MENTARI PAGI mulai memancarkan cahayanya menembusi celah-celah dedaun dan ranting-ranting pokok membuatkan suasana rimba itu kelihatan terang.
Di bawah sebatang pohon, kelihatan seorang gadis sedang bersandar. Matanya tertutup rapat. Wajahnya pucat lesi. Ketakutan jelas terpancar pada raut wajah gadis itu.
Kicauan sang burung telah membuatkan dia tersedar dari lenanya. Dia agak tersentak lantas memandang suasana di sekelilingnya yang sudah pun diterangi matahari. Seketika dia menjadi bingung dengan apa yang telah berlaku ke atas dirinya.
Ketika dia hendak bangun, tiba-tiba dia terperasan akan kesan tompokan darah pada seluarnya, betul-betul berhampiran di celah kelangkangnya. Dadanya berdegup kencang.
Hatinya tidak keruan. Seketika dia tersedu-sedu, mengenangkan kejadian menakutkan yang telah berlaku malam tadi. Dia berharap sangat apa yang berlaku malam tadi hanyalah mimpi semata-mata. Tetapi kesan darah ini….
Lantas dia terus bangun dan terus berlalu untuk mencari jalan keluar. Kalbunya berharap Suhada kini sudah berada di kereta bersama dua orang lagi rakannya. Pastinya mereka bertiga sedang menanti dirinya di kereta.
Dan tentunya Ain akan berang dengannya nanti kerana menyebabkan mereka terpaksa bermalam di pinggir hutan belantara itu. Mudah-mudahan tiada apa yang berlaku ke atas ketiga-tiga orang sahabatnya. Pasti mereka semuanya dalam keadaan selamat.
Dalam dia sedang mencari jalan keluar, tiba-tiba dia ternampak sesusuk tubuh terbaring kaku tidak jauh dari situ. Dadanya berdegup kencang.
“Suhada!” ucapnya perlahan.
Lantas dia berlari mendapatkan sahabatnya yang sedang terbaring itu. Menggigil seluruh tubunya melihat tubuh Suhada yang dilumuri darah pekat. Di dadanya terdapat kesan tikaman.
“Sue, bangun Sue! Sue…!” Alya mulai teresak sambil menggoncang-goncang tubuh Suhada. Namun rakannya itu tetap kaku.
Dadanya berdetak hebat. Esakannya juga kian menjadi-jadi kerana tidak dapat menerima hakikat yang dia telah kehilangan seorang rakan yang cukup memahaminya selama ini.
Lantas dia lari dari situ meninggalkan tubuh Suhada yang sudah tidak bernyawa itu.
Lama dia berlegar-legar di dalam hutan tebal itu untuk mencari jalan keluar namun gagal. Dalam dia sedang berusaha, sekali lagi dia dikejutkan dengan penemuan tubuh seorang gadis yang sudah terkulai di bawah sebatang pokok. Segera dia berlari anak mendapatkan gadis itu.
“Hana!” sahutnya. Tubuh Hana dicapai lalu dipangkunya.
“Hana, bangun! Hana….” Tubuh Hana turut digoncangnya namun juga tiada respon. Tersedu dia melihat Hana yang dalam keadaan mata sedikit terbuka berserta lidah yang terjelir keluar.
Dalam keadaan menggeletar, dia merasai nadi di pergelangan sahabatnya itu. Hana juga sudah tiada. Lalu dia meraung sekuat hati sambil memanggil-manggil nama Hana.
“Hana, bangun Hana! Hana, jangan tinggalkan aku…” Alya terus menangis. Tubuh Hana turut digoncangnya dengan harapan sahabatnya itu sedar semula. Rambut Hana yang panjang diselaknya ke belakang.
Sekali lagi dia terkesima sebaik terlihat kesan jerutan di leher rakannya itu. Dan buat kesekian kalinya dia menangis teresak-esak.
Dengan perlahan, dia meletakkan semula tubuh Hana di situ dan terus berlalu. Kalau boleh dia mahu cepat-cepat keluar dari hutan puaka ini dan seterusnya ingin mendapatkan bantuan untuk menguruskan mayat kedua-dua sahabat baiknya itu.
Setelah puas berusaha, akhirnya dia berjaya juga meloloskan diri keluar dari hutan belantara itu. Tercungap-cungap dia berjalan dan akhirnya terjelapuk di tepi jalan.
Dia menangis sepuas-puasnya di situ. Di dalam kepalanya tiada apa yang difikirkan melainkan sahabatnya yang lagi seorang, iaitu Ain. Suhada dan Hana sudah mati.
Bagaimana pula dengan Ain? Bagaimana harus dia menerangkan kepada Ain yang Suhada dan Hana sudah pergi meninggalkan mereka?
Dengan longlai dia meneruskan langkah. Dari jauh dia melihat keretanya yang masih tersadai di tepi jalan. Tiba di keretanya, dia cuba mencari Ain, namun rakannya yang seorang itu tiada di situ.
“Ain!” panggilnya.
"Aaaiiiinnn!” jeritnya lagi. Tetap tiada sahutan. Dia cuba masuk ke dalam belukar berhampiran. Namun Ain tiada juga di situ. Dia melangkah lagi jauh ke dalam.
Dan sekali lagi dadanya berdegup kencang. Kali ini lebih kencang sehingga dia tak mampu bernafas. Bagaikan tak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Tubuh Ain terbaring kaku di dalam semak-samun belukar tersebut. Darah pekat berlumuran di wajahnya. Hujung kepala Ain tampak hancur bagaikan dihentak dengan sesuatu benda yang keras.
Kedua-dua lututnya menggigil. Dia tak berdaya lagi untuk terus berdiri. Akhirnya dia terjelapuk juga di sisi tubuh Ain. Segala apa yang diharapkan mimpi kini telah menjadi realiti.
Dia kini telah kehilangan ketiga-tiga rakannya serentak dalam keadaan yang cukup menyayatkan hati. Fikirannya buntu. Jiwanya juga kosong.
Bagaikan orang hilang kewarasan, dia menjerit sekuat-kuat hati. Bergema suaranya di segenap ruang belukar tersebut.
Share this novel