Hanya sehari sebelum hari raya menjelma,Nawfal pergi menghadap Ilahi. Zakat fitrah ibu dan seluruh keluarga sudah dibayar olehnya. Permintaan terakhir untuk menjamah bubur durian ibunya juga dapat direalisasikan. Begitu juga terawih terakhir bersama keluarga yang diimamkan olehnya, sudahpun terlaksana. Dia pergi di akhir wirid Solat Sunat Witir. Wajahnya tenang menatap ibu buat kali terakhir. Nawfal pergi dalam Ramadhan terakhir. Sepucuk warkah terakhir yang ditinggalkan masih tidak jemu untuk dibaca berulang kali oleh Mak Cik Ila. Dikucupnya warkah itu dan didakap ke dada yang berombak dengan esakan tangis. Pemergian Nawfal bukan lagi pelarian yang dahulu tetapi pemergian kali ini tiada lagi kembalinya Nawfal di sisi.
Assalamualaikum Mak dan Kak Syimah,
Terlebih dahulu Afal meminta maaf atas segala kekurangan diri Afal selama ni. Afal mintak maaf kat mak sebab buat mak kecewa dulu. Afal tak dak niat nak sakitkan hati mak. Afal tau silap kerana terlalu ikutkan hawa nafsu. Sebenarnya Afal nak mak tahu yang Afal sayangkan mak dan keluarga kita sangat-sangat. Setiap detik waktu yang berlalu Afal tak pernah lupakan mak dan keluarga. Afal belajar dan bekerja pada waktu yang sama. Afal nak bagikan kesenangan pada mak dan keluarga kita.
Tapi apakan daya Afal. Afal disahkan menghidap penyakit leukemia di waktu tahun akhir pengajian Afal. Ketika itu,Afal nak mak tau tapi Afal tak berdaya. Afal habiskan pengajian Afal jugak dan berjaya menggenggam segulung ijazah. Bukan ijazah yang Afal nak bagi pada mak, tapi biarlah Ramadhan kali ini Afal bersama mak dan kakak buat kali terakhir.
Wang yang Afal kumpul sewaktu Afal bekerja, Afal belikan hadiah untuk mak dan kakak. Hadiah paling besar yang Afal nak berikan ialah jumlah kumpul wang Afal berjumlah RM30,000 lebih kurang dihadiahkan pada mak untuk menunaikan Haji kelak. Tak ada apa yang Afal boleh hadiahkan pada mak selain dari itu.
Doakan Afal yang terbaik. Terima kasih masakkan bubur durian terakhir buat anakmu yang dicintai. Maafkan Afal kerana tak dapat berikan mak menantu dan cucu-cucu. Semoga Afal bertemu bidadari yang secantik dan sebaik mak di syurga nanti.
Sayang mak. Sayang Kak Syimah juga. Maafkan Afal. Doakan Afal. Semoga kita bertemu di syurga. Amin.
Anakmu,
Muhammad Nawfal bin Nasir
“Afal,dah lama mak maafkan hang. Tiada manusia yang lari dari melakukan kesilapan. Tapi, hang anak yang terlalu baik. Terlalu baik.” Sendunya menjadi-jadi. Tangisannya tiada berpenghujung. Hanya sekelumit sahaja kesalahan anaknya itu. Dia sahaja yang menghukum brelebihan. Tiada lagi tawa, tiada lagi pelukan dan ciuman mesra Nawfal. Anaknya itu pergi buat selamanya. Sepuluh tahun terpisah dan hanya 28 hari takdir Allah mempertemu mereka sekeluarga. Cek bernilai RM30,000 digenggam erat. Pesanan terakhir Nawfal akan dipenuhinya. Terima kasih wahai anak. Terima kasih Ya Allah atas kurniaan ini.
Share this novel