MAB 3: SUP CENDAWAN KAKI*

Romance Completed 902208

Selesai Solat Subuh, Zahran menuju ke bilik dia menempatkan Arianna semalam. Berjongkok di tepi katil, dia memerhatikan Arianna yang masih lena.

“Cina sekarang semua bangun awal tau. Pergi jogging. Jaga jantung. Yang kau, masih terbongkang atas katil.”

“Bangun!” Zahran menolak kepala Arianna membuat wajah yang terlungkup ke bantal itu tertoleh ke samping.

“Ermmm…” Arianna mengerang malas. “…don’t bother me…”

Zahran menyeringai. “Don’t bother me hotak kau. Ni rumah aku.”

Diusap-usap pipi Arianna dengan hujung telunjuknya. Arianna merengek-rengek dan menepis tangan Zahran. Ditiup pula telinga Arianna membuat gadis itu bergerak sedikit dengan matanya masih terpejam. Zahran tidak berputus asa. Diusap pula bahu Arianna yang terdedah sambil wajahnya dirapatkan ke wajah Arianna dengan harapan supaya Arianna terkejut besar apabila dia tersedar nanti.

“Mommy…” Arianna merengek sambil tangannya cuba menepis tangan yang merayap di bahunya.

“Ni bukan mommy, ni mamu,” kata Zahran.

Tangan nakalnya mula menggeletek telinga Arianna pula. Arianna mengekek ketawa dengan mata masih terpejam.

“Janganlah…” Tangan Arianna tergawang-gawang, cuba menangkap tangan yang menggeletek telinganya

Zahran tersenyum nakal. Hidung Arianna dipicitnya membuat gadis itu mencungap tidak dapat bernafas. Arianna membuka mata sambil cuba menepis tangan yang memicit hidungnya. Sebaik sahaja bayangan wajah Zahran mula jelas di matanya, dia menjerit sekuat hati. Zahran tersenyum puas. Itulah reaksi yang dia harapkan dari Arianna.

Pantas Arianna bangun lalu melompat turun dari katil. Namun kerana kainnya yang sempit, pergerakan yang cepat itu membuat dia jatuh tergolek lalu terjerembap ke lantai.

Zahran mengernyit dan meringis. Dapat dia bayangkan betapa sakitnya saat dahi dan hidung mancung Arianna menyentuh lantai jubin biliknya.

“Aduh…” Arianna mengusap dahi dan hidungnya. Berair matanya saking sakit.

“Mommy…sakitnya…”

Zahran hanya memerhati tanpa berniat mahu membantu. Ditopang dagunya di birai katil memerhatikan gadis itu yang masih melayan rasa perih pada dahi dan hidungnya.

“Hidung tu ori ke plastik?” tanyanya.

Mendengar suara Zahran, baru Arianna tersedar yang dia sedang bersama lelaki asing dalam bilik tidur. Dan lelaki itu…Lelaki yang sedang bersamanya adalah Zahran. Lelaki yang diciumnya tempoh hari. Serta-merta rona wajahnya bertukar menjadi takut dan terpinga-pinga. Bagaimana dia boleh berada bersama Zahran? Apa yang Zahran sudah lakukan padanya?

Sesaat kemudian, sebaik otaknya telah kembali berfungsi sepenuhnya, dia menyedari sesuatu. Ini bukan rumahnya. Bilik ini bukan biliknya. Dia memandang sekeliling dengan riak wajah yang sukar untuk ditafsirkan. Panik,bingung, marah, geram, takut, semuanya bercampur aduk.

“Kat mana ni? Kat mana kau bawak aku ni?” tanya Arianna panik.

Sontak Arianna memandang ke bawah, memastikan pakaian masih melekat di tubuhnya. Tetapi kenapa…Terasa sempit?

Dilunjurkan kakinya yang bersimpuh. Buntang matanya melihat belahan kainnya dijahit habis dari atas ke bawah.

“Aku ni orang baik. Kalau lelaki lain, dia dah buka habis. Tapi aku siap tolong jahit.”

Melongo Arianna memandang Zahran dengan wajah tidak percaya. Rosaklah bajunya! Baju hijau dijahit dengan benang merah. Sudahlah jahitannya tunggang terbalik. Sungguh hodoh!

“Tapi sebelum aku jahit tu, aku tengok-tengoklah dulu apa yang patut.”

Semakin buntang mata Arianna memandang Zahran. Bergerak-gerak mulutnya mahu berkata sesuatu, namun tiada apa-apa yang terluah. Beku otaknya, kelu lidahnya.

“Tapi, aku tak tengok free. Aku dah bayar.”

Mata Arianna menangkap tatapan Zahran pada dadanya. Perlahan dia menunduk, melihat dadanya. Mahu tergolek keluar biji matanya melihat beberapa helai note seratus ringgit terselit di celah dadanya.

“You….” Arianna ketap bibir. Daripada rasa bersalah kepada Zahran beberapa hari ini, kini bertukar menjadi rasa marah pula.

“Keep the change. Senang nanti bila-bila kalau aku nak tengok lagi, tak payah bayar dah. Tolak dari situ je,” kata Zahran yang membuat telinga Arianna mula berasap.

Kecil sahaja imej Zahran di matanya. Melampau sungguh kelakuan dan kata-kata lelaki itu. Kalaulah tubuhnya mampu mengeluarkan api, rasanya seluruh bangunan kondominium ini akan terbakar hangus .Bersusah payah dia bangun dengan kain sempit yang membataskan pergerakannya. Tanpa Zahran sempat bersedia, Arianna menerkam ke arahnya. Terlentang dia dengan belakang kepala membentur lantai. Benar-benar Tuhan bayar tunai atas perbuatannya tadi.

Kali ini Arianna berada di atas tubuhnya dengan kedua-dua tangan gadis itu mencekak leher bajunya. Kuat tenaga Arianna sehingga dia nyaris tercekik

“Apa kau dah buat hah?! Kenapa kau bawak aku ke sini?! Apa yang kau nak daripada aku?!” Soal Arianna bertubi-tubi.

Bergegar gegendang telinga Zahran dengan suara Arianna yang kuat itu. Mencungap dia kerana sesak nafas.

Ditangkap kedua-dua tangan Arianna lalu ditolak gadis itu dari tubuhnya. Diangkat tubuhnya lalu mengusap-usap batang lehernya sambil menarik nafas. Barulah dia dapat bernafas dengan normal. Dia menjeling Arianna yang duduk berpeluh tubuh di pinggir katil. Dia membetulkan duduknya supaya lebih dekat dengan Arianna.

“Actually, I did something to you last night…”

Kata-kata Zahran itu membuatkan Arianna berang sekali lagi. Diluruskan telunjuknya ke arah Zahran dengan wajah geram.

Zahran mengangkat kedua-dua belah tangannya seperti askar menyerah kalah di medan perang lalu menyambung:

“Woah..woah.. I’m not finish yet. Kau nak tengok apa yang aku buat? Boleh. Sebab aku dah rakam semuanya.”

Tercengil mata Arianna mendengarnya. Dia ingin berkata sesuatu untuk memarahi dan memaki Zahran semahunya atas perbuatannya itu, tetapi entah kenapa lidahnya terus kelu. Tidak ada kata-kata makian paling keji yang sesuai untuk Zahran.

Zahran mengeluarkan telefon dari saku seluarnya. Ditunjukkan gambar-gambar yang diambilnya semalam kepada Arianna yang tidak gagal membuat biji mata Arianna hampir terjojol keluar. Dia cuba merampas telefon itu tetapi Zahran bertindak lebih cepat dengan menyimpan semula telefon itu di dalam saku seluarnya.

Arianna ketap bibir. Saat ini baru dia rasa menyesal kerana tidak pulang ke rumah datuknya semalam selepas minum di sebuah kelab. Dia takut dimarahi kerana pulang dalam keadaan mabuk, jadi dia mengambil keputusan untuk bermalam di kondonya. Dia tidak ingat bagaimana dia boleh bersama Zahran di dalam ruang asing ini. Tentu dia mabuk teruk semalam. Perkara terakhir yang diingatnya adalah, dia mengejar lif yang hampir tertutup dan selepas itu….Entahlah. Dia lupa. Benar-benar lupa.

“You don’t have to worry my dear. I swear I didn’t do anything. Cuma adalah terpegang sikit-sikit masa menjahit tu kan.”

“Terpegang ke sengaja pegang?” balas Arianna sebal.

“Terrrpegang….Macam kau yang terrrrcium aku hari tu.”

Ahhhh…Merah wajah Arianna apabila Zahran menyebut tentang itu.

“Habis tu kau nak apa ni? Nak suruh aku mintak maaf?”

“Mintak maaf tu macam senang sangat. Ermmm…” Zahran kelihatan berfikir-fikir.

Arianna pula berdebar-debar. Terbayang dalam benaknya jika Zahran memintanya menjadi perempuan simpanan dan melayan nafsu lelaki itu. Tetapi, tanggapan pertamanya, dia tidak nampak Zahran lelaki seperti itu. Zahran nampak…Baik.

“Kau bayangkan eh, kalau aku hantar gambar ni pada Datuk Eric, ataupun…Tan Sri Albert…” Zahran berdecit sambil menggeleng dengan wajah kesal

Arianna ketap bibir. Dipejam rapat matanya bagi menyingkirkan gelodak amarah yang sudah menggelegak. Tidak tahu marah kepada siapa. Marah kepada Zahran juga ya. Namun, lebih marah kepada dirinya sendiri yang cuai sehingga terperangkap bersama lelaki ini.

“…kecewanya Datuk Eric dengan kelakuan anak perempuan dia.” Zahran memulakan provokasinya sambil cuba mentafsir riak wajah Arianna.

Arianna diam sambil berpeluk tubuh. Dia bingung. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya Dia tahu Zahran tentunya mahukan sesuatu sebagai tukaran untuk tidak menyebarkan gambar-gambar itu kepada daddy dan datuknya.

“So, apa kau nak? Duit?” tanya Arianna.

Zahran tertawa. “Hei, kau sedar tak dengan siapa kau bercakap ni?”

Tiada jawapan daripada Arianna. Ya, sudah tentu Zahran tidak menginginkan duit kerana dia sendiri sudah kaya raya. Dia hanya menawarkannya sahaja, dengan harapan Zahran bersetuju.

“Cepatlah cakap, apa kau nak? Aku nak balik!”

“Senang. Kau mesti ikut semua cakap aku. No objection,” ujar Zahran.

“Keji,” cemuh Arianna.

“Aku tak kisah apa tanggapan kau pada aku. Tapi mulai hari ni, kau mesti ikut cakap aku. Okay sayang?”

Geli Arianna mendengar ungkapan sayang itu. Kalaulah tidak kerana perangai Zahran yang menjengkelkan, sudah tentu naluri wanitanya akan terbuai dengan ungkapan itu. Apatah lagi ungkapan itu keluar dari mulut seorang lelaki kacak seperti Zahran. Ah, sayangnya lelaki itu suami orang. Huh, dasar lelaki. Sudah ada isteri tetapi masih membawa perempuan lain ke rumah.

“So, kau nak aku buat apa? Minta maaf secara terbuka sebab tak sengaja cium kau? Atau kau nak aku jadi orang gaji kau sebulan?”

“Hmm..boleh jugak. Kau tahu masak dan kemas rumah?”

Reaksi Zahran itu membuat Arianna hampir tertelan lidahnya sendiri. Spontan pula lidahnya memberi cadangan itu. Itulah kalau selalu sangat bercakap sesedap rasa. Sampai otak yang waras pun tak mampu mengawal lidahnya. Terasa ingin ditampar-tampar mulutnya saat ini.

“Kau ingat aku takde kerja, nak datang kemas rumah kau?”

“Deal. Kerjaya kau sebagai maid bermula hari ini. Aku balik tengah hari nanti, aku nak tengok rumah ni kemas dan makan tengah hari dah terhidang atas meja.”

Hampir pengsan Arianna dengan permintaan Zahran itu. Ingin saja dia mengambil pisau dan memotong lidah lelaki itu yang berbicara sesedap rasa. Melampau sungguh permintaannya.

Dia ingat aku ni bini dia? Nak suruh masak, kemas rumah? Arianna menggerutu sendiri.

“You have wife, right? Suruhlah wife kau buat semua tu!”

Dahi Zahran berkerut. Isteri? Ah…Otak bijaknya tidak mengambil masa yang lama untuk mentafsir. Tentu Arianna bertemu Zahrin di mana-mana dan melihat kembarnya itu bersama Irdina.

“Isteri bukan untuk jadi hamba. Tapi…Ratu. Aku takkan benarkan isteri aku buat kerja-kerja rumah. Nanti kasar tangan dia. Calar pulak kulit aku nanti bila dia usap-usap.”

“Hei, I don’t care! Aku takkan buat kerja rumah dan masak untuk kau!” tegas Arianna. Siapa Zahran mahu mengarah-arahnya. Keluarganya sendiri pun tidak pernah menyuruh dia membuat itu ini. Semuanya dilakukan oleh pembantu. Malah rumah keluarganya mempunyai pengurus rumah yang membantu menguruskan dan mengawal semua hal berkaitan rumah itu termasuk bayaran bil-bil, menu makanan setiap minggu, dan menyelaras tugas semua pembantu rumah.

“Okey…”

Zahran mengeluarkan telefonnya dari saku seluar yang membuat Arianna mula tidak tentu arah. Dia boleh mengagak apa yang cuba dilakukan oleh Zahran.

“W…What are you trying to do?” tanya Arianna dengan wajah cemas.

“Hantar gambar ni pada Dato’ Eric,” ujar Zahran

“No!” Pantas Arianna meningkah.

Sekali lagi dia cuba merampas telefon itu tetapi ternyata Zahran lebih pantas menyimpan semula telefonnya di dalam saku seluar. Arianna merengus geram. Zahran pula tersenyum puas. Puas kerana berjaya mengenakan gadis cantik itu. Dia sebenarnya tidaklah berniat hendak menyebarkan gambar itu. Hanya menggunakannya untuk memberi sedikit pembalasan kepada Arianna kerana telah lancang menciumnya tempoh hari.

“Kalau macam tu, aku anggap kau setuju dengan permintaan aku?”

Arianna menarik nafas dan akhirnya memuktamadkan satu keputusan.

“Okey berapa lama aku kena buat ni? Satu hari?”

“Tiada had masa. Kau kena datang bila-bila masa yang aku suruh sampai aku puas. Tiga bulan should enough, tapi tengoklah...” balas Zahran selamba.

Hampir tergolek biji mata Arianna mendengarnya.

“What?!”

“Kenapa, tak cukup? Nak jadikan enam bulan? Atau mungkin setahun? Atau kau nak kahwin dengan aku dan buat kerja ni seumur hidup?” Zahran menguji.

Arianna ketap bibir. Geram. Diraup kasar wajahnya yang terasa membahang. Tegang segala urat sarafnya berdepan dengan lelaki seperti Zahran. Digenggam kedua-dua tangannya lalu menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Cuba untuk bertenang dan tidak melepaskan segala amarah yang membuncah.

“Hish…kenapalah aku jumpa dengan manusia macam kau ni.” Arianna merengus geram.

“Inilah jodoh,” balas Zahran selamba.

Arianna malas melayan usikan Zahran. Kepalanya sudah cukup semak dengan berbagai-bagai perkara yang membebani fikirannya terutamanya tentang daddy dan Aaron. Sekarang terpaksa melayan pula permintaan Zahran yang tidak masuk akal. Benar ya, perkahwinan tidak membuatkan lelaki berpegang kepada satu hati. Masih menagih dan merayu perempuan lain meskipun di rumah sudah memiliki isteri yang cantik dan anak-anak yang comel.

“Okey, tugas kau bermula sekarang. Mula dengan bilik ni dulu, Kemas katil ni, tukar cadar, comforter and sarung bantal dengan bau alkohol ni. Lepas tu baru kemas tempat lain. Jangan lupa masak.” Zahran bangun lalu melangkah ke pintu. Dia perlu bersiap untuk ke pejabat pula. Ada sesuatu yang perlu selesaikan walaupun hari ini ialah hujung minggu.

“At least bagilah aku baju ganti!” Tidak mungkinlah dia mengemas dengan pakaian seperti ini. Bukan masalah terlalu seksi atau terlalu elegan, tetapi kerana sempit. Bagaimana dia mahu mengganti cadar dengan kain sempit begini?

“Tak ada baju perempuan dekat rumah aku. Pakai je baju tu. Jangan pandai-pandai tukar kalau kau tak nak aku sebarkan gambar ni. Rumah ni pun ada CCTV and everywhere you go, you are monitored...”

Arianna merengus geram. Sebaik sahaja Zahran keluar dari bilik itu, dicapai bantal lalu dibaling ke pintu sambil berteriak keras.

Geram!

Geram!

Geram!

Nah, sekarang satu kerja pula dia perlu melangkah ke pintu mengambil semula bantal itu untuk dibuka sarungnya.

Terkedek-kedek dia berjalan seperti wanita Jepun di zaman silam. Itu baru berjalan, belum lagi dia terseksa membongkok mahu mengambil bantal di lantai. Tidak tercapai tangannya kerana baju iu terlalu ketat dan tidak sampai separuh badannya dapat dibongkokkan. Terpaksa dia bersandar pada pintu sebelum melongsorkan tubuhnya turun sehingga punggung mencecah lantai. Dilunjurkan kakinya sebelum mengambil bantal dan selepas itu menggeselkan belakangnya pada pintu sedikit demi sedikit sehingga dia mampu berdiri dengan sempurna.

Tuhan! Tidak pernah dia seseksa ini seumur hidupnya. Mahu menangis tetapi entah kenapa segan pula air matanya mahu keluar. Susah payah dia membuka cadar sehingga beberapa katil tertonggeng dan tergolek. Bayangkan terpaksa buat kerja dengan kedua-dua kaki diikat. Begitulah ibaratnya.

Selesai membuka cadar dan sarung bantal, dia membawa semua barang itu termasuk comforter ke muka pintu supaya nanti Zahran boleh menghantarnya ke dobi. Tidak mungkinlah dia yang mencuci semua itu. Baju sendiri pun tidak pernah dicuci, apa lagi cadar rumah orang.

Berdekah-dekah Zahran ketawa melihat Arianna kadang terkedek-kedek, kadang terlompat-lompat menuju ke pintu sambil membawa barang di tangannya. Bahagia sungguh dia pagi ini. Ah, sepatutnya dia merakam Arianna supaya nanti boleh ditunjukkan kepada Lily dan Lana.

Langkah Arianna terhenti. Dipusingkan tubuhnya mengadap Zahran dengan mata dipicingkan. Tidak habis-habis lagi lelaki ini mahu mengenakannya.

Dengan geram, Arianna membaling comforter dan cadar di tangannya ke muka Zahran.

“Mana kau nak cari lelaki macam aku? Tolong tutup apa yang terdedah. Bersyukur sebab aku yang bawak balik. Kalau lelaki lain, silap-silap bangun pagi bukan terkepit, kengkang agaknya kau berjalan.”

Berdesing telinga Arianna mendengar kata-kata Zahran. Marah, namun pada masa yang sama, dia mengakui apa yang dikatakan Zahran itu ada benarnya juga.

“Ah, lelaki semuanya sama!” Ego. Dalam hati mengakui, namun di bibir dia cuba menafikannya.

Zahran tertawa sumbang. Ayat yang acap didengar dari mulut seorang perempuan.

“Dah berapa banyak lelaki kau try sampai kau tahu semua lelaki sama?”

Boom! Bagai halilintar membelah langit, kata-kata pedas itu membuat telinga Arianna tuli seketika.

“Dah, jangan tercegat je kat situ. Kemas rumah ni. Tu…” Muncung Zahran dihalakan ke arah dapur yang terletak di sebelah kiri pintu. “…dapur tu dah berhabuk. Lama tak guna. Lap sampai berkilat, jangan tinggalkan seketul habuk pun. Faham?”

Selesai memberi arahan, Zahran menayangkan telefonnya di depan muka Arianna. Arianna jeling marah. Menyesal sungguh kerana sudah lancang mencium lelaki ini.

“Jangan cuba-cuba lari. Tunggu aku balik,” kata Zahran sebelum keluar.

Arianna pula tercebik-cebik mengajuk kata-kata Zahran sambil matanya melilau melihat ke seluruh ruang yang didominasi dengan warna putih dan kelabu gelap. Kemas dan nampak maskulin. Tidak ada apa yang perlu dikemas sebenarnya. Lelaki itu memang sengaja mahu menyusahkannya.

Arianna cuba menarik kainnya ke atas, namun kain yang sempit itu tetap membataskan pergerakannya. Sudahnya terpaksalah dia terkedek-kedek dan terlompat-lompat menuju ke dapur.

“Bukan ada benda sangat pun nak kemas. Saja nak menyusahkan aku!” Gerutunya sambil membuat aksi meludah ke atas meja makan lalu mengelap meja itu dengan kain pengelap yang ditemuinya di dalam laci.

“Nak suruh masak, tapi satu barang pun tak ada dalam peti. Habis tu aku nak makan apa?” Perut Arianna sudah merintih kelaparan kerana kali terakhir dia makan adalah tengah hari semalam, sebelum menghadiri majlis menandatangani perjanjian dengan Imperial. Di parti Evangeline semalam, dia hanya makan makanan ringan.

“Mommy…Lapar…” rintihnya.

Selesai mengelap meja, dia membuka semula peti sejuk, melihat apa yang boleh dimasak untuk mengalas perut. Hanya ada beberapa kotak susu dan yogurt pelbagai perisa. Arianna mengambil sekotak susu dan sebekas yogurt. Kemudian dia membuka kabinet, melihat jika ada bijirin yang boleh dimakan bersama susu, namun tidak ada. Hanya ada beberapa kotak sup cendawan segera. Dicapai kotak itu lalu melihat tarikh luputnya.

“Oh, lagi tiga bulan tarikh luput.”

Ketika dia baru mengoyakkan kotak sup cendawan segera itu, loceng rumah tiba-tiba berbunyi. Mulanya dia malas melayan kerana menyangka Zahran mahu menyusahkannya. Namun, bunyi loceng itu seakan tidak mahu berhenti.

“Hish…Siapa pulak nak menyusahkan aku pagi-pagi ni!” Diangkat tubuhnya dari kerusi lalu terkedek-kedek ke pintu.

Melalui kamera pada belakang pintu, dia melihat seorang lelaki menjinjit satu beg kertas.

“Siapa?” tanyanya.

“Tuan Zahran mintak saya hantarkan makanan,” jawab lelaki itu.

“Letak je depan pintu,” kata Arianna.

Lelaki itu akur. Meletakkan beg kertas itu di depan muka pintu sebelum berlalu.

Setelah yakin lelaki itu benar-benar sudah jauh, barulah Arianna berani membuka pintu. Diambil beg kertas itu lalu cepat-cepat dia menutup pintu dan berjalan semula ke dapur. Ikutkan hati, mahu saja dia mengangkat kainnya sehingga ke paras pinggang supaya lebih mudah dia berjalan. Namun, diurungkan niatnya itu mengingat kata-kata Zahran, rumah ini ada CCTV di mana-mana. Lebih baik Zahran berdekah ketawa melihat dia berjalan terkepit-kepit atau terlompat-lompat seperti pocong, daripada Zahran melihatnya dalam keadaan mengaibkan, walaupun dia tidak tahu sudah sejauh mana Zahran melihat tubuhnya semalam.

“Baik jugak hati dia belikan aku sarapan,” kekehnya. Fikirnya Zahran sengaja meninggalkannya kelaparan di kondo ini. Ternyata lelaki itu masih ada rasa kemanusiaan yang tinggi.

SELESAI menikmati sarapan, Arianna melangkah ke bilik yang digunakannya semalam. Mahu mengambil telefon dan menghubungi Amber. Di dapur sudah tidak ada apa yang mahu dikemas. Semuanya sudah bersih dan tersusun. Tidak ada habuk juga.

Puas dicari sekeliling bilik, namun tidak ditemui tas dan telefonnya. Apa Zahran menyembunyikannya kerana takut dia melarikan diri?

“Kejam betul!”

Dilabuhkan duduk di birai katil sambil tangannya menarik laci meja sisi katil, berharap tasnya ada di situ. Ah, nasib baik. Ternyata tasnya di situ. Dicapai tasnya dan ditarik keluar. Namun tanpa sengaja, dia turut tertarik sekeping gambar yang terletak di bawah tasnya. Bingkai itu jatuh menancap ke kaki.

“Aduh…” Sejak bangun tidur pagi tadi, ini sudah kali kedua dia ditimpa bala.

Dibongkokkan tubuhnya lalu mengambil bingkai yang terlungkup di kakinya. Arianna meneliti foto di dalam bingkai itu. Zahran bersama seorang wanita yang Arianna percaya adalah isterinya, kerana itu wanita yang sama yang dia lihat bersama Zahran semalam. Zahran memegang cello, duduk saling membelakangi dengan wanita itu yang berada di depan piano, namun wajah mereka saling memandang dengan senyuman terukir pada bibir masing-masing. Benar-benar kelihatan seperti pasangan serasi dan bahagia.

“Cellist and pianist. Perfect couple,” ujarnya sebelum meletakkan semula bingkai itu di dalam laci. Ketika itulah baru dia sedar ada beberapa keping lagi foto di dalam laci itu. Entah mengapa gatal saja tangan Arianna mahu melihat foto-foto itu.

Kesemuanya foto Zahran bersama isterinya bersama cello dan piano mereka. Mungkin foto lama kerana Zahran nampak masih terlalu muda.

Entah mengapa, Arianna rasa cemburu melihat betapa serasi Zahran dan isterinya. Berapa banyak pasangan yang bertuah menemui pasangan hidup yang serasi?

Bagaimana agaknya nanti dia dan Aaron? Mampukah mereka kelihatan bahagia seperti itu?

Mengingat itu, keluhan berat lolos dari bibirnya.

MENJELANG tengah hari, wajah Zahran terjengul semula di kondo. Arianna pula ketika itu baru selesai memasak sup cendawan. Bukan untuknya, tetapi untuk Zahran. Bukankah Zahran menyuruhnya memasak tadi? Jadi dia memasak saja apa yang ada. Lelaki itu mahu makan atau tidak, terserah. Dia ada isteri yang boleh mengenyangkannya, bukan?

“Tugas aku dah selesai. Dah kemas, dah lap habuk, dah masak. Sekarang aku nak balik,” kata Arianna.

“Siapa kata dah selesai?”

Arianna mendengus geram. “Apa lagi?”

Zahran tarik kerusi lalu duduk di meja makan.

“Aku kena try dulu apa yang kau masak ni. Kalau tak sedap, kena masak lain.”

Arianna menengadah. Terasa kesabarannya sudah sampai ke puncak ubun-ubun. Sedikit saja lagi mahu meledak. Namun, dia berusaha bersabar memandangkan Zahran menyimpan sesuatu yang boleh membuat harga dirinya lebur serta-merta jika ia tersebar. Apa yang dia mahu jawab pada daddy dan datuknya? Dan bagaimana dia mahu menghadapi Aaron dan keluarganya? Meskipun dia tidak mencintai Aaron, namun dia sangat menghormati lelaki itu. Aaron lelaki yang baik. Sangat baik.

“Apa ni?” tanya Zahran sambil mencedok sup itu lalu dicecap sedikit. Rasanya tidak ada bahan mentah di dalam peti dan almarinya. Hairan juga dia bagaimana Arianna boleh menyediakan masakan ini. Dia pun tidak berniat mahu makan. Hanya mahu menyusahkan Arianna. Seronok melihat wajah protes Arianna tetapi pada masa yang sama terpaksa melakukan apa yang diarahkan. Terasa begitu berkuasa kerana mampu mengarah cucu seorang jutawan , pemilik kasino terbesar di Macau.

“Sup cendawan kaki,” balas Arianna.

Berkerut dahi Zahran. Tidak pernah dia mendengar cendawan kaki. Setahunya cendawan butang, cendawan shitake, cendawan enoki, cendawan tiram. Dari mana pula datangnya cendawan kaki?

“Dapur kau ni satu apa pun tak ada. Masa kemas-kemas tadi aku jumpa cendawan tumbuh bawah siniki, aku ambiklah buat sup. Lepas tu cari garam takde, aku rendam kaki aku dalam tu bagi masin sikit. Sedap tak?”

Bersembur sup yang baru masuk ke mulut Zahran. Nyaris terkeluar perkataan sial dari mulutnya namun sempat ditahan. Tidak mahu memaki perempuan. Nanti dikata dayus.

Diletak semula sudu di tangannya ke atas meja dengan kasar. Berdenting bunyinya sehingga terjongket bahu Arianna.

“Sekarang tekak aku dah loya dan kau kena bertanggungjawab.” Zahran bersandar pada kerusi lalu melipat kedua-dua tangannya ke dada.

Arianna jongket kening, bersedia mendengar apa yang mahu diperkatakan Zahran.

“Kau kena teman aku makan kat luar.”

Arianna senyum. “Okey, tapi dengan satu syarat.”

“I’m listening.”

“Kita tak boleh makan around KL.”

“Why?”

“Sebab daddy tak boleh nampak aku keluar berdua dengan mana-mana lelaki kecuali Aaron. He will kill both of us. Aku tak kisah kalau dia nak bunuh kau tapi aku tak nak mati di tangan dia,” balas Arianna.

Sesungguhnya dia tidak berbohong semata-mata untuk menakutkan Zahran. Tetapi pengalaman lampau banyak mengajarnya. Walau sebanyak mana dia cuba berahsia, walau sejauh mana dia cuba lari, Datuk Eric pasti akan dapat mencarinya. Cukuplah sekali nyawa seorang manusia melayang angkara Datuk Eric. Dia tidak mahu peristiwa lima tahun lalu itu berulang. Dia akan menuruti semua kehendak daddynya selagi dia mampu.

Terangkat kening Zahran dengan kata-kata Arianna. Dia pernah mendengar khabar angin bahawa Datuk Eric mempunyai kumpulan kongsi gelap yang menjaga keluarga dan perniagaannya. Fikirnya itu sekadar khabar angin untuk menjatuhkan reputasi lelaki itu. Tetapi kata-kata Arianna tadi membuat persepsinya berubah.

“So, can you suggest somewhere we can eat without being eyed by your father?”tanya Zahran.

Bukan kebiasaannya untuk membiarkan perempuan membuat keputusan. Tetapi, biarlah kali ini dia mengalah dengan Arianna kerana dia tahu hari-hari seterusnya, kemenangan akan terus berpihak kepadanya.

“Anywhere. At least a couple of hundreds km radius from KL. Not in the famous place or restaurant,” balas Arianna.

“Okay.” Cepat sahaja dia bersetuju walaupun dia masih belum dapat memikirkan mana-mana tempat makan yang beberapa km radius dari KL.

“Bila?” tanya Arianna.

“Bila?” Zahran mengulang soalan Arianna. Dahinya berkerut kerana tidak dapat menangkap maksud soalan Arianna itu.

“Bila nak pergi makan?” tanya Arianna.

“Now.”

“Dengan pakaian macam ni?” Ariana menunjuk ke arah dirinya yang masih memakai dress semalam.
“Dengan belum mandi,” sambungnya lagi.

“Bukan masalah aku.”

Arianna berdecit sambil menghentak kakinya.

Melihat reaksi Arianna itu, Zahran bangun lalu menghilang ke biliknya. Tidak lama kemudian dia muncul semula dengan tuala, t-shirt dan seluar track suit. Dihulurkan pakaian itu kepada Arianna.

“Tukar baju kat…” Zahran menunjuk ke arah bilik yang digunakan Arianna semalam. Namun belum sempat dia menyudahkan kata-katanya, Arianna sudah menarik turun zip dressnya di belakang lalu melorotkan dress itu sehingga ke paras pinggang sebelum menyarungkan t-shirt yang diberikan Zahran tadi.

“Holy crap!” Zahran segera mengalihkan pandangannya ke arah lain. Memang benar-benar gila perempuan ini.

“Tengok jelah. Untuk kau, free. No charge. Tak pun tolak duit balance semalam,” kata Arianna. Dress yang sudah dilorotkan sehingga ke paras pinggang tadi diturunkan sehingga ke kaki. Baru terasa lapang tubuhnya.

Zahran tertawa mengejek. “Melampaulah kalau charge. Bukan ada benda sangat pun nak tengok. Leper macam papan plywood.”

“Papan plywood pun mahal tau sekarang. Tak percaya cuba check market price,” balas Arianna lalu dengan selamba melangkah ke bilik air dengan hanya bert-shirt tanpa berseluar. Mujurlah T-shirt Zahran itu labuh sehingga menutupi pahanya.

“Mak datuk nenek moyang dia, selamba jalan depan aku dengan tak pakai seluar.” Zahran menggerutu lalu melangkah ke ruang tamu sambil tangannya menggeser skrin, mencari harga pasaran papan plywood.

“Huih, boleh tahan mahal. Saiz 3mm RM 22.00 per pcs. 6mm RM 32.00 per pcs. 9mm RM 40.00 per pcs. 12mm RM 48.00 per pcs for normal grade, RM 70 per pcs for high grade. Yang waterproof pun ada. 9mm RM 55.00 per pcs. 12mm RM 70.00 per pcs. Papan plywood pun ada harga sekarang.”

Share this novel

awer
2022-06-20 20:01:38 

haha..calyta...love u punyer citer...haha

Hawani Hashim66
2022-03-13 00:15:13 

kelakar abang ran hahaha


NovelPlus Premium

The best ads free experience