KISAH 9 - ORANG MINYAK

Horror & Thriller Series 23829

Kejadian ini sebenarnya berlaku pada tahun 1999 di mana sewaktu itu, aku merupakan pelajar di sebuah universiti yang terletak di Shah Alam. Pada zaman itu, Shah Alam tidaklah membangun seperti zaman sekarang sebaliknya hanyalah satu bandar kecil di dalam proses pembangunan.

Aku mengikuti kursus perakaunan, dan tinggal di asrama berdekatan dengan fakulti aku. Ada satu zaman, di mana terdapat banyak kes pencabulan dan rogol oleh orang minyak terhadap penuntut-penuntut di universiti ini.

Sewaktu itu, kisah mengenai orang minyak amat popular, sehingga satu tahap di mana ada rancangan di kaca televisyen yang menyiarkan kisahnya. Tak lari juga majalah bertajuk Mastika yang seringkali membuat artikel mengenainya.

Setiap malam, pasti sahaja yang menjadi mangsa rakus orang minyak ini. Kebanyakkan mereka tidak sedar dan apabila mereka bangun tidur sahaja, terdapat satu tanda pangkah di leher mereka, menandakan bahawa dia sudah pun menjadi mangsa pencabulan atau rogol oleh orang minyak.

Aku pulang ke kampung sewaktu kejadian ini sedang hangat berlaku. Ayah aku terlalu risaukan keadaan aku. Dia takut aku menjadi mangsa orang minyak yang seterusnya sehingga dia sanggup membawa aku berjumpa dengan seorang Tok Batin di sebuah rumah di kampungku.

Aku masih ingat pesanan-pesanan Tok Batin mengenai kelemahan orang minyak. Katanya, sebelum aku tidur, aku disuruh berwuduk serta menaburkan kelopak jantung pisang di sekitar katil ku. Dia juga menyuruh aku meletakkan cermin muka berdekatan dengan tempat aku tidur kerana katanya, salah satu kelemahan orang minyak adalah jika mereka terpandang muka mereka sendiri.

Dia juga berkata orang minyak ini tidak akan berhenti mencari mangsanya sehinggalah jumlah mangsanya mencecah 40 orang. Dikatakan, perbuatannya itu adalah demi melengkapkan ilmu batinnya, di mana kesemua 40 orang mangsa perlu dicari secara berturut-turut.

Setelah aku balik semula ke kampus, keadaan amat riuh rendah apabila sahabat sebilik dengan aku dikatakan telah di pangkah. Aku pada awalnya kurang percaya, namun setelah melihat leher sahabatku yang bernama Sofea itu bertanda pangkah, aku jadi semakin berwaspada.

Sofea memberitahu aku bahawa dia langsung tidak boleh bergerak sewaktu kejadian itu berlaku. Katanya, seperti ada sesuatu yang mengehadkan pergerakannya. Ibarat dipukau.

Ada suatu hari semasa aku sedang berjalan menuju ke bilik air di asrama, aku terlihat akan kesan-kesan tapak kaki berwarna hitam, dan berminyak. Aku jadi cuak, sampaikan semasa itu, untuk ke tandas, aku sering diajak berteman atau menemani aku. Bukan apa, kalau berdua, aku rasakan diri semakin selamat.

Semasa itu, dah 2 minggu setelah aku pertama kali mendengar cerita tersebut. Aku memang nampak sendiri bekas tapak kaki di simen selalunya menuju ke arah tingkap dan bilik-bilik di asrama tersebut.

Aku disapa makcik cleaner pada suatu hari. Dia juga tak putus-putus memesan kepadaku supaya berwaspada. Tambahan, hampir setiap hari dia perlu bersihkan kesan-kesan tapak kaki tersebut. Mengikutnya, bukan setakat di simen, malah di dinding dan kadangkala di siling.

Orang minyak ini gemar memerhatikan mangsanya daripada atas. Kipas siling atau mana-mana lampu menjadi tempat dia bertenggek. Menjadi sebab juga mengapa kadangkala jika ada bayi mahupun kucing selalu memerhatikan makhluk ini yang sedang tergantung di atas siling sama ada pada kipas angin mahupun lampu kalimantang.

Suatu malam, sewaktu aku sedang tidur, aku dikejutkan oleh satu jeritan yang sungguh kuat. Salah seorang penuntut di kampus yang sama dengan aku, Zana tiba-tiba terlihat akan makhluk itu yang menjengulkan kepalanya daripada katil di atas. Sebabnya, katil dua tingkat di biliknya, tidak berpenghuni di atas, dan Zana sedang tidur di bawah.

Katanya, kepala seorang lelaki berwarna hitam dan hanya menampakkan gigi dan matanya tiba-tiba sahaja muncul apabila Zana berpura-pura tidur. Apabila makhluk itu mulai nak menerkamnya, Zana menjerit sekuat-kuat hati. Secepat mungkin makhluk itu berlari keluar melalui tingkap biliknya.

Tambah Zana, dia dapat lihat bahawa makhluk itu boleh berjalan di atas dinding dan siling ibarat seekor cicak. Deruan nafasnya juga kuat, ibarat bunyi seekor kucing yang menderam. Taktala dia perasan bahawa Zana sedang melihatknya dan menjerit, pergerakkannya sungguh pantas dan senyap keluar serta merta melalui tingkap yang terbuka sedikit.

Malam itu, pihak universiti mengumpulkan semua penuntut kampus perempuan di masjid kampus. Pihak Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) mahu berjumpa dan memberi taklimat memandangkan gangguan-gangguan makhluk itu makin menjadi-jadi, serta pada masa yang sama membuat pembacaan Yassin dan doa selamat dalam usaha memagar kawasan asrama perempuan supaya tidak dicerobohi oleh orang minyak.

Sewaktu jam 8.45 malam, tiba-tiba aku terbau minyak cukup kuat. Bau minyak petrol bercampur kerosene menusuk hidung tiba-tiba semasa semua pelajar perempuan berada di dalam masjid. Bukan aku seorang yang bau, tetapi rakan-rakanku yang lain juga menghidu bau yang sama.

Tetapi kami semua mengendahkannya. Bacaan Yassin dimulakan diketuai oleh seorang pelajar lelaki yang merupakan ketua biro agama MPP. Bacaan dibuat menggunakan mikrofon dengan suara yang sungguh lantang.

Tiba-tiba terjerit suara seorang pelajar lelaki di luar masjid.

"Tu, atas tu, orang minyak! Orang minyak!", masing-masing memandang keluar, melihat tempat yang ditunjukkan pelajar tersebut.

Memang kelihatan sekali imbas bayangan makhluk menyerupai lelaki itu betul-betul di atas zink tempat meletak kenderaan di luar masjid. Sebabnya, ada sekumpulan pelajar perempuan yang sedang haid, tidak masuk ke dalam masjid, mereka menunggu di luar.

Bertempiaran pelajar-pelajar perempuan tersebut. Bacaan Yassin yang terhenti disambung semula. Pelajar-pelajar perempuan tadi segera dikelilingi oleh pelajar lelaki di luar bersama pak guard universiti. Alhamdulillah, bacaan Yassin dan doa-doa selesai tamat tanpa sebarang gangguan lagi.

Kesemua pelajar perempuan trauma dengan kejadian tersebut, sampai ada yang membuat keputusan untuk tidur di samping melaksanakan qiamulail terus di masjid. Seorang pensyarah yang merupakan imam biasa masjid universiti mula membuat kaedah pemagaran di sekeliling asrama. Aku tidak ingat apakah surah-surah yang dibacakan, yang pasti, beberapa potong ayat dari Al-Quran dan Azan dibuat di penjuru setiap asrama.

Selepas kejadian itu, gangguan mulai surut. Malangnya, aku dengar anak-anak dara yang duduk berhampiran kampus tersebut, di sebuah kawasan perumahan menjadi mangsa-mangsa seterusnya. Genap 40 hari selepas gangguan pertama terjadi, gangguan tersebut hilang dengan tiba-tiba.

Kes ini menjadi buah mulut ramai masyarakat sewaktu itu. Namun aku bersyukur dalam tahun-tahun berikutnya, tiada lagi masalah gangguan benda-benda mistik sebegini.

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience