BAB 3

Romance Completed 7439

Bencana Natalia…

Pertandingan pasukan sorak yang dinanti-nanti oleh Lavender High School telah tiba. Hari yang paling gemilang ini dianjurkan oleh sekolah mereka selaku juara selama empat tahun berturut-turut. Dan kali ini merupakan kali kedua mereka diberi penghormatan untuk menganjurkan acara berprestij bagi semua sekolah menengah di zon Astana.

“Saksikan, pembukaan oleh Gadis Matahari. Pasukan sorak kebanggaan sekolah kami,” pengumuman dibuat oleh pengacara rasmi sekolah iaitu Zcha. Seorang pelajar yang berkebolehan membuat ucapan tanpa gentar di hadapan ramai orang. Tegas dan lantang apabila bersuara, fakta yang paling penting adalah dia menganggotai kumpulan Tak Kisah.

Upacara pembukaan mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin. Lagu Girlfriend nyanyian Avril Lavigne sungguh socok mengiringi langkah demi langkah mereka. Tampak berkeyakinan dan bersungguh-sungguh. Segalanya kelihatan kemas tanpa sebarang kesilapan.

Chaz diam membatu. Dia tak sangka, terpaksa duduk di padang untuk menyaksikan perkara yang menjadi kepantangannya. Habis sahaja upacara pembukaan itu dia mengajak tiga rakan karib yang lain iaitu Met, Leo dan Din untuk pulang ke asrama. Malas nak pandang muka berlagak Gadis Matahari terutama Natalia.

Sewaktu Chaz sedang asyik berbaring di dalam biliknya sambil membaca nota ringkas, dia dikejutkan dengan kehadiran Met. Wajah sahabatnya tampak cemas, bagai ada perkara yang tidak elok telah berlaku.

“Eh Met! Kau kenapa?” soal Chaz cemas.

“Natalia masuk hospital,” Chaz tercengang.

“Kenapa?” Tanya Chaz bagaikan tidak percaya. Dia mengenakan kaca mata. Barulah jelas sikit pandangannya.

“Dia jatuh, terlentang. Terus pengsan,” Chaz membuntangkan mata. Ketukan bertalu-talu di pintu biliknya membuatkan dia jadi tak keruan. Terjengul wajah Din depan pintu.

“Natalia jatuh,” ini perkhabaran kedua yang diterima. Dia hanya mampu menggelengkan kepala. Akhirnya penuh bilik yang sederhana besar itu dengan empat sekawan. Leo turut menyertai perbualan mereka. Masing-masing mencari punca, bagaimana insiden itu berlaku terhadap Natalia yang sering berhati-hati selama ini.

“Bukan ke selama ni dorang pentingkan aspek keselamatan? Pelik jugak. Lagipun si Natalia tu kan bukannya biasa memanjat. Yang biasa berdiri atas bahu orang lain biasanya, Hani. Eh mana dia pergi?” Din mula membentang usul. Chaz gigit bibir.

“Ehm, saat akhir boleh pulak diorang tukar posisi. Natalia pijak bahu Hani. Entah macam mana boleh tergelincir. Kurang keseimbangan kaki rasanya,” tokok Leo.

“Mungkin ni semua memang kemalangan. Tapi walaupun kita anti betul dengan Gadis Matahari, aku tak sampai hati pulak tengok Natalia jadi macam tu. Nampaknya sekolah kita dah kalah tanpa bertandinglah ni,” kendur nada Chaz.

Dia terkejut apabila menerima berita Natalia dimasukkan ke hospital. Walaupun selalu bertekak dengan gadis itu, Chaz menyanjungi kesungguhan dan komitmen Natalia terhadap pasukan sorak. Sama seperti komitednya dia dan ahli kumpulan Nerd Dun Care! yang lain terhadap pelajaran. Jika ditimbang tara, sama sahaja perhatian yang mereka curahkan.

“Eh Chaz! Diam lagi,” usik Met lalu menepuk bahu Chaz. Dia terkebil macam cicak telan kapur.

“Wei, aku nak pergi makan ni. Lapar gila,” beritahu Leo. Dia bangun dan tanpa sengaja telah menyebabkan kedengaran kesan bunyi yang kurang enak.

“Prap!” mereka semua tersentak.

“Cermin mata aku!” Chaz berteriak. Leo mengalihkan kakinya namun sudah terlambat. Ibaratnya macam gajah memijak sang kancil. Kemek! Walaupun dia betubuh kurus, namun cermin mata itu telah retak seribu. Bingkainya terpelanting entah ke mana. Cedera parah! Tidak mungkin dapat diselamatkan lagi.

“Rileks, aku ganti. Kau pilih je yang harga berapa pun. Aku sanggup membayarnya,” Chaz mengangguk lemah. Sedihnya! Dia terlalu sayangkan cermin mata daripada jenama Focus Point itu, berat hati untuk memilih yang lain. Terpaksalah dia berkelabu mata buat sementara kerana esok barulah mereka akan keluar dan membeli barang keperluan masing-masing.

“Tulah kau, letak merata-rata lagi,” tempelak Din apabila melihat wajah sedihnya. Budak yang seorang ini memang pendiam. Tapi sekali bukak mulut, ambik kau. Ayat sendiri mau ingat lah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience