Suraya sudah ketawa berdekah mendengarkan cerita Haziq. Bila Haziq merenungnya tajam, tawanya terhenti tetapi hanya untuk seketika. Tangan kanannya memukul-mukul bahu Haziq, sementara tangan kirinya memegang perut yang dirasakan sakit kerana terlalu banyak ketawa. Suraya mengesat air matanya.
“Kau ni.. Kau ni.. Kelakarlah! Hahaha..” Suraya menyambung tawanya lagi. Sahabatnya itu mengetap gigi tanda marah. Nasib baiklah kau ni perempuan, kalau kau lelaki, dah lama aku hempuk je kepala kau tu!Marah Haziq di dalam hatinya. Matanya dicerunkan, menyedarkan Suraya bahawa dia sudah melampau.
“Okay, okay.. Aku mintak maaf..” kata Suraya sambil mengangkat tangan tanda mengaku bersalah. Dia menghela nafas yang panjang, berniat untuk menenangkan dirinya sendiri. Meski dia terasa mahu ketawa sekali lagi, Suraya menahan rasa itu.
Suraya memandang Haziq. “Macam mana mak kau boleh fikir sampai macam tu sekali ? Gay ? Ya Allah, terpesong betul anggapan diorang tu.. Kalau kau gay, gaya kau lain daripada yang lain..”
“Sebab tu la aku bengang ! Satu family aku fikir aku gay ! Umur aku baru 28 tahun, tak kahwin, diorang cakap gay.. Kalau macam tu, lebih baik aku kahwin lepas habis belajar je!” Haziq memberi jawapan yang tidak wajar di fikiran Suraya. Macam kau dah ada calon je, nak kahwin lepas habis belajar Haziq oii..
“Mak kau bagi masa sampai bila?” soal Suraya. Haziq ada memberitahunya tadi, tetapi dia terlupa gara-gara terlalu asyik ketawa. Haziq memandang Suraya. Riaknya berubah, lebih kepada meminta simpati daripada Suraya. Gadis itu mengangkat keningnya.
Perlahan-lahan Haziq mengangkat jari telunjuknya.
“Satu bulan ?!” Terjerit Suraya semerta. Matanya terbuntang, seakan tidak mempercayai jawapan Haziq. Lelaki itu mengangguk laju sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Pagi tadi, sebelum dia ke kerja, dia menerima sebuah mesej daripada ibunya.
Ibu tak peduli. Dalam masa sebulan, bawak seorang calon menantu untuk ibu. Kalau tidak, ibu nikahkan je kamu dengan mana-mana perempuan. Jangan pandai-pandai ingkar arahan ibu – IBU TERCINTA
“Kau pun terkejut, kan ? Aku lagilah terkejut.. Mana aku nak cekau perempuan dalam masa terdekat ni weh..” adu Haziq lagi. Hanya kepada Surayalah tempat dia mengadu. Dengan Suraya, dia tidak berasa kekok ataupun bimbang. Suraya memahaminya dan mereka banyak berkongsi masalah dengan satu sama lain.
Suasana jadi hening seketika. Masing-masing ligat memikirkan solusi terbaik untuk masalah Haziq. Sehinggalah Haziq bersuara..
“Susah-susah aku kahwin dengan kau je la..” Serentak dengan itu, kepala Haziq menjadi habuan Suraya. Geram pula Suraya dengan Haziq. Sesuka rasa je nak bagi idea bodoh tu!
“Itu idea yang paaaaaling bodoh yang aku pernah dengar, faham!” Haziq terdiam. Marah benar gaya si Suraya ni. Salah dirinya juga, tak fikir panjang, terus je keluarkan rancangan macam tu. Kan dah kena ! Haziq mengusap kepalanya yang menjadi mangsa Suraya.
“Sorrylah.. Tapi aku betul-betul terdesak ni.. Aku bukannya ada kawan perempuan pun.. Harapkan kau sorang je kawan aku..”
“Shhh..” Tiba-tiba Suraya menyuruh Haziq diam. Lelaki itu turut terdiam. Dilihatnya mata Suraya bercahaya sambil memandang seseorang. Haziq turut memandang ke arah yang sama. Kemudian dia memandang Suraya semula. Mulutnya sudah ternganga.
Hati Haziq sudah mula-mula marah. Inilah masalahnya kalau bekerja di bangunan yang berdekatan, pantang waktu rehat, mesti jumpa perempuan ni !
Share this novel