepala. Membuang rasa sedih yang hadir tiba-tiba.

Buku nota separa tebal yang ada di tepinya, dia buka lalu laju pena di

tangan kirinya berlari di atas permukaan buku itu.

Selesai dua muka surat dia menulis, dia hela nafas. Lengan baju kurung

diselak. Jam sudah menginjak ke dua petang. Orang yang ditunggu masih

belum kunjung tiba. Dia tertanya-tanya, berapa lama lagi harus dia

menunggu? Haruskah dia menunggu hingga ke petang? Atau haruskah dia

pulang saja?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience