Bab 24: Tudung Biru

Romance Series 20066

JARI-jemari masih menguis-nguis nasi di dalam pinggan dari tadi. Ayahnya yang sedang duduk menghadapnya, bukan main berselera lagi tapi dirinya tidak sedikit pun menjamah juadah yang sudah terhidang.

"Aik, Jihah? Kamu dah kenapa? Termenung je dari tadi." Pak Ya langsung menegur anaknya itu.

Mana taknya, makanan yang dihidangkan depan mereka sedikit pun tidak luak. Takkanlah nak mengharap Pak Ya seorang je yang makan semua tu. Kalau tak habis, kan dah membazir.

Najihah segera gelengkan kepalanya. Tersedar jua dari renungan panjang.

"Tak ada apalah, abi." Lalu dia terus memasukkan suapan kecil nasi ke dalam mulut. Masih lagi nak berlakon tak terfikirkan apa-apa.

Pak Ya terus gelengkan kepala. Ceh! Nak tipu konon. Dah 25 tahun dirinya membesarkan Najihah itu, takkanlah dia tak kenal lagi perangai anaknya tu macam mana.

"Ye la tu. Entah-entah tengah fikir pasal Damia. Tak pun ... Syafiq." Pak Ya mengagak.

Najihah terus membatu. Aduh! Ayahnya ini, macam tahu-tahu je apa yang ada di dalam benaknya. Pantang sikap berlain sikit, adalah tu benda yang nak ditegurnya.

"Jihah, cuba cerita kat abi. Benda apa yang kamu fikirkan sangat dari tadi ni?" tambah Pak Ya yang mula kerisauan.

Najihah hela nafasnya. Terpaksa jualah dia membuka mulut untuk bercerita perkara sebenar. Mana tahu, ayahnya boleh membantu. Tapi kalau ayahnya tak dapat membantu pun, dirinya dapat meluahkan pun sudah cukup.

"Kelmarin, kan Damia datang mengaji ..."

"Ha, lepas tu?" Pak Ya membetulkan posisi duduknya.

Najihah langsung menceritakan segala kejadian yang berlaku kelmarin. Rasa tertanya-tanya masih lagi menyala dalam diri.

Entah betul atau tidaklah Lokman tu bakal suami Damia. Tapi jika ia benar, itu bermakna Damia datang belajar mengaji dengannya tidak ikhlaslah, kan?

Kunyahan dalam mulut Pak Ya diperlahankan. Dia cuba menghadam apa yang diberitahu anaknya tadi. Nampak gayanya, masalah yang didengarnya ini bukan calang-calang masalah.

"Jadi kamu nak kata yang Damia tu kena paksa kahwin, sebab tu dia tak sukakan bakal suami dia tu?" soal Pak Ya.

Najihah hanya membalas dengan anggukan. Itu sajalah spekulasi yang mampu difikirnya sekarang ini.

Pak Ya hela nafas. "Kamu fikir yang Damia datang mengaji sini bukan sekadar nak mengaji semata-mata. Macam tu?"

Najihah tidak memberi reaksi. Mahu mengiyakan atau menidakkan, dia tidak tahu mahu beriak apa.

"Haih ... Jihah. Tak baik tau berburuk sangka dekat orang. Entah memang betul Damia tu nak berubah, kan dah jatuh fitnah tu." Pak Ya mulai memberi nasihat.

Najihah pandang wajah ayahnya. "Bukannya berburuk sangka, abi. Tapi Jihah rasa terkilan. Damia tak pernah pun bagitau Jihah pasal hal ni. Patutlah bukan main rapat dengan Syafiq tu."

Pandangannya dibuang ke arah lain tatkala mulutnya masih terjuih-juih mengadu.

Pak Ya menggeleng. "Jadi, kamu cemburulah ni?"

Mata Najihah segera membulat. Terlepas cakaplah pulak! Memang nampak jelaslah yang dirinya itu sedang dilanda cemburu.

"Ce ... cemburu? Cemburu sebab apa pulak?" Tergagap-gagap Najihah mengatakan itu. Menggelabah punya pasal. Ayahnya kalau bab-bab berkaitan ni, memang laju je nak mengusik.

"Cemburulah. Sebab kamu dah berburuk sangka kat Damia tu. Ini siap cerita kat abi yang Damia tu mendekat dengan Syafiq semata-mata nak lari dari bakal suami dia." Pak Ya tertawa kecil sambil tergeleng-geleng kepalanya.

"Damia dengan Syafiq tu kan kawan. Buat apa Jihah nak cemburu," tambah Najihah lagi mahu memperbetulkan keadaan. Padahal mulut kata lain, hati kata lain.

"Adoilah, Jihah. Cemburu tu perkara biasa. Siapa je tak pernah cemburu walaupun sedikit." Pak Ya sambung menyuap nasi sebelum kunyahan ditelan. "Cemburu boleh, tapi berpada-padalah. Janganlah disebabkan kamu cemburu, kamu berburuk sangka kat orang. Nanti persahabatan kamu dengan Damia dan Syafiq habis goyah pulak," ujar Pak Ya lagi.

Najihah mencemik. Ada-ada ajelah ayahnya ni. Sempat pulak bagi ceramah kat dirinya padahal dia bukannya berniat apa-apa pun.

Tapi itulah, nasihat Pak Ya itu bukan sebarang nasihat. Pasti dia tak mahu anaknya bertingkah di luar batasan.

"Ish, abi ni. Mana ada cemburu. Kan Jihah kata, diorang tu kawan je." Najihah masih lagi tak mahu kalah.

"Kalau diorang tu bukan kawan je, kamu cemburu tak?" Pak Ya memusingkan lagi keadaan.

Najihah yang baru saja mahu mencedok kuah segera tersentak, sebelum mulutnya masih lagi menafikan. Fikirannya sudah tak keruan.

Pak Ya pun hanya memandang wajah anaknya dengan pandangan redup. Dia faham apa yang dirasakan anak tunggalnya itu.

Tapi dia tahu, anaknya tu kuat.

"Lusa abi tak kerja tau. Sebab tengah hari tu abi kena pergi hospital, nak check darah," dalih Pak Ya yang mahu menukar topik perbualan. Tak naklah berbual tentang cemburu atau semua itu lebih-lebih. Nanti makin tak berselera pula Najihah ini.

"Hmm ... okey."

Najihah terus mencapai ayam goreng di depan padahal baki ayam goreng dan nasi di dalam pinggannya pun masih belum terusik. Sengaja mahu bertingkah macam tengah berselera dan tak terasa apa-apa.

*****

Usai tiba di pekarangan rumah, seperti biasa, Najihah pasti tak menunggu lama sebelum kelibatnya kelihatan di depan pintu. Pantas tangannya diraih dan dikucup Syafiqah.

Selesai bersalam, Najihah terus menyuruh Syafiqah masuk ke dalam. Syafiqah pun hanya menuruti sahaja arahan ustazahnya itu.

"Awal hantar Syafiqah hari ni. Ada apa?" tanya Najihah. Selalunya Syafiq dan adiknya tu memang akan datang lebih awal dari pelajar-pelajar lain, tetapi hari ni lebih awal dari biasa. Awal 15 minit.

"Haah. Kejap lagi nak pergi renew road tax motor. Tu yang hantar Syafiqah mengaji awal tu. Lagi satu, kemungkinan petang ni saya tak singgah sini kut. Jadi waktu malam je saya datang nak ambik Syafiqah tu," terang Syafiq.

Najihah mengangguk faham. Waktu petang tak singgah ke rumahnya? Tak bagitahu pasal tu pun tak apa. Lagipun Syafiq tu singgah pun semata-mata sebab Damia aje.

"Erm ... Syafiq. Saya nak tanya satu benda boleh?" Najihah ragu-ragu mahu ajukan soalan. Takut dicop sebagai penyibuk pula. Tapi kalau tak tanya, nanti tertinggal 'train' pulak.

"Ya? Benda apa tu?"

"Pasal hal Damia tu, awak dah tahu semuanya ke?" tanya Najihah.

Syafiq jongketkan kening. Masih terpinga-pinga.

"Pasal perkahwinan dia tu," tambah Najihah lagi.

Pantas riak wajah Syafiq berubah muram. Cakap pasal perkahwinan seseorang yang dicintai, hati mana yang tak kecewa. Biarpun dia tahu, perkahwinan yang bakal terjadi itu adalah sesuatu yang dipaksa.

"Hmm ..." Syafiq membalas ringkas.

Najihah pula hanya mengangguk. Malas nak bertanya banyak. Jawapan ringkas Syafiq jelas menunjukkan yang dirinya tu hanya menjadi orang tengah untuk hubungan Syafiq dan Damia. Sampaikan hal tentang perkahwinan Damia pun, hanya diketahui oleh mereka berdua saja.

Rasa macam dipinggirkan pulak.

Keadaan senyap seketika sebelum wajah muram Syafiq hilang sepenuhnya. "Umm ha ... Najihah. Sebelum saya terlupa ..." Syafiq lalu melangkah mendekati motosikalnya sebelum satu beg kertas diambil di dalam raga motosikal.

Isi di dalam beg kertas itu dikerling seketika sebelum langkahnya menuju ke Najihah semula.

"Nah!" Syafiq terus hulurkan beg kertas berwarna kuning itu.

Najihah yang masih terkebil-kebil hanya terima sahaja beg kertas itu. Tiba-tiba hatinya bagaikan mahu meletup. Syafiq bagi hadiah untuk dia ke?

Apabila dibuka dan dilihat saja kandungan dalam beg kertas itu, mata Najihah mulai terbuka luas. Mulutnya sedikit ternganga kerana teruja. Sehelai tudung berwarna biru laut diambilnya keluar. Dipegang kain tudung itu, lembut je. Memang padanlah dengan jenama.

"Wah! Syafiq. Cantiknya tudung ni. Terima ka ..." Belum sempat Najihah habiskan ucapannya, dia segera membisu.

"Kejap lagi tolong bagi kat Damia tau. Hari ni hari jadi dia. Nak bagi kejap lagi, memang dah sah-sahlah saya tak sempat nak jumpak dia. Nak bagi esok, nanti dia fikir saya lupa hari jadi dia pulak. Jadi saya kirimkan sajalah kat awak. Boleh, kan?"

Remuk. Senyum yang terukir tadi perlahan-lahan menghilang. Helaian tudung yang dipegangnya disangka untuk dirinya tetapi rupanya untuk orang lain.

Sepanjang hari lahir Najihah pun, Syafiq hanya memberi ucapan. Itu pun ucapan yang cukup ringkas. Tak sangka untuk hari lahir Damia, Syafiq sanggup belikan tudung untuk gadis tu. Padahal dia orang tu baru kenal beberapa bulan aje.

Dalam menahan rasa sebak, Najihah angguk. Kenapa mesti dirinya digunakan untuk lakukan semua ni? Takkanlah Syafiq masih tak faham akan isi hatinya?

"Oh, jadi hari ni la hari jadi dia?" Dengan suara yang terketar-ketar, Najihah soalkan itu. Lalu dia leretkan senyuman. Senyuman agar perit yang dirasa tidak diketahui.

"Ya. Walaupun ini kali pertama saya sambut hari jadi dia, tapi saya ingat lagi sebab dia pernah bagitahu saya. Enam hari bulan enam. Senang je tarikh tu nak ingat," beritahu Syafiq sambil tersenyum-senyum.

Dalam fikirannya, sudah terbayang reaksi Damia ketika menerima hadiah kirimannya. Mesti Damia tu happy kan dapat hadiah.

Najihah angguk sekali lagi. Tudung itu dikerling semula. Lihat saja tudung biru tu, hatinya bagaikan ditetak-tetak.

"Awak rasa cantik tak tudung tu, Najihah? Saya tak pandai sangat pilih tudung sebenarnya. Itu pun saya suruh Syafiqah tolong pilihkan waktu pergi kat pekan kelmarin," terang Syafiq lagi.

Najihah genggam tudung itu. Liur ditelan agar suara yang bakal dilontarkan mampu dikawal.

Ya Allah, kenapa aku harus menghadapi rasa ini? Rintih hati Najihah.

"Cantik ... cantik sangat." Najihah terus senyum.

Syafiq pula makin melebarlah senyumnya. Mujurlah ada Najihah. Sekurang-kurangnya, dapatlah wanita ini membantu.

Najihah tahan air mata yang bergenang. Kepalanya dikalihkan sebelum air itu dikesatnya. Ini bukan pertama kali dia rasakan begitu tetapi entahlah. Rasanya untuk kali ini makin pedih pula.

*****

Masing-masing memasang muka ketat. Tak kuasa mahu bersembang. Sudahlah sekarang ni dirinya terpaksa menumpang lagi untuk ke destinasi tujuan. Semuanya disebabkan ibunya tu lagi la!

"Lepas balik mengaji nanti, biar saya yang ambik awak." Lokman mulai bersuara.

"Tak payah. Aku nak balik dengan Najihah," bedil Damia dengan kasar.

Malas nak difikirkan lagi hati lelaki di sebelahnya itu. Kalau dia sakit hati, dia tanggunglah sendiri.

Lokman ketap giginya. Stereng makin digenggam kuat. Makin lama dia rasakan Damia ini makin kurang ajar pulak dengan dirinya.

"Saya nak berbaik dengan awak tak boleh ke? Kenapa awak ni degil sangat eh?" Lokman terus membidas.

"Aku kata tak nak, tak naklah. Janganlah paksa-paksa!" tempik Damia lagi. Pantang dicabar.

Brek ditekan. Seraya itu kereta diberhentikan mengejut di bahu jalan.

Pantas badan Lokman dikalihkan ke arah Damia. "Awak ni dah kenapa ha? Tengking sana tengking sini. Saya tahu awak tak suka saya tapi tak boleh ke kalau sikit je awak terima saya?"

Damia memandang dengan sinis. "Terima awak? Lepas apa yang awak buat Sabtu lepas?"

Lokman raup wajahnya. Waktu macam ni la Damia tu nak ungkit. Tetapi salah dirinya sendiri juga. Disebabkan cemburu, tindakannya tempoh hari tak mampu dikawal.

"Tapi saya tak bagitahu benda tu kat mak awak, kan? Saya simpan rahsia awak tu sebab saya sayang awak. Tapi kenapa awak masih layan saya macam ni? Awak tahu tak yang saya bila-bila je boleh ..."

"Kalau awak nak bagitahu sangat kat mak saya, bagitahu je la. Saya tak hairanlah!" tepis Damia lagi.

Tetapi di sebalik ucapannya, terasa juga gentar dalam diri. Tak boleh terbayang kalau ibunya tahu akan semua perkara itu. Kalau tak, memang nahaslah dia.

"Dahlah! Aku nak keluar." Baru saja Damia mahu menarik pemegang pintu kereta, segera Lokman menghalang. Tangan Damia Lokman segera genggam dengan erat.

"Lepaslah!" Ronta Damia. Pegangan itu segera terlerai.

"Tak payahlah awak nak susah-payah pergi keluar. Rumah ustazah awak tu jauh lagi," pintas Lokman lalu dia terus menyambung pemanduannya tanpa sempat beri peluang Damia membalas. Demi memenangi hati Damia yang sudah keras macam batu itu, dia tak akan mengalah.

Damia akur. Memang dia benci Lokman tu tetapi mujurlah lelaki itu menghalang. Dia bukannya nak sangat pun berjalan kaki pergi ke rumah Najihah itu. Dalam keadaan panas terik lagi. Sementara sedang menumpang ini, abaikan ajelah rasa geram yang membara itu.

Sampai sahaja di rumah Najihah, seperti biasa Damia masuk sahaja ke dalam rumah. Lokman terus beredar pergi. Itu pun kerana Damia sempat memberi amaran kepadanya.

Biarlah, ingat dengan kebaikan yang dibuat tadi, Damia mahu membalas jasa? Jangan harap.

Terkejut melihat Syafiqah yang terlebih dahulu berada di situ, Damia terus membuka langkah mendekatinya. Persoalan tentang Syafiq ditanya.

Setelah dijawab Syafiqah, Damia tunduk dan angguk. Entah kenapa, tiba-tiba rasa kecewa menyelubungi diri. Dia paksakan jua untuk senyum.

Bukan kerana apa, tapi sudah jelas tarikh hari ini adalah tarikh terpenting buatnya. Tarikh hari lahir dirinya sendiri.

Awal perkenalan dulu, Syafiq bukan main tanya itu ini. Termasuklah tarikh lahir Damia. Takkanlah laki tu dah lupa? Padahal Damia baru je teruja nak menerima ucapan buat kali pertama sempena hari lahirnya dari Syafiq.

Sementara menunggu pelajar-pelajar lain datang, Najihah menyapu lantai. Memang selalu dia berbuat begitu, nanti terasa berpasir pulak kerana mereka semua mengaji kat bawah. Lalu dia lihat susuk Damia yang sedang duduk di atas sofa sedang mencebik. Muram je muka.

Tiba-tiba, pesanan Syafiq tadi menjadi bualan di fikiran ...

"Kejap lagi tolong bagi kat Damia tau. Hari ni hari jadi dia."

Permintaan Syafiq yang diamanahkan untuknya tadi dia ingat. Nafas dihela. Dia tak kuat untuk lakukan semua itu. Memberi hadiah daripada seseorang yang disukai untuk diberi kepada orang lain. Itu memang perit.

Tapi dia kuat. Amanah tetap amanah.

Najihah mulakan langkah menuju ke dalam biliknya. Selang beberapa minit, dia keluar semula. Bukan dengan tangan kosong, tetapi sebuah beg kertas turut dia jinjing.

"Damia, nah ni." Najihah terus menghulurkan beg kertas itu.

Dalam keadaan yang terkebil-kebil, Damia sambut beg kertas itu. Tertera tulisan di luar beg adalah produk dari jenama tudung terkenal.

"Apa ni, Najihah?"

"Se ... selamat hari jadi, Damia. Tu hadiah awak," ucap Najihah.

Riak wajah Damia terus berubah ceria. Pantas kemuraman yang melingkar di wajah hilang serta-merta.

"Selamat hari jadi, Kak Damia." Syafiqah pulak mencelah. Hanya ucapan sajalah yang mampu disampaikan.

"Terima kasih, Najihah. Terima kasih, Syafiqah." Tudung yang kemas dilipat di dalam beg itu dikeluarkan. Cantik!

"Tu hadiah dari Syafiq," ujar Najihah lagi. Dia cuba tersenyum menumpang kegembiraan Damia itu tetapi entah. Bibirnya seperti memaksanya untuk terus kelu. Macam ada benda yang menambah kepahitan dalam senyumannya.

Terdengar nama Syafiq, makin melebarlah senyuman Damia. Rupanya ingat pun lelaki itu terhadap dirinya.

Kalau diikutkan tadi, baru je dia berniat nak melancarkan perang dingin dengan lelaki itu. Nak merajuk gamaknya. Tetapi segera niatnya itu luntur disebabkan tudung tu

"Tapi Syafiqah yang tolong pilihkan," celah Syafiqah lagi.

Terus terhambur mereka berdua dengan tawa. Sambil-sambil itu, Damia melihat-lihat keadaan dan rupa tudung itu.

Berwarna biru. Patutlah dua hari lepas si dia bertanya tentang warna kegemaran, rupa-rupanya mahu buat kejutan.

"Patutlah cantik. Kak Damia suka sangat," ucap Damia.

"Maaflah sebab saya tak sempat sediakan hadiah. Saya baru tahu hari ini hari jadi awak. Tu pun Syafiq yang bagitahu," tutur Najihah. Suara yang dilontarkan perlahan sahaja.

"Eh, tak apalah. Awak dah banyak bantu saya selama ini pun saya dah syukur sangat. Ni dapat hadiah dari Syafiq pun dah dikira cukup."

Damia masih fokus kepada tudung biru itu. Biarlah dia tak dapat hadiah dari orang lain. Janji hadiah dari Syafiq, wajib dan mesti diterima.

Najihah angguk seraya pandangannya dibuang ke arah lain. Hatinya meronta-ronta kerana menahan sakit. Syafiq sanggup berhabis duit membeli tudung berjenama mahal untuk Damia. Tipulah kalau dia tak cemburu.

"Najihah, saya nak call Syafiq dulu boleh tak? Saya nak ucap terima kasih kat dia."

Damia makin teruja mahu berbual dengan lelaki itu. Mungkin lelaki itu sibuk sekarang tapi biarlah. Janji ucapan terima kasih dapat diucapkan dan suara lelaki itu dapat didengar biarpun sesaat.

Najihah angguk memberi kebenaran. Lalu Damia terus mencapai telefonnya dan didail nombor milik Syafiq. Sambil telefon dilekapkan pada telinga, Damia melangkah keluar sebentar. Tak naklah perbualan 'mesra' dirinya dengan Syafiq didengar orang lain.

"Assalamualaikum, awak." Suara Damia kedengaran teruja.

Syafiq yang baru sahaja keluar dari sebuah premis segera menjawab, "Waalaikumussalam, Damia. Eh, kenapa call saya ni?"

Terus tersenyum simpul Syafiq. Sengaja bertanya padahal dia memang dah dapat menebak apa yang ingin disampaikan Damia itu. Pasti berkenaan hadiah pemberiannya.

"Syafiq, saya nak ucap terima kasih banyak sebab bagi hadiah birthday kat saya. Saya suka sangat," ucap Damia sambil tangannya tidak lepas dari memegang tudung itu.

Syafiq terus ukir senyum. Suka dengar suara Damia yang dalam kegembiraan itu.

"Alhamdulillah kalau awak suka. Happy birthday, awak!"

Damia terus tertawa. Perbualan masih diteruskan. Makin rancak pulak dianorang bersembang padahal sekejap lagi Si Damia tu dah nak mula mengaji.

Najihah yang menyaksikan kemesraan Damia di telefon bersama Syafiq segera melarikan diri ke dalam bilik.

Syafiqah tercengang dengan kelakuan Najihah itu. Tiba-tiba je lari ni dah kenapa?

Najihah terus rebahkan diri di atas katilnya. Air mata yang ditahan dari tadi akhirnya merembes keluar jua. Kolam mata sudah berlinang dengan mutiara jernih. Sungguh, perasaannya berkecamuk dengan kehibaan sekarang ini.

Dirinya sedaya upaya cuba berbaik dengan Damia. Cuba melayan Damia sebagai seorang kawan dan pelajar tetapi kenapa mesti dia lalui semua ni?

Setelah segala kebaikan yang dibuatnya selama ini, Damia membalas dengan semua itu. Damia sakitkan hatinya di depan mata. Bersama orang yang dia cinta.

Najihah kesat air matanya. Nafasnya turun naik. Hatinya yang bercampur-baur kini berubah menjadi geram dan dendam. Pantas nama Mak Siti muncul di layar fikiran.

Mak Siti. Hanya dia saja yang mampu menghalang hubungan Damia dan Syafiq. Kalau Najihah beritahu hal sebenar kepada Mak Siti, pasti Damia tu kena marah. Tak cukup kena marah, mesti jugak majlis perkahwinan Damia dan Lokman tu akan dipercepatkan.

Telefon dicapai dan dihidupkan. Nama Mak Siti dicari dan didail.

Entah mengapa, Najihah rasa dia dah penat beralah kepada Damia. Cukuplah dia kalah sekali, dia tak mahu kalah selamanya.

"Assalamualaikum, mak cik ..."

Bersambung...

Kadang, kesabaran dan cemburu seseorang itu pun ada batasnya...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience