“Hai, Fatma. Muka masam tu kenapa?”
Teguran Laila mematikan niat Fatma untuk mengorak anak tangga. Dia menghela nafas panjang.
“Kenapa kau tanya? Aku kena langgar, Ila. Barang yang aku beli dah rosak. Aku nak minta ganti rugi tapi aku tak boleh nak kawal diri aku. Aku terus pergi macam tu je. Patutnya aku minta dia bayar balik segala kerugian yang aku tanggung. Kenapa bila aku cuba nak hadapi cabaran yang datang, aku juga yang rasa sakit? Aku yang rasa marah?”
“Kau yang tak pandai kawal emosi kau. Cuba relax and chill. Jangan bagi emosi kau tu menguasai kau, Fatma,” nasihat Laila kepada teman serumah merangkap juniornya di universiti dulu.
Sejak cintanya dikhianati Amar, temannya itu seolah-olah menghukum diri sendiri.
Fatma mengeluh berat. “Entahlah. Aku masih sakit hati, Ila. Sakit sangat sampai aku nak marahkan semua orang.”
“Fatma, nasihat aku satu je. Jangan menangkan sangat emosi kau tu. Kau juga yang merana nanti.”
Fatma sekadar angguk biarpun dia dapat merasakan hatinya belum mampu mengatasi rasa sakit.
“Anyway, yang langgar kau tu perempuan ke lelaki?” Laila bertanya.
“Lelaki. Dahlah. Malaslah nak cerita lagi. Buat sakit hati aku je. Apa gunanya maaf kalau hati aku masih menggelegak ni?” Fatma terus mengorak anak tangga. Laila hanya menjungkit bahu. Orang sedang hangin satu badan jangan ditegur.
“Eh, awak ni yang hari tu kan?”
Fatma menoleh pantas ke arah suara yang menegurnya. Lelaki itu! Kenapa nasibnya malang hari ini? Dipertemukan pula dengan lelaki yang telah membuat dirinya kerugian besar tempoh hari.
“Dah lupa yang saya langgar awak hari tu?” Ali Fattah mengingatkan insiden yang berlaku tempoh hari.
“Oh, kau yang langgar aku hari tu kan? Apa hal? Nak minta maaf lagi? Ke nak bayar ganti rugi?” soal Fatma bertubi-tubi dengan dingin.
“Saya….Aku Ali Fattah. Aku minta maaf pasal hari tu. Kau masih marah pasal hari tu?”
Fatma senyum sinis. “Soalan apa yang kau tanya aku ni? Marah ke tak, tak ada kaitan apa-apa dengan kau. Kau tak payah nak sibuk sangatlah,” ujarnya masih dingin.
“Cik Fatma Hanim…”
Gadis itu tersentak. Itu nama penuhnya. Bagaimana lelaki itu tahu? Dan lelaki itu siapa sebenarnya?
“Kau siapa? Macam mana kau kenal nama aku?” soal Fatma mula rasa cuak. Lelaki itu tidak dikenalinya tetapi lelaki itu tahu namanya? Satu perkara yang pelik!
“Aku Ali Fattah Datuk Asran. Dan kerja aku….Aku tak ada kerja.”
Selamba sahaja Ali Fattah memperkenalkan dirinya. Setakat ini dia masih belum memiliki sebarang pekerjaan tetap kerana perniagaan arwah Datuk sedang diuruskan oleh Uncle Raza.
Dia lebih suka orang lain mengenali dirinya sebagai orang biasa. Baginya harta kekayaan hanyalah pinjaman sementara sahaja. Bila-bila masa saja boleh dirampas pergi!
Share this novel