Bab 29 : Warna-warna

Romance Series 205490

"Kalau baby lelaki, kena guna warna biru" Beritahu Ikhwan.

"Jadi, saya tak boleh bagi mummy minum air pink ke Wan? Kena minum air biru? Macam tu ke untuk dapat adik lelaki?" Tanya Rayyan.

Ikhwan angkat bahu.

"Tapi memang pun Wan, sebab bilik saya daddy cat warna biru gelap. Bilik kakak dengan Nia, warna pink. Cadar pun bunga-bunga. Cadar saya ada gambar kereta" Sambung Rayyan.

"Bilik saya pun warna biru yang macam campur warna hijau tu sikit. Cadar saya? Hmmmm, ada gambar hidupan laut. Pink, warna perempuan. Merah pun macam sesuai untuk perempuan. Putih pun" Balas Ikhwan pula.

"Saya tahu apa yang saya kena buat Wan" Rayyan menunjukkan tanda bagus kepada Ikhwan, sebelum mereka berdua membuat tepukan High-five.

*****

"Mummy, esok kan, boleh tak kita berbuka dengan Nasi Kerabu?" Tanya Rayyan sewaktu mereka sedang makan di hari ke 26 Ramadan itu.

"Ohhh, Ayen nak makan Nasi Kerabu ke? Tapi kan Ayen cakap tak suka sebab ada daun-daun ulam tu?" Balas Myra.

"Ayen teringin lah mummy. Alah tak apa, asalkan mummy jangan letak cili dah lah. Tak payah letak daun-daun tu. Sekarang ni, Ayen rasa, kalau hari-hari makan Nasi Kerabu pun tak apa. Lauk daging goreng" Beritahu Rayyan.

Myra pandang Ryzal disebelahnya. Ryzal angkat bahu.

"Tapi daging tak boleh makan hari-hari" Balas Myra.

"Kalau macam tu, lauk ayam tak apa. Lauk ikan tak apa. Telur goreng pun tak apa mummy"

"Okey, daddy okey ke esok makan Nasi Kerabu?" Tanya Myra.

Ryzal angguk sahaja.

"Kakak dengan Nia pun okey. Asalkan ada makanan. Kan daddy? Orang dekat Palestin tu tak cukup makanan. Kita siap boleh pilih. Muallimah cakap, kena bersyukur" Panjang Raudhah bercakap.

"Betul lah tu. Kena syukur dengan apa yang kita ada, barulah Allah tambah. Bila Allah tambah, kita boleh kongsi dengan orang lain juga" Balas Ryzal.

"Yesss, semua okey. Esok Ayen mintak bunga biru dengan Tok Salleh. Mummy buat nasi biru ya" Pinta Rayyan.

"Aih, nak nasi biru? Mummy ingat nak masak nasi kuning je" Balas Myra.

Pelik benar selera anak bujang ni.

"Alahhh, warna biru lah mummy, please! Tak apa. Tok Salleh cakap, bunga tu banyak dekat rumah dia, boleh ambik bila-bila je. Nasi biru lah baru sedap. Nenek Wan cakap, boleh buat kita jadi awet muda"

Ryzal pandang Myra pula. Apa dah jadi pada Rayyan?

*****

"Abang tak rasa macam Ayen tu pelik ke? Request nak makan Nasi Kerabu, okey lagi. Cuma, spesifik sangat nak nasi biru" Omel Myra.

"Tak apalah. Selera dia berubah agaknya. Budak tengah membesar kan. Kita buat lebih sikit. Kongsi dengan semua. Hana cakap dia nak beli ayam percik esok. My masak Nasi Kerabu, lauk dia bagi"

"Okey, My masak lebih untuk bagi pada Wan jugaklah nanti dengan atuk nenek dia tu"

"Pandai My. Macam mana lah tak sayang, kan?"

"Sweet talker! Tapi My tak pernah bosan dengar. Nanti abang cakap lagi ya? Tapi dekat My je, tau?" Dah keluar api cemburunya.

*****

"Eh mummy, mummy tak boleh minum air pink!" Jerit Rayyan sewaktu mereka sudah pun berkumpul diruang tamu rumah Jannah untuk berbuka bersama-sama.

Myra letakkan gelas itu semula. Kenapa pula?

"Kenapa Ayen ni jerit-jerit depan rezeki? Kan tak elok macam tu" Tegur Raudhah.

"Sorry semua" Rayyan yang menyedari keterlanjurannya bercakap segera memohon maaf.

Rayyan bangun dari duduknya, mendekati Myra.

"Mummy, Ayen nak air pink. Mummy minum air soya tu boleh? Ayen tak nak soya" Bisik Rayyan.

"Okey, kita tukar" Gelas berisi air bandung itu bertukar tangan.

Rayyan tersenyum manis.

"Terima kasih mummy. Ayen sayang mummy" Pinggan nasi direnung lama sebelum dia mula makan.

Nasib baik mummy tak isi daun-daun tu. Rayyan menarik nafas lega.

"Ayen okey tak? Kalau Ayen nak makan lauk sup ayam yang maksu masak untuk Firas dengan Dania pun boleh" Beritahu Hajar.

"Tak apa mak su. Ayen nak makan nasi biru" Sesuap nasi disuap ke mulutnya, sedap!

'Harap-harap, dapat adik lelaki' Doa Rayyan dalam hati, sebelum pandangan matanya singgah ke mummynya yang ada di sebelahnya.

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience